TEATER “B’badi” bukan nak b’badi dengan siapa.. Ini tajuk teater , skrip dan arahan ambo. B’badi ni perkataan loghat Kelantan, Terengganu dan mungkin belah utara. Melayu Selatan Thai juga. Ianya bermaksud cuba mengatasi antara satu sama lain. Kalau “b’badi dan” tu maksud bersaing siapa yang dapat duluan.
Ambo buat teater B’badi ini hanya mengisi satu teater yang tarik diri pada saat akhir. Kisahnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) anjurkan satu persembahan teater yang dinamakan malam 4 Drama. Pementasannya pada 19 hingga 22 November 2005 di Stor Teater DBP.
Empat pementasan itu pada awalnya diarahkan oleh empat pengarah. A.Wahab Hamzah (Hering), Ladin Nuawi (Lembah Semantan), Wan Azli Wan Jusuh (Aghi Ni Nak Jadi Jahat) dan Yassin Salleh (Pokok). Akan tetapi setelah hampir sebulan tiga teater sudah pun mula latihan dan akan diadakan sidang akhbar untuk malam 4 Drama itu khabarnya Yassin Salleh bagi tahu beliau tarik diri atas sebab tertentu.
Lalu Wahab Hamzah yang juga pengarah projek tersebut call ambo. Dia minta boleh tolong ganti Yassin. Ambo seolah tiada pilihan untuk menolak permintaan Wahab. Pertama Wahab sahabat ambo, kedua Yassin tu macam abang. Menerima tawaran Wahab maknanya juga membantu Yassin. Tak sampai seminggu kemudian sidang akhbar berlangsung. Ambo hanya bagi tajuk pada Wahab. Ceritanya belum wujud. Tapi niat dah lama nak tulis cerita gangster tua dan muda yang cuba mengatasi satu sama lain. Kata Wahab bersedialah untuk sidang akhbar tak berapa hari lagi. Ooo ini gila.
Ambo call Wan Hanafi Su untuk main satu watak. Dia bersetuju. Ambo kena cari penulis skrip. Ambo sibuk dengan Salam Pantai Timur di RTM.
Masa sidang akhbar tu semua kumpulan kena buat persembahan selama lima minit. Baru ambo sedar tiga kumpulan lain itu sudah bersedia. Mereka sudah hafal dan bergerak dengan cantik. Dah nampak ceritanya. Watak-watak juga sudah jelas. Setiap kumpulan pelakonnya lima enam orang kecuali Lembah Semantan agak ramai. Ambo faham Ladin yang tersohor dengan teater kanak kanak. Jadi tak hairan kalau ceritanya ramai pelakon. Wan Azli dengan cerita Kelantan. Tajuknya juga dalam dialek Kelantan. Sama dengan ambo.
Bila diumumkan cerita B’badi dan nama ambo, ambo jem sebentar. Kemudian ambo tarik kerusi bawa ke tengah ruang. Ada sebuah bakul props teater sebelumnya. Ambo minta biarkan. Ambo duduk tanpa dialog selama lima minit. Hanya buat beberpa gerakan sahaja. Bukan ambo nak menipu atau nak sorok cerita tapi memang tak tahu nak buat apa. Kemudiannya sesi wartawan bertanya, ambo goreng lah mana yang patut. Ooo gila.

Selepas majlis itu baru ambo tahu bahawa setiap kumpulan DBP bagi RM10,000. Pertama ambo call Sabri Mohd Zain (Samoza) untuk tulis cerita yang ada dalam kepala ambo. Esoknya kami jumpa dan bincang. Katanya bagi dia seminggu. Dia janji 15 November dia hantar skrip. Persembahan pada 19 haribulan. Setiap malam hanya dua persembahan. Maka ambo minta dengan Wahab bagi ambo malam 20 dan 22 haribulan. Kebetulan pada petang 19 haribulan ambo ada rakaman di RTM. Ambo kena mengarah dan berlakon dalam siri Salam Pantai Timur. Ambo bagi tahu Samoza cerita ni hanya dua pelakon sahaja.
Ambo pernah kerja dengan Samoza tahun 1995 dengan drama terbitan unit drama RTM. Penerbitnya Zain Ibrahim minta ambo satu cerita untuk hari Merdeka. Kami bersahabat dari Sekolah Menengah Pengkalan Chepa. Dia dua tahun lebih tua. Ambo tulis satu sinopsis cerita pasal dalang wayang kulit. Dalang wayang kulit bermasalah nak kumpulkan ahli muziknya untuk menerima jemputan buat persembahan hari merdeka di Kuala Lumpur. Kumpulan mereka yang telah berpecah dan ada yang sudah tak nak terlibat lagi. Kebetulan kerajaan negeri juga mengharamkan permainan wayang kulit ini. Jadi ini lah isu utama dalam telemovie Panggung RTM ini.
Sepanjang Zain Ibrahim jadi penerbit drama di RTM dia belum pernah buat drama tentang kesenian Kelantan walau pernah buat drama kisah nelayan Kelantan.
Oleh kerana ambo tidak pernah tulis skrip sebelum itu maka ambo cadangkan Samoza. Samoza menulis dan bagi tajuk Air Mata Pak Dogol. Tajuk ini juga merupakan salah satu cerita wayang kulit. Pelakonnya ambo, Wan Hanafi Su, Eman Manan dan Samoza sendiri.
Ambo faham sangat, seorang penulis mesti walau pun tak banyak ada meletakkan cerita dia dan diri dia dalam naskhahnya. Begitu juga Samoza. Tapi okey juga. Menarik. Dia juga orang Kelantan yang lebih banyak pengalaman daripada ambo.
Kemudian ambo call lagi Wan Hanafi Su perkemaskan janji. Ambo minta dia datang pada petang 15 habibulan. Dia bersetuju dan katanya memang selepas 14 haribulan dia free. Habis shooting drama. Cantiklah. Sebahagian daripada masalah dah selesai. Skrip dan pelakon beres.
Ambo kira bajet. RM2,500 untuk Samoza, RM2,500 Wan Hanafi Su. RM1,500 untuk set dan props. Dan bakinya RM3,500 bahagian ambo selaku pengarah dan pelakon. Cukuplah. Kita bukan cari duit dengan ini. Buat teater ni lebih pada kepuasan diri. Lagi pun ini peluang untuk menambahkan senarai pengkaryaan diri.
Alhamdulillah, Samoza hantar skrip awal sehari daripada janji dia. Bila ambo baca skrip Samoza jauh daripada apa yang kita bincang. Dia seorang penulis tentunya dia juga banyak idea. Lalu dimasukkan cerita-cerita diri dia. Benar dia sedang bermasalah ketika itu. Sebab tu ambo minta dia tulis untuk bantu dia. Lalu ambo minta biarlah ambo tulis sendiri dan dia setuju. Ambo bayar dia saperti ambo janji.
Ambo terus call Wan Hanafi Su untuk tunda tiga hari lagi. Kami jumpa 17 haribulan petang di DBP. Ambo hanya siapkan separuh cerita. Kami berdua duduk di luar Stor Teater dan baca skrip. Memang dah tak ada ruang untuk kami buat latihan. Tiga kumpulan lagi sedang buat latihan saat akhir sedang kami baru nak bermula.
Esoknya ambo bawa separuh lagi cerita. Kita bincang di Warung Bucu Kita, dekat dengan DBP. Cuma ambo minta Wan Hanafi Su tulis satu monolog lebih kurang 10 minit. Dalam cerita ini ada empat monolog. Dua kali seorang kena bermonolog. Ambo dah siapkan tiga tinggal satu sahaja. Ambo mahu dia tulis sendiri yang satu itu untuk mudahkan dia hafal. Ambo percaya menghafal tulisan sendiri lebih mudah. Lagi pun masa dah tak ada. Hari itu sudah 18 haribulan. Dia bersedia untuk tulis.
Malam itu ambo jumpa Zaidi Yakob Ampang. Dia bukan orang teater. Dia sahabat ambo. Ambo perlu bagi dia duit. Ambo minta dia buat set dan props. Ambo kata buat pangkin tepi tebing sungai sebelah Golok. Ada beberapa tong buah yang ada tulisan siam. Simple sahaja. Untuk establish tempat sahaja. Dia tahu mana nak cari tu semua. Ambo tahu tu.
Esoknya 19 haribulan hari pementasan 4 Drama bermula. Seharian ambo di RTM. Pagi rehearsal empat episod Salam Pantai Timur. Petangnya kami buat rakaman. Penerbitnya Kak Sham tahu saya terkejar dengan teater malamnya. Dia cuba habiskan rakaman lebih awal. Selepas rakaman ambo segera ke DBP. Ambo nak tengok persembahan kawan lain. Ambo menonton dua persembahan malam itu. Lupa yang mana dua itu. Dalam kepala fokus pada B’badi ambo. Ambo melihat lighting. Yang mana boleh di sesuaikan dengan B’badi ambo. Apa set dan props yang boleh ambo kongsi. Rupanya set dan props teater lain tak sesuai .
Selepas dua pementasan itu baru pertama kali kami ada peluang masuk set. Malam tu juga siapkan set dan props. Cik Jasni adjust lighting dan kami rehearsal. Baru buat bloking dan sepatutnya. Pertama kali ambo dan Wan buat rehearsal. Sampai pagi juga lah kami kerjakan. Betul-betul kerja gila.
Petang esoknya 20 haribulan kami rehearsal lagi. Agak-agak boleh, kami rehat. Tak boleh buat, dan buat. Nak kena rehat untuk tenaga malam nanti.
B’badi ini kisah dua gangster tua dan muda ini diarahkan oleh satu pakatan orang orang “gedebe” untuk masuk ke Selatan Thai tujuan menjejaki seorang tokoh masyarakat yang diculik di Pekan Golok. Pakatan ini terdiri daripada orang lama dan tokoh tertentu. Ada orang gedebe, ada Tok Penghulu dan ada pegawai kerajaan. Oleh kerana dua gangster tua (Pak Man) dan muda (Bukhori) ini orang yang banyak kenalan dan hubungan di Selatan Thai maka mereka dianggap layak untuk misi ini. Namun dua orang ini ada isu sendiri yang belum selesai.

Pada malam itu di tebing Sungai Golok, berbangkitlah isu antara mereka sementara tunggu orang yang akan datang jemput mereka. Pertengkaran mereka berdua di tebing sungai berakhir dengan kematian mereka berdua ditembak dari seberang Rantau Panjang. Begitulah.
Sebenarnya ambo tulis ni ketika perebutan dalam UMNO di Kelantan masa itu. Mustapha Mohammad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan ditentang oleh Annuar Musa dalam pilihan jawatan itu. Dan akhirnya kedua dua gagal. Yang naik nama ialah Awang Adek Husin..
Itu inspirasi ambo masa menulis B’badi. Inspirasi ketika itu. Tak ada kena mengena dengan tiga tokoh politik. Inspirasi seorang penulis datangnya dari peristiwa yang terlintas.
Ambo tahu semua orang (teman produksi) malam itu bimbangkan pementasan kami. Tapi mereka nampaknya sangat memberi semangat untuk kumpulan kecil B’badi ini. Mereka tak pernah nampak kami rehearsal. Mereka tak tahu apa kami nak persembahkan. Tapi ambo yakin yang Wahab percayakan ambo. Kalau tak percaya dari awal lagi dia tak minta ambo isikan tempat kosong itu. Dia tak sempat tengok kami rehearsal sepenuhnya kerana dia juga terlibat dengan Hering.
Pada malam itu, persembahan ambo dan Wan Hanafi berjalan lancar. Tiada sepatah perkataan dalam dialog yang terlepas. Wan Hanafi Su memang seorang pemain teater yang baik. Dia jaga dialog. Dia bukan jenis pelakon yang ad-lib. Kerja ad-lib ni kerja pelakon sitcom. Dia pelakon watak serius. Mengenalinya ketika bersama dalam Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman arahan dan naskhah Johan Jaaffar pada tahun 1984 sangat mengujakan ambo. Dia main Pak Hasan Tua, ambo Pak Hassan muda. Dan tahun 1985 teater kedua lakonan ambo bawah arahan dia, Kartika Suria di Panggung Drama Jalan Bandar. Dia salah seorang yang layak ambo anggap guru.
Pada tahun 1987 ambo arahkan teater Remang Di Lorong Tua. Ambo arahkan Wan Hanafi Su. Skrip Othman Hj Zainudin yang menerima anugerah skrip Esso – Gapena tahun itu. Pementasan di Balai Budaya sempena malam penganugerahan itu. Tapi seminggu sebelum pementasan ambo gugurkan dia, ganti orang lain. Bukan sebab dia tak bagus. Sebab ambo tak bagus. Ini arahan pertama ambo. Ambo panggil dia berlakon sebabnya dia orang pertama kata, ”Yi, demo kena mengarah, demo boleh dah mengarah”. Ambo jawab, “kalau ambo ada peluang mengarah, demo kena berlokan”. Jadi sebab itu ambo panggil dia. Tapi dia tak pergi latihan banyak hari tanpa berita. Mana ada handphone masa itu. Tak boleh nak hubungi dia.
Ambo tak berani nak tunggu lagi. Lalu ambo buat keputusan gugurkan dia. Ahmat Saari (Mat Toje) ganti. Memang jauhlah nak banding dengan Wan Hanafi Su. Tapi ambo tak ada pilihan.
Beberapa hari sebelum pementasan Wan Hanafi Su datang. Ambo bagi tahu, bahawa orang lain dah ambil watak tu. Ambo minta maaf kerana terpaksa buat keputusan. Ambo baru pertama kali mengarah. Ambo tak cukup ilmu nak hadapi masalah ini. Ambo yang tak bagus bukan dia.
Dia hulur tangan dan ambo sambut. Kami bersalam dan kata dia, ”demo memang seorang pengarah, pengarah kena berani buat keputusan”. Ambo terpaku, tak sangka itu jawapannya. Dalam hati ambo, “tak kan macam ni kau nak uji aku sebagai pengarah”. Begitulah Wan Hanafi Su, sukar ditelah. Dan malam itu , malam B’badi, Wan Hanafi Su berikan yang terbaik. Kami bermain bukan nak “b’badi antara kami.
Ramai juga nama nama orang tv dan filem yang datang menonton. Orang teater memanglah. Dr Anuar Nor Arai selepas menonton malam kedua minta saya tulis skrip filem. Katanya patut difilemkan kisah ini. Dalam hati kecil ambo sangat bangga bila keluar dari mulut orang saperti beliau. Nor Halim Ismail juga bersetuju dan dia kata boleh dia fikirkan untuk penerbitan.
Dan yang paling ambo bangga bila Johan Jaaffar lepas tu kata, ”kau boleh jadi seorang editor yang bagus”. Ya, dia tak kata ambo boleh jadi pengarah yang bagus, tapi ambo bangga. Sebetulnya banyak juga ambo edit skrip pemenang Esso – Gapena itu. Bukan skrip itu tak bagus. Tak. Cuma ambo mahu pendekkan masa persembahan. Ambo edit dialog yang panjang dan ada yang ambo jadikan satu babak sahaja daripada tiga babak.
Ulasan Ku Seman Ku Husin dalam Utusan Malaysia juga mengangkat semangat ambo walau pun ada juga beliau tulis beberapa kelemahan. Secara keseluruhan Ku Seman tulis sangat baik. Dia salah seorang wartawan yang selalu mengekori langkah ambo dari teater pertama tahun 1984.
Sampai hari ini ambo belum cuba tuliskan cadangan Dr Anuar Nor arai itu. Cuma ambo singgung sikit-sikit dalam cerita Pok Ya Cong Codei bila ambo wujudkan watak Jering (Asrul Faizal) yang tidak selesa dengan namanya yang hebat selagi nama Pok Ya di sebut orang. Dia berusaha untuk jatuhkan nama Pok Ya. Sikit saja ambo singgung sebab ambo masih lagi berminat dengan cadangan Dr Anuar itu.
Watak Pok Man dan Bukhori dalam B’badi itu ambo inspirasikan daripada beberapa watak sebenar. Ada yang ambo kenal secara peribadi dan ada yang ambo hanya sempat dengar cerita cerita. Orangnya sudah meninggal. Bermula dengan B’badi lah ambo buat Pok Ya Cong Codei.
Mengerjakan B’Badi memang satu kerja gila. Ambo bernasib baik bila Wan Hanafi Su sanggup untuk gila bersama. Ambo juga rasa bangga bila Samoza turut menonton dan kata “nasib baik demo tulis semula, kawe masa tu tengah jem.. itu saja yang keluar”.
Zaidi Yaakob Ampang, sahabat yang bukan dalam bidang ini ambo minta dia buat set dan props. Dia pun sanggup kerana semata mata kegilaan dia. Dan tentunya kegilaan paling utama ialah A. Wahab Hamzah yang berani suruh ambo ganti tempat Yassin Salleh yang tarik diri.
Ini semua kegilaan yang kalau tak “pergi dengan angin” makanya tidak akan jadi.
Demikianlah..
– SABRI YUNUS merupakan seorang pengarah dan pelakon yang sering menampilkan kesenian dan kebudayaan Kelantan dalam karyanya.

