PAMERAN dan Bazar Seni Amal Harapan 2025 yang berlangsung di Galeri Shah Alam hingga 16 November diharap dapat dijadikan acara tahunan.
Pelukis Diraja Selangor, Datuk Azman Yusof berkata cadangan itu dibangkitkan kerana acara tersebut telah memberi impak positif kepada seni dan masyarakat.
“Diharap golongan pelukis berbagai genre memberi sokongan padu kepada inisiatif besar dan mulia ini supaya kelangsungan berterusan pada masa akan datang dan pameran ini menjadi acara tetap yang diadakan setiap tahun,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran dan Bazar Seni Amal Harapan di Galeri Shah Alam, baru-baru ini.
Azman yang juga salah seorang pengasas awal majalah humor Gila-Gila, turut mengimbau perjalanan awal bersama majalah itu, satu pengalaman yang membuka matanya terhadap realiti kehidupan.
“Kami bermula dari ‘scratch’. Sehingga kadang-kadang saya rindu saat itu.
“Berada di bawah adalah kelebihan paling besar yang pernah saya dan rakan-rakan lalui.
“Kita dapat jelajah banyak tempat, yang orang atas tidak mampu pergi dan rasa.
“Baru saya sedar, negara yang ramai kaum marhaen melahirkan ramai orang spiritual.
“Falsafah, pemikir dan penyajak. Pengalaman begini tiada dalam silibus sekolah hatta universiti sekalipun,” katanya lagi.
Pameran yang berlangsung hingga 16 November dibuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 6 petang, menawarkan pelbagai tarikan termasuk Pameran Rupa yang menampilkan karya pelukis terkenal Amron Omar daripada koleksi Pakha Sulaiman.
Selain itu, Bazar Seni Amal Harapan yang berlangsung dari 7 hingga 9 November dan 14 hingga 16 November turut menawarkan hasil seni dan kraf tempatan, aksesori, fesyen serta pelbagai juadah makanan dan minuman termasuk manisan serta kopi.

Berucap di majlis yang sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Seni Selangor Musa Idris berkata pameran itu dapat menjadi platform kebajikan bagi mengumpul dana membantu ibu tunggal serta komuniti memerlukan.
Musa berkata selain membuka peluang baharu bagi pelukis tempatan menonjolkan karya mereka, ia sekali gus membuktikan seni boleh menjadi penggerak kebajikan dan memberdaya sosial.

“Pameran ini membuka ruang, bagaimana seni boleh menjadi penggerak kebajikan dan pemberdayaan sosial. Dana yang dikumpulkan akan disalurkan untuk membantu dan menyokong ibu tunggal serta komuniti yang memerlukan.
“Ia tanda solidariti dunia seni terhadap mereka. Ini menjadikan pameran ini bukan sekadar tontonan, tetapi manifestasi cinta dan tanggungjawab besar.
“Galeri Shah Alam berhasrat, sinergi ini menjadi contoh pada masa depan seni negara, melibatkan pelbagai pihak pelukis, institusi dan masyarakat bergerak dalam satu misi untuk mengangkat seni sebagai bahan dan nilai ilmu serta empati,” katanya.
Sementara itu, Media Selangor melaporkan, hampir separuh daripada 37 karya seni yang dipamerkan di Pameran dan Bazar Seni Amal Harapan 2025 menemui pembeli, sekali gus menyumbang kepada Tabung Harapan bagi membantu ibu tunggal dan wanita kurang berkemampuan.

Pengarah Komunikasi dan Tadbir Nadi Seni Resources Shareena Shahridan berkata sambutan terhadap pameran itu amat memberangsangkan meskipun kali pertama dianjurkan di Galeri Shah Alam.
“Alhamdulillah, walaupun ini kali pertama kita menganjurkan program di sini dengan kerjasama Galeri Shah Alam, sambutannya amat baik dan kehadiran juga sangat memberangsangkan.
“Mungkin dengan adanya inisiatif program ‘gallery hopping’ selepas ini, pameran seumpama ini dapat berlangsung dengan lebih meriah dan berskala lebih besar,” katanya.
Beliau turut memaklumkan harga karya yang dipamerkan bermula sekitar RM3,000 sehingga RM26,000, menawarkan peluang bagi pengunjung memiliki karya seni tempatan berkualiti.
