“A writer is not a writer because he has written some books. A writer is not a writer because he teaches literature. A writer is only a writer if he can write now, tonight, this minute.”
KALI pertama saya mendengar nama Charles Bukowski adalah daripada mulut rakan-rakan, disertai deretan adjektif yang saling bertembung: brilliant, genius, lawak, avant garde, barai, mabuk, rabak, gila dan entah apa lagi. Keghairahan mereka bercerita dengan separuh kagum, separuh mengejek membuatkan saya tertanya-tanya apa yang begitu istimewa tentang penyair dan penulis tua dari Amerika itu.
Namun, di awal dekad 1990-an, ketika belum ada lagi internet, Google, blog, forum atau media sosial, nama dan misteri Bukowski hanya timbul melalui rutin kami di Central Market. Dengan teh tarik, roti canai dan semangat, kami saling bertukar dan berkongsi kaset, CD, buku, majalah atau apa-apa saja yang dianggap “best”, “power” atau “influential”. Jika tiada semua itu, cukup sekadar berkongsi cerita, idea, masalah atau apa-apa saja.
(Selitan anekdot pasca-1990an: Rakan saya Bob pernah berkongsi cerita bagaimana di Bagan Serai, aktiviti sebegini digelar “fight knowledge” dalam kalangan dak-dak skinhead yang melepak di kafe siber. Istilah itu mungkin kedengaran lucu hari ini, tetapi ia menangkap semangat zaman: keghairahan kecil untuk mencari, berkongsi dan mempertahankan pengetahuan yang tidak wujud di rak-rak perpustakaan atau dalam wacana rasmi.)
Kembali ke topik, dari situ saya mula menanam minat untuk “menemui” Charles Bukowski. Bukan secara literal kerana pastilah sukar, dan kemudiannya mustahil memandangkan Bukowski meninggal dunia pada Mac 1994, tetapi menemui dan menghayati karya dan hidupnya. Bukan mudah waktu itu. Buku-bukunya hanya dijual di beberapa kedai terpilih sahaja, dan terlalu mahal untuk poket pelajar dan kutu. Maklumat hanya mampu bergerak melalui suara rakan, desas-desus dan buku-buku terpakai yang hampir lunyai.
Saya pernah cuba mencari bukunya di perpustakaan universiti saya. Tidak jumpa sebarang rujukan pun. Rak-rak hanya dipenuhi karya akademik dan sastera terhormat, seolah-olah Bukowski hidup dalam dunia yang berbeza: di pinggir bandaraya, di lorong gelap, di kafe remang atau dalam genggaman segelintir pembaca yang mencari suara yang tidak murni dan tidak tunduk kepada mana-mana estetika rasmi.
Puisinya I’ve Always Had Trouble with Money pernah diselitkan dalam fanzine kelolaan rakan-rakan saya Lee dan Weng, Biodegradable Material, pada tahun 1996. Ia petanda permulaan betapa dunia bawah tanah tempatan juga telah lama menangkap gema suara Bukowski sebelum arus perdana sempat peduli. Ia bukti kecil betapa rangkaian zine, fotokopi murahan dan budaya DIY ketika itu berfungsi sebagai saluran tidak rasmi yang memperkenalkan suara-suara luar kepada pembaca.

Beberapa tahun kemudian, dengan ketibaan internet dan enjin carian, nama dan karya Charles Bukowski semakin mudah dijejaki. Saya menghabiskan banyak masa dan ringgit di kafe-kafe siber yang berbau asap dan kipas berputar perlahan, sekadar untuk mencari, membaca dan cuba memahami apa yang membuatkan seorang tua barai dari Los Angeles itu menjadi suara yang begitu kuat, begitu jujur dan begitu dekat.
Sekitar waktu inilah juga saya akhirnya dapat memegang dan menatap senaskhah karya yang tidak remuk atau dipenuhi selotep menguning, Love is a Dog from Hell, di sebuah kedai buku besar. Ia adalah antologi puisi yang ditulis sekitar 1974 hingga 1977. Saya tidak perlu tunggu lama untuk tertarik. Mata saya terus hinggap pada puisi kedua dalam buku itu, berjudul You*. Saya baca, saya senyum, saya ketawa seorang diri.
You ialah serangkap puisi romantik daripada benak Bukowski. Ia raw, pendek, komikal, erotik, lucah dan penuh penghinaan diri. “you’re a beast, she said / your big white belly / and those hairy feet / you never cut your nails / and you have fat hands / paws like a cat / your bright red nose and the biggest balls I’ve ever seen…
Di tangan penulis lain, ia mungkin jatuh sebagai ejekan atau humor kasar. Tetapi dalam puisi ini, penghinaan itu membuka pintu keintiman yang jarang ditulis. Ejekan berubah manja, kelucahan menjadi keakraban dan kata nama “beast” yang diulang-ulang akhirnya kedengaran seperti gelaran kasih sayang yang nakal dan genit. B itu beast.
Puisi ini mengingatkan kita bahawa hubungan sebenar jarang sekali kelihatan seperti hubungan dalam puisi konvensional. Ia tidak cantik, tidak tersusun, tidak wangi. Ia dipenuhi tubuh yang tidak sempurna, seksualiti yang pelik, humor yang jijik dan bahasa yang tidak pernah melalui tapisan kesopanan. Namun, daripada kejijikan itulah muncul detik lembut pada klimaks puisi: “beast beast beast she kissed me / what do you want for breakfast?”
Bukowski tiada masa untuk bunga-bunga teknikal puisi. Tiada sinekdoki. Tiada iambic pentameters. Dia hanya kejar baris seterusnya. Selalunya baris itu pendek, lurus, kadang-kadang kasar, kadang-kadang kelakar, dan selalunya tepat menikam. Dia menulis sebagaimana hidup itu datang kepadanya, apa yang dilihat, dirasa, difikir, tanpa tapis dan tanpa niat untuk memperindah realiti.
Ini hanyalah satu contoh. Jika saya cuba mengupas semua puisinya, tulisan ini akan menjadi beratus halaman dan tidak mungkin siap. Menurut pangkalan data bibliografi menyeluruh setakat ini, jumlah karyanya termasuk 6 novel, 4,882 puisi, 560 cerita pendek dan ratusan manuskrip yang belum disatukan dalam edisi rasmi. Bukowski bukan penulis “sekali dua,” tetapi penulis yang menjadikan mesin taip dan kertas sebahagian daripada jiwanya.
“Some people never go crazy. What truly horrible lives they must lead.”
Bukowski membesar dalam keluarga imigran miskin, berpindah-randah, melalui zaman remaja yang dipenuhi penderaan dan penolakan (dirakamkan dalam novel Ham on Rye, 1982), kemudian menghabiskan tahun-tahun awal dewasa dengan pelbagai kerja buruh, tinggal di bilik-bilik sewa yang berbau hapak, menghabiskan banyak masanya di bar-bar murahan dan secara prolifik membina reputasi sebagai penulis yang lebih banyak menulis tentang parut hidupnya berbanding teori estetik.
Dia menulis dari pinggiran bukan kerana mahu kelihatan terpaling rebel, tetapi kerana di situlah dia hidup. Pinggiran bukan tema, ia habitat.
Sastera arus perdana pada masa itu (dan mungkin pada masa ini juga), dengan kecantikan struktur dan kesantunan akademiknya, tidak tahu nak buat apa dengan seorang “sasterawan” kasar yang menulis tentang tubuh yang tidak cantik, seks yang canggung, intoksikasi alkohol murahan dan manusia yang tidak pernah menang.
Mereka tidak boleh terima puisi-puisi Bukowski. Mereka hidup dalam dunia teori, simbolisme dan permainan bahasa yang kadang-kadang hanya mereka sendiri yang faham. Dari menara gading itu, Bukowski nampak seperti orang luar yang tidak dijemput. Pada mata mereka, puisi yang tiada metafora atau taktik linguistik hanyalah catatan murahan seorang pemabuk yang syok sendiri.
Namun bagi dunia pinggiran, suara sebeginilah yang mereka fahami. Di sana (atau di sini, bergantung kepada siapa anda), manusia hidup dalam kepenatan, kegagalan dan kecomotan harian. Di sana (atau di sini, bergantung kepada siapa anda), humor busuk selalunya menjadi penyelamat. Bukowski merakam semuanya tanpa rasa bersalah.
Pembacanya pula bukan akademik, bukan profesor, bukan kurator. Mereka pekerja pos, buruh, penyanyi kelab malam, kutu kedai kopi, kaki bar dan mereka yang merasa hidup mereka selalu sedikit senget daripada norma masyarakat. Bukowski bukan hanya menulis untuk mereka. Dia menulis sebagai mereka.
Ironinya, dari dunia pinggiran inilah pengaruh Bukowski mula merebak ke seluruh dunia. Negara pertama yang memahaminya bukan Amerika, tetapi negara kelahirannya Jerman. Di sana, nama Bukowski dianggap kultus. Di Perancis, seorang pengkritik sastera menyamakannya dengan François Rabelais, James Joyce dan Louis-Ferdinand Céline, seolah-olah tiba-tiba muncul seorang Shakespeare zaman baharu yang pemabuk, lucah, namun harus dibaca.
Mungkin inilah paradoks paling menarik tentang Bukowski. Dia menulis dari tanah paling rendah dalam landskap sosial Amerika (majalah Time menggelarkannya laureate of American lowlife), tetapi suaranya merentas benua. Setiap masyarakat moden yang bergelut dengan urbanisasi, tekanan pekerjaan, kemurungan, pencarian identiti atau sekadar rasa hidup yang tidak tersusun akan menemui dirinya dalam tulisan seorang tua barai dari Los Angeles itu.
“Bad writing is bad writing, but bad writing that comes from the heart is better than good writing that comes from the head.”
Ini juga adalah sebab mengapa karya-karyanya lebih cepat mendapat tempat dalam komuniti bawah tanah terlebih dahulu. Di majalah-majalah kecil, fanzine, mimeograf, terbitan-terbitan Black Sparrow Press** dengan kulit buku berwarna sampul surat; ini adalah platform-platform yang tidak memerlukan restu sesiapa. Di ruang beginilah suara yang lain daripada yang lain ada peluang hidup tanpa perlu tunduk pada penyunting atau gatekeeper arus perdana.
Abel Debritto adalah salah seorang sarjana yang meneliti arkib Black Sparrow Press dan menjejak manuskrip-manuskrip asal Bukowski. Bukunya Charles Bukowski, King of the Underground: From Obscurity to Literary Icon (2013) bukan sekadar biografi, ia juga katalog sejarah bagaimana tulisan Bukowski bergerak dari bar-bar murahan Los Angeles ke tangan pembaca di seluruh dunia.
King of the Underground menjelaskan bahawa Bukowski menjadi Bukowski bukan kerana novel-novelnya meletup, tetapi kerana ribuan karyanya diterbitkan dalam ratusan majalah kecil, jurnal bawah tanah dan penerbitan bebas yang hidup secara gerila. Debritto menekankan bahawa kedudukan Bukowski sebagai “Raja Bawah Tanah” pada hujung dekad 1960-an bukanlah gelaran romantik; ia realiti sejarah. Bukowski tidak hanya dibaca, dia ditemui.
Penerimaan ini menunjukkan bahawa dunia pinggiran yang menjadi medan Bukowski bukan eksklusif kepada Los Angeles atau Amerika. Ia adalah geografi sejagat, sebuah peta emosi yang wujud di setiap kota dan setiap zaman. Semua bandar besar ada lorong gelapnya sendiri, tempat manusia berlindung daripada tuntutan hidup yang tidak pernah berhenti. Semua masyarakat moden ada orang yang merasa kalah, tersisih, hilang arah atau tidak kelihatan walaupun bergerak di tengah-tengah keramaian.
Ironinya, semakin dunia meminggirkan suaranya, semakin lantang suara itu bergema. Semakin arus perdana cuba meletakkannya di hujung rak perpustakaan, atau langsung tidak meletakkannya, semakin kuat sambutannya di luar sistem. Di bawah tanah, apa-apa yang tidak diterima arus perdana selalunya berkembang biak, dan itulah apa yang berlaku pada nama dan reputasi Bukowski.
Buku-bukunya pergi lebih jauh daripada yang dijangka. Puisinya menjadi poster, wajahnya dijadikan meme, novelnya difilemkan oleh Hollywood, suratnya menjadi dokumen budaya alternatif dan bacaan puisinya menjadi ritual kecil bagi mereka yang rasa hidup mereka sering terkeluar garis.
Akhirnya, Bukowski diterima bukan kerana dia cuba untuk diterima. Dia diterima kerana dunia, walau di mana pun, sentiasa ada ruang untuk suara yang jujur, kasar, tidak sempurna dan penuh luka. Antara keindahan yang dipaksa dan kesantunan yang dibuat-buat, manusia akan sentiasa mencari seseorang yang berani berkata hidup ini melecehkan, memenatkan dan lucu; namun ia mesti diteruskan.
Setiap kali saya menyelak semula novel, puisi atau eseinya hari ini, dalam umur yang jauh lebih tua, dengan kehidupan yang jauh lebih kompleks dan memenatkan, saya sedar mengapa namanya masih melekat sejak saya remaja. Suara Bukowski bukan sekadar satu suara tua barai dari pinggiran, ia pantulan hidup ramai antara kita yang cuba mencari ruang bernafas di dalam dunia yang selalu terasa sempit.
Nota:
*Petikan puisi You diambil daripada Love is a Dog from Hell oleh Charles Bukowski, terbitan Black Sparrow Press, 1977.
**Black Sparrow Press ditubuhkan pada tahun 1966 oleh John Martin sebagai penerbit kecil yang memberi ruang kepada penulis pinggiran terutamanya Charles Bukowski. Dengan reka bentuk buku yang minimal hasil sentuhan isterinya Barbara, Black Sparrow Press terkenal kerana menerbitkan karya yang jujur dan tidak mengikut selera pasaran. Selama hampir empat dekad, penerbit ini membawakan suara-suara yang berani dan tidak bertapis, serta menjadi antara nama penting dalam sejarah penerbitan bebas di Amerika Syarikat.
– AHMAD KAMAL ABU BAKAR boleh dihubungi di tulislajulaju@gmail.com.
