MEMBACA dapat menghubungkan masyarakat dengan ilmu pengetahuan yang luas dan memperkasa pemikiran generasi masa depan. Di era digital yang serba pantas ini, tabiat membaca masih relevan dan penting untuk melahirkan masyarakat yang berfikir secara kritis dan berpengetahuan luas.
Dalam usaha memupuk minat membaca dan meningkatkan literasi, berbagai pihak telah mengambil langkah proaktif untuk menerbitkan karya-karya bermutu yang mampu memberi impak positif kepada pembaca. Salah satu inisiatif berterusan yang mencerminkan komitmen terhadap agenda ini adalah Projek Penerbitan Buku PENA – Malaysia MADANI.
Ikuti temubual Senimalaya bersama Pengarah Projek Penerbitan Buku PENA – Malaysia MADANI, Mohd Khair Ngadiron, seorang tokoh yang berpengalaman dalam dunia penerbitan. Projek ini tidak sekadar menerbitkan buku, tetapi juga berhasrat untuk membina budaya ilmu dan memupuk masyarakat madani yang lebih berinformasi dan inklusif.
SENIMALAYA: Apakah objektif utama penerbitan 100 buah buku dalam projek ini, dan bagaimana ia sejalan dengan prinsip Malaysia MADANI?
MOHD KHAIR NGADIRON: Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia MADANI menyasarkan penerbitan 100 judul buku dalam tempoh enam bulan adalah inisiatif yang signifikan dalam memperkaya khazanah kepustakaan negara. Di sebalik angka 100 ini, projek ini bukan sekadar usaha kuantitatif, tetapi lebih kepada gerak kerja yang kualitatif ke arah membangunkan bangsa Malaysia yang berilmu, berbudaya, dan progresif. Objektif utama projek ini adalah untuk menyokong aspirasi Malaysia MADANI melalui pembudayaan membaca, penulisan, dan penerbitan, serta melahirkan generasi yang berdaya saing di peringkat global.
Dari segi pelaksanaan ke arah merealisasikan objektif tersebut, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyasarkan projek ini berupaya memupuk bakat penulis tempatan dengan menyediakan platform untuk berkarya dan berkongsi idea. Ia sekali gus menggalakkan penulis untuk menghasilkan karya-karya yang inovatif dan kreatif yang mampu merangsang pemikiran kritis dan daya cipta dalam kalangan masyarakat.
Secara tidak langsung, tersedianya penerbitan berkualiti dalam kalangan masyarakat akan memperluas akses kepada bahan bacaan berkualiti. Selanjutnya, identiti nasional akan diperkukuh melalui karya-karya yang sarat dengan nilai-nilai murni seperti patriotisme, toleransi, dan semangat kekitaan. Ini akan menyumbang kepada pembentukan identiti nasional yang kukuh.
Projek ini sangat selaras dengan nilai-nilai teras Malaysia MADANI, khususnya “kemampanan”, “kesejahteraan”, dan “daya cipta”.
“Kemampanan”: Projek ini menyumbang kepada pembangunan mampan dengan memupuk minat membaca dan pembelajaran sepanjang hayat. Ini akan menghasilkan masyarakat yang lebih berpengetahuan dan mampu menghadapi cabaran masa hadapan.
“Kesejahteraan”: Dengan menyediakan akses kepada bahan bacaan yang berkualiti, projek ini menyumbang kepada kesejahteraan mental dan emosi individu. Membaca merupakan aktiviti yang terbukti mengurangkan stres, meningkatkan empati, dan memperluas perspektif.
“Daya Cipta”: Projek ini mendorong inovasi dan kreativiti dalam bidang penulisan. Dengan memberi peluang kepada penulis untuk berkarya, projek ini menyumbang kepada pembangunan modal insan yang kreatif dan inovatif.
Bagaimana projek ini membantu memartabatkan sastera tempatan di mata masyarakat Malaysia, terutama di kalangan generasi muda?
MOHD KHAIR: Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani hadir sebagai sebuah inisiatif yang signifikan dalam upaya memartabatkan sastera tempatan. Melalui projek ini, ia membuka peluang bagi penulis-penulis tanah air untuk melihat karya mereka diterbitkan. Dengan demikian, suara dan perspektif dalam dunia sastera Malaysia menjadi semakin kaya dan beragam.
Salah satu impak besar daripada projek ini adalah meningkatnya ketersediaan buku-buku sastera karya penulis Malaysia di pasaran. Hal ini memungkinkan generasi muda untuk lebih mudah mengakses dan menikmati karya-karya tersebut. Dengan demikian, minat membaca dan apresiasi terhadap sastera dalam kalangan generasi muda dapat dipupuk dengan lebih awal.
Selain itu, projek ini juga berperanan penting dalam memperkenalkan karya-karya sastera kontemporari yang relevan dengan kehidupan generasi muda. Tema-tema yang diangkat daripada isi kandungan buku-buku yang diterbitkan melalui projek ini kebanyakannya menyentuh isu-isu sosial, budaya, dan setempat yang menjadi perhatian generasi muda. Hal ini memungkinkan mereka untuk menemukan refleksi diri dan membangun pemahaman yang lebih mendalam tentang dunia di sekitar mereka.
Dalam konteks yang lebih luas, projek ini juga menyumbang dalam membangunkan identiti budaya bangsa Malaysia. Dengan membaca karya-karya sastera karya penulis tempatan, generasi muda dapat lebih menghargai warisan budaya bangsa dan membangun rasa kebanggaan sebagai warga negara Malaysia.

Dalam konteks ekonomi, apakah sumbangan projek ini terhadap industri penerbitan dan jualan buku di Malaysia?
MOHD KHAIR: Salah satu sumbangan utama projek ini adalah merancakkan kembali industri penerbitan. Melalui panggilan terbuka untuk manuskrip semenjak 1 Ogos 2024, PENA berjaya menarik minat banyak penulis, sama ada yang berpengalaman mahupun yang baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan. Hal ini bukan sahaja memberikan peluang kepada penulis untuk berkarya, malah turut menyuntik semangat kompetitif yang sihat dalam kalangan penerbit. Dengan adanya lebih banyak manuskrip berkualiti, industri penerbitan akan menjadi lebih dinamik dan produktif.
Pelbagai genre buku yang diterbitkan ini akan menarik minat pelbagai lapisan pembaca, sekali gus memperluas pasaran buku. Selain itu, usaha pemasaran yang agresif, seperti pengenalan di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2024 dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025, dijangka dapat meningkatkan lagi permintaan terhadap buku-buku terbitan PENA-Malaysia Madani.
Selain sumbangannya yang sudah tentu ke arah sektor kebudayaan, penerbitan terbukti dapat menjana ekonomi negara. Industri penerbitan adalah salah satu sektor ekonomi yang mempunyai potensi yang besar. Dengan meningkatkan permintaan terhadap buku, projek ini secara tidak langsung dapat mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri penerbitan, seperti editor, pereka grafik, dan pengedar. Malah syarikat percetakan, penjualan kertas, penjilidan, dan kedai buku memperoleh sesuatu limpahan daripada pelaksanaan projek ini.
Adakah projek ini melibatkan kerjasama dengan penulis dan penerbit tempatan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka? Bagaimana model kerjasama ini diatur?
MOHD KHAIR: Projek ini dirancang bukan sekadar menerbitkan buku, malah dirangka sebagai sebuah platform bagi meningkatkan taraf ekonomi para penulis dan penerbit. Model kerjasama yang diterapkan dalam projek ini cukup menarik. PENA bertindak sebagai fasilitator utama, menghubungkan penulis dengan pelbagai sumber daya yang diperlukan dalam menerbitkan buku. Mulai daripada proses penyuntingan, mereka bentuk kulit buku, sehingga ke peringkat pemasaran dan pengedaran, PENA menyediakan dukungan yang komprehensif.
Salah satu aspek yang paling menarik adalah pemberian royalti kepada penulis. Dengan memberikan royalti secara “up-front” berdasarkan jumlah buku yang tercetak, PENA memberikan insentif yang sangat baik bagi penulis untuk terus berkarya. Model ini tidak sahaja menghargai karya penulis, malah turut memberikan mereka sumber pendapatan yang baik.
Selain peluang penerbitan yang lebih luas, PENA secara tidak langsung membantu meningkatkan taraf ekonomi penulis. Selepas karya mereka diterbitkan dan dipasarkan secara meluas, potensi pendapatan mereka juga meningkat. Hadiah atau anugerah sastera, undangan ceramah, dan undangan menulis karya adalah impak yang dijangka diterima selepas karya penulis diterbitkan.
Bolehkah anda berkongsi tentang strategi pemasaran dan pengedaran buku-buku ini untuk memastikan mereka mendapat pendedahan yang luas di peringkat tempatan dan antarabangsa?
MOHD KHAIR: Strategi pemasaran dan pengedaran yang komprehensif adalah kunci bagi memastikan buku-buku yang dihasilkan melalui projek ini mencapai khalayak sasaran yang luas. Kami telah merangka beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan mengambil kira potensi dan pengkhususan setiap judul buku.
Pertama sekali, kami akan memanfaatkan platform digital secara maksimum. Dalam proses penerbitan, kami menggunakan sistem Open Monograph Press (OMP). Begitu juga selepas buku siap dicetak, buku-buku yang diterbitkan akan dipasarkan melalui pelbagai platform e-dagang termasuklah di laman web bukupena.com.my. Ini membolehkan pembaca dari seluruh dunia mengakses dan membeli buku dengan mudah.
Kedua, kami akan menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuklah kedai buku, perpustakaan, sekolah, dan universiti. Kami merancang untuk mengadakan sesi resensi buku, bengkel penulisan, dan majlis pelancaran buku di sekolah dan universiti bagi memperkenalkan buku-buku ini kepada generasi muda.
Ketiga, kami akan menyertai pesta buku di dalam dan di luar negara. Pesta buku adalah platform yang sangat baik untuk mempromosikan buku kepada khalayak yang lebih luas. Kami akan membawa buku-buku PENA-Malaysia Madani ke pameran buku antarabangsa untuk memperkenalkan karya penulis Malaysia kepada pembaca di seluruh dunia.
Keempat, kami akan memberikan perhatian khusus kepada aspek penterjemahan. Buku-buku yang berpotensi untuk dipasarkan ke pasaran antarabangsa akan diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa asing yang popular. Ini akan membuka peluang yang lebih luas untuk buku-buku PENA-Malaysia Madani dibaca oleh pembaca di seluruh dunia.
Kelima, kami akan mengukur keberkesanan strategi pemasaran yang dilaksanakan. Data jualan, maklum balas pembaca, dan ROI media akan dianalisis secara berkala untuk mengenal pasti strategi yang berkesan dan membuat penambahbaikan yang diperlukan.
Keenam, pendigitalan khususnya melalui platform Kota Buku Digital adalah langkah bagi memanjangkan hayat satu-satu karya dalam bentuk kaedah pembacaan yang lain.
Bagaimana PENA menangani cabaran yang timbul dalam industri buku, seperti kos penerbitan yang tinggi dan persaingan dengan kandungan digital?
MOHD KHAIR: Kami sangat memahami cabaran dalam industri buku ketika ini. Kenaikan kos penerbitan dan persaingan sengit dari “content” digital memang menjadi cabaran yang besar. Namun, kami meyakini bahawa buku masih memiliki tempat istimewa di hati pembaca.
Pertama, kami menyedari kos penerbitan buku yang terus meningkat merupakan isu besar. Bagi mengatasinya, Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani menjalin kerjasama yang lebih erat dengan para penulis, ilustrator, dan pencetak. Melalui perbincangan yang baik, kami berupaya mendapatkan harga terbaik tanpa mengorbankan kualiti penerbitan.
Kedua, kami menetapkan komitmen untuk menerbitkan buku-buku berkualiti, yang tidak hanya memuaskan minat baca, tetapi juga mampu bersaing dengan “content” digital. Kami melakukan ini dengan cara menyajikan jalan cerita yang menarik, rekaan yang inovatif, dan isi kandungan yang relevan dengan perkembangan zaman.
Ketiga, kami memahami aspek pengedaran buku adalah salah satu cabaran besar. Bagi mengatasi hal ini, PENA-Malaysia Madani sudah menjalin kerjasama dengan pelbagai kedai buku, baik secara “online” ataupun “offline”. Selain itu, kami juga akan bergerak aktif mengikuti pesta buku dan acara sastera bagi memperluas pasaran.
Terakhir, kami akan terus melakukan inovasi dalam penerbitan buku. Selain buku versi cetakan, kami akan mengembangkan penerbitan digital seperti e-buku dan “audiobook”. Dengan demikian, kami dapat menjangkau pembaca yang lebih luas dan memenuhi selera pembacaan mereka.
Apakah usaha yang diambil untuk memastikan projek ini kekal mampan dalam jangka masa panjang dan bukan sekadar inisiatif jangka pendek?
MOHD KHAIR: Bagi memastikan keberlangsungan jangka panjang Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani, kami akan mengambil beberapa langkah strategik. Pertama, kami akan membangun ekosistem sastera yang berdaya tahan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak. Kedua, kami akan memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan keefisienan dan jangkauan pembacaan. Ketiga, kami akan memperkuat kapasiti penulis melalui pelbagai program, latihan, dan mentoring. Keempat, kami akan memperluas jaringan pemasaran dan pengedaran buku. Kelima, kami akan melakukan penilaian secara berkala untuk memastikan projek ini terus berkembang. Dengan komitmen yang kuat, kami yakin projek ini dapat mendapat perhatian dan sokongan Kerajaan Malaysia yang merupakan tonggak penting dalam memartabatkan sastera negara.
Selain menjana pendapatan, bagaimana projek ini boleh menyumbang kepada pembangunan modal insan dalam industri kreatif, seperti meningkatkan bakat penulis dan editor tempatan?
MOHD KHAIR: Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani bukan hanya bertujuan untuk menjana pendapatan, malah turut membangunkan modal insan dalam industri kreatif. Projek ini menyediakan platform bagi penulis-penulis baru untuk menerbitkan karya mereka, meningkatkan kemahiran mereka, dan membangun sebuah komuniti sastera yang kuat.
Contohnya, selepas dalam Sesi Perolehan Manuskrip Penerbitan Buku PENA-MALAYSIA MADANI di seluruh negara, iaitu di Miri (Sarawak), Rumah PENA (Kuala Lumpur), Seberang Jaya (Pulau Pinang), Muar (Johor), Kota Kinabalu (Sabah), Kuala Terengganu (Terengganu), dan Kota Bharu (Kelantan), para peserta (penulis) dapat mempelajari banyak hal tentang teknik penulisan yang baik, struktur cerita, dan aspek-aspek lain yang berkaitan dengan penerbitan buku.
Selain itu, mereka juga dapat berinteraksi dengan editor profesional dan pereka berpengalaman, sehingga dapat memperluas jaringan mereka dan mendapatkan bimbingan yang berharga.
Dengan memfokuskan pada pembangunan modal insan, projek ini diharapkan dapat melahirkan generasi penulis dan editor yang berkualiti dan mampu membawa industri kreatif negara ke tahap yang lebih tinggi.
Bagaimanakah penerbitan buku-buku ini dapat meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu tempatan dan global yang relevan, serta menyumbang kepada naratif Malaysia yang progresif?
MOHD KHAIR: Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani bukan sekadar platform penerbitan, tetapi juga alat untuk meningkatkan kesedaran dan membentuk naratif progresif. Buku-buku yang diterbitkan mampu mencetuskan perbincangan mengenai isu-isu tempatan dan global, memperkaya wacana awam, dan mendorong pemikiran kritis.
Projek ini juga dapat membentuk identiti nasional yang lebih inklusif dengan mengangkat nilai-nilai kemanusiaan dan toleransi. Selain itu, buku-buku yang diterbitkan dapat menjadi sumber inspirasi bagi generasi muda, mendorong mereka untuk menjadi agen perubahan.
Dengan menghasilkan karya-karya berkualiti, projek ini dapat meningkatkan reputasi Malaysia di mata dunia dan menarik minat pembaca antarabangsa. Dengan demikian, projek ini bukan hanya menyumbang kepada pembangunan industri kreatif, malah turut memainkan peranan penting dalam membentuk masa hadapan negara yang lebih baik.
Apakah pandangan anda tentang masa depan industri penerbitan buku di Malaysia, dan bagaimana Projek Penerbitan Buku PENA – Malaysia MADANI ini boleh menjadi pemangkin kepada perubahan positif?
MOHD KHAIR: Industri penerbitan buku di Malaysia, seperti di banyak negara lain, menghadapi cabaran dalam era digital. Namun, peluang tetap ada, terutama dengan meningkatnya minat membaca.
Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia MADANI hadir sebagai pemangkin perubahan positif dalam industri ini. Dengan fokus pada kualiti, kebolehcapaian, dan kerelevenan, projek ini dapat menghasilkan karya-karya sastera berkualiti tinggi, memperluas akses buku, memupuk minat membaca, dan mengembangkan industri kreatif.
Selain itu, projek ini diharap dapat membentuk identiti bangsa Malaysia melalui buku-buku yang mencerminkan nilai-nilai dan budaya Malaysia. Dengan dukungan daripada berbagai pihak, projek ini dapat menjadi model untuk pengembangan industri penerbitan yang lebih baik.


Perancangan yang diusahakan oleh senimalaya melalui penerbitan buku oleh Buku PENA Malaysia Madani dijangka dapat merangsang penulisan buku yang berkualiti kerana projek Buku PENA Malaysia Madani seperti berjanji untuk memperkukuh usaha dan strategi yang meyakinkan dalam mencapai halatuju yang progresif dalam menemukan ilham kreativiti penulisan dengan sasaran untuk meningkatkan martabat ilmu, dayacipta dan kemajuan pemikiran dengan seni pembukuan yang berkualiti tinggi dengan cara semakan dan penilaian kualiti kandungan buku yang diterbitkan oleh projek Buku PENA Malaysia Madani yang mungkin namanya terkenal di Malaysia dan di mata dunia dari segi kualiti kreativiti Sastera sebagai akses peningkatan pemikiran penulisan negara melalui kegiatan para penulisan dalam perkembangan ilmu kreativiti dan kemajuan pemikiran yang terjana melalui penulisan kreatif yang mantap dan berkualiti tinggi.