Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menggesa agar kerajan menubuhkan Majlis Sastera Kebangsaan akan yang menjadi badan pengurus hal ehwal kesusasteraan.
Majlis tersebut, kata PENA perlu diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Penubuhan Majlis Sastera Kebangsaan merupakan salah satu dari Sembilan resolusi Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN IV) dan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM III) yang diadakan pada 18 hingga 20 Disember lepas.
Resolusi itu juga menggesa pihak berkuasa pendidikan memperkukuhkan kedudukan bahasa dan kesusasteraan Melayu dalam kurikulum negara.
Menurut PENA pembelajaran yang lebih interaktif dan kreatif perlu diperkenalkan untuk menarik minat generasi muda terhadap karya-karya sastera Melayu.
PENA juga menegaskan, Sastera Madani harus dipelihara oleh mereka yang memiliki etos ilmuwan dan berpegang teguh kepada nilai-nilai keadilan serta adab.
“Pembinaan Sastera Madani perlu ditangani oleh “penguasa” yang memegang punca kuasa sebenar-benarnya, dan penguasa itu mestilah yang memiliki etos ilmuwan, adab, akhlak serta teguh memegang nilai keadilan.
“Sastera Madani tidak 2 bertentangan dengan prinsip Rukun Negara, serta tidak boleh berkompromi dalam unsur syubhah,” kata PENA.
Berikut resolusi penuh PPMN IV dan SKPM III.
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) sebagai sebuah gerakan intelektual dalam bidang sastera, bahasa dan budaya sejak penubuhannya pada tahun 1961 telah menganjurkan Perhimpunan Penulis Muda Nasional dan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia pada 18 Disember-20 Disember 2024 di Hotel Park Royal UNITEN, Bangi, Selangor. Penganjuran kedua-dua kegiatan adalah selaras dengan hasrat untuk membina generasi penulis yang kental berwibawa dalam menghasilkan karya yang dapat memberi sumbangan besar kepada pembinaan dan peneguhan peradaban bangsa. Kegiatan yang bertemakan Penulis sebagai Teras Masyarakat Madani bagi Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM III) dan tema Penulis Muda Mendepani Cabaran Revolusi Teknologi Teknologi bagi Pertemuan Penulis Muda Nasional (PPMN IV), telah dihadiri oleh 300 penulis daripada kalangan pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh tanah air.
PPMN IV DAN SKPM III dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap pemeliharaan dan pemerkasaan warisan kesusasteraan, bahasa, dan budaya kebangsaan, merumuskan dapatan resolusi seperti berikut:
1. Pembinaan Sastera Madani dalam Peningkatan Pendidikan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu:
Menggesa pihak berkuasa pendidikan memperkukuh kedudukan bahasa dan kesusasteraan Melayu dalam kurikulum dan sistem Pendidikan dengan meningkatkan pembelajaran berbentuk interaktif dan kreatif untuk menarik minat generasi muda terhadap karya sastera Melayu. Pembinaan Sastera Madani perlu ditangani oleh “penguasa” yang memegang punca kuasa sebenar-benarnya, dan penguasa itu mestilah yang memiliki etos ilmuwan, adab, akhlak serta teguh memegang nilai keadilan. Sastera Madani tidak 2 bertentangan dengan prinsip Rukun Negara, serta tidak boleh berkompromi dalam unsur syubhah.
2. Penerbitan dan Promosi Karya Sastera Melayu:
Memperbanyak penerbitan karya sastera Melayu dalam pelbagai genre, termasuk yang bersifat kontemporari, dan terjemahan. Hal ini perlu penglibatan kolaborasi antara penerbit, penulis, dan kerajaan dalam usaha memasarkan karya sastera Melayu di peringkat tempatan dan antarabangsa.
3. Pengiktirafan dan Sokongan kepada Penulis:
Meningkatkan insentif dan sokongan kewangan kepada penulis, termasuk sasterawan muda, sebagai dorongan kepada penghasilan karya berkualiti. Pengarang muda perlu diberi ruang, peluang dan penghargaan sebagai tokoh sastera melalui kegiatan penataran berimpak tinggi, memperkukuhkan nilai peradaban. Sumbangan karya sastera perlu diiktiraf penting dalam perkembangan kesusasteraan kebangsaan sebagai mana pengiktirafan dan peruntukan besar kepada industri sukan, politik dan ekonomi.
4. Memperkasakan Ekosistem Sastera dalam Era Digital (Digitalisasi Warisan Kesusasteraan Melayu):
Memanfaatkan teknologi untuk mendigitalkan manuskrip, karya klasik, dan hasil sastera kebangsaan agar dapat diakses generasi kini dan akan datang. Pembinaan platform digital khusus bagi pengkaryaan, penerbitan, dan promosi kesusasteraan kebangsaan wajar digerakkan secara serius dan bertanggungjawab.
5. Memperkasakan Perpaduan dalam Kebudayaan Kebangsaan melalui Karya Sastera:
Menggalakkan penghasilan karya yang memartabatkan nilai-nilai kebudayaan kebangsaan dan memperkukuhkan jati diri bangsa dengan menjadikan kesusasteraan sebagai medium yang dapat memupuk 3 semangat perpaduan dan sikap saling menghormati dalam masyarakat majmuk.
6. Kerjasama Serantau dan Antarabangsa:
Mewujudkan hubungan dengan institusi atau komuniti kesusasteraan serantau dan global untuk memperkenalkan sastera kebangsaan ke persada dunia. Perkara ini dapat direalisasikan dengan mengadakan forum, simposium, dan bengkel penulisan bersekala besar yang melibatkan penulis dari seluruh dunia. Gerakan penyatuan penulis perlu dihidupkan dalam pelbagai bentuk, sama ada di peringkat tempatan, serantau, mahupun antarabangsa.
7. Pengurusan Dana yang Lebih Saksama kepada Institusi Penulis
Mengusulkan perancangan pengagihan dana RM50 juta daripada kerajaan perlu membabitkan pemain industri kreatif dan persatuan yang berkaitan dengan sastera. Setiap kerumitan perlu dileraikan tanpa mengganggu sistem yang sah. Oleh itu, dicadangkan, pemegang taruh yang menguruskan dana itu lebih bertanggungjawab dan bersifat saksama.
8. Penterjemahan, Pengantarabangsaan, Penyebaran dan Peluasan Karya Sastera kebangsaan
Pihak kerajaan hendaklah menyediakan peruntukan dan dana khas perterjemahan secara tetap dan bersepadu kepada pelbagai agensi dan institusi bagi tujuan penyebaran karya bermutu ke peringkat antarabangsa. Dalam hal ini atase kebudayaan perlu diwujudkan di kedutaan Malaysia di negara yang difikirkan strategik untuk promosi karya sastera dan kebudayaan kebangsaan. 4 Resolusi ini adalah iltizam PENA untuk terus memperjuangkan dan memperkasakan bidang kesusasteraan, bahasa, dan budaya kebangsaan agar terus relevan, dihormati, dan dinikmati manfaatnya oleh semua lapisan masyarakat.
9. PENUBUHAN MAJLIS SASTERA KEBANGSAAN
Mengesyorkan kepada Kerajaan untuk menubuhkan Majlis Sastera Kebangsaan yang menjadi badan pengurus hal ehwal kesusasteraan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Terima kasih.
Disediakan oleh Jawatankuasa Penyediaan Resolusi:
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (Pengerusi)
Dr.Mohd Hanafi Ibrahim
Dr.Shamsudin Othman
Encik Mohd Khair Ngadiron
Encik Zaifulnizam Wagiran

