KESAL dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) pada kulit hadapan edisi terbaharu majalah humor Gila-Gila, penerbitnya Jaafar Taib tampil memohon maaf.
Menerusi catatan di Facebooknya pada Ahad, Jaafar yang juga salah seorang pengasas majalah humor pertama negara itu mengakui kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku.
“Saya sebagai pengasas dan penerbit majalah Gila-Gila, dengan rasa penuh sesal ingin memohon maaf yang sebesar-besarnya atas penggunaan karya seni yang dihasilkan oleh AI.
“Saya ingin tegaskan, penggunaan karya AI tersebut bukanlah bertujuan untuk merendah-rendahkan bakat dan hasil kerja keras para pelukis kita.
“Namun, saya faham, niat yang baik tidak semestinya menghasilkan keputusan yang baik. Kesilapan ini telah membuka mata saya tentang betapa pentingnya kita menghargai dan melindungi karya seni yang dihasilkan oleh tangan-tangan kreatif anak bangsa,” katanya.
Jaafar menjelaskan, dalam usia 71 tahun, beliau kurang arif tentang teknologi AI dan implikasinya terhadap dunia seni.
“Saya sedar, keputusan untuk menggunakan karya AI tersebut adalah satu kesilapan besar yang tidak patut berlaku.
“Ia telah mengguris hati ramai pelukis dan kartunis berbakat yang selama ini menjadi tulang belakang majalah Gila-Gila,” katanya lagi.
Dalam hantaran itu juga, Jaafar menegaskan penggunaan karya AI tersebut bukanlah bertujuan untuk merendah-rendahkan bakat dan hasil kerja keras para pelukis tempatan.
Namun, katanya beliau faham, niat yang baik tidak semestinya menghasilkan keputusan yang baik.
“Kesilapan ini telah membuka mata saya tentang betapa pentingnya kita menghargai dan melindungi karya seni yang dihasilkan oleh tangan-tangan kreatif anak bangsa.
“Saya berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk memperbetulkan kesilapan ini.
“Mulai saat ini, Gila-Gila akan kembali kepada prinsip asal kita, iaitu menjadi platform untuk mengetengahkan karya-karya seni asli yang dihasilkan oleh bakat-bakat tempatan.

“Saya berjanji akan berusaha untuk terus menyokong dan menghargai bakat serta hasil karya anak Malaysia.. Marilah kita bersama-sama mengembalikan maruah dan kehebatan majalah Gila-Gila tercinta.
Beliau memohon maaf yang tidak terhingga kepada artis dan kartunis yang setia bersama Gila-Gila selama ini.
“Kepada semua artis dan kartunis yang setia bersama Gila-Gila selama ini, saya ingin memohon maaf atas kecuaian dan kesilapan saya.
“Saya berjanji akan berusaha untuk terus menyokong dan menghargai bakat dan karya kreatif rakyat Malaysia.
“Marilah kita bersama-sama mengembalikan maruah dan kehebatan majalah Gila-Gila tercinta,” ujarnya.
Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pembaca setia Gila-Gila atas sokongan dan kritikan membina mereka.
“Tanpa sokongan anda, Gila-Gila tidak akan mampu bertahan sehingga hari ini.
“Saya berjanji bahawa kesilapan ini tidak akan berulang lagi,” jelas Jaafar.
Pengunaan teknologi AI pada hiasan muka hadapan Gila-Gila memberi pelbagai reaksi dan kritikan daripada orang ramai khusunya penggemar majalah tersebut.
Dalam catatan lain, beliau seterusnya menggambarkan bahawa kehadiran seni AI bukan sekadar evolusi, tetapi revolusi yang mencabar semua yang beliau percayai tentang seni.
“Walaupun seni digital masih mengekalkan sentuhan dan kreativiti manusia, AI nampaknya mencabar takhta itu.
“Saya akui masih jahil tentang kesan AI terhadap industri seni. Tetapi saya bimbang,” katanya.
Gila-Gila mula diterbitkan pada 1 April 1978 dan dicetak sebanyak 9,000 naskah. Sehingga kini ia sebanyak 867 edisi telah diterbitkan.
Selain Jaafar, tiga lagi pengasas majalah humor paling lama bertahan di pasaran ini adalah Meor Shariman Meor Hassan atau lebih dikenali sebagai Mishar (Allahyarham), Zainal Buang Hussin dan Azman Yusof.
