PANGGUNG Anniversary di Taman Botani Perdana (dulunya dikenal sebagai Lake Gardens) Kuala Lumpur adalah bukti bagaimana terabainya seni budaya di negara kita. Binaan unik dan ikonik yang didirikan pada tahun 1967 itu menjadi “gajah putih” sesuai dengan warnanya. Panggung indah yang telah melalui beberapa kali pembaikan dan pemulihan kini tinggal sepi.
Satu masa dahulu Panggung Anniversary hidup dan menggelegak dengan aktiviti seni budaya. Sejak tahun-tahun awal kewujudannya panggung itu menjadi gelanggang pelbagai kegiatan seni. Pada tahun-tahun 80-an di situlah berhimpunnya pemuzik dan peminat seni suara di Kuala Lumpur.
Pada dekad itu “rock kapak” menjadi sebahagian daripada kegilaan anak-anak muda. “Konsert Rock dari Panggung Anniversary” menjadi peristiwa seni yang ditunggu-tunggu. Ada kalanya persembahan dibawakan secara langsung oleh TV3. Ramli Sarip, Awie dan banyak yang lain membuat persembahan di situ. Band popular seperti Search, Lefthanded dan lain-lain turut menggoncang suasana.
Ada kalanya pemuzik dan penyanyi dari aliran “Pop Yeah Yeah” yang mencorakkan dunia muzik tanahair tahun 60-an mengadakan persembahan di situ.

Dari tahun 1985 hingga 1986 adalah dipercayai Panggung Anniversary diuruskan oleh perancang event tersohor Ali Bakar dan Box Office Production. Anak-anak muda bersantai dan berhibur. Ada tempat untuk mereka “melepak” sambil menikmati persembahan seni. Itu era sebelum “mat rempit.” Era “mat motor” bersantai cara lain.
Itu juga merupakan era sebelum media sosial dan hiburan masih dalam bentuk asli atau raw – live dan terbuka untuk dinikmati oleh semua. YouTube, Instagram, TikTok, Facebook dan X masih belum memenjarakan kemanusiaan.
Saya pernah menulis tentang nostalgia persembahan di panggung ini. Dalam kolum saya “Point Blank” dalam akhbar New Straits Times bertarik 25 April 2015 saya menulis begini:
Some two decades ago, there was a feature in an international magazine about a rock concert performed at what used to be known as Panggung Anniversary, Kuala Lumpur. It started by asking: Where else in the world can you find a band that is made up of full-blooded, true-blue rockers, starting their show with Assalamualaikum, the Muslim greeting? Only in Malaysia!
Penulis rencana tersebut kagum bagaimana rockers (full-blooded, true-blue rockers menurut beliau, atau secara mudah rockers totok atau total) di Malaysia memulakan persembahan dengan ucapan Asalamulaikum. Bagi kita itu sesuatu yang lumrah sebenarnya. Malah penulis berkenaan mengakui di pentas yang sama pada waktu yang lain ada persembahan kesenian tradisional dan persembahan ghazal dan zapin juga. Inilah identiti kesenian Melayu sebenar. Kesenian yang sihat, segar bugar dan menawan masa itu.
Hari ini Panggung Anniversary yang berusia 57 tahun itu sesepi mati. Tidak ada kegiatan lagi pada hujung minggu. Panggung itu hilang nyawa dan serinya.
Seingat saya memang ada usaha untuk menghidupkan semula panggung itu. Ada diberitakan tentang “Rokestra Nostalgia” yang bakal diadakan pada 30 Oktober 2021. Mungkin untuk memberikan semula nafas seni setelah rakyat Malaysia terkurung akibat pandemik Covid-19.
Menurut beritanya konsert itu akan menampilkan seniman-seniman lama atau “otai” seperti Rahim Maarof, Man Bai, Rahmad (Mega), Ruhil Amani, Ito (Blues Gang) dan Asheed (Def Gab C). Dalam sidang media mengenai program itu, Fauzi Ahmad, Ketua Unit Kebudayaan dan Kesenian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada juga menyebutkan tentang panggung yang baru dibaikpulih.
Menurut beliau panggung itu telah diberikan wajah baru. Sistem bunyinya lebih canggih dan sistem lampu lebih cerah. Dan lebih penting lagi panggung terbuka satu masa dulu kini sudah berbumbung. Menurut Fauzi lagi, DBKL telah mengadakan Konsert Roskestra Lagenda pada tahun 2017. Pada tahun 2021, Rockestra Nostalgia pula.
Terdapat waktu empat tahun di antara Rockestra Lagenda dan Rockestra Nostalgia.
Selepas itu Panggung Anniversary sepi lagi. Hingga ke hari ini.
Bagi saya yang sering melakukan briskwalk di Taman Botani Perdana, tertusuk rasa kesedihan setiap kali melalui tempat itu. Saya banyak kali hadir di situ pada tahun 80-an. Saya menyaksikan betapa meriahnya suasana di situ.

Saya tidak tahu apakah DBKL mempunyai rancangan untuk menghidupkan semula tempat itu. Sayang usaha baikpulih terbaru dan peralatan sistem bunyi dan pencahayaan yang dikatakan canggih itu tidak bermakna apapun. Cat putihnya sudah mula menampakkan lumut. Bagaikan rumah yang tidak dihuni, tidak lama lagi Panggung Anniversary akan mereput dan rosak, termasuk bumbung baharunya.
Mungkin juga panggung itu manifestasi keadaan sebenar seni budaya negara: Terabai dan dipinggirkan. Sastera ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), seni budaya beribu dan berbapakan siapa? Siapakah yang bertanggungjawab terhadap kebudayaan dan kesenian? Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)? Seperti namanya pelancongan diadahulukan, seni dan budaya terkebelakang. Malah kita hampir-hampir hilang “kebudayaan” pada nama Kementerian itu. (Baca tulisan saya, “Surat Terbuka Kepada PM: Seni dan Budaya, Di mana Kau?” (Sinar Harian, 7 Disember 2022).
Sudah tentulah biaya menarik pelancong jauh lebih besar daripada biaya seni budaya. Khabarnya sektor pelancongan membawa masuk RM157 bilion pada tahun 2023 dan menyumbang pada 14 peratus Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK). Ia penyumbang ketiga terbesar selepas pembuatan dan komoditi. Biaya untuk seni budaya? Apa pulangannya?
Kita jangan lupa makna pembinaan negara bangsa dan upaya membina tamadun.
Maka kita pun mencari di mana silapnya maka terabai seni budaya negara. Ada orang yang melihat kesenian hanya tarian yang dipersembahkan oleh pasukan penari MOTAC dalam majlis rasmi negara. Kesenian lebih daripada itu semua.
Lalu kita juga mencari siapa yang patutnya menyuburkan kesenian anak bangsa. Apakah MOTAC? Apakah penggiat seni? Apakah organisasi seperti DBKL atau mana-mana majlis bandaraya dan bandaran?
Berapa banyakkah misalnya tempat persembahan milik DBKL sendiri yang sebenarnya tidak terisi? Berapa banyak pula panggung-panggung lain serta ruang terbuka untuk seni yang mati di kota-kota dan bandar-bandar kita?
DBP, di sebalik tugasnya membina dan mengembangkan sastera dan bahasa, punya ruang untuk dimanfaatkan oleh seniman, Stor Teaternya sentiasa terisi. Balai Budaya Tun Syed Nasir menjadi gelanggang pelbagai persembahan (selain digunakan untuk majlis perkahwinan dan lain-lain). Demikian juga Auditorium DBP. DBP sendiri telah mementaskan puluhan drama melalui Badan Budaya dan mengajak pelbagai kumpulan dan individu untuk mementaskan drama di DBP.
Satu masa dahulu, semasa namanya Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), kementerian itu menjadi penggerak pelbagai kegiatan seni termasuk pertandingan drama pelbagai peringkat. Mungkin juga boleh difikirkan perlunya Kementerian Kebudayaan dan Kesenian berdiri sendiri.
Soalnya apakah seniman kita masih ghairah berseni? Secara peribadi saya mengagumi aktifnya seniman muda hari ini, membuat persembahan dengan resiko tidak akan mendapat keuntungan kewangan. Banyak kumpulan teater yang tanpa serik mengisi ruang – selalunya di panggung-panggung kecil – dengan keyakinan bahawa mereka harus menghidupkan seni persembahan. Pelajar-pelajar yang mengikuti program seni dan yang berkaitan akan menghidupkan mana-mana ruang dengan produksi besar dan kecil.
Jangan salahkan mereka.
Soalan yang lebih besar adalah apakah yang negara buat untuk membantu mereka? Kita semua tahu isu pokoknya adalah bantuan kewangan. Selain MOTAC ada pelbagai dana untuk galakan kesenian. Tapi bagi banyak penggiat seni, macam perumahan negara juga, sedap didengar tapi tak tercapaikan hasrat untuk mendapatkannya.
Tambahan pula seni budaya menghadapi cabaran luar biasa sejak beberapa dekad kebelakangan ini. Dalam surat terbuka saya kepada PM saya menyebutkan tentang pemahaman sempit tentang kebudayaan dan kesenian yang telah membunuh sekian banyak tradisi pengucapan seni budaya anak bangsa. Tulis saya lagi, “tidak ada gunanya kita menangisi hilangya seni persembahan makyung, wayang kulit, menora, juga mulai terhapusnya kuda kepang, ketoprak, wayang wong, wayang geduk dan entah apa lagi.”
“Seni dan budaya menjadi korban pertama apabila orang politik menjaja agama untuk membuktikan tahap keislaman mereka. Penyataan seni jadi bisu, beku malah ada kalanya mati terus. Dialog cerdik tentang kesenian juga ada kalanya ditakuti waima di menara gading. Penggiat seni merasa diri mereka terlalu kecil dan tidak dihargai.” Demikian saya menambah.
Pada hari ini hakikatnya persembahan teater tradisional menjadi amat terbatas akibat tekanan dan gendala atas nama agama dan lain-lain . Seni budaya tradisional nampaknya tidak compatible dengan tafsiran sebahagian besar agamawan. Maka label seperti “tidak Islamik” digunakan untuk membunuh seni.
Tradisi teater di Kelantan – dari makyung hingga menora, dari main putri hingga wayang kulit dan dikir barat – tidak lagi dimainkan di sana. Di banyak tempat lain tradisi wayang geduk, ketoprak, kuda kepang, wayang wong dan lainnya akan juga pupus. Dalam banyak keadaan pemainnya dicemuh dan persembahannya diperlecehkan.
Toleransi semakin berkurang juga dalam bidang perfileman. Berapa banyakkah karyawan filem kita yang berdepan dengan tuntutan pelik dari Lembaga Penapis Filem (LPF) dan kalangan yang mahukan religious-correctness dikenakan pada genre itu. Bayangkan sebuah filem tentang pulau yang wataknya menikmati keindahan dasar laut mencetuskan kontroversi kerana mereka memakai bikini. Apakah agaknya berkemban dan berbaju kurung sambil menyelam lebih cocok dengan desakan ini?
Filem Indonesia berkembang pesat akibat toleransi yang tebal ke atas kandungannya.
Kita kadang-kala terlupa peranan seni budaya dalam penyebaran Islam khususnya di Pulau Jawa. Selama lebih 14 abad agama Hindu (dan kemudiannya Buddhist) bertapak di sana. Sejak kerajaan Chola pada awal abad pertama Masehi, Hindu sudah menjadi agama setempat. Tidak mudah untuk mengubah kepercayaan yang kejap akarnya. Demikian sebati agama itu hingga mengakar pada bahasa dan cara hidup.
Kita harus belajar bagaimana pendakwah dam mubaligh Islam menggunakan seni budaya untuk menyebarkan Islam. Besarnya Islam di Pulau Jawa adalah akibat daripada peranan sekelompok pendakwah yang dianggap ulama yang dikenal sebagai Wali Sembilan (Wali Songo). Para “sunan” ini menggunakan apa sahaja tradisi kesenian dan kebudayaan sedia ada untuk menarik penganut Hindu. Mereka mula bergerak pada abad ke-15 lagi.
Sembilan orang yang dianggap pendakwah terbilang itu adalah Sunan Gunung Jati, Sunan Muria, Sunan Giri, Sunan Kudus, Sunan Kalijaga, Sunan Drajat, Sunan Bonang, Sunan Ampel dan Sunan Grisek. Sesuai dengan nama yang dikaitkan dengan mereka, pendakwah ini membina wilayah masing-masing dengan tujuan menawan rakyat setempat.
Sebahagian daripada mereka melakukan pewarnaan tempatan (local colouring) epik Mahabharata dan Ramayana. Mahabharata yang dianggap kudus atau sakral itu diberikan dimensi setempat – Pendawa Lima dan epik Ramayana menjadi Sri Rama.
Mereka menggunakan elemen kesenian yang sangat kental ke-Hinduan-nya untuk memujuk rakyat pada Islam. Secara halus mereka memberikan dimensi dan sentuhan Islam. Tidak pernah berlaku di mana-mana di dunia proses pengislaman yang dilakukan secara sedemikian teratur, halus dan berbudaya. Pendekatan mereka adalah “menelusuri” dan mendekati, bukan menakut-nakutkan.

Sumbangan Wali Songo membuktikan bahawa seni dan budaya boleh menjadi compatible dengan Islam. Malah pendakwahan cara Wali Songo sebenarnya amat berkesan. Salah seorang sunan ini yang dikenal sebagai Sunan Bonang atau Raden Makdum Ibrahim menggunakan kesenian dengan cara yang sangat berkesan, termasuk menggunakan gamelan Jawa. Demikian juga Sunan Drajat yang memanfaatkan wayang Jawa untuk tujuan itu.
Secara mudahnya Wali Songo menyebarkan Islam dengan pendekatan budaya, dengan cara memadukan seni budaya tempatan dengan ajaran Islam. Kaedah dakwah yang lembut, damai dan tanpa unsur paksaan membuatkan masyarakat yang berabad-abad mengamalkan agama Hindu beralih pada Islam.
Banyak yang boleh dipelajari dari dakwah cara wali songo.
Tradisi ini dengan jayanya diberikan pendekatan semasa oleh penyair, pemikir, pemuzik Emha Ainun Nadjib (Cak Nun) dengan kumpulan Kiai Kanjeng. Sehingga hari ini Emha masih berkeliling membawa muzik gamelan ke serata pelosok Indonesia untuk tujuan dakwah. Rhoma Irama yang terkenal sebagai ikon dangdut juga menggunakan muzik untuk tujuan berdakwah.
Kadang-kadang kita lupa betapa dekatnya seni budaya dalam sanubari orang Melayu. Malah ia menjadi sebahagian psyche Melayu. Orang Melayu kaya juga dengan tradisi lisan dan tulisan di mana sastera menjadi bahagian yang penting dan seni persembahan menjadi manifestasi kreativiti mereka. Wayang Melayu tidak kurang hebatnya dengan Wayang Jawa. Tradisi kesenian orang Melayu menjadi sebahagian daripada karektor Melayu.
Saya mengharapkan agar para seniman kita terbela. Seni harus subur di negara yang telahpun memacakkan binaan tertinggi dan mencipta kejayaan ekonomi yang memberangsangkan. Malaysia negara bertuah yang hasil buminya melimpah.
Kita mahukan pemimpin politik yang juga celek seni. Orang yang cerdik seni sahaja yang boleh membuat keputusan yang betul tentang budaya dan seni. Pemimpin jenis ini faham bahawa kemajuan ekonomi harus didukung oleh eko-sistem kebudayaan dan kesenian yang kukuh.
Saya teringat kenyataan seorang pemimpin politik Indonesia apabila menyentuh tentang calon bagaimana yang harus menjadi presiden baharu Indonesia menggantikan Joko Widodo (Jokowi). Beliau menyebutkan Jokowi tentu faham budaya dan falsafah bangsa Indonesia. Maka itu beliau mengharapkan Jokowi akan menyokong sesesorang yang sosoknya seperti “Yudhistira”. Dalam Wayang Jawa, Yudhistira yang diambil dari epik Pendawa Lima adalah orang yang jujur, baik, berintigriti dan sabar.
Demikianlah betapa mendalamnya pemahaman pemimpin Indonesia tentang seni budaya. Mereka menggunakan contoh daripada watak dalam wayang untuk bakal pemimpin. Sudah tentu juga sebagai Muslim mereka menggunakan contoh pemimpin Islam dalam konteks yang lain. Soal sama ada Prabowo Subianto yang disokong oleh Jokowi dalam pilihanraya presiden (pilpres) 2024 itu seorang Yudhistira adalah isu yang lain.
Tetapi yang penting bagi saya, pemimpin berbudaya akan membantu melahirkan negara yang berbudaya tinggi.
Sekurang-kurangnya orang seperti ini, seperti kita semua, akan faham betapa ruginya Panggung Anniversary menjadi binaan yang berkematu, sepi dan diabaikan.
– TAN SRI JOHAN JAAFFAR pernah aktif di pentas, menulis naskhah, mengarah dan berlakon. Beliau telah merakamkan pengalaman 50 tahunnya dalam seni budaya dalam buku Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad terbitan DBP.
