PRESIDEN Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad menyarankan agar kerajaan memberi keutamaan kepada usaha mengangkat sastera kebangsaan ke peringkat antarabangsa.
Dalam ucaptamanya sempena Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM), Mohamad Saleeh berkata, negara jiran seperti Indonesia telah melaksanakan usaha pengantarabangsaan sastera negera tersebut.
“Indonesia melihat sastera negara mereka sebagai satu aset yang penting dan perlu diangkat di peringkat antarabangsa.
“Sewajarnya juga kerajaan turut melihat usaha pengantarabangsaan sastera kebangsaan sebagai keutamaan,” katanya.
Mohamad Saleeh juga mencadangkan agar Majlis Sastera Kebangsaan ditubuhkan dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Beliau turut menyarankan agar dana yang lebih besar diberikan untuk terus mengangkat sastera kebangsaan.
Pada sesi ketiga penganjuran SKPM, tema utama yang akan dibincangkan adalah “Penulis Teras Malaysia Madani”.
Tema ini dipilih dengan tujuan untuk menggambarkan peranan penting penulis dalam membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan, berbudaya, dan berpandangan jauh dalam era moden.
SKPM berlangsung dari 19 hingga 20 Disember di Royal Park Hotel Bangi.

.
