Saya mendengar dengan penuh teliti penjelasan Umibaizurah Mahir @ Ismail, atau lebih dikenali dengan panggilan Umi, mengenai karyanya “Pesta Mawar” (2024) yang menjadi antara tarikan utama ketika mengunjungi pameran solonya berjudul Rekah di SARENG, galeri seni kontemporari yang terletak di Tingkat 8, Menara Chan, Jalan Ampang Kuala Lumpur pada September tahun lalu..
Saya bernasib baik, kerana sewaktu kunjungan pada tengah hari Rabu, 18 September 2024 itu, iaitu sehari sebelum perasmian keesokan malamnya, Umi masih berada di bangunan itu seusai menyantuni jurnalis membuat liputan pamerannya itu. Sebenarnya, saya terserempak dengan Umi di parkir kereta yang ketika itu bersama-sama suaminya pelukis Ahmad Shukri Mohamed dan seniman seramik Mohd Al-Khuzairie Ali sedang bersiap-siap menaiki kereta untuk bertolak pulang selepas sesi bersama media. Setelah mengucapkan salam dan berbual ringkas, saya terus naik ke galeri meninggalkan mereka.
Selang beberapa minit berada di galeri sambil berbual-bual dengan Sdr. Syukur Ali, Pengurus Galeri dan menatap karya yang diperagakan, tiba-tiba kedengaran pintu galeri dibuka orang. Rupa-rupanya Umi, bersama-sama Shukri dan Al-Khuzairie tidak jadi untuk terus pulang, sebaliknya mereka naik kembali ke galeri kerana memikirkan saya datang mengunjungi pamerannya. Mereka tidak sanggup meninggalkan saya bersendirian. Murni sungguh hati mereka, bisik hati kecil saya!
Saya terus mendengar dengan teliti apa yang Umi rungkaikan. Menurut Umi, selama ini, dia sudah beberapa kali mengadakan pameran solo, tetapi kesemuanya di luar negara. Hal ini antara lain kerana dia diwakili oleh sebuah galeri di Singapura, justeru itu memungkinkan pameran-pameran solonya lebih kerap di luar negara berbanding di Malaysia. Dia merasakan sudah sampai masanya dia meraikan suasana seni rupa di tanah air sendiri, terutamanya di ibu kota Kuala Lumpur. Justeru itu, maka terlaksanalah pameran solonya Rekah di SARENG: “bagaikan sireh pulang ke gagang” mengikut kata peribahasa Melayu.
Menurut Umi lagi, sebelum ini, pameran-pamerannya lebih menumpukan kepada seni arca seramik berbanding catan. Pada pameran kali ini, dia menampilkan kelainan dengan memfokuskan kepada seni catan di samping beberapa karya arca. Kelainan untuk pameran solo istimewa di Kuala Lumpur ini bukan sahaja pada bentuk karya, malahan pada penerokaan-penerokaan gaya, teknik, bentuk, konsep dan makna baharu yang ditonjolkannya. Kata Umi, dahulu dia memang pernah menghasilkan catan akrilik, tetapi kali ini, catan-catannya berasaskan tanah liat sebagai medium utama. Ini suatu pendekatan baharu dalam konteks seni kontemporari Malaysia.
Sambil menunjukkan kepelbagaian rupa dan kesan visual pada permukaan “Pesta Mawar,” Umi menambah, dia berasal dari Muar, Johor serta membesar dalam suasana kampung. Semasa kecil, dusun buah-buahan adalah taman permainannya. Dia hidup dikelilingi dengan kehijauan alam yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan dan udara segar lagi bersih, anak sungai yang mengalir lesu dengan kelibat anak-anak ikan kecil yang riang berenang-renang di dalamnya. Dia membesar dalam suasana hidup keluarga dan masyarakat yang ramah.
Umi bagaikan terkenang masa lalu yang indah, hidup dalam suasana damai dikelilingi alam persekitaran permai yang belum dihambat dengan kemajuan teknologi serta pembangunan. Dia rindu pada masa lalu itu.
Justeru itu, dia berasa teruja ketika mula berpindah dan mendiami kawasan perumahan Puncak Alam, di daerah Kuala Selangor pada awal alaf baharu. Kawasan yang mula dibangunkan pada akhir dekad 1990-an itu bagaikan menjanjikan suasana kehidupan dalam taman yang damai lagi penuh kehijauan. Dia sempat menikmati suasana itu, malahan berbasikal menaiki bukit tinggi yang mencabar, sambil meredah dan menikmati kawasan hijau yang belum diterokai dan digondolkan pada peringkat awal berpindah ke situ.
Namun masa begitu pantas berlalu, kesemua slogan indah pemaju perihal kehidupan dalam taman dan kehijauan hanya tinggal kenangan. Pembangunan dan pembinaan bangunan, infrastruktur dan perumahan baharu sedikit demi sedikit menghakis harapan dan menukar landskap semula jadi kepada hutan konkrit dan batu. Mungkin inilah harga sebuah kemodenan dan kemajuan.
Pembangunan juga mengubah landskap dan ekosistem alam, memberi kesan kepada struktur bumi, tanah, bentuk dan jangka hayat tumbuh-tumbuhan, malahan mewujudkan kepelbagaian kesan rekahan. Bagi Umi, kata rekah itu amat signifikan jika dihubungkan dengan fenomena alam semula jadi, justeru memberi inspirasi dalam menghasilkan siri karyanya yang bersumberkan alam, bukan hanya pada idea, bentuk dan makna, malahan pada bahan dan tekniknya juga. Rekah pada tanah menjadi laluan untuk air mengalir, membasahi bumi dan menghidupkan tumbuh-tumbuhan. Rekah ini perihal alam.
Umi menegaskan bahawa metodologi yang konsisten diterapkannya dalam menghasilkan siri terbaharu ini melibatkan percubaan demi percubaan terhadap bahan, eksplorasi bentuk, permukaan dan warna, serta melalui proses pembakaran yang teliti untuk mencapai kesan rekah yang diinginkan. Tiada jalan pintas untuk menghasilkan yang terbaik.
Menurut Umi, dia mengambil masa sekitar dua setengah tahun untuk menyiapkan karya-karya bagi pameran ini termasuklah dengan melakukan kerja-kerja penyelidikan. Sekitar satu setengah tahun dia mengambil masa untuk menyiapkan karya-karyanya di studio. Penghasilan karya-karya ini memang memerlukan kekuatan mental dan fizikal.
Saya terus kekal teliti mendengar penjelasan Umi. “Pesta Mawar” (2024) dicipta menggunakan bahan campuran yang terdiri daripada tanah liat, tanah, pasir, pigmen seramik, lakuer, pelekat, dan serpihan seramik buatan sendiri, di atas kanvas. Kesan rekahan pada permukaan karya kelihatan sekata, seperti corak alami. Di antara rekahan-rekahan itu, Umi letakkan serpihan-serpihan seramik berwarna yang diadun dan dihasilkan daripada formulasi sendiri. Ini mewujudkan kesan visual yang indah, bagaikan kerdipan-kerdipan warna dan cahaya di permukaan bumi.
Menurut Umi lagi, karya-karya catannya terhasil menerusi proses natural, justeru kesan-kesan rekahan yang terhasil itu juga bersifat alami, menerbitkan keindahan yang luar biasa, seperti “zen” katanya: tenang dan damai. Rekahan tersebut bukan sahaja menghasilkan elemen kejutan yang spontan, tetapi juga memperlihatkan dimensi visual yang dinamik, dengan corak dan tekstur yang muncul secara unik pada setiap permukaan. Ia menjadi salah satu aspek visual yang penting dalam seni seramik, sambil menyerlahkan inovasi dan ketajaman artistik yang mendefinisikan seni dalam konteks semasa yang melangkaui sempadan tradisional.
Hal ini mengingatkan saya kepada apa yang disebut Leonard Koren sebagai “wabi-sabi,” iaitu nilai estetik tradisional Jepun yang terbit daripada objek-objek yang tidak sempurna, tidak kekal dan tidak lengkap: keindahan pada benda-benda yang sederhana, keindahan pada benda-benda yang tidak konvensional (Wabi-Sabi: further thoughts. Point Reyes, California: Imperfect Publishing, 2015).
Di tangan Umi, kesan-kesan rekah menjadi semacam ragam hias yang sekata lagi tersusun, berulang-ulangan dan mujarad sifatnya. Justeru, yang alami itu jika dirancang dan diformulakan akan menjelmakan keindahan yang luar biasa. Rentetan daripada kesan-kesan rekah yang kelihatan sekata seperti ragam hias yang sistematik aturannya di permukaan kanvas serta niat dan hasrat murninya mengupas isu-isu alam ciptaan Tuhan itu, saya memberitahu Umi bahawa karyanya itu bersifat islamik. Umi hanya tersenyum.
Lanjutan itu, saya teringatkan tulisan-tulisan sarjana kesenian Islam seperti Ismail Al-Faruqi dan Lois Lamya’ Al-Farugi (The cultural atlas of Islam. New York: Macmillan Publishing Company, 1986) yang menyebut bahawa dalam kesenian Islam, beberapa ciri asas ekspresi nilai estetik terhadap tauhid terbina menerusi pengolahan abstraksi, struktur modular, perulangan, dinamisme dan kehalusan dalam seni. Kesemuanya ini membentuk tiga kaedah besar seni Islam iaitu penggayaan, tidak individualistik dan konsep pengulangan.
Ketiga-tiganya menjadi wahana penyampai mesej Islam dalam karya seni. Penggayaan bermaksud pengubahsuaian sesuatu bentuk alam semula jadi kepada tidak semula jadi. Tidak individualistik pula bermaksud tiada penekanan pada persoalan personaliti atau individu. Konsep pengulangan pula bertindak sebagai penyokong kepada kedua-dua konsep tersebut. Rentetan daripada dasar pendekatan formalistik kesenian Islam yang berasaskan kaedah penggayaan, pengubahan sifat semula jadi dan pengulangan subjek ini telah menghasilkan imejan yang bersifat abstrak. Kesemua hal ini dapat dihayati dalam Rekah.
Rekah menyuarakan keresahan hati Umi terhadap kemerosotan dan kemusnahan alam semula jadi hasil angkara manusia sendiri. Inilah yang diungkapkannya dalam “Sayap Jelaga” (2024) dan “Dansa Debu dan Angin” (2024) yang menyentuh perihal jerebu yang melanda rantau ini setiap tahun akibat daripada pembakaran hutan untuk pertanian yang menyebabkan debu-debu pencemaran berarak dan berterbangan.
“Lembah Dara” (2024) dan “Jamah Tumbuh Meliar” (2024) pula adalah perihal hutan dan tumbuh-tumbuhan kehijauan yang semakin hilang diteroka untuk pembalakan mahupun pembangunan kawasan. Keunikan karya-karya Umi bukan sahaja terletak pada rupa, malahan pada jiwanya yang menyimpan makna-makna tersirat di sebalik judul-judul karya yang puitis. Menurut Umi, dia sengaja mengekalkan tajuk-tajuk karyanya dalam bahasa Melayu kerana ketebalan lapisan maknanya yang sukar untuk diterjemahkan ke bahasa Inggeris.
Contohnya, “Lembah Dara” itu merujuk kepada hutan yang liar belum pernah diterokai, sementara “Jamah Tumbuh Meliar” pula mencerminkan tindakan manusia yang tidak pernah jemu dan puas menghakis harta alam semula jadi, bermula dengan sedikit persis menjamah, kemudian terus mahu mengambil dan menikmati keseluruhannya, samalah seperti aktiviti pembalakan haram yang menggondolkan hutan, ataupun berebut-rebut menolak dan menjual tanah bukit dalam “Lumba Bukit” (2024).
Perilaku manusia memusnahkan alam tidak terbatas pada tumbuh-tumbuhan, tanah dan udara, malahan pada air, seperti Umi luahkan dalam “Keruh Tak Bermusim” (2024). Kalau dahulu, sungai hanya keruh pada musim tengkujuh, tetapi keruhnya kini tidak menunggu hujan, malahan sentiasa keruh dek pencemaran akibat pembuangan sampah-sarap dan sisa toksid. Memang manusia itu medatangkan celaka untuk diri mereka sendiri.
Sambil meneliti karya-karya arcanya, “Gelung Timbusan” (2024), “Terra Kota” (2024) dan “Mega Putih” (2024), saya bertanya kepada Umi, sebagai seorang pengarca seramik apakah ciri-ciri utama yang dipentingkannya? Atau, sebagai seorang penghayat seni arca seramik, apakah ciri-ciri utama yang perlu diberi perhatian ketika melihat sesebuah karya arca seramik? Jawab Umi, ada tiga perkara, iaitu bentuk (form), pelicauan (glazing) dan tanah yang digunakan oleh artis tersebut, kerana setiap jenis tanah memberikan nuansa dan karekter yang berbeza, selain daripada pentingnya mesej karya yang ingin disampaikan.
Jawapan Umi itu memberikan saya kefahaman mengapa ketiga-tiga arcanya itu menampilkan ciri-ciri yang sedemikian rupa. Hal ini menunjukkan bahawa dalam membawa mesej kritik sosial seperti pembaziran menerusi pembinaan projek-projek gajah putih yang akhirnya terbiar dan tidak digunakan, seperti luahannya dalam arca “Mega Putih” (2024), nilai-nilai estetik seni arca seramik itu tidak pernah dipinggirkannya.
Penghayatan saya terhadap karya-karya Umi dalam pameran Rekah itu diakhiri dengan dua karya yang mendalam maknanya, pertama, catan berjudul “Liat Bersujud” (2024) dan kedua, arca berpasangan bertajuk “Langkau Alam I” (2024) dan “Langkau Alam II” (2024).
Bagi saya, ketiga-tiga karya ini menjadi kemuncak kepada tafsiran perihal nuansa keislaman dalam Rekah. Hal ini kerana, kesenian Islam itu menyentuh hal-hal kemanusiaan dan ketuhanan, memperihalkan hubungan manusia dengan manusia, dan hubungan manusia dengan Tuhan.
Catan “Liat Bersujud” (2024) membawa makna yang bersifat jasmani dan kerohanian. Liat itu merujuk kepada sifat tanah liat itu sendiri sebagai medium, liat bersujud menggambarkan sifat tanah yang akur pada ketentuan alam. Dalam keadaan lembap, tanah liat menunjukkan sifat asalnya yang lembut dan mudah dibentuk, mencerminkan potensi dan keterbukaan. Namun, seiring berjalannya waktu dan dalam situasi yang kering, ia menjadi keras dan tegar, mengingatkan kita akan kepentingan keteguhan dalam beribadah dan ketaatan kepada yang Maha Kuasa.
Sebagaimana tanah harus melalui proses untuk menjadi bentuk yang diinginkan, manusia juga harus berusaha untuk mengatasi kedegilan dan kealpaan dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap Pencipta, baik terhadap diri sendiri, mahupun masyarakat dan alam, demi mencapai keseimbangan dan harmoni dalam kehidupan.
Arca berpasangan “Langkau Alam I” (2024) dan “Langkau Alam II” (2024) bagaikan mengingatkan manusia kepada kebesaran dan ketinggian Tuhan. Biarpun setinggi mana cita-cita dan kehendak manusia, tinggi lagi kedudukan Tuhan Pencipta Alam. Dari sudut pengkaryaan, karya ini mencerminkan ketelitian, ketertiban, ketekunan dan kesabaran Umi dalam mewujudkan suatu kreasi yang bermakna menerusi proses penciptaan yang cekap dan cermat. Binaan-binaan blok seramik meninggi itu dihasilkan secara manual, satu demi satu, berulangan dan bermodular, sebagaimana pendekatan kesenian Islam itu sendiri.
Kesenian umat Islam selalunya dianggap sebagai kesenian yang berbentuk saujana atau “seni infiniti.” Seni bernafas keislaman sewajarnya dapat mewujudkan suasana kontemplasi yang akan membawa fikiran audiens kepada Tuhan dan menjadi penguat kuasa serta pengikat asas-asas agama (Ismail R. Al-Faruqi dan Louis Lamya’ Al-Faruqi, Atlas budaya Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992: 75).
“Healing”: “rehat minda” dan ketenangan, mungkin itu yang dapat diungkapkan ketika menghayati karya-karya catan Umibaizurah Mahir @ Ismail dalam Rekah. Ketenangan yang menerbitkan suasana kontemplasi daripada mengamati dan menghalusi segala macam rupa visual di permukaan catan yang indah, meskipun isu-isu yang diketengahkan itu menyentuh persoalan-persoalan yang dikaitkan dengan kemerosotan keadaan dan kemusnahan alam.
Seperti kata Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal, “catan mestilah indah meskipun ia menggambarkan peristiwa yang pedih dan menyakitkan. Catan tidak seharusnya hodoh atau anti-keindahan” (Muliyadi Mahamood, Antara langit & bumi. Kuala Lumpur: Galeri Petronas, 2000: 20).






