Dari 7 hingga 28 Februari 2026 lalu telah berlangsungnya sebuah pameran seni bertajuk Pendulum- Between Two Forces (Bandul- Di Antara Dua Daya) yang berlangsung di Galeri Harta, Ampang. Ia merupakan sebuah pameran kuratorial yang berangkat dari pemerhatian saya selaku kurator berkenaan ketegangan di antara intelektualisme, ekspresi dan komersialisme dalam praktis kesenian kontemporari. Selain perasmian pameran oleh Dr. Jalaini Hasan pada 7 Februari turut berlangsungnya forum seni yang membincangkan berkenaan tajuk pameran.
Ahli panel terdiri daripada seorang kurator dan penulis seni iaitu Encik Badrolhisham Mohd Tahir berserta seorang artis iaitu Azlan Mam. Encik Badrolhisham Mohd Tahir telah memberikan ulasan berkenaan intipati pameran melalui eseinya bertajuk Order in Chaos: Mempertahankan Autonomi Seniman sebagai ulasan pasca forum yang telah diterbitkan oleh SeniMalaya pada 10 Februari. Di sini saya sertakan esei kuratorial sebagai sebuah perkongsian bersama para seniman, galeris, ahli akademik, kolektor, penulis, kurator dan peminat seni.
Esei ini telah diterbitkan dalam Bahasa Inggeris oleh Galeri Harta dalam katalog pameran, namun saya terbitkan dalam terjemahan Bahasa Malaysia di laman web Senimalaya bagi capaian bacaan audien yang lebih meluas terutama sekali kepada yang tidak dapat menghadiri pameran tersebut. Setinggi ucapan terima kasih kepada Galeri Harta atas kebenaran menerbitkan esei ini.
Semoganya pameran ini dapat dijadikan sebagai wadah wacana yang bermanfaat untuk dikritik dan diperkatakan di kalangan penggiat seni.
ESEI KURATORIAL PAMERAN
PENDULUM – Di Antara Dua Daya
“Seni di Malaysia berdiri di antara dua kekangan; di satu sisi, terdapat keinginan untuk mempersoal, menyingkap ilusi, serta mengukir makna daripada sejarah, budaya dan keberadaan itu sendiri. Ia merupakan suatu proses berfikir, suatu proses menjadi, suatu daya liar yang menentang apa yang telah diberikan. Di sisi yang lain pula wujud jentera perdagangan, di mana seni mula melentur mengikut tuntutan pasaran; nilainya ditentukan oleh pengiktirafan, bentuknya dibentuk agar mudah difahami, mudah dibeli, dan mudah dihadam. Di antara kedua-dua daya ini terbentang sebuah jurang; mereka yang berfikir berisiko tenggelam dalam ketidakjelasan, manakala untuk menjual bererti menyerah kepada jangkaan. Namun demikian, mereka tetap harus berada di tengah-tengahnya, terperangkap antara ekstasi penemuan dan keperluan untuk bertahan hidup, tergantung dalam ketegangan besar di mana keberadaan itu sendiri bergetar di ambang penciptaan dan peleraian.”
– Dr. Fuad Arif
Pameran PENDULUM berangkat daripada renungan yang diungkapkan oleh Dr. Fuad Arif mengenai keadaan semasa amalan seni di Malaysia, yang dikongsikan secara terbuka melalui Instagram pada 21 Februari 2025. Kenyataan ini merangkum suatu ketegangan yang bukan bersifat abstrak mahupun teoritis semata-mata, sebaliknya berakar dalam realiti kehidupan para seniman, kurator dan pekerja budaya yang beroperasi dalam ekosistem seni tempatan. Ia merupakan suatu keadaan yang dikenali secara meluas dan sering dirunding secara senyap, namun jarang sekali dibincangkan melalui artikulasi kritikal yang berpanjangan.
Sekitar tiga hingga empat dekad yang lalu, pasaran seni belum muncul sebagai suatu kebimbangan dominan dalam wacana seni Malaysia. Dalam tempoh yang ditandai oleh pembinaan identiti kebangsaan, kedudukan budaya, serta kritikan politik pasca Reformasi, seni berfungsi terutamanya sebagai medan penyelidikan intelektual dan penentangan ideologi. Penghasilan seni pada ketika itu lazimnya difahami sebagai suatu amalan kritikal dan diskursif, manakala persoalan kelangsungan ekonomi kekal di pinggiran, sering tidak disebut dan jarang diperhalusi. Pemahaman yang dominan meletakkan seni sebagai ruang autonomi bagi refleksi, imaginasi dan pembangkangan.
Namun begitu, landskap masa kini memperlihatkan suatu transformasi yang mendalam. Perubahan global dalam ekonomi politik, yang didorong oleh penstrukturan semula neoliberalisme, telah mengubah secara fundamental hubungan antara seni, mekanisme pasaran dan kehidupan seharian. Pada hari ini, seni semakin terjalin dalam sistem peredaran, keterlihatan dan konsumsi. Transformasi ini bukan sekadar mengubah cara pengedaran karya, malah turut membentuk semula niat artistik, bentuk karya serta cara ia diterima. Seniman kontemporari kini terpaksa merunding suatu medan di mana autonomi kreatif sentiasa terikat dengan tuntutan ekonomi.

Esei penting Walter Benjamin, “The Work of Art in the Age of Mechanical Reproduction”, menawarkan kerangka teori awal untuk memahami perubahan ini. Benjamin berhujah bahawa apabila seni menjadi tertakluk kepada reproduksi dan peredaran massa, nilainya cenderung beralih daripada kepentingan ritual dan kritikal kepada apa yang disebut sebagai nilai pameran, di mana keterlihatan dan kebolehcapaian menjadi lebih utama (Benjamin 1968). Walaupun analisis Benjamin berakar dalam konteks reproduksi mekanikal, relevansinya masih berterusan dalam ekonomi budaya kontemporari, di mana platform digital, rangkaian institusi dan keterlihatan pasaran semakin menentukan nilai artistik. Dalam keadaan ini, nilai sesebuah karya sering diukur bukan melalui resonans kritikal atau kedalaman epistemologinya, tetapi melalui keupayaannya untuk beredar, menarik perhatian, dan mengekalkan minat pasaran.

Keadaan ini menjadi semakin ketara dalam apa yang dikenal pasti oleh Fredric Jameson sebagai kapitalisme lewat (late capitalism), suatu fasa di mana logik ekonomi menembusi hampir semua domain penghasilan budaya dan simbolik (Jameson 1991). Budaya tidak lagi beroperasi sebagai ruang autonomi yang terpisah daripada struktur ekonomi, sebaliknya menjadi sepenuhnya terintegrasi dalam proses pengeluaran dan penggunaan kapitalis. Dalam kerangka ini, seni semakin berfungsi sebagai produk budaya, manakala seniman dikehendaki memikul pelbagai peranan serentak sebagai pengeluar, usahawan, pengurus jenama dan pencipta kandungan. Buruh artistik tidak lagi dapat dipisahkan daripada tuntutan keterlihatan, jaringan sosial dan kebolehlangsungan ekonomi.

Namun demikian, hubungan antara seni dan pasaran tidak dapat difahami secara memadai melalui pertentangan binari yang mudah. Falsafah Gilles Deleuze menolak dualisme tetap, sebaliknya memahami realiti sebagai medan daya yang sentiasa bergerak dan berubah. Bagi Deleuze, makna tidak muncul daripada pertentangan yang stabil, tetapi daripada proses menjadi yang berkembang melalui ketegangan, perbezaan dan pengulangan (Deleuze 1987). Pendulum yang menjadi metafora dalam pameran ini tidak melambangkan keseimbangan atau kestabilan. Sebaliknya, ia menandakan pergerakan berterusan yang terhasil daripada daya-daya yang saling menekan, menentang dan mempercepat antara satu sama lain.
Dalam amalan seni, penyelidikan kritikal dan penyertaan dalam pasaran bukanlah kedudukan yang saling menafikan, tetapi daya yang saling bergantung dan menghasilkan ketegangan bersama. Justeru, dalam ketegangan inilah seni kontemporari menemukan bentuk, arah dan keperluannya. Pendulum tidak berayun menuju penyelesaian, tetapi menuju rundingan yang berterusan. Dalam pengertian ini, pameran ini tidak bertujuan membuat penghakiman moral antara integriti dan komersialisme, sebaliknya menyingkap kondisi di mana amalan artistik berlangsung.
Kerumitan ini menjadi lebih ketara apabila digabungkan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, ketidakstabilan politik serta perkembangan pesat kapitalisme melalui proses digitalisasi. Daya-daya ini bukan sahaja memperluas ruang konsumsi, tetapi juga menguatkan kecenderungan untuk menilai seni melalui ukuran kuantitatif seperti harga, populariti dan pengiktirafan institusi. Apabila seni difahami semata-mata sebagai komoditi, kapasiti kritikalnya berisiko terhakis. Bahaya sebenar bukan terletak pada kewujudan pasaran itu sendiri, tetapi pada saat apabila logik pasaran menjadi satu-satunya kerangka bagi menilai seni.

Dalam konteks Malaysia, keadaan ini diperhebat oleh pasaran seni yang relatif kecil, sokongan institusi yang tidak konsisten, serta kos sara hidup yang semakin meningkat. Realiti ini pernah diungkapkan oleh seniman dan bekas pendidik Prof. Dr. Jalaini Abu Hassan yang menyatakan bahawa pelukis perlu berada dalam keadaan kewangan yang stabil untuk mengekalkan amalan seni mereka (Facebook, 23 November 2025). Kenyataan ini menonjolkan kelangsungan material sebagai prasyarat kepada kesinambungan praktik artistik, sambil pada masa yang sama menegaskan kepentingan naratif dan kedalaman konseptual sebagai unsur yang memberikan berat intelektual kepada penghasilan seni. Keperluan ekonomi dan niat kritikal oleh itu bukanlah perkara yang terpisah, tetapi kondisi yang harus dirunding secara serentak.
Seperti pendulum dalam pengertian Deleuzian yang sentiasa berada dalam keadaan menjadi, amalan seni kontemporari berayun antara kekacauan dan keteraturan, antara pengkomoditian dan penciptaan makna, tanpa titik rehat yang pasti. Dilema yang dihadapi oleh seniman Malaysia hari ini melampaui persoalan kelangsungan hidup atau penyertaan dalam pasaran semata-mata. Ia menyentuh orientasi masa depan seni itu sendiri, sama ada seni masih mampu berfungsi sebagai ruang pemikiran kritikal, penyelidikan epistemologi dan transformasi sosial, atau berisiko semakin terkurung dalam logik pengeluaran budaya kapitalisme lewat.

Pameran Seni PENDULUM – Saat-Saat Ayunan
Dalam persekitaran seni yang semakin terkomoditi, bahasa yang dipermudah dan bentuk visual yang mudah dibaca sering diberi keutamaan kerana kebolehcapaian pasaran. Strategi estetik yang menekankan kesegeraan dan daya tarik permukaan sering dipilih kerana mudah dikonsumsi. Sebaliknya, karya yang menuntut renungan berpanjangan, mengganggu naratif dominan, atau menimbulkan ketidakselesaan sering menghadapi kesukaran untuk mendapat ruang dalam sistem yang digerakkan oleh keuntungan dan pusing ganti yang cepat. Amalan eksperimental, khususnya yang menggunakan bahan dan proses tidak konvensional, menawarkan bahasa visual alternatif yang bertindak balas terhadap realiti teknologi, industri dan sosio-politik, sekali gus memperluas kapasiti ekspresif seni kontemporari.

Karya-karya dalam PENDULUM disusun tanpa struktur naratif yang linear. Keputusan kuratorial ini mencerminkan sifat seni Malaysia kontemporari yang terpecah, bercanggah dan heterogen. Ruang pameran menjadi medan kewujudan bersama di mana pelbagai amalan beroperasi serentak, kadangkala dalam harmoni, kadangkala dalam geseran. Empat belas seniman mempersembahkan karya merentasi pelbagai media, bahan dan orientasi konseptual. Kenyataan Martin Heidegger bahawa seni bukan sekadar objek tetapi suatu peristiwa menyediakan kerangka penting untuk memahami karya-karya ini. Dalam The Origin of the Work of Art, Heidegger berhujah bahawa seni merupakan tempat di mana kebenaran didedahkan, di mana realiti yang tersembunyi oleh persepsi kebiasaan tersingkap seketika (Heidegger 1971). Dalam pameran ini, karya seni berfungsi bukan sahaja sebagai bentuk estetik, tetapi sebagai peristiwa yang menyingkap kondisi kewujudan kontemporari yang dibentuk oleh daya ekonomi, budaya dan teknologi.

Karya seperti Rindu Tak Berpenghujung oleh Adham Kamal dan The Sweet Liar oleh Rashid Noor menggunakan bahan mentah dengan manipulasi yang minimum, membenarkan materialiti itu sendiri menegaskan kehadiran eksistensialnya. Amalan ini beresonansi dengan penekanan Heidegger terhadap sifat agen bahan dalam menyingkap makna. Dalam kerangka berorientasikan pasaran, bahan alternatif seperti ini sering dianggap kurang tahan atau tidak memiliki daya komersial, sekali gus mengehadkan peluangnya untuk dipamerkan dan diedarkan. Keadaan ini secara tidak langsung menyekat eksperimen serta mengukuhkan jangkaan estetik yang konservatif.

Instalasi Ezlyn, Ruang Hampa, menyoal hubungan antara realiti digital dan fizikal, serta mempersoalkan bagaimana nilai artistik ditentukan merentasi mod pengalaman yang berbeza. Karya ini mengangkat persoalan kritikal mengenai pemilikan, perwujudan tubuh, dan hierarki antara seni berasaskan objek dengan bentuk pengalaman, khususnya dalam konteks institusi dan pasaran.
Instalasi Faizal Wahab, Self Portrait As a Runner, mencabar norma institusi berkaitan pemilikan dan pameran karya seni. Dengan mempersembahkan sisa peluh tubuhnya yang terkumpul sepanjang tempoh larian maratonnya dari tahun 2023 hingga 2024 , karya ini menonjolkan buruh, durasi dan pengalaman hidup. Ia mencabar keutamaan terhadap objek yang digilap dan hasil yang boleh diukur, sambil menegaskan bahawa nilai seni terletak pada penemuan atau pengalaman yang dialami, bukannya pemilikan.
Nasrul Rokes buat sementara waktu meninggalkan medium catan untuk meneroka objek readymade yang diubah suai serta cetakan atas kertas. Peralihan ini memperlihatkan keinginan terpendam Nasrul untuk beroperasi di luar kekangan jangkaan yang terikat kepada medium tertentu. Karyanya, Sucker 3000, memperkenalkan kritikan sosial yang menyimpang daripada praktik terdahulunya, sekali gus mendedahkan kerentanan dan mempersoalkan pembinaan identiti normatif.

Izzat Aziz, seorang seniman multidisiplin, melibatkan audiens melalui instalasi interaktif, menjadikan penyertaan audien sebagai komponen penting karya itu sendiri. Karyanya, Dah Penuh, mengkritik budaya Fear of Missing Out (FOMO), satu fenomena yang semakin menonjol dalam budaya media sosial, didorong oleh keinginan untuk dilihat dan memperoleh pengesahan kewujudan. Keadaan yang serupa juga dapat diperhatikan dalam dunia seni kontemporari, di mana seniman semakin diposisikan sebagai selebriti atau jenama untuk mengekalkan relevansi dalam logik pasaran seni.

Penglibatan kritikal tidak terhad kepada amalan instalasi semata-mata. Catan, lukisan dan arca, walaupun sering dikaitkan dengan pengkomoditian, tetap berupaya mengekalkan kedalaman konseptual. Seperti pemerhatian yang dilakukan oleh Robert Hughes, keraguan dan konflik dalaman merupakan unsur yang tidak terpisahkan daripada praktik artistik yang serius, terutamanya apabila berhadapan dengan sistem nilai pasaran.
Rundingan ini dapat dilihat dalam The Ballads of Local Magnitude oleh Azlan Mam, yang merefleksikan realiti pasca pandemik yang telah membentuk semula keadaan sosial, psikologi dan ekonomi di peringkat global. Azlan mengamalkan pendekatan pertengahan di mana penyelidikan kritikal wujud bersama penyertaan dalam pasaran tanpa membiarkan salah satunya mendominasi niat artistik. Keadaan yang seakan serupa turut terzahir dalam Token of a Broken Time oleh Izhar Yusrin, yang merefleksikan keterasingan seniman itu sendiri daripada komuniti seni akibat kekangan masa dan tekanan kewangan.
Karya ini mendedahkan kondisi struktur yang membentuk penyertaan dan kesinambungan praktik artistik, menunjukkan bagaimana realiti ekonomi secara langsung mempengaruhi penghasilan kreatif.

Catan kekal sebagai medium dominan dalam pasaran seni kerana kemudahannya untuk diedarkan dan dimiliki. Namun demikian, potensi konseptualnya sering dibayangi oleh statusnya sebagai komoditi.
Seniman seperti Ahmad Syahrul dan Azim Rodi bertindak balas terhadap keadaan ini dengan menggugat kerataan kanvas melalui ilusi tiga dimensi. Syahrul menggunakan teknik hyperrealism untuk mensimulasikan lipatan, koyakan dan ilusi material pada lukisan kanvas mentahnya, Quiet Structure. Melalui pendekatan ini, beliau mencabar persepsi realiti konvensional yang sering dibentuk oleh proses simulasi.
Azim pula menterjemahkan strategi ruang berasaskan mural ke dalam konteks galeri. Catannya, Is It Like That? menyerupai teknik penghasilan mural yang lazim ditemui di ruang awam luar dan sering dikaitkan dengan seni jalanan. Pendekatan ini menyentuh jurang lama antara apa yang sering disebut sebagai seni tinggi dan seni rendah, satu pemisahan yang telah lama membentuk persepsi masyarakat terhadap seni.
Karya Arif Fauzan Othman, The Past Is Your Abstract, memperlihatkan sintesis antara realisme dan abstraksi, mencerminkan proses transformasi yang berterusan dan menolak kebekuan gaya. Melebihi sekadar persoalan gaya, catan ini menekankan kepentingan hubungan antara kemahiran teknikal dan niat ekspresif dalam merealisasikan karya seni yang berkesan.

Walaupun arca tidak menduduki posisi dominan dalam pasaran seni, medium ini menawarkan bahasa yang berbeza, berakar pada materialiti dan kehadiran ruang. Karya arca An-Nur oleh Burhanuddin Bakri dan Askar Jalanan oleh Hazim Jaffry menggunakan bahan yang hampir serupa namun berbeza dari segi pendekatan estetik.
Permukaan halus karya Burhanuddin beresonansi dengan tradisi kaligrafi dan spiritual, manakala bentuk kasar dan sengaja tidak disempurnakan dalam karya Hazim mencabar jangkaan konvensional terhadap kemahiran dan keindahan. Kedua-duanya memiliki nilai komersial, namun menarik kepada kerangka persepsi dan ideologi yang berbeza. Bentuk seni tradisional sering dipinggirkan sebagai sesuatu yang lapuk atau tidak lagi seiring dengan wacana kontemporari. Namun karya seperti 佛 (Buddha) oleh Tee Ying Jie menunjukkan bahawa tradisi masih bersifat responsif dan adaptif, berupaya berinteraksi dengan kondisi moden melalui pembaharuan dan tafsiran semula.

Akhirnya, PENDULUM mengajak audiens untuk mendekati karya-karya ini sebagai manifestasi realiti kehidupan artistik. Penghasilan seni berlangsung melalui ketidakpastian, percanggahan dan rundingan yang berterusan. Keseimbangan bukan sesuatu yang stabil mahupun terjamin.
Apa yang kekal penting ialah kehadiran para perantara seperti kurator, penulis dan audiens yang mampu mengartikulasikan dimensi epistemologi seni. Kejayaan artistik tidak boleh direduksi kepada jualan atau keterlihatan pasaran semata-mata, tetapi harus difahami melalui keupayaan seni untuk menyingkap, mempersoal dan menyumbang secara bermakna kepada pemahaman kolektif.
Rujukan:
Benjamin, Walter. 1968. The Work of Art in the Age of Mechanical Reproduction. In Illuminations. New York Schocken Books.
Deleuze, Gilles. 1987. A Thousand Plateaus. Minneapolis University of Minnesota Press.
Heidegger, Martin. 1971. The Origin of the Work of Art. In Poetry Language Thought. New York Harper and Row.
Jameson, Fredric. 1991. Postmodernism or The Cultural Logic of Late Capitalism. Durham Duke University Press.
