SAMBUTAN menggalakkan daripada pengunjung terhadap Pameran Hanya Satu “Single” ‘Project Temporary Marking’ oleh Zulkefli Jais membuatkan Balai Seni Negara melanjutkan pameran tersebut sehingga 29 Julai nanti.
Dalam satu kenyataan media, Balai Seni Negara memaklumkan sejak ia mula dipamerkan pada 1 Mac lalu, pameran ini telah menerima hampir 10,000 pelawat.
“Oleh yang demikian, pameran ini akan dilanjutkan sehingga 29 Julai 2024. Orang ramai dijemput untuk melawat pameran ini di Balai Seni Negara,” kata kenyataan tersebut.
Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk mengunjungi dan melihat pameran yang berlangsung di Balai Seni Negara.
Pameran “Project Temporary Marking” ini merupakan cetusan idea yang diangkat sebagai siri ke-7 dalam slot Pameran Hanya Satu “Single”.
Zulkefli merupakan pemenang Anugerah Utama pertandingan Bakat Muda Sezaman 2023.
Karyanya yang berbentuk instalasi, memaparkan pertindihan antara aspek geografi dan sejarah bandar Teluk Intan, Perak.
“Ia turut dikaitkan dengan memori Zulkefli Jais sebagai anak jati bandar itu. Menariknya, instalasi berbentuk monumen ini dihasilkan daripada gantungan jaket (vest), sebagai lambang kepada Menara Condong yang merupakan mercu tanda Teluk Intan.
“Selain itu, gabungan jaket ini mewakili perasaan dan ingatan terhadap bencana menimpa pelarian yang berlindung di bandar berkenaan juga menjadi ingatan bahawa setiap sejarah pasti akan berulang,” katanya lagi.
Zulkefli juga bakal mewakili Malaysia ke Gwangju Biennale 2024 di Korea Selatan.
Pemilihan Zulkefli ke acara seni visual kontemporari Asia itu mampu mengangkat seni kontemporari Malaysia menerusi kepelbagaian perspektif serta pendekatan sejarah yang mencerminkan keunikan seni di Malaysia.
