Kegelisahan Terhadap Pasaran
Dalam kancah seni kontemporari Malaysia, ada satu kegelisahan yang telah sekian lama berlegar dalam perbualan di galeri, forum akademik, dan perbincangan awam: dakwaan mengatakan bahawa seni kontemporari Malaysia telah terjerumus ke dalam kancah ‘chaos’ (kecelaruan). Kecelaruan yang didakwa ini dituding kepada punca yang sama – pasaran seni. Umumnya, kesan daripada kiblat ‘money first’ dalam pasaran seni ini telah mengosongkan integriti artistik, menggantikan kedalaman intelektual dan ekspresi kebenaran dengan tanda harga, trend, dan keinginan spekulatif. Yakni, setiap acara lelongan yang memecah rekod disambut seolah-olah ‘objek budaya’ pada akhirnya telah mengatasi ‘karya seni’ itu sendiri.
Kegelisahan itu kini telah muncul semula. Baru-baru ini, saya telah di jemput untuk ke sesi perbincangan dalam majlis forum pada 7 Februari 2026 bersempena pameran yang di kurasikan oleh Syakir Hashim berjudul Pendulum: Between Two Forces di Galeri Harta. Sebagai salah seorang panel saya telah ditanya dengan pertanyaan seputar kebimbangan tentang kononnya telah tejadinya ‘kematian intelektualisme’ lantaran tekanan pasaran seni. Pertanyaan-pertanyaan itu, secara tersirat, saya fahaminya sebagai cara untuk mencari penyelamat atau kambing hitam: seseorang atau sesuatu untuk dipersalahkan atas kecelaruan yang menimpa. Hujah saya dalam menyantuni kebimbangkan kecelaruan itu adalah mudah; bagi saya ia adalah sebuah diagnosis yang silap. Apa yang kita selalu gambarkan sebagai ‘kecelaruan’ bukanlah keruntuhan seni, tetapi salah faham tentang bagaimana seni berfungsi dalam sistem sosial.
Sebenarnya, ingin saya tegaskan sebagai permulaan, bahawasanya di dalam sesebuah kecelaruan, wujud satu keteraturan yang tersembunyi (Order in Chaos). Untuk menyedari hakikat ini, kita harus menanggalkan kepercayaan terhadap idea abstrak tentang ‘Seni’ sebagai entiti moral suci yang kononnya sedang terancam. Sebaliknya, kita sewajarnya mengembalikan perhatian kepada realiti konkrit seniman itu sendiri. Bersandarkan falsafah Jean-François Lyotard, saya menghujahkan bahawa pasaran tidak memusnahkan seni; ia sekadar beroperasi sebagai infrastruktur.
Seniman pula kekal-seperti dahulu dan selamanya-sebagai pembuat objek yang lahir daripada desakan pengalaman diri, malah ada kalanya tanpa dibebani kesedaran formal tentang teori seni itu sendiri. Namun, ketiadaan kesedaran akademik terhadap disiplin seni ini sedikit pun tidak mengurangkan nilai estetika karya mereka. Sebaliknya, ia menawarkan satu dimensi ‘mentah’ (raw) yang tulen, di mana idea-idea mereka berakar tunjang daripada interaksi organik dengan persekitaran. Inilah yang menjadikan karya tersebut sebuah dokumentasi sosial yang hidup, sebuah keteraturan yang muncul bukan daripada acuan pasaran, tetapi daripada kejujuran hidup yang tidak mampu dijual beli.

Menimbang Semula Sejarah Seni: Lyotard Menentang Totaliti Sosiologi
Rasa kecelaruan yang menghantui kancah seni kontemporari Malaysia tidak dapat dipisahkan daripada bagaimana kita memahami sejarah seni itu sendiri. Dalam tulisan-tulisan lewatnya, Jean-François Lyotard mengemukakan satu provokasi yang amat menggusarkan: tidak ada sejarah seni—hanya sejarah objek budaya (Lyotard, 1992). Apa yang kita panggil secara konvensional sebagai ‘sejarah seni’ sebenarnya, dalam praktiknya, adalah keadaan sosial, politik dan ekonomi yang kronik di mana objek beredar dan memperoleh nilai.
Di sini muncul satu ironi yang sering terlepas daripada pandangan kita: sejarah seni sebenarnya tidak pernah ditulis. Apa yang kita agungkan sebagai ‘sejarah seni’ hanyalah kompilasi biografi seniman dan kronologi fizikal karya; kita mencatat bila seorang seniman dilahirkan dan ke mana karya mereka dijual. Ini adalah sejarah tentang subjek (seniman) dan objek (karya), tetapi bukan sejarah tentang ‘Seni’ itu sendiri. Seni, sebagai satu peristiwa intensiti yang melampaui masa, sentiasa berada di luar jangkauan penulisan sejarah kerana sejarah hanya mampu menangkap sisa-sisa daripada peristiwa tersebut, iaitu dokumen dan harga—namun gagal menangkap ‘roh’ peristiwa seni yang hadir secara trans-historikal.
Dalam ekosistem ini, kita harus melihat pembahagian peranan yang jelas di mana seniman hanya membuat objek budaya yang lahir daripada persepsi dan tindak balas terhadap persekitaran dalam ruang material, bukannya ruang sejarah. Sejarawan pula bertugas mencatat perkembangan atau acara seni ini sebagai fakta sejarah untuk arkib masa hadapan, manakala kurator dan pengkritik berperanan melihat bagaimana ‘seni’ diperkata serta didebatkan dalam bentuknya yang sentiasa berkembang.

Sebagai objek budaya, karya seni terpahat ke dalam rangkaian institusi, pasaran, wacana, dan keadaan sejarah. Ini adalah medan di mana sosiologi seni Pierre Bourdieu (1993) beroperasi dengan keberkesanan yang besar. Bagi Bourdieu, tidak ada karya seni yang autonomi mahupun alam estetik yang ‘tulen’ kerana setiap karya tertanam dalam ‘field of cultural production’. Di sinilah kolektor, kurator, pengkritik, dan institusi bertukar-tukar modal simbolik, bukannya sekadar berbicara mengenai keindahan.
Kerangka inilah yang sering menjadi sandaran secara tersirat oleh ramai pengkritik apabila mengecam pasaran seni kontemporari Malaysia. Mereka melihat dan menganggap ‘medan’ (field) tersebut sebagai ‘totaliti’ (keseluruhan). Namun Lyotard menegaskan bahawa sesuatu yang tidak dapat dijelaskan sepenuhnya oleh sains sosial Bourdieu: kehadiran satu keberlebihan (excessive), satu intensiti, di dalam karya seni yang terlepas daripada penjelasan sistemik. Walaupun sebuah lukisan atau catan boleh dianalisis sebagai komoditi atau artifak budaya, kebenarannya sebagai seni muncul sebagai satu peristiwa (event), sesuatu yang tidak boleh diturunkan kepada kedudukannya dalam rangkaian semata-mata.
Keteraturan kancah seni kontemporari Malaysia terletak pada perbezaan ini. Apa yang dilihat sebagai kecelaruan hanyalah hingar-bingar rangkaian: harga naik dan turun, cita rasa beralih, institusi menegaskan pengaruh. Namun, semua ini tidak mampu melandaskan karya sebagai sebuah karya seni. Intensiti tersebut kekal, ‘beralih secara intransitif’ merentasi masa tanpa tunduk kepada logik pertukaran. Harga yang tertera pada kanvas mungkin berubah-ubah dengan liar; namun peristiwa seni tidak.
Ayunan (The Swing): Keadaan Struktur Seniman Malaysia
Untuk memahami bagaimana perbezaan teori ini beroperasi dalam praktik, kita mesti berhadapan dengan keadaan kehidupan seniman kontemporari di Malaysia, satu keadaan yang saya gambarkan sebagai Ayunan (The Swing). Seniman hari ini tergantung di antara dua kutub struktur yang sering kali salah disifatkan sebagai pilihan moral, iaitu antara Kutub A yang mewakili seni berdaya maju secara komersial, diselesaikan secara visual, serta diinginkan dalam pasaran seni tinggi, dan Kutub B yang bersifat eksperimental, kritikal, tidak stabil, serta sejajar dengan wacana akademik atau ruang alternatif.
Kebanyakan kritikan yang muncul berakar umbi daripada kepercayaan bahawa seniman kini telah berayun terlalu jauh ke arah Kutub A sehingga meninggalkan keseriusan intelektual yang biasanya dikaitkan dengan Kutub B. Oleh itu, apa yang sering dituntut oleh khalayak dan pengkritik adalah sebuah ‘keseimbangan’ yang stabil di antara keduanya, iaitu satu titik tengah yang ideal di mana seni boleh menjadi komersial dan kritikal dalam ukuran yang sama berat.
Tuntutan ini boleh dianggap sebagai sebuah kesalahfahaman tentang sifat pengeluaran artistik. Keadaan seniman bukanlah keseimbangan (equilibrium), tetapi pergerakan. Ayunan bukanlah kegagalan untuk memilih; ia adalah tenaga bagi sistem tersebut. Berayun ke arah pasaran bermakna melibatkan diri dengan infrastruktur, untuk kelangsungan material dan memastikan peredaran. Berayun ke arah eksperimentasi bermakna melibatkan diri dengan intensiti-untuk mempertaruhkan kegagalan demi mengejar ekspresi. Keteraturan disini terletak bukan pada menetapkan seniman di titik tengah, tetapi pada mengiktiraf ayunan sebagai keperluan struktur. Seniman Malaysia tidak menyelesaikan percanggahan ini; mereka hidup di dalamnya. Kegigihan untuk terus berkarya, meskipun terdapat kuasa-kuasa yang bertentangan, ia bukanlah sebuah kecelaruan. Ia adalah eksistensi.

Seniman sebagai Pembuat Tanpa Sedar
Jika karya seni mengandungi intensiti, bagaimanakah ia sampai ke sana? Saya tegaskan bahawa seniman tidaklah kurang bijak atau niatnya yang patut dipersoalkan. Seni tidak berasal daripada kawalan intelektual yang sedar. Seniman mencipta melalui pertukangan (craft), dan melalui penglibatan dengan material ini, sesuatu muncul yang melangkaui niat asalnya.
Seni bukanlah pelaksanaan teori; ia adalah sisa perjuangan dengan bentuk, jirim, dan masa. Walaupun seniman berkarya secara konseptual, peristiwa seni berlaku di mana niat itu goyah. Dalam pengertian ini, seniman berfungsi sebagai pembuat tanpa sedar—bukan jahil, tetapi telus (porous).
Siri Pago-Pago Latiff Mohidin menawarkan ilustrasi klasik tentang bagaimana kekuatan karya muncul daripada penglibatan material yang berulang, bukannya doktrin. Namun, semangat ini tetap segar dalam praktik kontemporari hari ini, seperti yang dapat kita lihat dalam pameran Pendulum (2026). Misalnya, penggunaan material mentah Rindu tidak Berpenghujung oleh Ahmad Adham dan The Sweet Liar oleh Rashid Noor boleh dilihat sebagai satu bentuk pemberontakan terhadap tuntutan ‘ketahanan’ (durability) yang sering didesak oleh pengumpul seni. Di sini, materialiti menjadi bahasa autonomi yang enggan tunduk kepada logik pemilikan jangka panjang.
Begitu juga dengan instalasi Faizal Wahab berjudul ALL YOU GET IS SWEAT. OH WAIT! yang menggunakan ‘sisa tubuh’ (peluh) sebagai medium, sebuah kritikan institusi yang radikal. Dalam konteks ini, penggunaan ‘peluh’ oleh Faizal Wahab bukan sekadar satu taktik provokasi sosiopolitik yang boleh dikategorikan dalam modal simbolik Bourdieu, tetapi ia adalah manifestasi ‘intensiti Lyotard’ yang sebenar. Hal ini kerana peluh-sebagai sisa organik yang mereput dan hilang, mewakili satu peristiwa (event) yang tidak menjadi ‘objek budaya’ yang stabil; ia tidak boleh ‘ditangkap’ sepenuhnya oleh arkib sejarah atau nilai pasaran kerana sifatnya yang transien (sementara) dan mentah mengekalkan satu kebenaran estetik yang melampaui logik pertukaran komoditi. Dengan memasukkan unsur organik yang tidak stabil, beliau dilihat, dari perspektif seni, sebagai mencabar idea seni sebagai komoditi bersih yang boleh dibeli dan dijual dengan mudah. Sementara itu, Quiet Structure oleh Ahmad Syahrul dan Is it Like That? oleh Azim Rodi melakukan subversi media dengan ‘mengganggu kestabilan kedataran kanvas’ (destabilizing the flatness of the canvas). Ini membuktikan bahawa catan tradisional sekalipun boleh menjadi sangat eksperimental apabila seniman mula mempersoalkan bentuknya sendiri.
Dalam setiap contoh ini, peristiwa seni berlaku di mana niat intelektual goyah dan digantikan oleh pertembungan manusia dengan jirim. Seniman berfungsi sebagai pembuat tanpa sedar, bukan kerana mereka jahil, tetapi kerana mereka telus (porous) terhadap kemungkinan yang ditawarkan oleh medium dan persekitaran mereka. Intelektualisasi mungkin menyusul, tetapi ia tidak pernah memulakan peristiwa tersebut.
Infrastruktur dan Peranan Galeri
Jika seniman adalah pembuat, galeri beroperasi sebagai infrastruktur, pengurus pengedaran, keterlihatan, dan kedudukan simbolik. Dalam kerangka Bourdieu, galeri ditugaskan untuk pengeluaran dan penstabilan modal simbolik. Ia melayan karya sebagai objek budaya, memastikan kelangsungan hidupnya dalam rangkaian. Namun, untuk memahami fungsi infrastruktur ini secara lebih mendalam, kita mesti melihat peralihan karya melalui tiga tiang strategik yang mentakrifkan peranan galeri tersebut.
Tiang pertama bermula dengan persoalan ‘Mengapa’ (The Why), iaitu fasa peralihan dari studio peribadi ke mata awam. Peralihan ini membawa apa yang saya panggil sebagai ‘beban rahsia’ (burden of secret). Jika sebuah karya kekal di studio, ia mungkin kekal ‘tulen’ tetapi ia membisu. Sebenarnya, pameran adalah sebuah penyelesaian litar; sesuatu karya tidak benar-benar ‘siap’ tanpa pergeseran dengan audiens sebagai saksi kewujudannya. Namun, di sinilah seniman harus sedar sama ada dorongan untuk mempamerkan itu dipacu oleh sumbangan budaya yang tulen atau sekadar untuk memenuhi kontrak tidak bertulis bagi mengisi rekod profil (CV) mereka.
Apabila karya mula digantung, kita memasuki tiang kedua iaitu persoalan ‘Apa’ (The What), di mana galeri berubah menjadi sebuah bilik bicara atau ruang soal siasat. Di sini, dinamika ‘tebusan’ (hostage) bermula apabila seniman kehilangan kawalan ke atas objeknya. Karya tersebut seolah-olah sedang disoal siasat oleh pasaran tentang nilai komersial, kesesuaian trend, dan selera koleksi. Dalam proses ini, persekitaran galeri bertindak sebagai pelarut yang meluluhkan niat asal seniman demi memberi ruang kepada projeksi penonton. Karya itu kini sedang melakukan ‘persembahan nilai’ (performance of value) untuk mewajarkan ruang dan tanda harga yang diletakkan ke atasnya.
Akhirnya, proses ini membawa kepada tiang ketiga iaitu ‘Keputusan’ (The Verdict), yang mempersoalkan sama ada hasilnya adalah sebuah pembebasan atau kompromi. Setelah pameran tamat, persoalan besarnya ialah sama ada pemikiran kritikal yang melahirkan karya itu mampu bertahan atau telah dipinggirkan oleh penjenamaan yang tercipta sepanjang pameran. Jika karya dijual, adakah ia benar-benar mencapai kebebasan, atau sekadar berpindah ke ‘penjara’ yang lebih peribadi dalam koleksi individu? Kesan daripada ‘perbicaraan’ di galeri ini sering kali menghantui proses kreatif seterusnya, di mana rahsia-rahsia baru yang dicipta di studio mungkin sudah mula dipengaruhi oleh bisikan suara pasaran.
Kekeliruan timbul apabila infrastruktur disalah anggap sebagai kepengarangan (authorship). Soalan tentang nilai pelaburan, kebolehan untuk dikumpul, dan trajektori pasaran sering dikecam sebagai bukti kemerosotan budaya. Realitinya, itu hanyalah bahasa rangkaian. Pasaran yang berfungsi menyerap hingar-bingar ini supaya seniman tidak perlu melakukannya.
Bahaya sebenar bukanlah kehadiran infrastruktur, tetapi keruntuhan peranan. Apabila seniman dipaksa untuk menjadi pengedar, pemasar, dan perunding institusi mereka sendiri, ayunan tersebut menjadi kaku. Ketegangan hilang. Apa yang lenyap bukanlah ketulenan, tetapi keadaan yang membolehkan seni dapat muncul. Galeri memberi khidmat terbaik kepada seniman apabila ia menjalankan peranannya yang berfungsi tinggi dalam rangkaian ekonomi, membolehkan seniman berundur kembali ke ruang ‘tanpa sedar’ di studio.

Pengkritik dan Peristiwa Seni
Jika seniman membuat dan galeri mengedarkan, maka seni-sebagai seni-wujud melalui bahasa. Mengikut Lyotard (1984), karya seni menuntut ulasan yang memberikan keadilan kepada intensitinya. Inilah tugas kritikan.
Di sini kita menghadapi kelemahan struktur dalam ekosistem seni kontemporari Malaysia: ketiadaan kritikan yang mampan, bebas, dan rapi. Di Malaysia, di mana ‘dunia seni’ sering dikelirukan dengan ‘pasaran seni’, suara pengkritik sering ditenggelamkan oleh kenyataan PR atau kewartawanan. Apabila bahasa gagal muncul, karya tersebut kekal tergantung sebagai ‘objek pasaran’– dikatalogkan, diletakkan harga, dan diarkibkan, tetapi tidak diubah menjadi peristiwa intelektual.
Kritikan tidak melengkapkan karya seni, dan tidak juga menentukan makna. Fungsinya lebih dekat kepada penyaksian: mengungkapkan peristiwa tersebut tanpa mengurungnya. Tanpa penglibatan linguistik ini, intensiti karya berisiko diserap sepenuhnya oleh logik pertukaran. Kesenyapan kritikan bukanlah sesuatu yang neutral; ia mengakibatkan ‘kecelaruan’ salah tafsir. Lebih-lebih lagi oleh kesalah tafsiran yang di lakukan oleh orang bukan ahli yang mengakibatkan pelbagai pertanyaan untuk jawapan yang salah kepada khalayak yang salah juga. Ini menarik untuk di perdebatkan tetapi bukan dalam esei ini. Cukup sekadar untuk pernyataan atau kesedaran umum bahawa inilah hakikat kecelaruan dalam seni kontemporari Malaysia.
Namun, ruang vakum ini tidak seharusnya kekal kontang dan bisu; komuniti intelektual harus mula mengisi lompang ini dengan keberanian baharu-memanfaatkan demokratisasi media sosial, blog peribadi, dan jurnal bebas untuk membina naratif alternatif yang tidak terikat dengan kepentingan komersial galeri. Dengan mengembalikan tradisi ‘berhujah’ dan ‘mengulas’ di ruang digital mahupun fizikal, kita bukan sahaja menyelamatkan karya daripada sekadar menjadi komoditi, malah kita sedang membina semula ekosistem pemikiran yang mampu mencabar dominasi pasaran.
Kesimpulan: Keteraturan Tanpa Ilusi
Kegelisahan yang menyelubungi kancah seni kontemporari Malaysia hanya dapat diselesaikan dengan mengembalikan kejelasan kepada pembahagian kerja yang mengekalkannya. Kita mesti berhenti menuntut agar pasaran bertindak sebagai suara hati atau seniman bertindak sebagai jurucakap bagi ‘Kebenaran’. Sebaliknya, seniman mesti dibenarkan untuk kekal sebagai pembuat yang dilindungi dalam kekaburan pengeluaran tanpa sedar, sementara galeri harus diiktiraf sebagai infrastruktur—bukan penjahat mahupun penyelamat, tetapi rangkaian yang memudahkan kelangsungan objek. Pada masa yang sama, pengkritik pula perlu memikul tanggungjawab terhadap bahasa dengan mengungkapkan peristiwa seni tanpa menjinakkannya.
Keteraturan sistem ini sebenarnya terletak pada pergerakan, iaitu dalam ayunan antara pasaran dan intensiti. Menganggap pergerakan ini sebagai kecelaruan adalah satu salah faham tentang bagaimana seni bertahan. Dengan mempercayai seniman dan bukannya fiksyen moral tentang ‘Seni’, kita membolehkan kreativiti seni kontemporari Malaysia bernafas: tanpa beban ketulenan palsu, namun berpaksi pada kebenaran yang melebihi harga dan niat.
Rujukan:
1. Bourdieu, P. (1993). The Field of Cultural Production: Essays on Art and Literature. Columbia
2. University Press. Lyotard, J.-F. (1984). The Postmodern Condition: A Report on Knowledge. University of Minnesota Press.
3. Lyotard, J.-F. (1992). The Inhuman: Reflections on Time. Stanford University Press.
3. Syakir Hashim (2026) Pendulum: Between Two Forces. Galeri Harta Kuala Lumpur.
