MALAYSIA adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian seni tradisi yang mencerminkan warisan budaya yang pelbagai. Setiap etnik di negara ini, termasuk Melayu, Cina, India, dan etnik-etnik lain di Sabah dan Sarawak, membawa seni dan tradisi unik yang berharga, menjadikan Malaysia sebagai sebuah hub budaya yang dinamik.
Seni tradisi yang ada seperti tarian zapin, mak yong, dikir barat, dan gamelan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan identiti budaya Malaysia. Kepelbagaian ini bukan sahaja menggambarkan kreativiti masyarakat tempatan tetapi juga memperlihatkan nilai-nilai tradisi yang masih relevan dalam kehidupan moden.
Sebagai warisan budaya yang tidak ternilai, seni-seni ini harus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang. Penting bagi kita untuk memastikan bahawa seni-seni tradisi ini tidak hilang ditelan zaman, sebaliknya kekal sebagai simbol identiti negara. Inisiatif untuk mempromosi dan menghidupkan semula seni-seni ini melalui pendidikan, persembahan, dan sokongan daripada kerajaan dan masyarakat amatlah penting bagi mengekalkan warisan yang kaya ini.
Selain seni tradisi yang disebutkan diatas, terdapat satu lagi seni tradisi atau teater tradisional terkenal iaitu wayang kulit, sebuah bentuk teater bayang-bayang yang telah lama wujud dan menjadi simbol kekayaan seni persembahan negara.
Wayang kulit adalah salah satu bentuk teater tradisional yang sangat berpengaruh dalam budaya Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara, seperti Indonesia dan Thailand.
Seni persembahan ini menggunakan patung-patung kulit yang diukir halus dan dipaparkan melalui bayang-bayang di atas layar putih, dengan bantuan cahaya lampu di belakangnya.
Wayang kulit bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan, tetapi juga sebagai alat penyampaian cerita epik, legenda, dan mitos, terutama dari kisah-kisah epik Hindu seperti Ramayana dan Mahabharata. Dikenali kerana kehalusan seni ukiran dan naratifnya yang mendalam, wayang kulit sering kali membawa mesej moral dan falsafah hidup. Dalam konteks Malaysia, persembahan wayang kulit Kelantan adalah antara yang paling terkenal, mencerminkan pengaruh budaya dan tradisi tempatan yang unik.
Wayang kulit dipersembahkan di panggung terbuka yang didirikan di kawasan lapang namun sebelum didirikan, dalang perlu mematuhi beberapa pantang larang, antaranya penentuan tinggi lantai dari bumi selain arah bahagian panggung ditentukan sama ada menghala matahari jatuh atau naik.
Sekumpulan pemuzik akan mengalunkan pelbagai lagu antaranya Bertabuh, Sembang, Pak Dogol dan Perang Hutan. Persembahan seni tadisi wayang kulit ini sentiasa dinantikan oleh penduduk sentempat pada satu masa dahulu. Namun kini, dengan perkembangan teknologi, adanya televisyen membuatkan wayang kulit bukan lagi antara bentuk hiburan utama di Kelantan selain dikir barat.
Ia amat menyedihkan namun harus ada usaha untuk memastikan seni tradisi ini tidak terus ditinggalkan hingga ia luput ditelan zaman.
Kerana wayang kulit, saya dan beberapa kru dokumentari berkelana ke Kelantan untuk menemubual tokoh seni teater tradisional ini.
Pertama kali memasuki ke Kampung Pasir Parit, Pasir Mas, Kelantan saya telah menemui sesuatu yang sudah lama saya ingin menonton, wayang kulit Kelantan.

Nama tok dalangnya ialah Eyo Hock Seng seorang berketurunan Cina Kelantan yang sangat ‘Malaysia’ dalam ertikata kebangsaan kita. Sebaik sahaja saya dan kru dokumentari tiba di rumah Pak Cu, kami disambut oleh beberapa ekor anjing peliharaan Pak Cu seperti lumrah sebuah kawasan rumah orang Tionghua di Malaysia.
“Jangan takut, anjing itu ucap selamat datang,” kata Pak Cu. Kami yang asalnya cuak mula kembali tenang.
Rumah Pak Cu juga ada tanglung yang tergantung di pintu depan. Semasa kami sampai, cucunya yang baru berusia 13 tahun sedang mengetuk-ngetuk membuat patung wayang kulit. Ada lampiran kertas yang telah siap dipotong di atas kulit lembu yang sudah dikeraskan di bawah kertas tadi. Tekun sungguh budak ini bekerja, fikir saya.

Rumah ini membawa saya ke alam baru, ‘kecek Kelate belako antara atok dan cucunya’, tiada ‘sebutir’ pun bahasa yang lain melainkan bahasa Melayu Kelantan belaka. Saya suka itu.
Pak Cu atau Eyo Hock Seng ini sudah hampir berusia 70 tahun.
Menyerah diri seumur hidupnya dengan dunia wayang kulit. Itulah nafasnya, itulah ketawa dan gembiranya. Tiada sedih. Pengorbanan ikhlas mesti gembira katanya.
Sambil merakam temuramah di galeri kecil miliknya saya lihat tokoh ini sudah jauh merentas dunia dengan seni tradisi ini.
Sudah sampai ke Eropah, Taiwan, Indonesia. Paris sudah tiga kali. Saya sendiri belum sampai ke Paris.
Beliau telah melibatkan diri dalam dunia wayang kulit sejak usia yang sangat muda, hanya 9 tahun usianya masa itu, menjadi tok dalang adalah impiannya sejak kali pertama menonton persembahan teater tradisional ini.
“Sukar menjadi tok dalang jika anda berusia di bawah 16 tahun,” katanya.
Menurut Pak Chu suara perlu matang dan mampu membawa sekurang-kurangnya 10 watak menggunakan pelbagai ragam suara. “Perlu melalui proses,” kata Pak Cu. Pertama perlu angkat barang-barang persembahan, kemudian belajar jadi ahli muzik wayang kulit.
“Kena main alat muzik yang mudah dulu lah seperti kericing, canang dan gong,” ujarnya.
Pak Cu berkata, untuk bermain alatan utama seperti serunai perlu mempunyai kemahiran kerana ia memerlukan nafas yang panjang. Pemain serunai sangat penting ibarat pemain gitar utama dalam kumpulan muzik moden.
Alat muzik yang lengkap untuk wayang kulit tidak murah dan ia boleh mencapai ribuan ringgit harganya. Alatan muzik untuk wayang kulit datang dalam bentuk pasangan. Gendang, geduk, gedombak, gong dan segalanya berpasangan, ada ibu dan anak.

Dengan lebih hampir seratus cerita dan lebih kurang 10 Tok Dalang yang masih aktif di bumi Cik Siti Wan Kembang, ada lebih 60 watak dari kisah Sri Rama dan Mahabharata untuk persembahan wayang kulit Kelantan tradisi. Harga patung wayang kulit boleh dibeli dalam bentuk ‘bundle‘ dengan harga RM12,000 untuk persembahan 3 malam. Juga tidak murah harganya.
Hebat seni ini. Jangan dibiarkan hilang ditelan seni moden dan teknologi terkini. Itu dalam fikiran saya.
Saya menghormati sosok Pak Cu ini kerana beliau berguru dengan Pak Asin dan Dollah Baju Merah, dua tokoh yang sudah dianggap lagenda wayang kulit Kelantan.
Pak Cu, adalah salah seorang Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup, satu anugerah tertinggi untuk beliau sebagai seorang seniman.
Dan kini wayang kulit Kelantan telah diusulkan ke UNESCO sebagai Warisan Seni Tidak Ketara oleh Jabatan Warisan Negara di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) .Jika semuanya berjalan lancar pada 2026 seni unik zaman berzaman ini akan berada dibawah UNESCO secara rasminya.
Saya doakan semoga seni warisan terulung ini terus merentas zaman juga pemikiran bersama Pak Cu yang akan terus gah dengan cahaya dan bayangnya.
Wallahuallam.
– JOHARI HAMID merupakan seorang pengarah dokumentari.

