Pengenalan
Di Malaysia, seni rupa berbentuk medium catan dan arca ditempatkan dalam posisi yang unik dalam lanskap budaya seni tanahair. Walaupun dikenalpasti kewujudannya sebagai disiplin seni formal secara relatif masih baru yang muncul pada abad ke 20. Sejak kebelakangan ini ia sering diperkatakan menjadi sebahagian daripada seni warisan. Malah semakin dianggap sebagai sebahagian daripada warisan negara. Pengkategeorian ini menimbulkan persoalan penting berkenaan bagaimana sesebuah masyarakat membina indentiti budaya, bagaimana institusi membentuk kefahaman atau pengtakrifan umum tentang seni dan bagaimana pula warisan ditafsirkan dalam konteks pascakolonial. Perbincangan dalam penulisan ini akan meneliti dinamika atau polemik disebalik pengelasan tersebut serta mempertimbangkan implikasinya terhadap perjalanan pensejarahan seni di Malaysia merangkumi dasar kebudayaan dan amalan seni masa kini.
Seni Tradisional dalam Konteks Pembatasan Sejarah
Umum mengetahui sejarah seni Malaysia telah membezakan antara bentuk seni tradisional, moden dan kontemporari. Oleh itu, dalam kerangka ini istilah seni tradisional lazimnya dikaitkan dengan amalan pramoden yang bersandarkan praktis komuniti seperti ukiran kayu, ayaman misalnya songket, kerja logam, seramik, wayang kulit dan ritual berbentuk persembahan. Kepelbagaian bentuk seni muncul secara organik daripada konteks budaya masyarakat peribumi yang mendiami lingkungan Asia Tenggara.
Sebaliknya, seni lukis dan seni arca memasuki ruang budaya Malaysia sebagai sebahagian daripada model akademik seni Barat, yang diperkenalkan melalui pendidikan kolonial dan kemudiannya dimantapkan oleh institusi seni tempatan. Manakala perintis awal seperti Datuk Syed Ahmad Jamal, Redza Piyadasa, Yeoh Jin Ling mendapat pendidikan institusi seni Barat. Mereka menerapkan idea saduran karya-karya Barat dalam konteks tempatan. Oleh itu, boleh dipersetuji bahawa “seni halus” di Malaysia terjalin dengan modernisme global, hibriditi serantau, dan pengaruh kolonial. Kuasa-kuasa Barat seperti Belanda, British, Perancis telah menyalurkan seni dan budaya mereka sewaktu menjajah rantau ini dapat diperhatikan pengaruh dalam pendidikan dan pinjaman budaya ini dalam bentuk seni bina, pakaian dan makanan.
Sebelum Malaysia memperoleh kemerdekaan penubuhan Nanyang Academy of Fine Arts (NAFA) pada 1938 berperanan membawa ideologi pendidikan seni Barat ke rantau ini. Seterusnya penubuhan pada tahun 1959, Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) atau sebelum ini dikenali sebagai Specialist Teachers’ Training Institute (STTI) dikenali sebagai pusat melatih bakal guru yang mengikuti kursus Seni Lukis dan Pertukangan sebelum berkhidmat di sekolah serata tanahair. Seterusnya penubuhan Kajian Seni Lukis dan Seni Bina pada 1967 di bawah penubuhan Institut Teknologi MARA (UiTM) telah membuka Jabatan Seni Halus dan Jabatan Seni Reka Tiga Dimensi bertempat di Petaling Jaya, Selangor.

Selain itu, terdapat juga inisiatif dari pendidikan tidak formal bersifat mentorship atau seniman yang bergerak secara berkumpulan. Wednesday Art Group (WAG) yang digagaskan oleh Peter Harris di Kuala Lumpur sekitar awal 1950, Kemudian pada tahun 1956 Datuk Mohd. Hoessin Enas menubuhkan Angkatan Pelukis Semenanjung(APS) yang menghimpunkan pelukis Melayu di Kuala Lumpur. Seterusnya pada tahun 1974, Latiff Mohidin telah menubuhkan kumpulan Anak Alam yang terdiri daripada pelukis, penulis, pemuisi dan teater. Sekitar 1990, tertubuhnya kumpulan Matahati yang dianggotai oleh graduan UiTM iaitu Ahmad Shukri Mohamed, Ahmad Fuad Osman, Bayu Utomo Radjikin, Hamir Soib dan Masnoor Ramli. Komuniti seniman Rumah Air Panas (RAP) yang diasaskan oleh oleh Liew KungYu, Phuah Chin Kok pada 1997. Matahati dan RAP adalah kumpulan seni yang ekslusif satu ethnik tertentu yang bergiat aktif sekitar 1990an di Lembah Klang kini telah terbubar.
Perkembangan seterusnya, kumpulan Lostgens ditubuhkan oleh Yeoh Lian Heng dan Tsuji Lam pada 2004. Kumpulan ini kuat dengan kegiatan politikal seperti gerakan Reformasi dan Bersih. Mereka menganjurkan siri festival ‘nothatBalai’ yang menolak master narrative di Malaysia. Sikap mereka bersifat underground dan propaganda dan anti-establishment. Seterusnya penubuhan Satu: Creative Collective pada 2008 yang diilhamkan oleh Dr. Elias Yamani Ismail dan Isnian Ibrahim pada 2008 sebuah pelantar seni yang bukan ekslusif. Mereka telah berjaya memperkenalkan seramai 66 orang pengkarya dalam siri pameran yang didirikan secara mandiri. Satu: Creative Collective turut mengadakan banyak kerjasama dengan institusi seni dan kebudayaan antarabangsa untuk membawa artis luar negara dalam mengembangkan ilmu dan pengetahuan kepada pengiat seni tempatan. Satu: Creative Collective juga berjaya mengangkat apresiasi terhadap tulisan jawi dan seni khat siri pameran ‘Nuqtah’ buat pertama kali dalam konteks berpameran dalam galeri di Malaysia.
Pangrok Sulap pula ditubuhkan pada tahun 2013, kumpulan artis kelahiran negeri Sabah yang bertapak di Sabah. Matlamat mereka adalah untuk memperjuangkan isu-isu masyarakat ‘kenegerian’ dari Sabah dalam karya yang rigid kepada bentuk seni cetak. Hari ini kumpulan atau persatuan seni telah dianggap ‘passay’ (Dari bahasa Perancis “passé” – tidak lagi kelihatan bergaya) kerana ia tidak berjaya memberi impak sebenar. Dalam membentuk satu gagasan atau idealisme seni yang konkrit. Malah hari ini pengiat seni beranggapan kumpulan atau persatuan tidak lagi relevan. Mereka lebih selesa berkerjasama dengan galeri swasta yang mereka rasakan beroleh pulangan dengan hasil jualan karya-karya.

Menelusuri perspektif sejarah, seni lukis dan seni arca tidak boleh langsung dikategorikan sebagai seni tradisional Malaysia. Ini kerana salahsilah dan genealogi sifatnya adalah moden malah terlalu asing dengan seni warisan di rantau ini. Amalan pedegogi, teknik dan asas konseptualnya mencerminkan ideologi moden dan pascakolonial. Ia bercanggah dengan amalan pra kolonial atau adat yang diwarisi masyarakat yang mendiami dunia Melayu. Keperhatinan kerjaaan melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada tahun 1987 berusaha mengangkat hasil kerja tangan Adiguru dalam memelihara kemahiran dan kesenian kraf tangan tempatan ke arah kelestarian industri kraf negara.
Menurut takrif “kerjaan” Adiguru adalah pengusaha kraf yang mempunyai tahap kepakaran tinggi dalam bidang penciptaan dan ketukangan produk kraf yang mempunyai identiti tempatan. Hal ini agak mengelirukan apabila Adiguru diklasifikasikan sebagai “pengusaha kraf” dan mereka menghasilkan “produk kraf”? Adakah Adiguru kita adalah seorang peniaga atau usahawan? Ia mengelirukan menjadi polemik apabila seorang artis menghasilkan karya berbentuk catan atau arca pula dinobatkan sebagai Adiguru padahal hasil tersebut tidak langsung dengan warisan atau budaya di rantau ini!
Politik Legitimasi Budaya Identiti dan Warisan
Namun begitu, seni lukis dan seni arca sering diletakkan di bawah payung “warisan”. Hal ini berlaku kerana warisan bukan semata-mata soal usia sejarah, tetapi berkaitan nilai, makna, dan pengiktirafan institusi. Sesuatu objek budaya menjadi warisan apabila ia dianggap layak dipelihara untuk generasi akan datang. Sebagai contoh dalam konteks ini adalah dengan pemberian pengiktirafan kepada pelukis Aris Aziz sebagai Adiguru Seni Halus pada tahun lalu Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Manakala pengarca Raja Shariman telah dinobatkan sebagai Adiguru Arca Besi yang mendapat endorsemen daripada kerajaan negeri Perak melalui agensi Perak Tourism. Pelukis Ismail Embong juga telah dianugerahkan gelaran Pelukis Negara kerana berjaya mengangkat bidang seni ini sebagai berkepentingan kepada negara. Mereka seharusnya diiktiraf Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dalam mewariskan ilmu dan kemahiran kepada generasi muda.

Di Malaysia, merangka seni lukis dan seni arca sebagai warisan berfungsi dalam ruang strategi yang luas. Sebagai simbol kreativi negara ia boleh diangkat melalui beberapa kaedah:
- Pembinaan negara: Selepas negara memperoleh kemerdekaan, negara berusaha membina identiti budaya yang berupaya menyatukan kita semua. Institusi budaya mengukuhkan kesepaduan nasional serta mengesahkan naratif kesinambungan seni. Dengan usaha memposisikan seni halus sebagai sebahagian daripada kesinambungan budaya Malaysia.
- Legitimasi budaya: Memberi gambaran seni rupa sebagai sisi tradisional yang menyumbang kepada legitimasi institusi dan persepsi awam terhadapnya. Memposisikan seni halus Malaysia bukan sebagai import kolonial, tetapi sebagai lanjutan semula jadi kreasi ekspresi tempatan.
- Pemeliharaan dan dasar: Klasifikasi warisan membenarkan usaha pemuliharaan, pembiayaan, pengarkiban muzium, dan penglibatan akademik. Apabila seni lukis dan seni arca dilihat sebagai warisan, maka ia mendapat manfaat daripada perlindungan undang-undang dan sokongan institusi daripada pihak kerajaan.
- Persepsi awam: Bagi masyarakat umum pula, seni halus sering kelihatan klasikal atau seperti “barangan muzium,” lalu dianggap sebagai “tradisional.” Persepsi ini mengukuhkan anggapan bahawa seni lukis dan seni arca mempunyai nilai budaya yang lama, walaupun sejarah sebenar disiplin ini tidaklah sedemikian malah ia masih baharu dan bergerak mengikut perkembang kemodenan.
Ketegangan dalam Proses “Pentradisionalan”
Namun, penilaian semula ini tidak datang tanpa keterbatasan. Apabila seni rupa dilabelkan sebagai “tradisional,” maka beberapa isu akan timbul:
- Mengikat sifat kemodenan: Akar modernis seni halus seharusnya bergerak dinamik dengan keterlibatannya dengan gerakan global, perjuangan politik, dan estetika serantau. Berkemungkinan menjadi kabur dan tersisih. Pengelasan bentuk seni ini sebagai “tradisional” telah meringkaskan tradisi sejarahnya yang tersendiri dalam aspek rundingan dan penyesuaian budaya yang lebih kompleks.
- Menghadkan inovasi: Status warisan kadangkala membekukan bentuk seni dalam andaian gaya, ketetapan bentuk atau jangkaan tertentu. Seniman yang berkarya dalam medium tidak tradisional misalnya instalasi, persembahan, seni digital, atau amalan sosial atau cabahan bentuk baharu akan datang. Karya-karya sebegini mungkin terpinggir kerana ia tidak mudah dimasukkan dalam kategori berasaskan warisan yang lebih mudah diraikan oleh institusi dinaungi kerajaan.
- Melenyapkan sifat dan potensi hibrid: Seni rupa di Malaysia merupakan bentuk bricolage budaya, dibentuk oleh budaya seni serantau yang kaya dengan ilmu alam serta kearifan tempatan yang boleh dimanfaatkan dan memberi suntikan baharu dalam pengkaryaan oleh seniman disini. Percampuran dan gabungjalin dengan modernisme Barat berupaya menghasilkan kreativiti, nuansa dan lonjakan idea. Menyederhanakannya sebagai tradisional boleh menghapuskan asas silang budaya yang menjadikan seni Malaysia unik.
- Pengawalan institusi: Apabila naratif warisan diperkuat, institusi kerajaan bertindak menentukan apa yang dianggap sebagai “seni kebangsaan” berdasarkan definisi konservatif. Ini boleh melambatkan penerimaan bentuk seni terkini serta bahasa seni yang lebih baharu dan eksperimental.
Oleh demikian, walaupun kerangka warisan tersebut menawarkan kelebihan daripada segi pemeliharaan dan legitimasi budaya, ia juga membawa risiko menjumudkan malah membatutkan kepelbagaian seni dan persoalan kerumitan sejarah.
Pandangan yang Lebih Bernuansa: Warisan Berdasarkan Nilai, Bukan Asal-Usul
Pendekatan yang lebih produktif ialah membezakan antara ‘warisan’dan‘tradisi’. Seni lukis dan Seni arca dalam konteks di Malaysia:
• bukan berasal dari tradisi, tetapi
• telah menjadi warisan melalui kepentingan budaya, pengiktirafan institusi, dan naratif nasional yang ditegaskan oleh pihak kerajaan.
Oleh sebab itu, perspektif ini mengakui asas moden sambil itu menghormati kepentingan aspek pada masa kini. Ia membolehkan bentuk-bentuk seni ini dihargai bukan kerana sifatnya kuno, tetapi kerana ia “bermakna”. Ia adalah tanda perjalanan kreatif sesebuah negara yang mencerminkan perubahan sosial, pembentukan identiti, dan evolusi estetik.
Dalam erti kata lain, seni lukis dan seni arca adalah “warisan berdasarkan nilai”, bukan tradisi berdasarkan kronologi. Dalan konteks di Malaysia bentuk yang dihasilkan dalam seni halus telah “ditradisikan” oleh institusi negara dan bukanlah “tradisional”.
Penutup
Sebagai rumusan secara terbuka pengkelasan lukisan dan arca di Malaysia sebagai “tradisional” dan “warisan” mencerminkan “interaksi dinamik antara sejarah, identiti, dan naratif institusi”. Ia menandakan usaha Malaysia untuk menempatkan amalan seni moden dalam kerangka budaya yang lebih mendalam. Walaupun ini dapat memperkayakan identiti kebangsaan dan menyokong pemeliharaan, ia juga “memerlukan penglibatan kritikal” yang berterusan untuk mengelakkan penyederhanaan sejarah dan memastikan inovasi kontemporari tetap hidup.
Akhirnya, “kekuatan seni Malaysia terletak pada potensi hibriditinya”,keupayaannya untuk menggabungkan budaya “bricolage”, penerapan kearifan tempatan, kreasi atau eksperimen modenis, dan keprihatinan kontemporari menjadi satu ekspresi budaya yang pelbagai. Mengiktiraf kompleksiti ini membolehkan warisan difahami bukan sebagai kategori tetap, tetapi sebagai kesinambunagan atau lestari budaya yang hidup. Ia malar segar yang terus berkembang selaras dengan lanskap seni rupa Malaysia.
