Perbahasan mengenai Droit de Suite, Resale Royalty Right (RRR) atau Hak Royalti Jualan Semula semakin mendapat perhatian dalam landskap seni visual Malaysia.
Di satu pihak, ia dilihat sebagai mekanisme yang mampu menjamin kebajikan ekonomi seniman apabila karya mereka meningkat nilainya di pasaran sekunder.
Di pihak yang lain pula, timbul persoalan sama ada hak tersebut benar-benar selaras dengan prinsip hak milik, keadilan kontrak dan struktur ekonomi yang membentuk pasaran seni.
Wacana ini kembali diperbincangkan susulan respons dari penulis dan juga pengkritik seni Badrolhisham Mohamad Tahir terhadap esei Hairulnisak Merman di portal Senimalaya minggu lepas.
Saranan Badrolhisham agar perbahasan mengenai RRR tidak hanya digerakkan oleh sentimen simpati terhadap nasib seniman, tetapi juga diteliti melalui kerangka falsafah hak milik, undang-undang dan ekonomi budaya tersebut juga wajar dihargai dan diperhalusi.
Pendekatan sedemikian memperlihatkan bahawa isu RRR jauh lebih kompleks daripada sekadar persoalan sepihak tentang siapa yang lebih berhak menikmati keuntungan apabila harga sesebuah karya melonjak.
Namun, di sebalik perbahasan tersebut, muncul satu lagi dimensi yang jarang diberikan perhatian, iaitu iaitu hubungan antara hak pemilikan dengan tanggungjawab yang lahir daripadanya.
Perspektif ini mengajak kita melihat pasaran seni bukan sahaja sebagai ruang penciptaan nilai budaya, tetapi juga sebagai sistem ekonomi yang berasaskan pelaburan, ketidakpastian dan tanggungjawab.
Apabila seseorang seniman menjual sebuah karya kepada pembeli melalui persetujuan bersama, transaksi itu bukan sekadar pertukaran wang dengan objek seni. Ia merupakan pemindahan hak milik terhadap objek fizikal karya tersebut.
Walaupun seniman kekal selama-lamanya sebagai pencipta, dengan nama, reputasi dan sejarah penciptaannya terus melekat pada karya berkenaan, pemilikan terhadap objek tersebut telah berpindah kepada individu yang memilikinya.
Di sinilah pentingnya membezakan antara hak moral dan hak pemilikan.
Hak moral memastikan identiti serta sumbangan intelektual seniman terus diiktiraf tanpa mengira siapa pemilik karya, sebaliknya, hak pemilikan memberi kuasa kepada pemilik untuk menyimpan, memelihara, meminjamkan, menjual atau mewariskan karya tersebut mengikut hak yang diperoleh melalui transaksi yang sah.
Walaupun kedua-dua bentuk hak ini saling berkait, ia tidak semestinya menghasilkan tuntutan ekonomi yang berterusan terhadap setiap transaksi selepas jualan pertama. Kekeliruan antara dua konsep inilah yang sering menjadi titik pertentangan dalam perbahasan mengenai RRR.
Lebih penting daripada itu ialah hakikat bahawa pemindahan hak milik turut membawa bersama pemindahan risiko. Dalam pasaran seni, seorang kolektor tidak membeli kepastian keuntungan. Sebaliknya, beliau membeli sesuatu yang nilainya sentiasa berubah mengikut masa, trend, reputasi dan perkembangan institusi seni.
Harga sesebuah karya mungkin meningkat berkali ganda selepas beberapa dekad, tetapi ia juga mungkin kekal tidak berubah atau bahkan merosot apabila cita rasa pasaran berubah.
Selain risiko pasaran, pemilik turut menanggung pelbagai risiko fizikal. Karya boleh rosak akibat bencana seperti banjir, kebakaran, kelembapan, serangan kulat, pencemaran, bencana alam atau proses konservasi yang tidak sempurna. Ia juga boleh hilang, dicuri atau mengalami kerosakan sewaktu proses logistik. Lain lain kos seperti penyimpanan, penyelenggaraan dan perlindungan insurans juga lazimnya ditanggung oleh pemilik dan bukan lagi oleh seniman yang menghasilkan karya tersebut.
Dalam konteks ini, keuntungan yang diperoleh apabila karya akhirnya dijual pada harga lebih tinggi sering dilihat sebagai pulangan terhadap risiko yang telah ditanggung selama bertahun-tahun. Sekiranya pasaran tidak berpihak kepada karya berkenaan, tiada mekanisme yang membolehkan kolektor menuntut semula sebahagian daripada harga yang telah dibayar kepada seniman.
Logik ekonomi ini membawa kepada satu persoalan asas: sekiranya risiko ditanggung sepenuhnya oleh pemilik selepas jualan, adakah wajar keuntungan hasil peningkatan nilai pasaran turut dikongsi secara berterusan?
Persoalan ini menjadi semakin menarik apabila melihat bagaimana nilai sesebuah karya seni sebenarnya terbentuk. Dalam imaginasi umum, peningkatan harga sering dikaitkan secara langsung dengan kehebatan seseorang seniman. Namun realitinya, pasaran seni beroperasi melalui ekosistem yang jauh lebih kompleks.
Galeri memainkan peranan membina pasaran dan memperkenalkan artis kepada kolektor. Kurator menghasilkan naratif serta konteks yang mengangkat makna karya. Pengkritik memberikan legitimasi intelektual melalui penulisan dan wacana.
Muzium serta institusi seni dan budaya mengarkibkan sejarah dan membentuk kedudukan artis dalam kanun seni. Kolektor pula menjadi pihak yang berani membeli ketika nilai karya masih belum terbukti, sekali gus menyokong perjalanan kerjaya seseorang seniman pada peringkat awal.
Kesemua peran ini menyumbang kepada pembentukan nilai pasaran. Justeru, sukar untuk menyatakan bahawa peningkatan harga sesebuah karya merupakan hasil usaha seniman semata-mata.
Pandangan ini tidak bermaksud menafikan kepentingan menjaga kebajikan seniman. Sebaliknya, ia mengalihkan fokus kepada persoalan yang lebih asas: apakah mekanisme terbaik untuk memperkukuhkan kedudukan ekonomi artis?
Ramai pemerhati berpendapat bahawa penyelesaian yang lebih lestari mungkin terletak pada pembaharuan pasaran primer, iaitu ketika karya dijual buat kali pertama.
Dalam konteks ini, seniman perlu memiliki kuasa tawar-menawar yang lebih kukuh, kontrak yang lebih seimbang dengan galeri, perlindungan hak cipta yang lebih berkesan, akses kepada institusi seni serta sokongan profesional yang membolehkan mereka menetapkan harga karya secara lebih adil sejak awal kerjaya.
Pendekatan sedemikian dilihat lebih konsisten dengan prinsip autonomi kontrak kerana ia memperbaiki struktur ekonomi yang menjadi punca kepada ketidakseimbangan pendapatan seniman, berbanding bergantung kepada mekanisme pampasan selepas karya memasuki pasaran sekunder.
Apa yang lebih penting, perbahasan mengenai RRR tidak seharusnya dilihat sebagai pertembungan antara dua kelompok yang saling bertentangan. Hubungan antara seniman dan kolektor pada hakikatnya saling bergantung dan memerlukan antara satu sama lain.
Seniman menghasilkan karya yang membentuk memori budaya sesebuah masyarakat. Kolektor pula memelihara karya tersebut, menanggung risiko pemilikannya dan dalam banyak keadaan memastikan karya terus wujud sebelum akhirnya, jika bernasib baik, dapat memasuki koleksi muzium, institusi awam atau diamanahkan kepada yayasan untuk menjaganya.
Sejarah seni dunia sendiri menunjukkan bahawa banyak karya penting masih dapat dinikmati hari ini kerana pernah dipelihara dalam koleksi persendirian sebelum menjadi sebahagian daripada warisan awam.
Oleh itu, usaha memperjuangkan kebajikan seniman tidak semestinya memerlukan pengurangan hak pemilik karya. Sebaliknya, kedua-dua pihak perlu dilihat sebagai komponen penting dalam ekosistem yang sama. Pasaran seni yang sihat bergantung kepada keseimbangan antara hak pencipta, hak pemilik, peranan galeri, institusi serta keyakinan para kolektor.
Akhirnya, persoalan yang lebih besar bukanlah siapa yang paling berhak menikmati keuntungan apabila harga sesebuah karya meningkat. Persoalan yang lebih mendasar ialah bagaimana membina sebuah ekosistem seni yang adil sejak dari awal, di mana seniman menerima ganjaran yang setimpal ketika menghasilkan karya, manakala kolektor yang mempertaruhkan modal, keyakinan dan tanggungjawab sebagai penjaga karya turut diiktiraf haknya sebagai pemilik yang sah.
Dalam sebuah ekosistem seni yang matang, nilai tidak pernah dicipta oleh seorang individu sahaja. Ia lahir daripada rangkaian kepercayaan antara pencipta, galeri, kurator, institusi, pengkritik dan kolektor.
Hanya apabila hak dan tanggungjawab semua pihak dapat difahami secara seimbang, barulah perbahasan mengenai Resale Royalty Right dapat bergerak melangkaui persoalan siapa yang memperoleh keuntungan, kepada matlamat yang lebih besar, mewujudkan pasaran seni yang lebih komprehensif, adil dan mampu menyokong perkembangan seni visual untuk jangka panjang benar benar dapat dicapai.
Dan semoga, epik di antara dua Robert; Rauschenberg dan Scull tidak perlu berulang lagi.
Teks oleh: Che Gee Pitih
