Di negara ini, jarang-jarang kita dengar pameran kartun dan komik diadakan di bandar kecil selain bandar-bandar atau kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Shah Alam, Johor Bahru, dan Gerogetown. Namun ini yang berlaku di Tangkak, Johor.
Pada 28 Ogos 2025 (Khamis), telah berlangsung majlis perasmian “Pameran Kartun dan Komik: Wajah Anak Malaysia” di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) cawangan Tangkak. Pameran yang berlangsung sehingga 30 September 2025 itu memperagakan karya-karya kartun editorial oleh kartunis Deen dan komik nukilan MF Ajif, di sampimg peragaan bahan-bahan penerbitan lain seperti buku dan makalah mengenai seni visual, terutamanya mengenai komik dan kartun. Di samping itu, program itu turut diisi dengan sesi bicara seni bersama kartunis Deen, deklamasi puisi dan dendangan syair bertema kemerdekaan.
Pameran tersebut dianjurkan oleh Persatuan Komuniti Buku dan Pengkarya Tangkak Johor (KBKJ) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Cawangan Tangkak; Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan; Parlimen Ledang; dan Naskhah Karya Publication. KBKJ di bawah kepimpinan Mohd Isnin Tawaf sebagai Ketua 1 dan Cikgu Salleh Dermawan (Ketua 2) aktif menganjurkan pelbagai aktiviti pendidikan, kesenian dan kesusasteraan di Tangkak, khususnya untuk kebajikan masyarakat setempat dan nasional. Hal ini turut mendapat sokongan kuat Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan yang dipimpin Pengarahnya Dr. Syaidul Azam Kamarudin.
Usaha murni persatuan ini menganjurkan “Pameran Kartun dan Komik: Wajah Anak Malaysia” bukan sahaja menyemarakkan seni budaya di kalangan masyarakat setempat, khususnya berkaitan seni komik dan kartun, malahan menunjukkan suatu usaha gigih penganjur dalam memainkan peranannya sebagai moderator atau penghubung di antara karya seni, seniman dan khalayak, di samping memberi pengiktirafan terhadap seniman serta melestarikan seni dan budaya, khususnya di Johor.

Negeri Johor telah melahirkan ramai pelukis penting negara, termasuklah Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal, Sulaiman Esa, Hashim Hassan, Ponirin Amin, Anthony Lau, Fatimah Chik, Yusof Ghani, Chia Yu Chian, dan Rosli Zakaria, juga para kartunis penting seperti salah seorang pengasas majalah Gila-Gila iaitu Zainal Buang Hussein, yang turut menjadi inspirasi awal kepada kartunis Deen.
Penganjuran pameran ini bukan hanya penting dalam meraikan seniman tempatan, dalam konteks ini kartunis Deen yang berasal dari Segamat Johor dan pelukis komik MF Ajif yang berasal dari Tangkak, malahan untuk landskap seni komik dan kartun di negara ini, lebih-lebih lagi ketika negara meraikan Bulan Kemerdekaan.
Sejak era sebelum merdeka lagi, seni kartun dan komik sememangnya mempunyai peranan besar dalam meniupkan semangat kemerdekaan di kalangan masyarakat. Seni kartun boleh disifatkan sebagai wadah memberikan kesedaran kepada masyarakat perihal pentingnya usaha mencapai kemerdekaan dan membina jati diri bangsa sebagaimana dilihat dalam karya-karya kartunis perintis seperti Ali Sanat, Abu Bakar Mohd Nor, Abd Manan, Abdullah Abas, S.B.Ally, Saidin Yahya, Halim Teh dan kartunis-kartunis lain dalam akhbar Warta Jenaka, Utusan Zaman dan Majlis.
Selepas kemerdekaan, seni komik dan kartun bukan sekadar menghibur dan mendokumentasikan sejarah dan peristiwa, tetapi juga membangkitkan semangat perpaduan dalam mengisi erti sebuah kemerdekaan. Kartunis kontemporari seperti Lat, Nan, Zoy, Rossem, Zunar, Reggie Lee, Maro, Mie dan termasuklah Deen, meneruskan peranan seni kartun sebagai agen perubahan minda masyarakat dalam mencetuskan kesedaran dan sensitiviti terhadap alam sekeliling mereka.
Seni komik dan kartun adalah seni hibrid yang menggabungkan teks dengan imejan, atau tulisan dengan lukisan. Seni komik dan kartun juga kadang-kadang hanya mengandungi lukisan yang penuh simbol, kiasan, mesej, dan makna: berkomunikasi secara visual. Kartun editorial lazimnya memadatkan isu-isu yang kompleks dalam suatu bentuk persembahan yang padu untuk kefahaman khalayak, menyampaikan mesej dan makna serta mengkritik kepincangan dalam sistem pentadbiran negara dan sosiobudaya masyarakat. Kartun editorial menimbulkan kesedaran dan mempertingkatkan kepekaan masyarakat terhadap pelbagai isu dan alam sekeliling mereka.

Kartunis Deenbukan hanya terkenal menerusi karya-karya kartun editorial yang mengupas hal ehwal dan isu-isu sosiopolitik semasa, malahan pernah terlibat dalam pembikinan animasi dan kerja grafik, penghasilan kad raya, serta menghasilkan karya-karya kartun jenaka dalam pelbagai majalah humor tanah air seperti Gelihati, Humor, Gelagat dan Jenakarama.
Daripada budaya kerja orang Jepun yang dihayatinya sewaktu bertugas dengan syarikat Lensamation yang banyak menghasilkan animasi untuk Toei Animation seperti “Dragon Ball” serta meneliti karya-karya kartunis dan pelukis komik tanah air tersohor yang dikaguminya, Deen membina disiplin berasaskan prinsip yang disebutnya: “bagaimana kita boleh membuat sesuatu yang boleh diingati masyarakat; melakukan sesuatu bukan untuk kita, tetapi untuk masyarakat.” Bagi Deen, “kebolehan dan bakat melukis adalah anugerah Tuhan yang tidak harus disia-siakan.”
Hal ini pastinya menjadi asas kepada terhasilnya karya-karya beliau yang menggarap ragam kehidupan manusia seperti tercermin dalam bukunya Dunia Kartun: Ragam Orang Kita (Komik-M, PTS Media Group, 2022) dan Warna-Warni Ragam Orang Kita (Komik-M, PTS Media Group, 2023) yang diperagakan di pameran ini. Kini dia sedang menyiapkan buku ketiga yang menggarap tema yang sama.
Deen pernah bertugas dengan media selama 26 tahun, iaitu di Berita Harian, Metro dan New Straits Times. Di sini dia menghasilkan kartun editorial dan info grafik berita-berita utama termasuklah kes-kes mahkamah di mana dia bekerjasama erat dengan jurnalis dan editor. Deen menerima bimbingan daripada kartunis dan pelukis komik Zoy, yang dianggapnya sebagai “guru.” Bagi Deen, kerja-kerja grafik amat penting terutamanya dalam menyampaikan maklumat secara pantas, padu dan tuntas kepada pembaca.

Melalui kedua-dua buah buku Ragam Orang Kita, Deen menggarap isu-isu setempat dan global yang rencam sifatnya menerusi kaedah kontras dan perbandingan, merentasi tema-tema sosiopolitik, ekonomi, budaya dan hal ehwal persekitaran. Karyanya menyentuh subjek-subjek dalam kehidupan hari ini, seperti pencemaran alam, politik wang dan lompat parti, rasuah, pandemik Covid-19, konflik Israel-Palestine, masalah pelarian dan kemanusiaan. Sebagai jurnalis visual dan pemerhati masyarakat, Deen memaparkan sikap dan sifat masyarakat dalam realiti kehidupan hari ini untuk kita renungi dan hayati.
Keterperincian dan ketelitian pengolahan visual dalam kartun-kartun editorial Deen boleh dipadankan dengan karya kartunis-kartunis editorial Inggeris yang menghiasi akhbar-akhbar utama di England seperti Daily Mirror, The Independent, The Times, The Guardian, The Observer, Daily Mail dan Daily Telegraph. Hasil kerja kartunis-kartunis Inggeris seperti Chris Riddell, Peter Schrank, Martin Rowson, Peter Brookes, Steve Bell, dan Nicholas Garland begitu halus, bergaris dan terperinci.
Hal ini diperkukuhkan lagi dengan hakikat bahawa kaedah Deen menimba inspirasi dan idea dalam mengolah karya-karyanya ialah dengan merujuk kartun editorial global secara dalam talian, sebelum menghasilkan sesebuah karya akhir, sebagaimana dinyatakannya dalam sesi bicara karya: “Cerita Pengkarya: Dari Dalam Kartunis Deen” yang dimudahcara oleh Muhammad Danial Mukhlis Salleh pada hari perasmian pameran tersebut.

Sememangnya England mempunyai sejarah dan tradisi kartun politik yang panjang lagi kukuh. Sehingga kini, kartun-kartun editorial menjadi suatu komponen penting akhbar dalam menggambarkan serta memfokus kepada satu-satu isu yang utama, sama ada dalam dunia politik tempatan mahupun global. Menerusi kartun editorial, pembaca mampu memahami persepsi kartunis ataupun pendirian editorial akhbar terhadap sesuatu isu atau perkara yang signifikan.
Jika karya-karya kartunis Deen menggarap hal ehwal sosiopolitik masyarakat setempat dan global, karya ilustrasi dan komik MF Ajif pula bersifat imaginatif dan futuristik. Sebagai seorang pelukis dan ilustrator, ketrampilan seni digunakannya untuk memperjelaskan teks ke dalam bentuk visual dengan lebih berkesan dan menarik perhatian.
Sebelum ini, saya berpeluang menemui MF Ajif sewaktu menghadiri program “Book Street” yang memberi fokus kepada seni komik dan kartun di Amcorp Mall Petaling Jaya pada 3 Mei 2025. Di situ saya melihat dia tekun melukis. Darinya saya dapatkan naskah buku berjudul Seratus Cerita Tanpa Suara nukilan isterinya JunJohar dan diilustrasikan sendiri oleh Ajif.

Naskhah ini sarat dengan kata-kata yang menyejukkan, menenangkan dan menyembuhkan. Ia diisi dengan bait-bait kata yang mendekatkan pembaca dengan Tuhan Pencipta Alam: perihal diri, manusia, alam, Tuhan dan Ketuhanan. Ia bagaikan naskah motivasi, untuk lelaki dan wanita, remaja dan dewasa, mereka yang jatuh dan mahu bangun semula.
Dalam konteks ini, ilustrasi-ilustrasi oleh MF Ajif memberi nilai tambah kepada buku ini. Meneliti setiap ilustrasi, ada waktunya kita merasakan ilustrasi-ilustrasi itu seakan-akan tiada kaitan dengan teks yang dipersembahkan. Tetapi jika diamati sedalam mungkin, ilustrasi-ilustrasi itu sebenarnya boleh membuat pembaca berfikir, lantaran sifatnya yang imaginatif dan futuristik: menggerakkan minda khalayak untuk berimaginasi dan berfikir. Itulah antara kekuatan ilustrasi, bukan sekadar menerangkan dan memperjelaskan, tetapi juga menggerakkan minda dan pemikiran.
Dalam pameran ini, MF Ajif memperagakan lukisan-lukisan asli daripada komik terbaharunya yang berjudul Dragania: Salasilah 01 terbitan Buku Karangkraf Sdn. Bhd., 2025. Komik fantasi ini berkisar pada legenda naga dan kuasa luar biasanya, mempertemukan konflik antara watak utamanya Petaka Alam dengan syaitan Agus Wartaka. Dalam alam fantsai dan mimpi, banyak aksi pertarungan digambarkan dengan penuh emosi dan ekspresi, disulam dengan warna kelam dan kesan garis yang memungkinkan pembaca teringatkan komik-komik aksi dari Hong Kong. Meskipun demikian, unsur-unsur dakwah dan pegangan kepada kuasa Tuhan Pencipta Alam tidak dikesampingkan dalam plot seni bersekuen ini.

Komik MF Ajif ini mencerminkan trend dan kecenderungan pekomik masa kini, termasuklah karyawan alternatif dan penerbit independen yang menekankan kepada aksi dan ekspresi dalam ilustrasi. Seperti pekomik tersohor Indonesia Toni Masdiono dalam Yellow War (PT Wira Cerita Nusantara, 2024) dan Karimata 1890 (Creativ Media, Jakarta, 2019) ataupun pekomik dan kartunis tempatan Gayour melalui komiknya Badang Perkasa (Heart of Steel Enterprise, 2022), kekuatan ilustrasi menjadi keutamaan dengan kecenderungan terhadap sifat komik senyap atau silent comics yang menjana imginasi dan kreativiti pembaca dalam proses penghayatan mereka.
Majlis Perasmian Penutup pameran ini akan disempurnakan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, Dr. Syaidul Azam Kamarudin pada 30 September 2025 (Selasa) di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) di Tangkak. Turut diadakan nanti ialah pelancaran dua buku karangan penulis berjudul Rupa dan Jiwa: Sekitar Dunia Kartun (DBP, 2024) dan Rupa dan Jiwa: Pelukis, Peristiwa dan Persepsi Seni (DBP, 2025) yang akan dibicarakan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Rajermani Thinakaran, penulis dan pensyarah Universiti Antarabangsa INTI serta majlis penyampaian hadiah Pertandingan Melukis Komik bertemakan Saya Anak Malaysia.
“Pameran Kartun dan Komik: Wajah Anak Malaysia” yang memperagakan karya-karya Deen dan MF Ajif, serta bahan-bahan penerbitan berkaitan seni komik dan kartun ini amat penting dan bermakna, bukan sahaja sebagai suatu usaha untuk mengangkat bidang seni komik dan kartun, tetapi juga mencerminkan suatu usaha pihak penganjur dalam mendukung perkembangan pelbagai bentuk seni visual di negara ini, sama ada sebagai suatu bidang ilmu mahupun sebagai suatu cabang budaya dan industri kreatif. Lebih menarik daripada itu, ia merupakan suatu usaha membawa pameran seni kartun dan komik ke luar kota: luar dari kebiasaannya!
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.
