KETIKA melangkah masuk ke Ruang Event Space di Seksyen 16 Shah Alam, lokasi berlangsungnya PAWANA 2024, atau “Pasar Komik Bawah Tanah 2024,” saya teringatkan kunjungan saya ke Pasar Komik di London 30 tahun lalu pada 28 Januari 1995 di Westminster Central Hall. Pengalaman mengunjungi pasar komik itu telah saya rakamkan dalam rencana berjudul “Pasar Komik di London” yang disiarkan dalam majalah Dewan Budaya keluaran April 1995 dan kemudiannya terbit dalam buku saya Kartun dan Kartunis (Univision Press, 1999: 37-42).
Saya memulakan rencana itu dengan menulis: “Apa-apa saja yang anda mahu tentang komik, semuanya dapat dibeli dari pasar komik London yang berlangsung pada 28 Januari 1995 lalu di Westminster Central Hall. Bermula dari pukul 11.00 pagi ketika pintu dewan dibuka, hinggalah ke pukul 4.00 petang, para peminat komik daripada segala lapisan, kanak-kanak, orang dewasa, perempuan dan lelaki tidak putus-putus mengunjunginya. Ini adalah bukti bahawa budaya popular ini memiliki tempat yang istimewa di kalangan masyarakat Barat” (1999: 37).
Saya akhiri rencana itu begini: “Semangat dan kaedah pengurusan dunia komik di Barat seperti ini perlu dikaji, dinilai, dan diteladani jika sesuai, untuk terus membangunkan dunia komik tempatan. Pastinya suatu hari nanti kita mampu mengunjungi sebuah pasar komik besar di Kuala Lumpur yang menjulang dan memperdagangkan komik-komik klasik karyawan tempatan seperti Saidin Yahya, Osman Kangkong, K. Bali, Halim Teh, Raja Hamzah, Jaafar Taib dan Lat dengan cerita-cerita lagenda dan wira budaya seperti Tuah dan Jebat segandingan dengan wira-wira komik Barat” (Ibid: 41).
Membaca kembali tulisan saya itu, “suatu hari nanti” yang saya maksudkan itu sudah pun berlaku, bukan hanya sekarang, malahan sudah berlaku beberapa tahun kebelakangan ini. Hal ini dilihat menerusi penganjuran pelbagai acara komik setiap tahun, malahan setiap bulan dan hampir setiap minggu. Ini merupakan suatu perkembangan positif, baik untuk seniman dan industri kreatif, khususnya penggiat komik, kartun dan karikatur. Ketika di London pada tahun 1995 itu, saya memang terfikir, mungkinkah Pasar Komik seperti ini diadakan di Malaysia suatu hari nanti?

Hal ini sudah terjawab, malahan pada 14 dan 15 Disember 2024 yang baru lalu, telah berlangsung Pasar Bawah Tanah atau PAWANA 2024 yang menumpukan kepada komik-komik alternatif atau “komik-komik bawah tanah,” iaitu “underground comics.” Jelasnya, di negara kita, bukan hanya komik arus perdana yang diraikan, malahan komik alternatif atau komik terbit kendiri juga semakin mendapat perhatian, sementelahan semakin ramai karyawan komik yang menerbitkan komik sendiri pada masa kini.
PAWANA 2024 dianjurkan oleh Ba-C Mente Studio yang dimiliki pelukis komik Burhanuddin Sarji dengan sokongan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan 2024 (GSSK 2024), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Di samping karyawan komik tempatan seperti Gayour, Imran Marsad, Mohd Boy Ilham, Topek, Mohd Aggx Azizi, Khairur Rizal Ayong, Adi Nazri, Aku Napie, Rehan Rhapsody, dan Mior Azhar Sako Plus, pasar komik dua hari itu turut disertai pelukis komik terkenal dari Indonesia, Toni Masdiono dan Yohan Alexander, dan dari Singapura, Zaki Ragman dan Ross Monday.
Menurut Buthanuddin Sarji, sasaran PAWANA adalah artis komik Malaysia, para pengumpul, peminat dan pembaca komik tempatan dan serantau, khususnya Malaysia, Singapura dan Indonesia; persatuan-persatuan berkaitan komik seperti Pekomik, Pekartun dan Persatuan Komik dan Komik-Web Malaysia; syarikat dan badan berkaitan komik seperti Gilaman Studio, Gobook Komik, Supermoon Comic dan Creative Media Jakarta; serta pengunjung awam dan pelajar.
Ba-C Mente Studio telah menerbitkan beberapa komik, antara yang utama ialah Kelembai: Ceritera Tidak Terhikayat (2020), Badang: Ceritera Tidak Terhikayat (2024), Tinta (2024) dan Bujang Senang: Ceritera Tidak Terhikayat (2024) yang turut dilancarkan pada PAWANA kali ini.
Menerusi penerbitan komik Badang, Ba-C Mente Studio merakamkan penghargaan atas sokongan dana yang diterima daripada kerajaan, sementara Dewan Bahasa dan Pustaka bertindak selaku Urus Setia Penggerak Industri Buku Negara. Hal ini amat menarik perhatian kerana kerajaan turut menyokong pengembangan hasil kerja kreatif termasuklah komik menerusi peruntukan dana, malahan geran bagi melaksanakan program pasar komik seperti ini.

Selain daripada Ba-C-Mente, Sakoplus di bawah bimbingan Mioralbarn adalah antara aktivis komik yang paling aktif di negara ini dalam menganjurkan pelbagai aktiviti berteraskan seni komik dan kartun. Selain daripada menyertai PAWANA, sepanjang tahun 2024, mereka telah menganjurkan atau terlibat sekurang-kurangnya dalam 20 program berkaitan komik, kartun dan animasi, dan antara yang utama ialah Sakolah Kartun @ SMK Gunung Rapat, Ipoh; Fakulti Komik @ Perak International Convention on Creative Industry, UiTM Seri Iskandar; Sahabat Komik Artpodcast, Musim Kedua (Ogos-Oktober 2024); Comic Zone @ Creators Xpo 2024, KLCC; Anifest 2024 dan Pekan Kartun Tioman Island. Program Pekan Kartun yang mereka anjurkan memenangi anugerah Best Community Based Tourism Project Award daripada Kerajaan Negeri Perak.
Pengiktirafan dan sokongan pihak kerajaan seperti ini amat positif dan memberangsangkan, lebih-lebih lagi jika diimbau kembali stigma yang pernah terpahat pada seni komik dan bidang pengajian berkaitan dengannya.
Penerimaan terhadap seni komik sebagai suatu disiplin ilmu tidak berlaku secara mudah, malahan menempuh pelbagai cabaran, terutamanya dari sudut pandangan golongan ilmuan dan ahli akademik yang bersikap negatif, sangsi dan memandang rendah terhadap bidang ini. Persepsi stereotaip dan negatif terhadap seni komik yang dianggap picisan dan seni rendah merupakan halangan utama yang perlu diatasi ketika cabang seni ini diangkat sebagai disiplin ilmu atau bidang pengajian pada dekad 1980-an, di samping usaha memberi kefahaman dan mendidik khalayak tentang potensi, kepentingan dan keluasan skop bidang ini.

Profesor Dr. John A. Lent dari Temple University, USA, tokoh tersohor bidang pengajian komik dan kartun yang juga pengasas International Journal of Comic Art (IJOCA) dalam temubual The Podcast of the IAMCR Comic Art Working Group, iaitu International Association for Media and Communication Research (IAMCR) yang disiarkan pada pautan ijoca.blogspot.com pada 16 Oktober 2022 menyebut bahawa banyak ahli akademik yang mentertawakannya sewaktu dia memulakan bidang Pengajian Komik pada tahun 1984. Tambahnya, hal ini juga serupa bagi bidang-bidang pengajian budaya popular lain seperti sinema dan televisyen.
Profesor Sejarah Seni, Dr. Gary Schwindler pula ketika menawarkan kursus Comics Studies di Ohio University pada tahun 1987 menerima pelbagai kritikan daripada ahli akademik fakultinya yang menganggap seni komik tiada apa-apa kaitan dengan seni. Ketegasan dan keyakinan Dr. Schwindler untuk meneruskan hasratnya itu memberi inspirasi kepada para pelajarnya untuk menerbitkan majalah berjudul 401, merujuk nombor bilik kuliah kursus tersebut, dengan menggabungkan karya komik serta esei-esei ilmiah mengenainya.
Di Malaysia, meskipun penerbitan komik dan majalah humor berasaskan komik dan kartun begitu bercambah dan pesat pada dekad 1980-an dan 1990-an, penerbitan buku-buku ilmiah berasaskan penyelidikan mengenai bidang ini masih sukar untuk meyakinkan para penerbit atau kedai buku ketika itu untuk menerbitkan atau menjualnya.
Namun begitu, meskipun sukar untuk menerbitkan buku ilmiah mengenai seni komik dan kartun pada tahun 1990-an, peranan penerbit seperti Creative Enterprise Sdn Bhd menerusi majalah humor, komik dan kartun terutamanya Fantasi dan Gila-Gila dalam mengangkat seni ini amat bermakna dengan menwujudkan ruangan “Apresiasi Komik” dalam majalah Fantasi mulai keluaran Oktober 1990 dan ruangan “Dunia Kartun” dalam majalah Gila-Gila mulai 15 April 1990.
John Lent juga gembira kerana IAMCR Comic Art Working Group yang diasaskannya telah berjaya mempopularkan komik dan kartun sebagai suatu disiplin ilmu di samping mengantarabangsakannya. Meskipun pada awalnya kecenderungan penyelidikan bidang ini lebih tertumpu kepada komik-komik superhero sahaja, kini skop penyelidikan disiplin ini telah jauh berkembang dengan meluas kepada pelbagai bentuk komik dan kartun yang lain, termasuklah komik alternatif atau komik bawah tanah (Muliyadi Mahamood, Malaysia Comic Journal. MYCOMIC, 2024: 2-8).
Kewujudan seni komik dan kartun sebagai suatu bidang ilmu dan pengajian sudah tentu menjadi semacam penyokong ataupun penaungan bagi perkembangan seni komik yang lebih positif. Hal ini tercermin, misalnya pada tahun 2024, khalayak seni, khususnya peminat dan penggemar komik menyaksikan pengiktirafan terhadap genre seni ini menerusi penganjuran pameran-pameran komik secara besar-besaran di muzium seni utama dunia seperti pameran Comics 1964-2024 dan komik alternatif Lagon Revue di Centre Pompidou, Paris.
Seperti pameran komik alternatif Lagon Revue di Centre Pompidou, PAWANA di Ruang Shah Alam meraikan seni komik yang bersifat eksperimentasi, eksplorasi, jelasnya alternatif kepada komik-komik arus perdana. Ia menggalakkan penggabungan teknologi dan seni kreativiti manual dengan penghasilan edisi terhad, lebih terbuka, eksperimental dan bebas sifatnya.
Sifat komik alternatif memang begitu, mencari kelainan daripada komik arus perdana dengan menangani tema-tema yang luar daripada kebiasaan dengan gaya lukisan yang juga bersifat eksperimental. Di Barat, komik alternatif menjadi wadah menggarap tema dan subjek yang sering kali dianggap sebagai tabu dan menjadi agen pernyataan perasaan dan protes.
Dalam konteks ini, seperti seni kontemporari, pelukis komik sentiasa mencari pembaharuan, sama ada dari segi tema, naratif, mahupun teknik persembahan karya. Komik, seperti seni yang lain adalah satu bentuk komunikasi intelektual yang berteraskan kreativiti dan inovasi.
Tinjauan sambil lalu menunjukkan bahawa komik-komik di PAWANA menampilkan pelbagai tema dan genre dengan kualiti penerbitan setanding dengan komik-komik yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat penerbitan besar arus perdana. Karya Burhanuddin Sarji sendiri, yang berjudul Badang dan Bujang Senang kelihatan begitu eksklusif dari segi pengolahan bentuk, cerita dan makna, serta kualiti kertas dan percetakan. Ia seperti novel-novel grafik yang biasa kita temui di toko-toko buku besar, ataupun novel-novel grafik Perancis.

Karya-karya Toni Masdiono seperti Karimata 1890 (Creativ Media, Jakarta, 2019) mengangkat tema sejarah pendudukan Belanda di Selat Karimata menerusi komik tanpa dialog, yang disebutnya sebagai “komik senyap” atau “silent comic.” Dalam komik ini, tanpa teks atau dialog, pembaca dibawa mengembara menerusi pengolahan lukisan yang begitu halus lagi terperinci. Lantaran itu, komik ini dimulai dengan kata-kata: “READ THIS FIRST! This book is a Silent Comic, just relax, read the prologue, and let the panels paint you a thousand words…”
Pendekatan komik senyap seperti ini juga dapat dilihat dalam bahagian awal komik Badang Perkasa 01 (2022) dan Badang Perkasa 02 (2024) oleh Gayour (Heart of Steel). Dalam konteks ini, lukisan menjadi aspek terpenting dalam memimpin penghayatan, imaginasi dan kefahaman pembaca tentang naratif yang diketengahkan.

Meskipun kehadiran pengunjung kurang memberangsangkan, penganjuran PAWANA 2024 merupakan satu permulaan yang baik pihak penganjur Ba-C-Mente dan para penggiat komik alternatif. Secara umumnya para pempamer dan peserta tetap rasa berpuas hati dengan pelaksanaannya, sebagaimana tercermin dalam maklum balas mereka terhadap penyataan Burhanuddin Sarji menerusi laman facebooknya dan PAWANA seusai program. Rata-rata mereka gembira kerana program itu memberi peluang kepada mereka untuk menghabiskan dua hari yang bermakna berinteraksi sesama mereka dan karyawan komik dari negara jiran, Indonesia dan Singapura.
Bagi memastikan program-program seni komik akan datang mendapat sambutan yang lebih baik, mungkin beberapa perkara perlu dipertimbangkan oleh pihak penganjur, antaranya aspek promosi, lokasi, kesesuaian masa, penjadualan, dan atur cara program.
Promosi dan hebahan program adalah antara perkara paling utama dalam menarik perhatian pempamer, peserta dan pengunjung. Stratregi atau langkah yang terancang amat perlu bagi memastikan penggiat dan peminat komik sentiasa diingatkan akan tarikh, lokasi, aktiviti dan tarikan-tarikan utama program tersebut. Hal ini tentunya boleh dilakukan menerusi pelbagai cara, seperti media sosial di samping kaedah konvensional seperti melalui saluran-saluran akhbar dan televisyen. Hal ini memang dilakukan oleh penganjur terutamanya melalui laman facebook mereka.
Seperti sebuah muzium atau galeri seni, apa juga program yang melibatkan khalayak awam perlu mengambilkira kedudukan lokasi program serta kemudahan awam yang disediakan, misalnya pengangkutan awam, kemudahan orang kelainan upaya, surau, tandas, kedai makan dan lain-lainnya. Jelasnya, lokasi program perlulah mesra pengguna, pengunjung dan peserta.

Kesesuaian masa penganjuran program juga perlu diambil berat oleh penganjur, terutamanya dari segi pertindihan waktu dengan program-program lain yang seumpamanya. Pada waktu penganjuran PAWANA, telah berlangsung juga pada waktu yang sama program International Monsoon Casting Tournament di Tasik Kenyir (13 hingga 16 Disember 2024) kelolaan kartunis tersohor Ujang yang turut menampilkan penglibatan kartunis, pelukis komik dan karikaturis tempatan dan antarabangsa. Di samping itu, menjelang akhir tahun memang begitu banyak program berteraskan seni kreatif diadakan di sekitar ibu kota. Justeru itu, khalayak mempunyai banyak pilihan untuk memilih dan mengunjungi program yang paling mereka sukai dan menarik perhatian.
Sememangnya mana-mana penganjur tidak terikat dengan apa-apa juga perjanjian atau keputusan mengenai pelaksanaan apa-apa program yang dilaksanakan di antara mereka, tetapi keprihatinan penganjur mengambilkira aspek-aspek ini mungkin akan dapat membantu pengunjung dan peminat komik merancang penglibatan mereka.
Dalam konteks ini, mungkin persatuan-persatuan berkaitan seni komik dan kartun seperti Pekomik, Pekartun, Animas dan Mycomic, sekiranya masih aktif, dapat membantu dari aspek komunikasi dan penjadualan, atau hal ini boleh dilakukan sendiri oleh para penganjur yang rata-rata saling kenal mengenali antara mereka. Cadangan ini mungkin bersifat naif dalam sektor industri kreatif yang penuh persaingan, tetapi boleh difikirkan dan cuba dilaksanakan.
Penganjuran program seperti Pasar Komik Bawah Tanah ini menunjukkan bahawa seni komik terus berkembang dan mempunyai potensi yang baik dalam konteks industri kreatif dan penerbitan di negara ini. Penerbitan komik arus perdana yang kebanyakkannya menekankan kepada aspek pendidikan dan humor terus mendapat tempat di kalangan pelajar sekolah dan pembaca muda. Persoalannya, bagaimanakah minat dan momentum mereka terhadap komik dapat diteruskan sehingga mereka meningkat dewasa dan berkerjaya.
Dalam konteks ini, mungkin penggiat-penggiat komik alternatif ada jawapannya dengan menawarkan komik-komik yang menggarap tema-tema dan subjek-subjek yang lebih memenuhi cita rasa, tahap usia dan pemikiran mereka. Hal ini kerana seni komik bukan sahaja untuk menghibur dan merehatkan minda, malahan untuk menggerakan imaginasi, pemikiran dan persepsi pembacanya.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.

