LANGKAWI, yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan kekayaan warisan, menjadi tumpuan dunia seni tempatan melalui dua acara penting yang dianjurkan oleh Balai Seni Negara: Pameran Sunyi dan Simposium Bakat Muda Sezaman 2024.
Kedua-dua program ini, yang berlangsung serentak, tidak hanya memperkayakan dunia seni kontemporari negara, tetapi turut memberi ruang kepada bakat muda untuk berkarya dan menjalin hubungan dengan komuniti seni.
Kedua-dua acara ini dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Abdul Rahman.
Balai Seni Negara berusaha meneroka makna kesunyian dengan menganjurkan pameran Sunyi bertempat di Hospital Lama Kuah, Langkawi.
Pameran Sunyi berlangsung dari 15 hingga 24 November, membawa tema unik “sunyi” yang diterjemahkan daripada pelbagai perspektif sosial, alam sekitar, dan spiritual.
Pasca-pandemik COVID-19, “sunyi” menjadi sebuah refleksi tentang ketenangan yang ditemui dalam suasana terpencil dan harmoni yang ditawarkan oleh alam semula jadi.
Pameran ini menyaksikan penyertaan 11 artis muda berbakat antaranya Alvin Lau, Arikwibowo Amril, Fauzan Fuad, dan Hannah Moujing serta kurator jemputan iaitu Azzad Diah..
Pengunjung diajak untuk melihat “sunyi” bukan sekadar kesepian, tetapi sebuah ruang untuk introspeksi dan penghargaan terhadap kehidupan, mengingatkan kita kepada suasana perayaan Nyepi di Bali yang diraikan dalam keheningan penuh spiritual.
Simposium Bakat Muda Sezaman: Melakar masa depan seni
Pada masa yang sama, Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 yang diadakan di Hotel Grand Continental Langkawi dari 15 hingga 17 November menghimpunkan beberapa nama besar dalam dunia seni seperti Wong Hoy Cheong dari Malaysia, Moelyono, dan Dr. Tisna Sanjaya, dari Indonesia. Program ini menekankan kepentingan seni komuniti dan seni site-specific sebagai medium komunikasi dan perubahan.
Salah satu perbincangan utama ialah bagaimana seni mampu merentas sempadan sosial dan budaya untuk menjadi alat transformasi komuniti.
Dalam sesi ini, para peserta didedahkan kepada pendekatan seni yang relevan dengan tema, sebagai persediaan untuk Pertandingan Bakat Muda Sezaman yang bakal tiba.
Kurator dan pelukis tempatan turut berkongsi pengalaman mereka, memberi panduan kepada seniman muda tentang bagaimana menghasilkan karya yang mampu memberi impak besar dalam konteks lokal dan antarabangsa.
Mengangkat seni ke tahap lebih tinggi
Pameran dan simposium ini membuktikan peranan penting Balai Seni Negara dalam membangunkan bakat muda sambil memastikan seni kontemporari Malaysia terus berkembang.
Dengan memanfaatkan keunikan Langkawi, kedua-dua program ini menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara seni, masyarakat, dan alam sekitar.
Sebagai langkah ke hadapan, inisiatif ini tidak hanya sekadar menyuburkan kreativiti individu tetapi turut menyumbang kepada pembangunan industri seni secara keseluruhan.
Kehadiran tokoh-tokoh besar sebagai pembimbing juga memberi inspirasi kepada seniman muda untuk berani mencabar diri dan menghasilkan karya yang mampu bertahan dalam arus perubahan zaman.
Bagi masyarakat umum, acara ini adalah peluang istimewa untuk merasai pengalaman seni yang mendalam sambil menyokong usaha pengkarya muda.
Dengan melibatkan diri, pengunjung bukan sahaja menjadi saksi kepada kebangkitan bakat baru, tetapi juga menyumbang kepada kelestarian seni kontemporari di Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh diperoleh melalui laman web rasmi Balai Seni Negara di www.artgallery.gov.my atau platform media sosial rasmi mereka. Ayuh, luangkan masa di Langkawi untuk menyelami keindahan seni kontemporari dan memberi sokongan kepada generasi baharu seniman tempatan.

