Dalam masyarakat hari ini, politik bukan lagi sekadar berlangsung di dewan parlimen atau ketika musim pilihan raya. Ia meresap ke dalam media sosial, perbualan harian, berita, malah membentuk cara masyarakat memahami realiti.
Sempadan antara hiburan dan politik semakin kabur apabila sesuatu isu lebih mudah menjadi tontonan berbanding ruang perbahasan yang rasional.
Pameran solo Hakeemi Samad, SARKAS: Tepuk Tangan Dulu, Fikir Kemudian, yang telah berlangsung pada 11 hingga 26 Julai yang lalu menggunakan metafora sarkas untuk mengangkat fenomena ini sebagai sebuah alegori tentang masyarakat kontemporari.

Apa yang menjadikan pameran ini menarik bukanlah semata-mata kritikannya terhadap pemerintah, tetapi keberaniannya meletakkan masyarakat sebagai sebahagian daripada sistem yang sama.
Seperti yang dinyatakan dalam artist statement, setiap individu berfungsi sebagai pelaku dan penonton dalam sebuah persembahan sosial yang dibentuk oleh hubungan kuasa, kepatuhan dan sikap sambil lewa terhadap realiti.
Dengan kata lain, Hakeemi tidak menuding jari kepada satu pihak sahaja, sebaliknya memperlihatkan bagaimana kuasa hanya dapat terus berfungsi apabila terdapat penonton yang terus bersorak, memberi perhatian dan akhirnya menerima persembahan tersebut sebagai sesuatu yang normal.
Dalam konteks ini, pameran tersebut boleh dibaca melalui pemikiran Michel Foucault yang melihat kuasa bukan sekadar dimiliki oleh pemerintah, tetapi tersebar dalam jaringan sosial melalui tingkah laku, bahasa dan disiplin harian.
Kuasa tidak sentiasa memaksa; sebaliknya ia beroperasi apabila masyarakat sendiri menerima, mengulangi dan mengesahkan struktur tersebut. Oleh itu, metafora sarkas dalam pameran ini menjadi lebih daripada sekadar sindiran politik.
Ia merupakan gambaran bagaimana masyarakat moden hidup dalam sebuah sistem persembahan yang sentiasa memerlukan pemain dan penonton untuk terus berfungsi.
Hal ini jelas dapat diperhatikan melalui karya Selipar. Pada pandangan pertama, komposisinya mengingatkan kepada The Last Supper karya Leonardo da Vinci. Namun, imej keagamaan yang sinonim dengan pengorbanan, kesetiaan dan nilai moral digantikan dengan sekumpulan ahli politik yang sedang menikmati sebuah jamuan.
Apropriasi ini bukan sekadar meminjam komposisi karya agung Renaissance, malah membalikkan makna asalnya. Jika The Last Supper memperlihatkan pengorbanan demi manusia, Selipar memaparkan sebuah jamuan yang mengisyaratkan bagaimana kepentingan politik boleh mengatasi amanah terhadap masyarakat.
Meja makan tidak lagi menjadi ruang perkongsian nilai, tetapi bertukar menjadi simbol dominasi dan perebutan kuasa.
Di hadapan meja diletakkan sepasang selipar jamban, objek harian yang menjadi pusat makna karya. Selipar, yang sentiasa berada di bawah kaki dan hanya berfungsi apabila dipijak, menjadi metafora kepada rakyat yang sering dianggap sebagai asas kepada sistem politik tetapi jarang diberikan perhatian dalam proses membuat keputusan.
Kedudukannya di luar ruang jamuan turut menegaskan jurang antara golongan pemerintah dengan masyarakat yang mereka wakili.

Penggunaan objek biasa ini mengingatkan kepada tradisi readymade dalam seni moden, di mana makna sesuatu objek berubah apabila ditempatkan dalam konteks baharu. Hakeemi memanfaatkan strategi tersebut dengan memilih objek yang begitu dekat dengan pengalaman seharian masyarakat Malaysia.
Kesederhanaan simbol ini menjadikan kritikan sosial yang dibawanya lebih mudah didekati tanpa mengorbankan kedalaman makna.
Dari sudut falsafah politik, karya ini memperlihatkan bahawa kuasa tidak pernah wujud secara mutlak. Seperti yang dihuraikan oleh Michel Foucault, kuasa sentiasa bergantung kepada hubungan sosial dan pengiktirafan masyarakat.
Jamuan yang dipaparkan dalam karya ini hanya bermakna kerana wujudnya pihak di luar meja yang terus menerima struktur tersebut.
Dalam konteks ini, Hakeemi mengajak penonton mempersoalkan bukan sahaja tingkah laku golongan elit, tetapi juga sejauh mana masyarakat sendiri menyedari peranan mereka dalam mengekalkan sistem yang dikritik.
Kekuatan Selipar terletak pada keupayaannya menggabungkan rujukan sejarah seni Barat dengan simbol tempatan yang mudah dikenali. Pertembungan antara komposisi yang bersifat sakral dan objek yang dianggap remeh menghasilkan ironi visual yang tajam serta membuka ruang kepada pelbagai tafsiran.
Walau bagaimanapun, karya ini cenderung menggambarkan rakyat sebagai entiti yang pasif melalui simbol selipar. Pendekatan ini berkesan sebagai sindiran, tetapi pada masa yang sama menyederhanakan hakikat bahawa masyarakat juga memiliki agensi untuk mencabar dan mengubah struktur kuasa.
Justeru, nilai sebenar Selipar bukan terletak pada jawapan yang diberikannya, tetapi pada persoalan yang dibangkitkan tentang hubungan antara kuasa, tanggungjawab dan kesedaran sivik.
Berbeza pula dengan Sorakan Bising, karya yang mengalihkan fokus daripada struktur politik kepada psikologi masyarakat sebagai pelaku dalam pembentukan wacana awam. Komposisinya dipenuhi figura yang bertindih dan saling berinteraksi dalam keadaan riuh, menghasilkan medan visual yang padat tanpa titik rehat.
Susunan figura yang rapat, ekspresi wajah yang berlebihan serta pergerakan yang bertumpu ke arah sorakan mewujudkan rasa sesak dan gelisah, sekali gus menghilangkan ruang untuk renungan atau pertimbangan rasional.
Pendekatan formal ini bukan sekadar membina suasana dramatik, tetapi mencerminkan keadaan masyarakat yang semakin tenggelam dalam reaksi kolektif berbanding penilaian kritis.
Di sinilah tajuk pameran, Tepuk Tangan Dulu, Fikir Kemudian, memperoleh signifikasinya. Frasa tersebut bukan sekadar sindiran terhadap tingkah laku masyarakat, tetapi mencerminkan budaya yang mengutamakan respons segera berbanding proses refleksi.
Dalam era media sosial, perhatian telah menjadi bentuk modal sosial yang menentukan apa yang dilihat penting. Justeru, sesuatu peristiwa sering memperoleh nilai bukan kerana kebenarannya, tetapi kerana keupayaannya menarik perhatian dan mencetuskan reaksi massa.
Pembacaan ini bertepatan dengan gagasan society of the spectacle oleh Guy Debord, yang menjelaskan bahawa kehidupan moden semakin dimediasi oleh imej sehingga persembahan menggantikan pengalaman sebenar.
Dalam konteks karya ini, sorakan bukan lagi sekadar tindak balas terhadap sesuatu peristiwa, tetapi menjadi sebahagian daripada mekanisme yang menghasilkan dan mengekalkan spektakel politik. Nilai sesuatu isu akhirnya diukur melalui keterlihatan (visibility) dan kadar penyebarannya, bukannya melalui kandungan atau implikasi yang dibawa.
Dari sudut falsafah, karya ini turut menggemakan pemikiran Hannah Arendt mengenai kemerosotan ruang awam (public sphere), iaitu apabila tindakan politik tidak lagi diasaskan pada pertimbangan dan dialog, sebaliknya digantikan oleh emosi kolektif dan kecenderungan mengikut arus.
Dalam keadaan sedemikian, individu kehilangan keupayaan untuk berfikir secara bebas kerana identiti mereka dibentuk oleh kelompok. Sorakan akhirnya menjadi satu bentuk kepatuhan sosial yang menghapuskan perbezaan antara pendapat peribadi dan kehendak majoriti.

Kekuatan Sorakan Bising terletak pada kemampuannya menerjemahkan fenomena sosial yang abstrak ke dalam bahasa visual yang mudah difahami tanpa kehilangan lapisan makna. Namun demikian, karya ini juga membuka ruang kepada kritikan.
Penekanannya terhadap masyarakat sebagai kumpulan yang mudah dipengaruhi berisiko menghasilkan pembacaan yang terlalu homogen, seolah-olah semua individu bertindak secara pasif dan tanpa kesedaran.
Realitinya, ruang awam sentiasa mengandungi pelbagai bentuk penentangan, perdebatan dan tindakan kritikal yang tidak semestinya tenggelam dalam sorakan massa. Walaupun begitu, penyederhanaan ini dapat difahami sebagai strategi artistik untuk menajamkan sindiran terhadap budaya politik kontemporari.
Dengan itu, Sorakan Bising tidak sekadar mengkritik kecenderungan masyarakat untuk mengikut arus, tetapi turut mengajak penonton menilai semula sejauh mana mereka sendiri menjadi sebahagian daripada spektakel yang mereka saksikan.
Dari sudut formal, penggunaan cat minyak dengan sapuan impasto yang tebal, warna-warna kusam serta distorsi figura memperkukuhkan keseluruhan naratif pameran. Teknik impasto menghasilkan permukaan yang kasar dan bertekstur, seolah-olah setiap lapisan cat membawa beban emosi yang tidak dapat disembunyikan.
Distorsi pada wajah dan tubuh manusia pula bukan sekadar pilihan estetik, tetapi menjadi gambaran kepada keadaan moral dan sosial yang turut mengalami penyimpangan.
Pilihan warna yang suram memperlihatkan suasana muram tanpa menjadikan karya kehilangan tenaga visual. Sapuan berus yang agresif menghasilkan ritma yang tidak stabil, mewujudkan rasa gelisah dalam setiap komposisi.
Dari sudut ekspresionisme, bahasa visual ini membolehkan emosi mengatasi ketepatan representasi. Penonton tidak ditawarkan gambaran realiti yang objektif, tetapi pengalaman psikologi terhadap realiti tersebut.

Walau bagaimanapun, kekuatan pameran ini juga sedikit sebanyak menjadi kelemahannya. Sebahagian besar karya menyampaikan mesej secara langsung melalui tajuk, simbol dan naratif yang mudah dikenali. Pendekatan ini menjadikan pameran mudah diakses oleh khalayak umum, namun dalam masa yang sama mengehadkan kemungkinan tafsiran yang lebih luas.
Simbol-simbol seperti selipar, hospital atau sorakan massa membawa makna yang begitu jelas sehingga ruang untuk pembacaan alternatif menjadi semakin sempit.
Dalam tradisi seni kontemporari, karya yang mampu bertahan selalunya ialah karya yang terus membuka persoalan baharu setiap kali ia ditonton. Sebaliknya, apabila mesej terlalu cepat difahami, pengalaman estetik berisiko berakhir pada peringkat pengiktirafan simbol semata-mata.
Kritikan sosial yang baik bukan sekadar menyampaikan mesej, tetapi turut mencabar cara penonton membentuk makna daripada pengalaman visual tersebut.
Namun demikian, kelemahan tersebut tidak mengurangkan kepentingan SARKAS sebagai sebuah pameran yang berjaya mengangkat persoalan politik melalui bahasa seni yang mudah didekati tanpa mengorbankan kekuatan visualnya.
Hakeemi Samad mengingatkan bahawa politik bukan hanya tentang mereka yang memegang kuasa, tetapi juga tentang masyarakat yang memilih untuk melihat, menerima atau mempersoalkan kuasa tersebut.
Dalam dunia yang semakin dipenuhi persembahan, propaganda dan budaya sensasi, persoalan paling penting yang dibangkitkan oleh pameran ini bukanlah siapa yang sedang berdiri di tengah gelanggang, tetapi sama ada kita masih sekadar menjadi penonton yang bertepuk tangan sebelum benar-benar berfikir.
Teks oleh: Hafiz Aiman

An in depth review of this SARKAS exhibition. The use of the selipar metaphor and the reference to The Last Supper in Selipar’s work is really sharp in describing the gap between the government and the people. Criticism of Sorak Noisy is also fair, reminding that society is not completely passive in the system of power being criticized. The title of this exhibition, Clap First, Think Later, is very relevant to today’s social media culture.