PERSATUAN Penulis Nasional Malaysia (PENA) memerlukan pucuk pimpinan baru bagi memastikan ia lebih relevan dan segar, kata Syed Mohd Zakir Syed Othman.
Syed Mohd Zakir atau SM Zakir menegaskan adalah tidak wajar untuk mana-mana individu mengetuai persatuan dalam tempoh yang lama.
Penerima Anugerah SEA Write 2011 itu berkata, PENA boleh menghadkan tempoh untuk mana-mana individu menyandang jawatan presiden.
Beliau mengambil contoh persatuan penulis terbesar di Thailand, Semakhom Nakhian Thai yang menetapkan jawatan presiden hanya boleh disandang selama dua penggal sahaja.
“Elok lah PENA pun jangan sampai berdekad-dekad,” katanya kepada Senimalaya.
Bagi pemilihan pucuk pimpinan PENA kali ini, SM Zakir menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden.
Beliau juga memberikan sokongan kepada Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron untuk jawatan Presiden PENA.
Ditanya kenapa Mohd Khair menjadi pilihannya untuk menerajui PENA, SM Zakir menegaskan sudah tiba masanya untuk Dr Mohamad Saleeh Rahamad melepaskan jawatan.
“Sudah masa untuk Dr Saleeh melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 14 tahun lalu.
“Faktor utama ialah PENA perlu angin baru, sudah masa untuk kepimpinan baru. 14 tahun sudah terlalu lama untuk seorang individu yang sama memegang jawatan Presiden PENA
“Untuk keadaan sekarang PENA perlu tokoh industri untuk keluar kepompong baca puisi dan aktiviti kecil,” katanya lagi.
Sebelum ini, Mohd Khair mengesahkan akan bertanding jawatan Presiden PENA dalam pemilihan yang akan berlangsung pada 8 Disember ini.


Pemilihan PENA pun mcm banjir juga, datang hak besar 10 tahun sekali. Semoga pemilihan ini natijahkan keputusan terbaik. No heart feeling. Bertanding itu adat demokrasi. Yg penting bersaing demi kepentingan persatuan dan sastera. Pemimpin boleh datang dan pergi.