PEMILIHAN Jawatankuasa tertinggi Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) pada tahun ini yang dilihat lebih terbuka dan mengamalkan sikap kawan dalam berpersatuan. Pada awalnya terdapat ura-ura bahawa pemilihan akan melibatkan dua kumpulan yang sedang memimpin dengan kumpulan yang bersedia mencabar pimpinan sedia ada.
Bagaimanapun, isu tiga penjuru dalam merebut jawatan presiden diredakan dengan kesediaan penyandang jawatan, iaitu Datuk Zainal Abidin Borhan untuk mempertahankan jawatannya. Ini menjadikan beberapa orang yang sebelum ini bersedia untuk merebut jawatan nombor satu mengambil keputusan bertanding jawatan timbalan presiden kerana menghormati kepimpinan dan ketokohan Zainal Abidin.
Pertandingan untuk jawatan Presiden hanya melibatkan satu lawan satu. Amiruddin Ali yang sentiasa bersedia untuk memimpin GAPENA pada kali ini akan tetap mencabar jawatan Presiden. Namun demikian, Amiruddin lebih dilihat sebagai calon berkeseorangan.
Walaupun ada beberapa rakan baik beliau yang ikut menawarkan diri di peringkat jawatan lain, sebenarnya Amiruddin seperti tidak ambil peduli sangat siapa di bawah yang akan bertanding.
Amiruddin jelas sentiasa ingin memegang jawatan nombor satu GAPENA sejak dahulu. Beliau merasakan beliau layak, tetapi beberapa kali sudah tertewas sebelum ini dalam usaha merebut jawatan itu. Pemerhati percaya Amiruddin tetap Amiruddin yang gemar mencabar dan hanya berminat pada jawatan nombor satu.
Untuk jawatan timbalan presiden, Dr Mohamad Saleeh Rahamad akan mempertahankan jawatan beliau sebelum ini. Beliau sabar dengan keadaan dan status quo-nya. Mempunyai sokongan yang ramai daripada perwakilan, dan menunjukkan sikap tidak gelojoh seorang pemimpin. Beliau menghormati kepimpinan Zainal Abidin. Sikap kepimpinan dan dedikasi beliau sudah dibuktikan dalam pimpinan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Zainal Mohd Jais mengambil sikap terbuka untuk menjadi calon timbalan presiden. Beliau sebelum ini merupakan Setiausaha Agung. Kedengaran ada pihak yang mahukan beliau berada di jawatan nombor dua. Ada pelobi yang bekerja, namun Zainal masih baharu di GAPENA. Beliau baru sepenggal dan keterampilan beliau belum diuji sepenuhnya.
Calon naib presiden pula ura-uranya ada perlawanan tiga penjuru, iaitu Prof. Dr Hashim Ismail yang telah berkhidmat sebagai bendahari GAPENA sejak zaman kepimpinan Tan Sri Ismail Hussein.
Beliau calon yang natural sebagai orang akademik dan dilihat boleh berkerja dengan sesiapa sahaja.
Seorang lagi calon, khabarnya (seperti yang dikempenkan), Datuk Jasni Matlani, tokoh penulis, namun beliau masih keliru kerana yang akan dicabarnya ialah guru beliau sendiri selaku penyelia tesis beliau. Barangkali ini menyebabkan Jasni berada dalam dilema.
Malahan, ada kemungkinan perwakilan juga berdepan dengan dilema untuk memilih kerana kedua-duanya bukan saingan sebenar. Mereka mempunyai hubungan peribadi yang sangat baik dan saling menghormati.
Cuma Jasni banyak bergerak Kota Kinabalu dan sukar baginya untuk melaksanakan tanggungjawab di Kuala Lumpur.
Seorang lagi, calon setakat ini dilihat tidak akan memberikan cabaran yang besar, hanya jika bertanding, akan memecahkan sedikit undi.
Bagi calon setiausaha agung, pertembungan dijangka berlaku tiga penjuru juga. Seorang muka baru yang mungkin tidak dijangka kerana bukan dalam barisan exco tertinggi persatuan dan tidak pernah menjadi perwakilan ialah Dr. Norhayati Ab. Rahman.
Beliau merupakan penulis yang aktif dalam persatuan dan dunia akademik dan dilihat memiliki kapasiti yang sesuai kerana sudah bersara daripada perkhidmatan sebagai pensyarah di Universiti Malaya serta mudah bergerak untuk menjalankan tugas dalam persatuan.
Norhayati mempunyai kelebihan kerana sentiasa berada di Kuala Lumpur. Ini menjadi faktor kenapa beliau sangat diperlukan, malahan Norhayati sudah menunjukkan kebolehannya semasa berada dalam jawatankuasa PENA.
Seorang lagi pencabar muka baru ialah Azmi Ismail daripada Persatuan Penulis Dan Peminat Sastera Perak (PENTAS). Beliau dilihat pemerhati sebagai orang yang pandai bercakap, tetapi jawatan setiausaha perlu kerja terperinci, masa yang banyak kepada persatuan, dan dapat menulis laporan dengan baik.
Imej Azmi lebih dibaca sebagai orang yang sibuk dengan pelbagai persatuan di Perak, sentiasa banyak projek untuk dijaga, sentiasa ke sana ke sini. Ini akan mengganggu tugas utama di GAPENA yang memerlukan tumpuan sepenuhnya.
Perwakilan akan membuat pertimbangan. Dengan kesibukan Azmi, bolehkah beliau yang jauh di Perak untuk hadir setiap minggu ke GAPENA dan segera mengambil tindakan dalam pentadbiran.
Seorang lagi calon setiausaha agung belum cukup dikenali perwakilan. Demikian juga bagi calon penolong setiausaha, calon-calon akan dinilai berasaskan kesediaan mereka untuk sentiasa berupaya hadir ke mesyuarat pengurusan GAPENA yang sangat kerap berlaku setiap minggu.
Di samping itu, telah berlegar kempen yang mengatakan kebanyakan calon pimpinan GAPENA kali ini adalah daripada PENA. Tanggapan demikian mungkin ada benarnya, tetapi PENA ialah persatuan penulis nasional, dan ahlinya merata di seluruh negara sehingga Sabah dan Sarawak serta Labuan. Ini termasuk Amiruddin Ali, yang juga pernah menjadi Timbalan Presiden PENA. Bahkan, kebanyakan ahli jawatankuasa GAPENA pun merupakan ahli PENA tetapi mereka dapat membezakan status sebagai pemimpin PENA dengan status sebagai ahli PENA.
Jika disenaraikan lagi, kebanyakan Sasterawan Negara pun merupakan ahli PENA kerana persatuan itu meliputi seluruh negara dan tidak bersifat kenegerian. Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Rahman Shaari, Datuk Baharudiin Zainal (Baha Zain), Datuk Dr Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail merupakan. ahli PENA.
Sudah pasti dengan keahlian yang ramai, PENA membawa mesej yang jelas kepada misi memberikan sumbangan kepada GAPENA. Untuk itu, tiada salahnya calon-calon datang daripada ahli-ahli PENA.
Bagi jawatan tertinggi, GAPENA memerlukan mereka yang berada di sekitar Kuala Lumpur. Difahamkan GAPENA sentiasa ada mesyuarat khas kerana aktiviti yang sangat banyak perlu dibereskan. Kesanggupan calon-calon menangani masa, dan mudah dicapai adalah faktor penting dalam penentuan jawatankuasa tertingginya.
Pemilihan Jawatankuasa GAPENA pada kali ini dilihat oleh para pemerhati bahawa masih terbuka, cuma perwakilan perlu menilai kesediaan calon berkhidmat sebagai ahli pertubuhan bukan kerajaan yang tiada imbalan seperti orang korporat.
Jika hanya untuk mendapat jawatan dan kepentingan peribadi sendiri, baik lupakan menjadi calon dalam pertubuhan penulis yang bergerak demi idealisme kemanusiaan.
Badan bukan kerajaan seperti GAPENA bukan untuk yang mengejar nama, jawatan atau pangkat, mahupun imbuhan. Sementelah pula GAPENA ditubuhkan atas cita-cita murni para pejuang bangsa yang dahulunya untuk menggabungkan sikap nasionalis para penulis, budayawan, ahli akademik, sejarawan, guru, dan wartawan seluruhnya. Ahli GAPENA perlu berjiwa besar.
Apa pun yang berlaku, didoakan semua yang terlibat masih mengekalkan kewarasan, tidak melakukan kempen yang mencemari imej sesiapa, kerana semuanya berada dalam satu kelompok yang saling memerlukan.
Dunia sastera ini kecil dan kadang-kadang terpinggir. Oleh itu, sepatutnya semua pihak bersatu hati membangunkan sastera dan persuratan di negara ini, apatah lagi sekarang detik terbaik untuk membangun lantaran sokongan luar biasa daripada kerajaan Madani kepada aktiviti sastera, khususnya dengan pemberian dana yang besar kepada GAPENA pada tahun ini.
Jagalah dana yang khabarnya sebanyak RM5 juta itu dengan baik dan penuh hemah. Selepas ini belum tentu pemimpin seterusnya akan terbuka hati untuk menyalurkan dana sebesar itu kepada persatuan penulis.
– ABU BAKAR IBRAHIM merupakan pemerhati sastera bebas.
— Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis. Ia tidak mewakili pendirian pasukan editorial Senimalaya.

