AMBO tak pernah ada niat nak jadi pelawak. Sungguh. Ini benar bukan “belawok”. Ambo cuma dari budak lagi suka bergurau. Suka buat kelakar. Dikalangan kawan-kawan ambo terkenal dengan kelakar(nakal). Nakal(kelakar)tak sama dengan nakal yang ada dalam kamus Dewan Bahasa.Walaupun ambo ada juga sikit sikit nakal dalam kamus tu.
Sama juga dalam dialek Kelantan antara berlawak dengan belawok juga tak sama. Berlawak (buat kelakar) manakala belawok adalah berbohong. Walau pun berlawak juga ada berbohong tapi berbohong bukan tujuan untuk orang percaya. Hanya untuk orang suka(terhibur).Bohong(belawok)sememangnya untuk orang percaya. Itu bezanya.
Lawak pertama ambo dipentas pada usia dua belas tahun, darjah enam. Pada malam pesta di sekolah sempena perasmian sekolah baru (Sekolah Rendah Dato Hashim) diadakan persembahan pentas. Tiga malam berturut-turut dengan bermacam hiburan pentas. Ada dikir barat, ada persembahan nyanyi oleh artis tempatan. Rafi Husin yang baru dapat jolokan Elvis Presly Kelantan buat persembahan. Dia masih belasan tahun.
Dan malam kemuncak pertandingan drama antara sekolah sekolah. Sekolah Menengah Atas, Sekolah Menengah Rendah dan Sekolah Rendah. Oleh kerana sekolah kami tuan rumah maka cikgu Wan Yususf suruh ambo buat satu drama mewakili sekolah kami dalam kategori Sekolah Rendah.
Sebenarnya kami tidak buat drama. Kami tak tahu macam mana nak buat. Tak pernah tengok pun drama pentas. Pada malam itu ambo dengan lima lagi kawan buat lawak jenaka. Rujukan kami ada lah lawak kumpulan Wak Sir yang cukup tersohor di Kelantan.
Maka oleh kerana tiada sekolah rendah lain yang hantar wakil dalam kategori itu. Sekolah kami lah johan pada malam itu. Jun 1973 , itu tarikh keramat pertama kali naik pentas dan dapat tropi. Tapi malangnya salah seorang dari kawan kami tak dapat tropi. Rupanya pada malam itu baru ambo tahu bila baca ada tulisan pada tepi bawah tropi itu tertulis “ pertandingan drama kategori sekolah rendah terbatas pada lima pelakon sahaja”. Kesian Zanudin Yakob. . Ambo, Dolah Siam, Ali Jeba, Husni Apek dan Mat Din Pit dapat bawa balik tropi kejuaraan.
Ambo belajar satu perkara dari kejadian ni. Sebelum masuk apa apa pertandingan kena ambil tahu dulu tentang syarat, peraturan dan apa apa terma yang kehendaki penganjur.

Masuk tingkatan satu ambo masuk lagi pertandingan bakat sekolah. Sekolah Menengah Pengkalan Chepa. Satu-satunya kumpulan lawak yang bertanding. kebanyakkannya menyanyi. Ada juga tarian dan drama pendek. Kumpulan lawak ambo johan mengalahkan sembilan finalis lain yang semuanya menyanyi. Ambo juga terus popular di sekolah menengah. Tingkatan satu hingga lima kenal. Tahun seterusnya ambo menang lagi. Salah seorang anggota kumpulan bertukar.
Kemudiannya Cikgu Omar Pendek orang Pulau Pinang yang mengajar seni perusahaan bawa borang bakat tv RTM. Dia nak ambo partner dengan dia. Aduuuu. Ambo tak berani.. bayangkan kalau ambo masuk dan layak mewakili negeri Kelantan ke Angkasapuri..Ambo adalah pelawak paling muda dalam sejarah. Bayangkan pula kalau jadi juara tahun 1975, ertinya ambo kalahkan AR Badul dan R Jaafar yang juara Bakat TV tahun itu.. hahahha. Bayangkan.
Ambo belajar dari kejadian ini, kalau belum sampai masanya jangan kita cuba. Kalau betul kita mampu dan berhasrat akan sampai waktunya. Tuhan telah tulis.
Tahun 1987, ambo pertama kali muncul di Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang waktu itu masih nama Syy… Zakaria Ariffin yang tulis skrip bertajuk Cermin Gelap. Waktu tu nama nama pelakon siri itu sudah sangat popular. Ambo beruntung kerana masuk dalam siri yang tengah meletup. Bayangkan, pada satu petang ambo tunggu bas depan Bangkok Bank nak balik Ampang. Sewaktu berdiri depan pintu bas sementara tunggu orang semua turun, ada dua mamat yang tengok dan gelak gelakkan ambo. Menyirap darah ambo. Ambo tunggu. Sebelum dia melangkah turun dari tangga terakhir bas, ambo terus tanya.. “kau gelak gelak ni nak apa?”. Orang ramai keliling ambo tak peduli.
Salah seorang daripada budak berdua tu senyum .. “maaf lah.. saya tengok Syyy semalam. Betulkan awak?”. Ambo diam. Baru sedar bahawa ambo dah masuk tv. Dia sambung lagi “garang betul, macam dalam tv jugak”.. ambo hanya mampu senyum dan angguk angguk kecil. Ambo belajar satu perkara, ambo kena banyak berubah kalu nak jadi artis.
Tahun 1990 ambo dah kekal dalam Pi Mai Pi Mai Tamg Tu(PMPMTT). Imuda dan Ahmad Busu dah banyak cari makan buat lawak pentas. Tak putus show pada hujung minggu. Ambo tak berani. Sitcom PMPMTT lain. Ada skrip dan latihan. Ambo orang teater. Bukan datang dari pertandingan lawak. Jadi sepanjang dua tahun setelah popular nama Wan Semail Golok di tv banyaklah jemputan melawak dipentas. Ambo mengelak jer. Kalau promoter minta tarikh 20 haribulan di Melaka.. ambo akan jawab tarikh tu ambo ada show di Kuantan. Begitulah. Rupa-rupanya dikalangan promoter tahu bahawa Sabri ni laku sangat. Makinlah dia orang cuba.
Ambo tetap takut untuk berlawak. Takut tak jadi.
Satu ketika , Pak Busu (Mohamad Andullah) ajak ambo jadi partnernya berlawak di Panggung Anniversary Tasik Perdana, ambo ikut. Kesian dia, tak ada partner. Dia juga rupanya baru nak try lawak pentas.
Pada malam itu kami pun berlawaklah. Penonton menjerit melaung nama Wan Ismail Golok. Baru saya rasa nikmatnya buat show. Apa saja yang keluar dari mulut mereka gelak. Pak Busu feeder, ambo killer. Masa berlalu tanpa kita peduli. Lama-lama dah habis modal. Segala lawak-lawak di kampung, di sekolah dengan kawan-kawan habis keluar. Dari geger orang gelak hingga senyap. Tiba-tiba ambo dengar laungan yang kuat jugalah..“hoii.. dah lah tu. Ramlah Ram lah pulak”
Tersentak. Baru sedar bahawa berdiri tiga budak muda yang melaung tu betul betul depan pentas. Ambo paling belakang dan nampak pengacara ND Lala sambil duduk bagi isyarat tamatkan show. Agaknya dah berapa lama dia duduk situ. Ambo mengadap budak bertiga tadi dan berkata seolah pengacara “ok , baiklah kita berhibur dengan Ramlah Rammmmm”.. semua bertepuk dan ambo dengan Pak Busu berlari masuk. Bayangkan, apa yang ambo takut selama dua tahun benar-benar berlaku pada kali pertama ambo buat.. dari peristiwa ambo belajar tentang pengurusan masa. Kalau penganjur minta 30 minit show, kita habiskan dalam masa 25 minit. Ambo juga belajar, kita kena tahu keresahan penonton. Kena baca semua tu.
Selepas kejadian itu ambo tak lagi gagal atas pentas.
Cuma sekali lagi tahun 1996 di Tokyo. Ambo bersama Ahmad Busu dibayar untuk berlawak di Jepun. Apabila dapat tawaran oleh Kelab UMNO Jepun, Bob Lokman nak ikut. Dia bayar sendiri tambang. Kami bertigalah ke sana.

Show pada hari Sabtu petang. Masa tu di Jepun ni pukul lima petang dah malam. Musim sejuk dah masuk. Kami tak dapat pergi sehari sebelum kerana hari Jumaat tu rakaman PMPMTT. Jadi pagi Sabtu jadual terbang kami. Malangnya pagi Sabtu tu hujan lebat dari subuh lagi. Semua jalan di KL jem teruk termasuklah ke Subang Airport. Semua penerbangan hari itu tertunda. Flight kami sepatutnya jam lapan tertunda ke pukul 12.30. Kami sampai airport pun jam 10 lebih.
Dengan itu lewatlah kami sampai di Narita Internasional Airport. Dari situ dekat dua jam pula ke Tokyo naik keretapi laju. Sampai di dewan persembahan majlis dah habis. Baru pukul sembilan malam.
Kebetulan malam esoknya masih ada satu lagi makan malam yang lebih besar. Makan malam pelajar pelajar Malaysia di Jepun. Kami diselitkan ke majlis itu. Ambo ajak Bob Lokman berlawak bersama. Dia tak nak. Tak pernah buat. Ambo kata bukan orang kenal pun. Akhirnya dia setuju.
Malam itu lawak kami tak kedengaran gelak penonton. Muka masing masing ketat. Saya dapat rasakan mereka tak setuju kami menyelit di acara mereka. Pelajar cina dan india bukan peduli pun program tv Malaysia. Ya.. itulah kali pertama orang tak gelak dari awal lagi. Masa perkenalkan kami pun tak ada tepuk tangan. Dari situ kami dah boleh agak apa akan jadi.
Apa pun ambo bangga, ambo dan Ahmad Busu orang yang perkenalkan Bob Lokman pada dunia lawak. Ambo dapat belajar dari kejadian ini bahawa jangan cuba berlawak di tempat orang tak kenal kita. Lawak ni asasnya gurau. Kita tak boleh bergurau sesuka hati dengan orang yang kita tak kenal.

Ambo juga pernah ikut program RTM dengan TV Indonesia. Pernah ke Jogjakarta dan ke Ujung Pandang, Sulawesi. 1994 selepas sebulan Gunung Merapi meletus rombongan kami tiba Jogja. Dari tingkap kapal terbang masa nak mendarat kami dapat tengok kesan di kemuncak gunung.
Pasangan lawak ambo ialah Jamali Shadat. Kami berlawak denga dua lagi pelawak tempatan. Ini pun susah juga nak lawak. Dia orang nak makan kita jer.
Dia nak kenakan Jamali Shadat dengan lawaknya nak ajak Jamali makan debu gunung berapi. Penonton mereka gelak besar. Ambo segera potong. Ambo kata begini, “kita akan makan sekiranya ia adalah makanan orang Jogjakarta.. memang kita berniat nak rasa makanan tradisi orang sini”. Pelawak itu gelak dan tak jawab apa-apa. Gelak penonton masih dengar lagi. Ambo nampak wajah lega Wak Jamali yang dah jem pada awalnya.
Manakala dua tahun kemudian di Sulawesi, ambo berlawak dengan pelawak perempuan. Badan gemuk. Dia terkenal dengan lawak dialeknya Bugisnya. Sama dengan ambo dengan dialek Kelantan lah. Maka dipesan oleh penerbit tv Indonesia supaya dia guna bahasa Indonesia standard.
Tak sampai sepuluh patah dia terus guna dialek Bugisnya. Agaknya dia lebih selesa. Melopong ambo. Penonton dia gelak habis-habisan. Umpama dia seorang sahaja berlawak. Ambo tak boleh nak mencelah.
Tiba-tiba ambo dengar suara satu kelompok laung dalam dialek Kelantan. Wauu ambo rasa seolah -olah Allah segera hantar orang Kelantan ke dalam auditorium itu. Apa lagi, ambo hadap ke arah kelompok tu dah cakap Kelantan laju tak ada koma apa lagi noktah. Tak nak bagi ruang untuk nyonya tu mencelah. Puas hati ambo.
Lepas show baru ambo tahu bahawa dalam program RTM dan TVI ini ada program lain juga diatur. Di bawah kementerian Datuk Mustafa Mohammad dibawa sekelompak orang Kelantan ikut program tersebut. Alhamdulliah.
Dari kejadian di situ ambo belajar bahawa lawak ni memang bersifat lokal. Orang lokal lebih dekat dengan dialek mereka. Dan lebih mesra dengan orang yang mereka kenal dan biasa.
Apa pun ambo dapat iktibar dari beberapa kejadian pada lawak lawak pertama.
Sangat penting pergi dengan angin daripada langsung tak berangin.
– SABRI YUNUS merupakan seorang pengarah dan pelakon yang sering menampilkan kesenian dan kebudayaan Kelantan dalam karyanya.


Pokya Concodei pn lawak yang tak dibuat2 sebenarnya..sebab sebutan dia memang gitu..mcm sebutan lain seperti Menate..orang salah sebuat jadi menate