SAYA menonton Severance dan Pluribus dalam tempoh yang hampir sama, walaupun Severance mula ditayangkan pada 2022. Dua siri yang berbeza nada dan estetika, tetapi meninggalkan kesan yang serupa: rasa tidak selesa yang sukar dijelaskan. Kedua-duanya memaparkan dunia yang kelihatan teratur, harmoni dan berfungsi dengan baik, namun dibina di atas struktur yang jarang dipersoalkan oleh mereka yang hidup di dalamnya.
Dalam Severance, identiti dipisahkan demi produktiviti. Versi diri yang bekerja tidak tahu siapa dirinya di luar pejabat, dan versi luar pula tidak pernah benar-benar tahu apa yang dia lakukan sepanjang hari. Ia dijaja sebagai penyelesaian moden, efisien dan beretika. Tetapi semakin lama ditonton, semakin jelas bahawa masalahnya bukanlah teknologi, tetapi persetujuan manusia untuk hidup terbelah demi keselesaan.

Pluribus pula bermain dengan struktur kuasa dan realiti yang kelihatan demokratik, rasional dan sah, tetapi dibina di atas sistem yang tidak pernah benar-benar difahami oleh individu di dalamnya. Watak-wataknya tidak melawan secara terbuka. Mereka menyesuaikan diri. Mereka belajar bahasa sistem. Mereka patuh kerana sistem itu masuk akal, sekurang-kurangnya di permukaan. Rasionaliti menjadi alat penjinakan, bukan pembebasan.
Dalam menonton kedua-dua siri ini, saya sedar bahawa rasa resah itu bukan sesuatu yang baharu. Ia adalah perasaan yang pernah saya rasai sebelum ini, dalam bentuk yang lebih awal dan lebih kasar. Perasaan bahawa realiti yang kita huni mungkin bukan sepenuhnya milik kita, bahawa identiti boleh dipecahkan, memori boleh disusun semula dan kebenaran boleh ditentukan oleh struktur yang kelihatan neutral.
Ada satu nama di sebalik perasaan ini: Philip K. Dick.

PKD bukan sekadar penulis sains fiksyen; dia adalah peramal gaya hidup, sebelum istilah itu wujud. Dia menulis 45 novel dan lebih 120 cerpen yang tersebar di majalah dan antologi sepanjang hidupnya. Karya-karyanya kadangkala terlalu ganjil, terlalu resah, terlalu rapuh untuk digolongkan sebagai hiburan semata-mata, namun itu tidak menghalang dunia perfileman untuk mengangkat keresahan itu ke layar perak.
Adaptasi karya PKD bukan sekadar fenomena Hollywood; ia adalah cermin budaya yang sering muncul pada waktu yang tepat. Blade Runner membuka pintu ini pada 1982, apabila Ridley Scott membawa novel Do Androids Dream of Electric Sheep? (1968) ke panggung dan menghidupkan dunia masa depan yang suram, canggih tetapi penuh ketidakpastian. Filem ini mula mempopularkan mood dan falsafah PKD kepada khalayak global.
Sejak itu, karya-karya PKD terus muncul dalam pelbagai bentuk, tanda bahawa naratifnya bukan hanya kisah fiksyen, tetapi cerita yang terus bergema dalam budaya massa. Dalam dekad-dekad selepasnya, gabungan cerita pendek dan novel PKD memberi inspirasi kepada filem-filem yang menjadi ikon dunia sinema. Tema-temanya tidak pudar, malah semakin relevan apabila teknologi semakin menyusup ke dalam kehidupan harian.
Filem aksi sci-fi Total Recall (1990) membawa tema memori dan identiti daripada cerpen We Can Remember It for You Wholesale (1966), sementara Minority Report (cerpen 1956, filem 2002) menterjemah cerita bertajuk sama tentang ramalan jenayah dan autonomi individu ke dalam filem blockbuster Steven Spielberg. Kedua-duanya mengolah soalan lama PKD dalam bahasa sinema arus perdana.
Pada 2006, A Scanner Darkly muncul sebagai adaptasi yang lebih setia kepada novel asal bukan sahaja dari segi plot, tetapi juga dalam menangkap kegelisahan eksistensial yang PKD sendiri alami dalam hidupnya. Pengarah Richard Linklater menggunakan animasi rotoscoping yang memaparkan rasa tidak stabil itu, seolah-olah realiti sendiri tidak lagi pegun, tetapi sentiasa bergetar. Visualnya menjadi lanjutan kepada paranoia teks asal.

Siri-siri televisyen juga mengambil naratif PKD. The Man in the High Castle (2015–2019) meluaskan dunia alternatif ke skala episod demi episod, dan antologi Philip K. Dick’s Electric Dreams (2017–2018) memasukkan sepuluh cerpen PKD sebagai set episod yang berdiri sendiri. Pada 1999, Total Recall 2070 muncul sebagai siri yang menggabungkan elemen cerpen 1966 itu dengan mood dan estetika Blade Runner.
Banyak juga filem-filem lain yang berdasarkan karya PKD seperti Impostor (2002), Screamers (1995), Paycheck (2003), The Adjustment Bureau (2011) dan Radio Free Albemuth (2010), menunjukkan bahawa karya PKD tidak hanya disukai oleh pengarah arus perdana, tetapi terus diuji melalui media yang berbeza dan kadangkala lebih eksperimental. Adaptasi-adaptasi ini menjadi bahasa visual kepada persoalan PKD tentang realiti, identiti dan kuasa.
Menariknya, adaptasi-adaptasi ini sering muncul setiap kali dunia terasa semakin tidak stabil. Blade Runner hadir pada awal 1980-an ketika bayangan Perang Dingin dan keruntuhan bandar moden menjadi kegelisahan global. Minority Report muncul selepas 9/11, ketika pengawasan, ramalan jenayah dan keselamatan dijadikan alasan untuk mengorbankan kebebasan.
The Man in the High Castle pula mendapat momentumnya dalam dekad yang menyaksikan kebangkitan semula nasionalisme, pengukuhan sempadan identiti dan keraguan terhadap naratif sejarah. Dalam dunia yang mula mempersoalkan siapa yang menulis sejarah dan untuk kepentingan siapa, siri ini berfungsi sebagai peringatan bahawa realiti politik dan memori kolektif mudah dimanipulasi dan tidak pernah benar-benar neutral.
Namun, PKD meninggal dunia hanya beberapa bulan sebelum Blade Runner ditayangkan pada Jun 1982. Dia tidak sempat menyaksikan bagaimana dunia-dunia yang lahir daripada paranoia, kegelisahan dan distopia peribadinya diterjemahkan ke layar perak oleh nama-nama besar seperti Ridley Scott, Steven Spielberg, Paul Verhoeven, Richard Linklater, Denis Villeneuve, John Woo dan ramai lagi.
“What is real? Because unceasingly we are bombarded with pseudo-realities manufactured by very sophisticated people using very sophisticated electronic mechanisms. I do not distrust their motives; I distrust their power.” (PKD, 1978)

PKD tidak menulis untuk menjadi terkenal. Pada zamannya, fiksyen sains dianggap genre kelas kedua, hiburan murah yang tidak perlu dipandang serius. Demi kelangsungan hidup, dia bergantung kepada bayaran pendahuluan dan royalti kecil, cukup-cukup untuk bayar sewa, bil yang tertunggak dan perbelanjaan kehidupan yang jarang sekali stabil. Wang sentiasa tidak cukup, dan masa depan sentiasa kabur.
Hidupnya sendiri tidak pernah tenang. Tekanan emosi, masalah mental dan kebergantungan kepada amphetamines menjadi sebahagian daripada hari-harinya selama bertahun-tahun. Dunia luar tidak memberi jaminan, dan dunia dalamannya pula bergelora. Banyak karyanya ditolak, banyak juga yang dibayar rendah, namun dia terus menulis. Bukan semata-mata kerana kewangan, tetapi kerana dia memang tidak tahu cara lain untuk hidup.
Baginya menulis bukanlah satu pilihan kerjaya. Ia satu keperluan. Ia satu cara untuk bertahan, dan pada masa yang sama satu cara untuk terus bertanya tentang realiti, identiti dan dunia yang kelihatan nyata tetapi tidak pernah benar-benar boleh dipercayai. Dia bukan penulis yang duduk tenang merancang dunia fiksyennya dari jauh. Setiap ceritanya lahir daripada pengalaman hidupnya sendiri, bersifat eksistensial dan hampir mendesak.
Namun madness ini bukan kelemahan. Ia menjadi method. PKD tidak menggilap realiti. Dia menulis ketika realiti itu sendiri sedang runtuh di hadapannya. Dalam hal ini, cara hidup dan cara berfikir tidak boleh dipisahkan daripada cara menulis. Ketidakstabilan hidupnya melahirkan naratif yang tidak stabil, seolah-olah satu refleksi literal terhadap dunia yang dia ingin fahami dan kongsi.
Dunia yang lahir daripada tulisan PKD bukanlah dunia futuristik yang kemas dan terkawal seperti yang sering dibayangkan oleh fiksyen sains arus perdana. Berbeza dengan penulis sezamannya seperti Isaac Asimov atau Arthur C. Clarke yang masih percaya pada sistem, kemajuan dan rasionaliti, PKD sentiasa curiga terhadap struktur itu semua. Dunia dalam karya-karyanya bocor, rapuh dan sentiasa hampir rosak.

Watak-watak PKD juga jarang menjadi wira. Mereka bukan penyelamat dunia, bukan genius yang mengawal keadaan, atau individu dengan kuasa luar biasa. Sebaliknya, mereka adalah pekerja kecil, penjawat biasa, bapa yang gagal, atau individu yang tersepit dalam sistem yang mereka tidak faham sepenuhnya. Mereka keletihan, keliru, sering kalah dan terpaksa membuat pilihan dalam ruang yang sempit.
Keseluruhan adaptasi karya ini menunjukkan bahawa pengaruh PKD terhadap budaya tidak datang daripada satu karya ikonik sahaja. Ia datang daripada konsistensi obsesinya terhadap realiti yang retak, identiti yang kabur, manusia berhadapan sistem dan dunia yang sentiasa boleh dipersoalkan. Hari ini, kita menyebut namanya apabila bercakap tentang AI, simulasi, algoritma dan realiti palsu.
Apa yang menarik, banyak idea PKD kini muncul bukan lagi sebagai amaran, tetapi sebagai produk harian. Algoritma menentukan apa yang kita lihat, sistem penilaian mempengaruhi peluang hidup dan teknologi meniru empati dalam bentuk chatbot, avatar dan automasi emosi. Sesuatu yang dahulu kelihatan ekstrem atau mungkin fantasi kini dianggap normal, malah diterima sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan moden.
Dalam dunia PKD, masalahnya bukan kecerdasan mesin, tetapi ketaatan manusia terhadap sistem yang mereka tidak fahami sepenuhnya. Kita percaya kerana ia cekap, kita patuh kerana ia mudah, dan kita terima kerana ia menyenangkan. Pertimbangan moral dan kebebasan individu diserahkan kepada struktur yang tidak mempunyai empati, seolah-olah manusia menyerah pada keselesaan yang ditawarkan oleh sistem.
PKD juga menulis lebih awal tentang kapitalisme sebagai kuasa metafizik. Iklan, barangan, ubat-ubatan dan teknologi dalam karyanya bukan sekadar latar, tetapi entiti yang membentuk kesedaran manusia. Dalam Do Androids Dream of Electric Sheep?, haiwan buatan menjadi simbol status, menggantikan nilai kehidupan sebenar dan menandakan bagaimana masyarakat menilai makna melalui kepemilikan dan penampilan.

Dalam novel 1969 Ubik (dikhabarkan Michel Gondry pernah cuba mengadaptasi novel ini untuk filem, namun menemui jalan buntu dan berputus asa pada 2014), produk menjadi hampir religious, muncul sebagai penyelamat palsu dalam dunia yang sedang reput. Ini bukan sekadar kritikan ekonomi, tetapi kritikan terhadap dunia di mana makna digantikan oleh fungsi dan nilai digantikan oleh harga.
Satu lagi aspek penting ialah humor gelap PKD yang sering terlepas pandang. Di sebalik paranoia dan kegelisahan, terdapat absurditi yang hampir komikal. Sistem terlalu besar untuk difahami, arahan bercanggah dan watak-watak yang terpaksa terus berfungsi dalam keadaan tidak masuk akal. Humor ini bukan untuk meringankan cerita semata-mata, tetapi untuk menunjukkan betapa normalnya kegilaan dalam dunia moden.
Jika George Orwell menulis tentang kuasa yang menindas secara terang-terangan, PKD menulis tentang kuasa yang menyamar sebagai realiti. Penindasan dalam dunia PKD jarang hadir sebagai kekerasan fizikal. Ia hadir sebagai versi dunia yang lebih mudah, lebih teratur dan lebih selesa untuk diterima. Kekuasaan tidak perlu memaksa; manusia sendiri bersetuju dengan aturan yang membatasi kebebasan mereka, kerana ia efisien dan harmoni.
Di sinilah relevansinya menjadi semakin tajam hari ini, apabila pengawasan hadir sebagai kemudahan dan manipulasi hadir sebagai personalisasi. Namun, apa yang lebih penting, PKD mengajar kita satu tabiat budaya: untuk sentiasa meragui, untuk tidak terlalu yakin dengan apa yang kelihatan stabil, dan untuk sentiasa menyoal kebenaran yang disajikan sebagai fakta.
Hari ini, kita tidak lagi membaca PKD sekadar sebagai fiksyen. Kita mengalaminya sendiri sebagai realiti, seolah-olah dunia yang pernah digambarkannya kini berdiri di hadapan kita. Adakah kita masih perlukan adaptasi-adaptasi PKD dalam dekad 2020-an yang semakin gila ini?
– AHMAD KAMAL ABU BAKAR sebenarnya tidak begitu gemar nama beliau dipendekkan menjadi AKAB. Namun, ketika menulis ini beliau sedar kenapa ramai berbuat demikian. Beliau boleh dihubungi di: tulislajulaju@gmail.com
