HAL pelukis meniru karya pelukis lain tidak selalu kita dengar terutama di daerah seni sekecil Lembah Kelang ini yang sekelumit penghuninya bergelar seniman, tidak sampai ribuan.
Namun, saya amat terkejut membaca keluaran terbaru portal Seni Malaya perihal karya pelukis tersohor Yusuf Ghani diciplak oleh pelukis berasal dari Jerman.
Nah, memang janggal sungguh kalau pelukis Malaysia menjadi mangsa plagiarisme pelukis luar negara.
Apakah kematangan senirupa kita sudah cukup ranum, mencecah tahap populariti seni global lalu menjadi umpan kegemaran industri kapitalisme ini? Tanya benak saya.
Lalu saya menghubungi teman kolektor saya saudara Pakhruddin Sulaiman, seorang pengumpul lukisan yang tegar dan dihormati untuk mendapat kepastian kerana salah satu karya yang diciplak itu adalah dari rujukan karya asal pelukis tersohor Yusof Ghani (Siri Tari) yang di dalam simpanan koleksi beliau (Pakhruddin) sejak awal tahun 90an.
Bukan satu menurut Pakhruddin, malah sekitar dua puluh lapan karya-karya Yusof Ghani diciplak dan diterbitkan oleh pelukis ini di dalam sebuah buku.
Biar betul? Kini saya bertanya tanpa mengharap sebarang kepastian kerana berita ini terlalu sensasi untuk dimusykili.
Saudara Pakha (nama panggilan dikalangan teman-teman) tidak lokek menawar maklumat bagaimana beliau begitu pasti berita ini bukan palsu sambil berkongsi posting-posting Instagram beliau dengan saya.
Sebagai seorang peguam yang matang yang mengendalikan firma guaman beliau sendiri, Pakha amat berhati-hati dengan setiap kenyataan yang diberi.
Joachim Haupt seorang pelukis berasal dari Jerman pernah menetap di Malaysia telah mengkompilasikan koleksi karya-karya beliau dalam sebuah buku bertajuk ‘The Shine of Magic’.
Anehnya nama Joachim Haupt sebagai saorang pelukis tidak pernah saya dengar sepanjang penglibatan saya di dalam dunia senirupa apatah lagi mengenali atau melihat karya-karya beliau di sebarang pameran.
Melalui bacaan di portal Seni Malaya saya mendapati balu beliau yang berkerakyaatan Malaysia, masih dalam usaha menjual karya-karya mendiang suaminya di pasaran tertutup di sini dan yang anehnya tidak kurang juga terdapat nama-nama kenamaan yg menjadi pembeli karya-karya beliau.
Malam tadi setelah mentelaah karya-karya yang diciplak termasuk juga karya-karya ‘Siri Tari’ Yusof Ghani yang telah ditukar menjadi judul baru seperti ‘Movement into the Millennium’ dan ‘Mother and Child’ saya merasa mual dan meluat kerana sebagai pelukis saya tidak boleh sama sekali menerima bagaimana seorang yang menganggap dirinya pelukis tergamak menciplak karya pelukis lain tanpa rasa bersalah.
Tambah lagi tajuk-tajuk lain yang diganti seperti ‘The Faces’ dan ‘Faces in the Rainforrest’ masih kuat merujuk kepada karya asal ‘Siri Topeng’ Yusof Ghani yang bersubjekkan muka-muka.
Saya cuba beralas untuk memahami motif utama (jika ada) mengapa Joachim Haupt meniru tapi kalau peniruannya sememangnya sangat memiripi karya asal (Yusof Ghani), maka segala isi peti rasional pemikiran saya ke laut. Bagi saya yang tenggelam bukan saja originaliti, tapi moral, integriti dan harga diri pelukis sendiri.
Walau apa pun tujuan Haupt disebalik usaha nekad ini ternyata melanggar batas moral seorang pengkarya.
Semoga berita sensasi ini menjadi tauladan kepada kita sebagai pengkarya dengan mendakap iktibar, menghormati kerja seni sebagai tebing maruah diri pelukis.
Sure, imitation is a form of flattery but also an exposure of insecurity and lack of creative abilities.

Thank you for delivering inspiring content about an extraordinary painter and creative expression.
https://kesyah88888.bcz.com/