“Ini baru ombak besar dunia, belum lagi ombak besar di akhirat” (Zaimie Sahibil dalam Fareez Vincent Amos@Mohd Fadly, 2025: 11). Dr. Zaimie Sahibil teringat kata-kata arwah datuknya yang menceritakan perihal dirinya mendirikan solat dengan mengikat diri dengan tali pada tiang perahu ketika mengharungi ombak besar di lautan.
Pernyataan ini menjadi sebahagian daripada asas yang mempengaruhi pengolahan rupa dan jiwa, atau bentuk dan makna siri karya catan “Ocean Wave Pulau Silk” oleh Zaimie Sahibil, pelukis Sabah, yang diperagakan dalam pameran solonya di Galeri Seni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim, Perak baru-baru ini. Pameran itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, pada 17 April 2025 lalu.
Berasal daripada keluarga nelayan, Zaimie dilahirkan di Pulau Silk Kampung Lagaton Sabah pada tahun 1970. Datuknya seorang pengukir dan pembuat wau, sementara ibunya seorang penganyam tikar dan pembuat tudung saji Bajau (Ibid). Justeru itu, tidak hairanlah darah seni sudah sedia menghuni dan mengalir dalam jiwa dan tubuhnya.
Bagi Zaimie Sahibil, seperti banyak pelukis moden dan kontemporari tanah air lain, misalnya Joseph Tan, Ruzaika Omar Basaree, Mazli Mat Som, Sani Md Dom, Yusof Ghani, Awang Damit Ahmad, Razak Abdullah dan Rafiee Ghani, laut dan ombak bukan sahaja memberi inspirasi visual, tetapi membawa makna-makna tertentu yang mendasari ikonografi secara alegori mahupun nyata.

Joseph Tan terpesona dengan keindahan laut dan pantai, serta memori tinggal di Dungun Terengganu dalam karya-karya landskap seperti “Siri Terengganu Bil.9” (110cm x 274cm, akrilik, 1980) dan “Memories of Dungun” (168cm x 274.5cm, akrilik, 1986/87). Ruzaika Omar Basaree menerusi karya “Siri Dungun – Jendela Terbuka” (80” x 33” x10” akrilik dan kayu, asemblaj, 1978) dan “Siri Dungun – Jendela III” (48” x 40” x 6,” akrilik dan kayu, asemblaj, 1979) menggabungkan elemen seni tradisi, khususnya aspek seni bina dan ukir tradisional Melayu dengan catan berinspirasikan Pantai Timur. Pendekatannya disifatkan Redza Piyadasa sebagai menemukan seni arca dengan catan.
Joseph Tan dan Ruzaika Omar Basaree, kedua-duannya merupakan tenaga pengajar Kajian Seni Lukis & Seni Reka (AD) di Institut Teknologi MARA (ITM) cawangan Terengganu di Dungun pada akhir tahun 1970-an dan awal 1980-an dan telah mendidik dan memberi pendidikan asas seni visual kepada banyak pelukis penting tanah air kelahiran AD. Bagi mereka yang menuntut di Dungun, biarpun untuk jangka masa yang singkat, pasti terkenangkan laut, ombak dan pantainya yang indah lagi memikat, sebagaimana dialami Joseph Tan dan Ruzaika Omar Basaree.
Sebagai anggota Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) yang menekankan falsafah seni sebagai nilai budaya bangsa, Mazli Mat Som dan Sani Md Dom turut menimba inspirasi dari laut, khususnya dalam menggambarkan kehidupan nelayan sebagai tema dan subjek. Karya Mazli Mat Som “Menanti Nelayan” (76cm x 92cm, cat minyak, 1961) menggambarkan keayuan gadis Melayu berlatarbelakangkan perahu-perahu nelayan dan laut serta langit yang luas. Laut sebagai punca rezeki dan potret gadis Melayu yang sopan mengenakan pakaian tradisional sebagai cerminan budaya luhur menjadi fokus Mazli.
Sani Md Dom pula melalui karya landskap dan figuratif seperti “Pukat Tarik” (51cm x 61cm, cat minyak, 2003) menggambarkan empat nelayan menarik pukat ke pantai berlatarbelakangkan laut yang berombak menghempas pantai. Langit luas di latar belakang menyatukan keseluruhan komposisi karya. Seperti karya Mazli, laut ciptaan Tuhan dan nelayan mencerminkan sumber rezeki dan gambaran hidup yang nyata.

Yusof Ghani dalam siri “Ombak” menjadikan laut dan ombak sebagai alegori kekacauan di dunia: peperangan dan ketidak-tentuan hidup yang menghimpit banyak masyarakat dunia. Di sana sini manusia berbalah dan saling bunuh membunuh. Anak-anak kecil dan wanita yang tidak berdosa menjadi korban dan mangsa peperangan juga keganasan. Hidup ini bagaikan ombak. Itulah kiasan ombak, bagai cerminan kehidupan di dunia yang sentiasa bergolak sebagaimana tercermin dalam pameran solonya “Ombak: Breath of Life” di Sasana Kijang pada 2014.
Rafiee Ghani melalui siri “Arca Samudera” yang diperagakan di Galeri Puteh pada Januari 2024 meneroka bidang seni arca menggunakan bahan kayu, memperluaskan pengucapan seninya yang sebelum ini tertumpu kepada catan. Bagi Rafiee, siri arca tersebut masih bertitik-tolak daripada tema dan konsep perjalanan dan penghijrahan seperti mana dalam siri catannya. Kata “Samudera” atau “Lautan” mempunyai banyak pertalian dengan peribahasa Melayu, khususnya yang berkaitan dengan penghijrahan dan tingkah laku serta menjadi cerminan dan kiasan orang berilmu dan berbudi tinggi. Perhubungan samudera dengan ombak tidak dapat dipisahkan, bagai cerminan gelombang kehidupan.
Awang Damit Ahmad, pelukis asal Sabah juga anak petani dan nelayan, seperti Zaimie Sahibil. Kehidupan masa kecil banyak mendasari karya-karya Awang, daripada siri “Intipati Budaya” hinggalah kepada siri mutakhir “Estetika Timur.” Seperti Zaimie, datuk Awang berdarah seni, pandai membuat perahu. Kepayahan hidup sewaktu kecil menjadi imbauan kuat untuk Awang Damit meneroka kembali ikonografi serantau berasaskan flora dan fauna, kesenian dan kesusasteraan. Bentukan-bentukan unik yang abstrak dan separa abstrak membawa makna dan ikonografi budaya yang turut bersifat personal. Tidak menghairankan Awang Damit Ahmad menjadi salah seorang pelukis yang menginspirasi Zaimie Sahibil, seperti tercermin dalam karya catannya “Shark Series” (2025).
Barang kali pertalian yang kuat antara barisan pelukis ini jika dihubungkan dengan karya-karya mutakhir Zaimie Sahibil dalam siri “Ocean Wave Pulau Silk” ialah karya-karya catan Razak Abdullah, pelukis asal Terengganu yang menerima jolokan “impresionis Malaysia” serta dikenali menerusi karya-karya yang merakam keindahan dan kepermaian alam semula jadi dan persekitarannya.

Dalam siri “Portraits of Bidong” yang diperagakan di Galeri Chandan pada tahun 2008, Razak merakamkan keindahan pemandangan dasar laut persekitaran Bidong penuh dengan warna-warni seperti dalam karya “Hanging Garden II” (36” x 48” cat minyak atas kanvas, 2006) dan “Karang Luas VII” (30” x 40”, cat minyak atas kanvas, 2006). Dia menterjemahkan keindahan yang terselindung di bawah permukaan air menerusi teknik impresionis yang disukainya.
Karya-karya Razak Abdullah bukan sahaja merakamkan keindahan dasar laut menerusi pengolahan impresionistik, sebaliknya turut menzahirkan rasa keluh kesahnya perihal alam semula jadi yang kian tercermar oleh industri dan pembangunan serta sikap buruk manusia sendiri, sebagaimana tercermin dalam bait-bait puisinya:
“Aku ke gigi air
ku masih nampak
anak “Rreyok” berkilau hitam
di selimut tumpahan minyak
tapi masih rancak
dalam adaptasi kehidupan moden”
(Pulau Redang, Jun 2006 dalam Muliyadi Mahamood, 2008).
Tinjauan ringkas terhadap beberapa pelukis tanah air yang turut menimba inspirasi daripada alam, khususnya laut dan ombak, memungkinkan kita memahami pengucapan visual Zaimie Sahibil dengan lebih bermakna serta mengupayakan kita meletakkan beliau serta kerja seninya dalam konteks sejarah seni kontemporari negara ini. Hakikatnya, itulah sebahagian daripada pendekatan Sejarah Seni, selain daripada mentafsirkan rupa dan jiwa, meletakkan pelukis dan kerja kreatifnya dalam konteks perkembangan seni yang lebih besar.
Dalam konteks ini, laut dan ombak membawa konotasi yang berbeza bagi pelukis-pelukis ini: memerihalkan memori, nostalgia dan kenangan; cerminan keindahan alam, pintu rezeki dan cetusan budaya bangsa; keadaan sosiopolitik masyarakat dunia; pengalaman kendiri tentang kembara dan perjalanan; dan akhirnya tentang kebesaran Tuhan, kelestarian alam dan introspektif diri.

“Ocean Wave Pulau Silk” mengandungi makna yang tersurat dan tersirat, yang satunya bersifat nyata perihal keindahan alam sejagat, dan lainnya tentang kebesaran Tuhan Pencipta Alam dan hati nurani manusia itu sendiri. Siri karya ini perihal Tuhan, alam dan manusia. Jika tidak, mana mungkin Zaimie terkenang kembali kata-kata datuknya, “Ini baru ombak besar dunia, belum lagi ombak besar di akhirat” yang kemudiannya mendasari kerja-kerja seninya itu.
Justeru itu, karya-karya abstrak dalam siri ini seakan-akan memberi gambaran pandangan dari atas melihat ke bawah. Gelora ombak dalam penuh warna-warni dibina menerusi pendekatan eksperimentasi dan eksplorasi terhadap bahan dan warna yang menghasilkan komposisi serta kesan visual memikat. Menurut Fareez Vincent Amos dalam esei kuratorialnya, warna-warna berunsurkan lautan dengan teknik percikan antara keutamaan bagi mendapatkan kesan di atas permukaan kanvas (2025).
Tambah Fareez, “penghasilan karya komposisi pandangan dari atas ini membawa maksud bahawa hanya Allah Tuhan Yang Maha Esa akan sentiasa melihat segala tingkah laku dan perbuatan manusia dari atas. Manusia yang berada di bawah pula akan mendongak ke langit untuk melihat dan situasi ini secara tidak langsung mempengaruhi perasaan manusia yang hadir dengan pelbagai emosi dan rasa” (Ibid).

Tafsiran ikonografi ini diperkukuhkan menerusi pengolahan alam semula jadi, dalam konteks ini lautan, menerusi bahasa abstrak selaras dengan penolakan terhadap penggunaan imej bergambar secara realistik dalam kesenian Islam. Pengolahan abstrak ini memungkinkan khalayak berkontemplasi, memikirkan dan menghasilkan pengalaman visual yang luar jangka, berbanding imej bergambar yang lebih terancang dan terbimbing sifatnya. Kemungkinan-kemungkinan luar jangka ini juga diterbitkan menerusi teknik dan eksplorasi bahan dan warna yang bersifat dirancang dan sebaliknya.
Justeru itu, karya-karya Zaimie Sahibil ini membicarakan perihal hubungan manusia dengan Tuhan, serta manusia dengan alam: bagaimana manusia harus mengawal tingkah laku dan amalan mereka, serta kesedaran mereka terhadap kelestarian alam, dalam konteks pameran ini, ekosistem laut yang menjadi keprihatinan pelukis.
Karya-karya lain dalam pameran ini meperlihatkan pendekatan Zaimie Sahibil yang dinamik, bertolak daripada satu pengolahan kepada pengolahan-pengolahan bentuk yang lain dengan pantas, daripada bentuk figuratif kepada abstrak dan semi abstrak, atau menggabungjalinkan kedua-duannya. Hal ini dapat dilihat dalam siri “Grouper”, “Green Turtle”, “Barracuda”, “Shark” dan “Atlantis” yang sebahagiannya turut diperagakan dalam pameran ini. Dalam konteks ini, “Ocean Wave Pulau Silk” adalah cerminan kesinambungan kesemua siri ini.
“Ocean Wave Pulau Silk” memperlihatkan kepekaan Zaimie Sahibil terhadap persoalan-persoalan yang menyentuh aspek ketuhanan, alam sekitar, tingkah laku manusia dan malahan dirinya sendiri. Jelasnya, karya-karya ini adalah perihal Tuhan, alam dan manusia.
Rujukan.
Fareez Vincent Amos@Mohd Fadly, 2025. “Manifestasi Terapi Visual Ocean Wave Pulau Silk Dr. Zaimie Sahibil,” dalam Ocean Wave Pulau Silk. Institut Peradaban Melayu. UPSI.
Muliyadi Mahamood, 2007. Modern Malaysian Art: from the pioneering era to the pluralist era (1930s-1990s). Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Muliyadi Mahamood, 2008. Razak Abdullah: Symphony of Colour. Kuala Lumpur: Galeri Chandan.
Redza Piyadasa, 1981. Pengolahan Lanskap Tempatan dalam Seni Moden Malaysia 1930-1981. Kuala Lumpur: Muzium Seni Negara.
Syed Ahmad Jamal, 1987. Seni Lukis Malaysia 57-87. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.
T.K. Sabapathy dan Redza Piyadasa, 1983. Modern Artists of Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.
