DENIM bukan sekadar sehelai fabrik. Ia adalah simbol budaya, identiti, dan ketahanan masa. Sejak diperkenalkan pada abad ke-19 sebagai pakaian kerja yang tahan lasak, denim telah berkembang menjadi salah satu elemen paling ikonik dalam dunia fesyen. Daripada buruh lombong emas di California hingga ke pentas fesyen di Paris, denim sentiasa beradaptasi tanpa kehilangan karakter asalnya—lasak, serba guna, dan penuh gaya.
Dalam dunia fesyen moden yang dibanjiri dengan pengeluaran massa, denim artisan mula mendapat tempat di hati peminat yang mencari keunikan dan ketulenan. Tidak lagi sekadar pakaian harian, jeans kini membawa cerita tentang bagaimana ia dibuat, siapa yang membuatnya, dan apa yang diwakilinya. Di sinilah muncul peranan jenama denim berskala kecil yang menekankan aspek ketukangan dan warisan, menentang arus produksi kilang yang berorientasikan keuntungan semata-mata.
Di Malaysia, jenama denim buatan tempatan masih dalam fasa pertumbuhan. Berbanding negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat yang memiliki industri denim artisan yang kukuh, Malaysia masih kekurangan jenama yang benar-benar mengangkat ketukangan klasik dalam penghasilan jeans. Namun, di tengah-tengah kekurangan ini, muncul seorang penggiat denim dari Kota Bharu, Mohd Nasruddin Mukhtar, 40, yang berusaha mengubah landskap denim tempatan dengan jenama Old Bones Overalls.
Lahir dari Minat dan Ketukangan Tangan
Old Bones Overalls bukanlah jenama yang lahir dari strategi pemasaran besar-besaran atau pelaburan korporat. Sebaliknya, ia bermula dari sebuah hobi, dikerjakan dengan tangan, dan dipacu oleh keghairahan mendalam terhadap denim klasik. Mohd Nasruddin, yang sudah mengenali mesin jahit sejak zaman remaja, mula menjahit secara tidak formal dengan mempelajarinya daripada ibunya. Bermula dengan mengubah suai dan membaiki pakaian sendiri, kemahiran itu berkembang apabila beliau mula mengambil upah daripada rakan-rakan.

Namun, kehidupan membawanya ke jalan lain. Urusan pembelajaran dan pekerjaan menyebabkan minat dalam jahitan terhenti buat sementara waktu. Sehinggalah pada tahun 2017, beliau kembali kepada dunia jahitan—kali ini dengan fokus kepada denim. Bermula sebagai terapi untuk menghilangkan tekanan kerja, beliau mula membaiki jeans koyak menggunakan jahitan tangan sebelum akhirnya membeli mesin jahit dan menjadikannya sebagai bisnes kecil-kecilan.
“Setelah beberapa tahun membaiki jeans, minat terhadap jeans makin mendalam sehingga mula menanam cita-cita untuk membuat jeans jenama sendiri,” katanya kepada Senimalaya.
Impian itu akhirnya direalisasikan pada akhir tahun 2024, apabila beliau berjaya menghasilkan prototaip jeans pertama Old Bones Overalls.
Walaupun jenama ini masih dalam fasa awal, ia telah mula menarik perhatian peminat denim kerana pendekatannya unik menghasilkan jeans yang diinspirasikan daripada era 1940-an ke bawah.
Mengisi Kelompongan dalam Denim Tempatan
Inspirasi utama di sebalik penubuhan Old Bones Overalls bukan sekadar minat terhadap jeans, tetapi juga kesedaran tentang kekurangan jenama denim artisan di Malaysia, khususnya di Kota Bharu.
“Saya secara peribadi agak terkilan bila menyedari kekurangan jenama jeans buatan sendiri di sini, sedangkan ramai ‘sek makar’ di Kota Bharu,” katanya lagi.
Beliau melihat ini sebagai satu peluang untuk mengisi kelompongan tersebut, dengan menawarkan sesuatu yang tidak mudah didapati dalam pasaran tempatan—replika jeans model lama yang dihasilkan secara teliti dan hampir menyerupai teknik asal dari zaman tersebut.
Falsafah Ketulenan dan Warisan Denim
Old Bones Overalls tidak sekadar menghasilkan jeans. Ia membawa satu falsafah—menghormati warisan denim klasik dan memastikan keasliannya terpelihara. Fokus utama jenama ini adalah jeans era 1940-an, khususnya dari zaman Perang Dunia Kedua.
Pada era tersebut, kekurangan tenaga mahir dan kawalan ketat terhadap bahan mentah menyebabkan banyak jeans yang dihasilkan mempunyai kecacatan unik, seperti jahitan yang tidak kemas dan penggunaan material yang dikawal ketat oleh kerajaan. Ciri-ciri ini kini menjadi sesuatu yang sangat dihargai oleh peminat denim vintage.

“Jahitan tidak ‘cantik’, penggunaan butang donut bercorak padi (Laurel Button), semua ini adalah elemen yang saya masukkan dalam produk Old Bones Overalls.
“Secara tidak langsung, ia juga menepati keupayaan saya yang masih baru dalam pembuatan jeans,” katanya.
Bahan, Teknik, dan Ketukangan Tradisional
Untuk memastikan jeans yang dihasilkan berkualiti tinggi dan tahan lama, Old Bones Overalls menitikberatkan pemilihan bahan, termasuk fabrik, benang, dan butang yang kebanyakannya diimport dari luar negara. Selain itu, mesin jahit yang digunakan juga memainkan peranan penting dalam memastikan hasil akhir yang memenuhi piawaian tinggi.
“Walaupun masih belum mempunyai mesin yang lengkap, saya cuba sedaya upaya untuk mendapatkan hasil yang memuaskan,” katanya.

Di sebalik cabaran dalam mendapatkan bahan dan peralatan yang sesuai, beliau tetap berpegang kepada prinsip ketukangan tradisional. Setiap jeans dijahit satu persatu secara manual, dengan proses yang lebih teliti dan memakan masa berbanding pembuatan jeans secara industri.
Mencabar Arus Fesyen Moden
Dalam dunia fesyen moden yang didominasi oleh produk berskala besar, denim artisan masih mempunyai tempatnya.
“Secara global, kecenderungan terhadap barangan ‘vintage’ dan ala ‘vintage’ makin dihargai,” katanya, merujuk kepada jenama seperti RRL yang berjaya membina kultus peminat denim berinspirasikan era lampau.
Beliau percaya bahawa denim artisan yang berpegang kepada falsafah ketulenan boleh pergi jauh, walaupun beroperasi dalam skala kecil. Sasaran utamanya buat masa ini adalah pasaran tempatan, khususnya peminat ‘vintage’ yang menghargai jeans buatan tangan dengan karakter unik.
Cabaran dan Visi Masa Depan
Menghasilkan denim secara artisan bukanlah sesuatu yang mudah. Antara cabaran terbesar yang dihadapi adalah kekurangan rujukan dalam pembuatan jeans lama, terutamanya dalam aspek ‘cutting pattern’ dan ‘size grading’. Semuanya dilakukan secara ‘try and error’, dengan bantuan rakan-rakan tukang jahit serta rujukan dari komuniti denim antarabangsa.
Beliau juga berdepan dengan kesukaran dalam mendapatkan bahan mentah dan peralatan yang sesuai, kerana kebanyakan mesin jahit yang diperlukan untuk menghasilkan jeans klasik tidak mudah didapati di Malaysia.
Namun, di sebalik semua cabaran ini, beliau tetap optimis dengan masa depan Old Bones Overalls. “Saya mengimpikan jenama ini mendapat pengiktirafan bukan setakat di Malaysia, malah dapat menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Buat masa ini, beliau tidak bercadang untuk bereksperimen dengan teknologi moden, sebaliknya mahu mengekalkan pendekatan ketukangan tradisional yang menjadi jiwa kepada jenama ini.
“Sesuai dengan nama Old Bones, yang bermaksud seseorang yang menyukai benda dan cara lama, saya tidak merancang untuk menerapkan unsur teknologi baharu.
“Malah, saya mempunyai impian untuk menggunakan kaedah pembuatan yang makin lama,” ujarnya.
Dengan dedikasi yang tinggi terhadap seni pembuatan jeans klasik, Old Bones Overalls bukan sekadar sebuah jenama, tetapi sebuah usaha untuk menghidupkan semula warisan denim yang semakin dilupakan. Di tangan pengasasnya, setiap helaian jeans bukan sekadar pakaian, tetapi sebuah karya seni yang membawa cerita—tentang masa lampau, ketukangan tangan, dan keindahan dalam ketidaksempurnaan.
Untuk tempahan sila ke https://www.instagram.com/oldbonesoveralls/?hl=en

