“ABANG tak marah ke kalau tulisan abang kena edit?’ tanya budak editor itu. Dia mengajak kami menulis dan berjanji akan bayar mahal tetapi dia curang. Janjinya ialah satu tulisan kami nanti boleh membeli empat biji tayar kereta Kancil Kuning dengan brek Brembo kami itu setiap bulan tetapi tidak ditunaikannya.
Sementelah pula Kancil kami itu hanya ada dua brek jenama Brembo. Kami memerlukan lagi sepasang sebagai langkah keselamatan. Lalu kami pun kecewa.
Mungkin kerana dia rapat dengan ahli politik maka dia pun terikut-ikut perangai jahat mereka yang satu itu. Berjanji dan kemudian lari. Kemudian dia sampai hati menyiarkan tulisan mengenai perihal penulis (skrip) yang dibayar murah beberapa hari yang lalu.
Jenis muka tak malu.
Nanti jika kamu berhajat mahu menjemput kami menulis di mana-mana, jangan janjikan kami langit dan bumi. Cukup sekadar minta dan insyaAllah kami akan usahakan.
Mulanya kami terfikir mahu menulis mengenai Kem Foto di Lenggong anjuran kelab Foto Luarbiasa dan Balai Seni Negara tetapi kemudian kucing kami kemalangan. Lalu kami pun terfikir mahu menceritakan fasal kucing kami itu tetapi kami masih terlalu sedih untuk menulis mengenainya.
Maka kami ambil keputusan untuk menulis mengenai menulis.
Cerita kem foto dan kucing akan menyusul dalam tulisan kami yang lain, insyaAllah.
Kami bermula dengan menulis blog dan seperti apa yang sudah dirancang Tuhan, agak ramai juga membaca tulisan kami yang penuh dengan kesalahan mengeja dan susunan tata bahasa itu.
Jika kamu membaca kembali tulisan-tulisan kami yang awal, kamu sebagai orang pandai dalam hal bahasa akan sakit hati. Kamu akan mencari sebab mengapa kami ini popular dan kamu tidak dan dengki.
Kemudian kami diajak untuk menulis di Malaysiakini, portal jahat yang kerjanya adalah untuk menjatuhkan kerajaan itu.
Kami tanya editornya sama ada portal berkenaan cenderung menyokong mana-mana partai politik, dan seperti orang yang suka bertakiyah, editornya bertakiyah bahawa portal tersebut adalah sebuah portal yang bebas dari sebarang campur tangan politik. Mereka berazam untuk mewujudkan sebuah saluran di mana sedikit kebebasan diberikan kepada penulisnya dalam hal menyokong atau pun membantai apa saja yang dilihat tidak baik. Sama ada yang dilakukan oleh Kerajaan atau pun pembangkang.
Kami suka dengan takiyah mereka itu dan kami pun mula menulis di sana. Sebagai makluman, negara kita sudah bertukar perdana menteri lebih kurang lima kali dan selama itulah kami sudah menulis di sana. Lalu jangan hairan jika kami kelihatan seperti orang kaya.
Bukan sebab mereka bayar mahal tetapi sebab kami suka berpura-pura.
Dan lagi sebagai pemberitahuan, semua tulisan kami itu sedang dalam proses dibukukan. Bermula dengan artikel pertama sehingga kepada artikel yang ditulis sekitar tahun 2023 jika kami tidak silap.
Kerana tidak sangat memerlukan wang, setelah terbit buku tersebut hanya akan dijual satu tahun kemudian dengan harga yang agak mahal.
Nanti setelah buku tersebut diterbitkan dan kamu dapati bahawa ianya berada dibawah label mana-mana Kerajaan misalnya, maka kami benarkan kamu semua untuk membuat fitnah bahawa kami ini memang konco Kerajaan yang itu.

Malaysiakini banyak mengajar kami cara bagaimana mahu menulis. Atau jika kami mahu lebih jujur kami akan katakan bahawa editornya, yang kami tidak akan sebut namanya itu kerana bimbang dia akan kembang hidung, tetapi kami berjanji jika kamu minum bersama kami dan belanja Nescafe ais, kami akan beritahu nama editor itu ialah Al-Abror. Dia adalah orang yang paling sabar dan dia juga banyak memberi tunjuk ajar kepada kami cara bagaimana mahu menulis dengan betul.
Sedikit mengenai minum Nescafe ais, kami hanya minum apa sahaja minuman dalam gelas bukan jenis yang letak dalam mangkuk. Kami ini orang yang bertamadun.
Kembali kepada editor yang kami tidak mahu sebut nama tadi. Kami tahu dia sebak membaca para diatas dan merasa sangat dihargai walhal sengaja kami tulis demikian untuk mengambil hatinya.
Kami juga tahu dia ada mengumpat kami bila berbual dengan sahabat-sahabat pandai bahasanya namun kami maafkan kerana mahu dia bersama kami disorga nanti.
Hampir semua tulisan kami di Malaysiakini itu dirombak dan dijadikan lebih menarik untuk dibaca oleh sang editor tersebut dan kami berterima kasih kepada dia kerana hal tersebut.
Sebagai selingan, selama menulis di Malaysiakini, hanya sebuah artikel kami tidak dikeluarkan. Ini pun atas nasihat editornya. Dia berkata “kalau nak masuk penjara, kami siarkan”. Dan kerana takut kena jel, kami reda tulisan tersebut dibakulsampahkan.
Tugas editor diwujudkan kerana bukan semua orang adalah penulis (yang bagus). Maka menjadi tugas mereka untuk menjadikan tulisan kita lebih menarik. Hormati tugas mereka.
Pembelajaran kami di Malaysiakini juga telah memudahkan tugas editor Senimalaya. Dia tidak lagi perlu terlalu bersusah payah membetulkan tulisan kami dan dalam begitu pun, dia masih bayar kami murah.
Jenis nak untung lebih.
Kami juga tidak memberi tajuk kepada semua tulisan kami di Malaysiakini atau Senimalaya. Tugas tersebut kami serahkan kepada editornya kerana kami tahu mereka lebih arif dalam hal menarik pembaca.
Di Malaysiakini misalnya, editor akan sentiasa mencipta tajuk yang memungkinkan pembacanya bertindak balas.
Seperti yang diketahui umum, ramai di antara pembaca kita hanya membaca judul tulisan dan mula memberi komentar. Sebagai penulis kami selalu berdoa supaya mereka ini membaca dulu artikel yang kami tulis sebelum memberikan apa-apa komentar dek kerana terpedaya dengan judul-judul yang diberikan oleh editor tersebut.
Mungkin tulisan kami itu ada manfaatnya atau pun mungkin juga tidak namun jika kamu tidak membacanya kamu tidak akan tahu.
Kami juga tidak menulis penerangan diri pada mana-mana tulisan kami. Semuanya kami serahkan kepada si editor. Malu sebenarnya mahu menulis sendiri bahawa ‘Abdullahjones adalah seorang penulis dan pelukis yang paling disanjungi di dalam dunia’ misalnya.
Lalu keadaan tersebut telah membuka peluang kepada editor di kedua-dua buah portal tersebut sebagai ruang mengutuk kami. Ditulisnya segala macam keresahan yang kononnya kami alami. ‘Abdullahjones adalah seorang pelukis dan penulis yang sedang dalam kerinduan’lah, ‘Abdullahjones adalah seorang yang sukar dihubungi’lah dan sebagainya.
Walhal jika mereka bayar mahal, semalam lagi kami sudah ke kedai telefon.
Ringkasnya, sebagai penulis, kita memang memerlukan editor. Maka kita biarkan saja mereka berfoya-foya dengan tulisan kita. Biarkan mereka ralit dan terbuai dengan kekaguman diri sendiri yang merasakan bahawa merekalah yang membentuk penulis. Yang membantu penulis.
Kita biarkan mereka hanyut dalam kesesatan sementara kita meraih kekaguman awam akan arifnya kita dalam hal tulis menulis.
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang kini sedang berusaha mengumpul kekuatan untuk ditemubual di ZRA Strim.
