HENDAK pun saya tidak punya data statistik akan status (tingkat) minat pelajar di sekolah pada sejarah, tetapi bila bersama khalayak pengkarya dan berada dalam habitat muzium, saya dapat merasakan minat pada sejarah tidak pernah luntur malah makin bertambah.
Ini boleh kita lihat dengan bertambahnya banyak buku dalam hal-hal sejarah dalam pasaran, dari tulisan-tulisan ringan atau berat (akademik), terbitan tulisan terbaru mahupun terjemahan naskah lama ke bahasa Melayu, baik dari terbitan kecil-kecilan mahu pun terbitan perdana.
Kita hidup dipenuhi oleh sejarah; tempat yang kita tinggal dikelilingi oleh kejadian yang punya sejarah, yang memperkenalkan kisah-kisah lara, perjuangan dan kejayaan dengan watak-watak dan tokoh-tokoh setempat. Dan di sekolah kita masih ada mata pelajaran sejarah. Hanya lagi kita tidak dapat mengagak dengan tepat bagaimana ahli-ahli dan sarjana sejarah (penulis buku teks sejarah) mampu menunjukkan peranan yang dapat dimainkan oleh sejarah kita —impak kepada masyarakat tempatan dan selanjutnya kepada masyarakat luar.
Maka kali ini kita saksikan satu event anjuran Morne Art Gallery dengan kerjasama Muzium Negeri Kedah mengingati period sejarah yang bukan sahaja penting malah terkenal (mahu lagi pada penduduk tempatan) mahu pun kurang diangkat apatah lagi disertakan dalam buku sejarah sekolah.
Itu adalah Perang Musuh Bisik. Peperangan di antara negeri Kedah dengan negeri Siam yang berlarutan hingga 21 tahun dari 1821 sehingga tahun 1842 dan merupakan antara peperangan terpanjang di Tanah Melayu.
Sememang sudah ada berlaku tentangan dari Kedah terhadap Siam sebelumnya, tetapi bermula pada bulan November 1821 terjadi satu peperangan yang sangat tragik dan sadis mengorbankan ramai penduduk tempatan hingga membuat ramai melarikan diri ke merata tempat terselamat.
Keistimewaan event yang dianjurkan oleh Morne Art Gallery di Muzium Negeri Kedah bila mengambil subjek Perang Musuh Bisik adalah mengambil sudut pandang aspek gastronomi (bekalan makanan) perang pihak Kedah iaitu Pameran Seni Instalasi Gastronomi.
Satu program tentang masakan tradisional Melayu Kedah ketika perang dahulu kala yang dikendali oleh Chef Din. Sampingan pada ‘event sejarah’ itu; diraikan sebahagian pelukis Kedah dengan satu pameran seni tampak di dalam ruang galeri muzium.
Seni tampak Kedah punya sejarah susur galurnya sendiri. Jumlah besar werk di pameran diangkat dari koleksi Muzium Negeri Kedah dan ditokok dari kolektor dan dari artis sendiri. Ingin pihak kurator berdua, penganjur dan pihak muzium negeri merakamkan terima kaseh pada kolektor Pakharuddin Sulaiman dan pada artis: Mohd Tajali Abdullah, Ahamad Fauzi Hassan, Annassuwandi Ahmad, Rohaizad Shaari, Lily Dzarleena Shamsuri dan Luq Zaidismail atas pinjaman werk terpilih.
Di sini penyangkalan harus dibuat: pilihan werk Pameran Seni Lukis Kedah: Berbisik ini bukan mengklaim cuba menggambarkan atau mengilustrasikan Perang Musuh Berbisik dari cara harfiah (literal), bukan pada peperangan dan aspek gastronomi per sec tetapi cuma ingin memberi suatu pandangan ringkas aura situasi negeri Kedah dalam kontek Perang Musuh Bisik.
Dalam abad 18 kerajaan Negeri Kedah berada dalam naungan dan dianggap di bawah taklukan kerajaan Siam. Rakyat negeri (orang kebanyakan) hidup bermasyarakat di kampong-kampong di dalam pendalaman di luar kawasan istana. Mereka berbendang dan bercucuk tanam.
Bagi mereka yang melakukan urusan dagang, pentadbiran negeri dan perkhidmatan dalam istana akan tinggal berhampiran kawasan istana. Kita tidak punya tradisi seniman seni lukis berada atau bekerja di dalam istana untuk mempotraitkan watak-watak sultan dan kerabat atau gambaran istana. Jadi yang ada kini hanya photo-photo terkemudian yang diambil, kala bersama pegawai -pegawai British.
Begitulah yang telah diakui lukisan Melayu (Malaysia) bermula dengan seni lukis cat air. Pelukis senior yang terserlah menempah nama dengan bakat semula jadi iaitu belajar sendiri (self-taught) adalah AB Ibrahim bersama adiknya dan temannya, AJ Rahman.
Grup ini gemar menggambarkan pemandangan indah; pantai dan suasana kampong. Dua karya cat air AB Rahman ‘tanpa tajuk’ menggambarkan sebuah rumah di tepi bendang sambil seorang berteduh rehat dan seorang lagi di tepi rumah berkerja bersendirian. Dalam bingkai kedua, pemandangan sawah padi dengan empat wanita sedang tekun mencucuh padi di sawah. Suasana ini dapat membayangkan keadaan aman damai alam kampung Melayu jika tidak diganggu oleh anasir luar.
Penduduk mengenali jiran sekampungnya diutarakan melalui gotong royong berkerja sama di sawah oleh pelukis Rohaizad. Beliau salah seorang pelukis angkatan baru Kedah yang meneruskan lukisan landskap medium cat air. Rohaizad mendapat pendidikan seni halus dari UITM. Tiga karyanya di sertakan ’Sawah ll’ (1992), ‘Kampung Pulau Pisang’ (2023) dan ‘ Kampong Paya Pahlawan’ (2023) yang juga mengambarkan pemandangan sawah dan jalan besar menuju ke dalam kampung. Satu daripadanya menunjukkan suasana matahari mulai terbenam.
Siasah percaturan pegang kuasa dalam Perang Musuh Bisik bagi orang umum agak rumit dan mungkin mengelirukan. Ia melibatkan kuasa besar dari Burma, Siam dan kerajaan Melayu dibawah jajahannya, pemerintahan British di Delhi dan pegawai British di Tanah Melayu, negeri Acheh, Perak, Selangor hingga ke Melaka.
Orang Bugis tentera upahan terkenal dengan kepahlawanan dan seni peperangan berdekatan hanya menunggu dijemput terlibat sama. Siam yang masih dalam ancaman Burma mengunakan Ligor (pusatnya di selatan) menakluki Kedah dengan alasan memaksa Kedah menjajah Perak.
British yang memang telah menapak di Tanah Melayu juga tidak ketinggalan bercampur tangan. Perjanjian dibuat antara British dan Siam di mana pada dasarnya sekatan dagang tidak ada dan akan terjalin hubungan tulus dan mesra antara British dan Siam, antara lain ia hanya untuk kebaikan bagi pihak mereka berdua dengan tambahan negeri Perak tidak diserang.
Tidak banyak rujukan boleh didapati untuk mendalami dengan lebih jelas dan tepat akan kejadian dan peristiwa perang itu. Naskah tempatan paling terkenal yang ada mengandungi sejarah Kedah lama adalah Hikayat Merung Mahawangsa.
Oleh itu karya pelukis Annuar Rashid yang pernah menempah nama melalui karya penting berdasar sebuah hikayat iaitu Hikayat Indraputera ada dipilih.
Hikayat Melayu banyak yang membawa legenda dan mitos tanpa mementingkan tarikh di dalam naratif menjadi penyebab penghalang ia dapat dijadikan sebuah naskah sejarah benar yang diambil serius terutama oleh barat.
Sebuah karya Annuar bertajuk ‘Tanpa Tajuk’ 1986 simpanan kekal Muzium Negeri Kedah bergenre semi-abstrak menunjukan sosok dan mimik muka terseksa di antara aliran warna-warna yang kacau bilau bersimpang suil di kanvas.
Permainan warna dalam ‘Abstrak’ 1984 Sharifah Fatimah Zubir agak lebih menjanjikan ketenteraman dan aman melalui berbagai keindahan warna yang berlatarkan warna biru dan dengan ’Pelayaran Bugis’ 1984 Ismail Zain, karya dilaksanakan dengan persisi; tepat, cermat dan betul kerana ukuran diambil kira di dalam menyiapkan hasil karya, seolah persis perkiraan orang Bugis yang keluar berperang atau berada di dalam pelayaran.
Seorang lagi anak jati kelahiran Yan Kedah, pengkarya besar dan senior Ibrahim Hussein dengan werk cetak (prints) 1986 & 1988 dalam simpanan Muzium sini berimej aktiviti sukan: aktiviti rakyat bersukan hanya kali ini Ibrahim melukis sukan zaman semasanya. Sukan yang diimport dari barat.
Perundingan dan perjanjian dibuat antara negera untuk mengelakan perbalahan sebelum terjadi peperangan. Peperangan akan membawa kezaliman dan penderitaan dan yang akan menanggung beban dan sengsara adalah rakyat.
Kezaliman yang memilukan rakyat Kedah dalam period Perang Musuh Bisik adalah peristiwa pasokan Raja Ligor di ketuai oleh anaknya muncul pada hari perkahwinan anak dua orang besar Kedah -perkhawinan antara anak Dato Laksamana dengan anak Dato Bendahara.
Mereka sampai ke situ dengan helah untuk mendapatkan makanan yang berkurangan disebabkan peperangan mereka dengan Burma. Dengan sangka baik Dato Bendahara mengerahkan orang ramai menyerahkan bekalan padi pada orang-orang Siam yang datang. Dalam diam tidak disangka tentera Ligor berjumlah 7,000 orang menyerang orang ramai dengan cara yang kejam: orang kampung dibakar hidup-hidup dan wanita hamil dibelah perut. Hingga ramai yang terpaksa lari ke luar negeri Kedah. Betapa licik tipu muslihat pasukan Ligor hingga 10 tahun kemudian baru Kota Kuala Kedah dapat dirampas balik dari mereka walaupun buat 5 bulan.
Karya arca sureal Mohd Tajali Abdullah 2020/2021 bertajuk ‘Kokok’ yang diperbuat dari kayu Lancong mempunyai badan seperti ular yang datang mengelunsur membelit mangsa berkepala ayam, telinga berputar kedalam dan muka monyet berjanggut tetapi ditegakkan seolah seekor ular sawa yang bersedia menyerang. Pertampilannya ganjil, tegak membinasa dan bunyi (kokok) nyaring amaran bala mendatang.
Werk campuran di kanvas 2015 oleh Lily Dzarleena bertajuk ‘Baca’ mengundang kita membaca. Lily mengunakan perkataan Iqra yang bererti bukan sahaja baca tetapi juga telaah dan faham agar bertindak. Pesan ini ditujukan untuk masyarakat di sekeliling supaya membaca keadaan di sekeliling agar jangan seperti katak bawah tumpurung.
Rakyat Kedah terkenal dengan seni mempertahankan diri digambarkan dengan karya Amron Omar 1998 bertajuk ‘Pertarungan’. Amron pelukis figuratif dengan siri lukisan pertarungan mengkaji seni pencak silat dan ngeliat badan dengan kekuda kukuh melawan musuh di luar atau dalaman diri sendiri di dalam pertempuran di kanvasnya.
Ahmad Fauzi Hassan memberi antitesis pada situasi orang asing dengan ‘Apa Tengok Tengok…Ada Hutang Ka’ karya lukisan tahun 1979 dengan wajah ‘close-up’ yang mengejek dan memperlekehkan.
Negara yang terancam akan membuat perikatan dengan mana-mana pihak yang boleh dibersepakatkan. Seperti dalam perjanjian ada juga pihak yang tidak mematuhi perikatan janji mahu pun yang berada di dalam negeri sendiri. Disebabkan kepentingan diri orang-orang tertentu sanggup belut pada tanah airnya. Ini berlaku pada orang Kedah juga. Raja Ligor (mewakili Siam) mendapat sokongan dari pihak British yang sudah menjanjikan keselamatan pada Kedah.
Bukan sahaja tentera British bersama tentera Siam tetapi juga bekalan makanan dan perubatan untuk Kedah disekat. Sejak bermula Perang Bisik Musuh tahun 1821 dan jatuhnya Kuala Kota Kedah dengan ada pertolongan orang dalam, bagi menghalau balik orang Siam dan menawan Kota Kuala Kedah, Kedah mendapatkan pertolongan dari Acheh, Negeri Sembilan (Rembau), Kelantan, Terengganu, Pahang dan juga dari Sulu dan berjaya hanya pada tahun 1938. Itu pun selama 5 bulan kemudian ditewaskan semula oleh Siam hingga 1842, di mana sekali lagi Kedah berjaya merampasnya kembali.
Bagi mempamerkan anasir jahat orang dalam (baca orang sendiri) —orang yang penting yang diharapkan— adalah werk arca 2021 dari Zulkifli Yusof bertajuk ‘Sherif Masuk Penjara’ dipilih. Ia diperbuat dari besi keluli. Tubuh orang berjawatan tinggi dalam pentadbiran negara dengan stereotype misai watak jahat berdiri gah tetapi hanya untuk berjalan menuju penjara.
Pelukis Anassuwandi Ahmad melalui karya abstrak dari media campuran di kanvas 2016 ‘Ambiguity & Struggle (Ambiguiti & Perjuangan)’ menggunakan warna-warna seolah-olah pengaliran bukan sahaja darah tertumbah pada bumi yang telah digauli oleh berbagai macam anasir.
Fauzul Yusri anak kelahiran Kuala Muda menyumbang werk yang disiapkan pada 2008 bertajuk ‘Brother’. Fauzul seorang lagi lulusan UITM dalam bidang seni halus mempertajamkan kerja seni tampaknya dengan menerokai ragam silam pelukis terawal melukis dan menanggi warna yang mungkin yang terdapat dalam gua-gua bersejarah di Australia dan Peranchis.
Negeri Kedah dengan sejarah lama dan rakyat yang telah melalui penderitaan yang amat sangat hingga sanggup bertumpah darah untuk kemerdekaan dari penjajahan luar. Oleh itu mereka adalah orang yang megah punya kuat jati diri sambil itu mereka hanya ingin hidup tenteram aman dan damai yang dicerminkan oleh pelukis Luq Zaidiismail dengan dua lukisan 2016 ‘Pasar Berbisik Bisik Kuala Muda’ dan ‘Jantung Pisang’.
Aktiviti unik berniaga berbisik cara tempatan dan pohon pisang dan pohon kelapa adalah tumbuhan yang penting dalam kehidupan mereka. Buah-buahnya untuk di makan dan yang lainnya batang pohon, daun hingga ke sabut banyak kegunaan dalam hidup harian mereka.
Sumbangan werk pelukis Ahmad Fauzi Hassan guru pada ramai artis-artis muda Kedah dengan tepatnya adalah lukisan ‘Pokok Kelapa’ 2017 dan lukisan 2017 yang amat bersesuaian dalam kontek Pameran Pelukis Kedah: Berbisik sempena Perang Musuh Bisik di Muzium Negeri Kedah adalah imej penyambungan hubungan seorang datuk dengan cucunya.
Maka sejarah tidak boleh diabaikan mahu sekali dilupakan.
Wassalam.
