AHLI falsafah Jerman yang begitu kontroversi melalui ungkapan ‘gott ist tot’ (Tuhan sudah mati), Friedrich Wilhelm Nietzsche (1844–1900), terkenal dengan gaya penulisan aforistiknya (*karangan yang ringkas dan tajam dalam mengungkapkan idea atau prinsip secara mendalam) dan kesusasteraan, telah ‘mengejutkan’ landskap landskap kefalsafahan Eropah, khususnya dalam bidang etika, epistemologi serta estetika.
Nietzsche mengkritik sekeras-kerasnya doktrin Kristian serta ajaran Plato mengenai nilai moral tradisional, agama dan metafizik. Dalam bidang estetika, beliau membawa fahaman radikal yang menjadikan seni sebagai proksi kepada kehidupan manusia itu sendiri.
Dalam pemerhatian Nietzsche, seni bukan hanya cerminan dunia, tetapi merupakan ekspresi terdalam keinginan untuk hidup dan kehendak untuk berkuasa. Melalui karya sastera falsafah pertamanya, ‘The Birth of Tragedy‘, 1872, Nietzsche secara kritis mengembangkan konsep dalam falsafah seni, yang mengaitkannya dengan pengalaman manusia. Ia meliputi penderitaan, kekacauan hidup, dan juga usaha manusia dalam menerokai pencarian makna.

Seni, Tragedi dan Dualisme Apollonian–Dionysian
Salah satu sumbangan Nietzsche yang paling penting apabila kita bercakap tentang estetika ialah ideanya tentang dualisme Apollonian dan Dionysian dalam karyanya ‘The Birth of Tragedy‘ (1872).
Berdasarkan mitologi Yunani, terdapat dua unsur yang bertentangan iaitu kebahagiaan dan penderitaan (tragedi). Ia dilambangkan dengan watak dewa Apollo yang melambangkan ketertiban, kesempurnaan bentuk, kejelasan dan ketenangan, manakala Dionysus mewakili kekacauan, kelangsungan hidup, imaginasi dan kuasa semula jadi yang tidak terkawal.
Malah, Nietzsche percaya bahawa seni yang hebat sebenarnya lahir daripada ketegangan dan gabungan antara dua kuasa ini. Nietzsche berhujah bahawa tragedi Yunani klasik, seperti karya Sophocles dan Aeschylus, adalah inspirasi utama dalam bidang seni, kerana ia menyatukan dua prinsip ini, iaitu struktur dramatik dan puitis yang teratur (Apollonian), bergerak seiring dengan tema penderitaan, kekacauan, bahkan takdir tragis (Dionysian). Tragedi tidak ditakrifkan sebagai keasyikan dalam cerita semata-mata, tetapi realiti yang menghadirkan manusia dengan aspek yang tragis dan menyakitkan.
Kita pasti dibuai kagum apabila Nietzsche ‘menuai’ madah; “manusia itu, kerana dia sering sahaja menangis, maka dia menciptakan ketawa!”. Menyedari perkara yang dimaksudkan, estetika Nietzsche menolak idea seni sebagai cermin idealisme atau keindahan murni, sebaliknya seni harus dilayan sebagai wadah meneroka realiti kreatif, berani malah penuh wibawa.
Kritik terhadap Estetika Plato dan hukum moral Immanuel Kant
Nietzsche merujuk kepada pandangan Plato yang melihat dunia seni sebagai tiruan dunia idea (mimesis), dan oleh itu, martabatnya lebih rendah daripada kebenaran. Pada pendapat Plato, seni menjauhkan kita daripada kebenaran, kerana ia meniru objek yang hanya bayangan dunia idea. Bagaimanapun, Nietzsche berpendapat sebaliknya. Dunia tidak mempunyai ‘kebenaran’ tetap yang boleh ditiru. Jadi, seni adalah cara untuk manusia mencipta makna dan memberi inspirasi kepada nilai, melalui dunia yang tidak mempunyai prinsip metafizik mutlak. Ini bermakna seni tidak harus dilihat sebagai tiruan, tetapi sebagai imej penciptaan nilai yang aktif. Bercakap tentang hukum moral juga, Nietzsche nampaknya tidak berpuas hati dengan idea estetika moral Immanuel Kant yang dengan penuh semangat ‘meledakkan’ konsep ‘disinterested judgement‘ iaitu penghayatan estetik yang tidak dipengaruhi oleh sebarang keinginan atau tuntutan moral. Nietzsche percaya bahawa seni sejati sudah tentu akan dipenuhi dengan kuasa dorongan, semangat dan kehendak. Penghakiman estetik, menurutnya, tidak akan pernah seimbang (neutral), bahkan dipandu oleh kuasa dan keinginan hidup, untuk mengukuhkan kewujudannya di dunia.
Seni adalah Kehidupan: Konsep Nihilisme dan Kehendak untuk Berkuasa
Karya-karya monumental Nietzsche kemudiannya, seperti seperti Maka, Bersabdalah Zarathustra (Thus Spake Zarathustra) dan Kehendak untuk Berkuasa (The Will to Power), secara kritis mengembangkan idea bahawa kehidupan moden sedang menghadapi krisis nihilisme, iaitu sesuatu yang hilang makna akibat “matinya Tuhan”.
Dalam situasi seperti ini, seni berperanan sebagai kuasa untuk menegaskan hakikat kehidupan, malah ia mencipta nilai-nilai baru. Seni bukan lagi sekadar hiasan, tetapi satu bentuk penentangan terhadap kehampaan-kehampaan eksistensial.
Konsep ‘kehendak untuk berkuasa’, yang dikembangkan Nietzsche tidak hanya merujuk kepada kuasa dalam maksud politik atau dominasi, namun ia merupakan sumber dorongan dalaman kepada umat manusia untuk mencipta, berkembang, selanjutnya mengubah realiti dan takdir hidup. Seni merupakan salah satu julangan manifestasi daripada gagasan ini. Nietzsche mengangkat seni ke tahap yang lebih tinggi sebagai gaya hidup dan cara memandang dunia. Misalnya, dalam karya ‘Sains yang Mengasyikkan’ (The Gay Science) dan ‘Pandanglah Lelaki Itu’ (Ecce Homo), Nietzsche seringkali mengaitkan hidup sebagai satu bentuk seni, yakni hidup yang harus dijalani dengan kesedaran estetik, dengan gaya, keberanian, dan penciptaan diri (Selbstschöpfung).
Berdasarkan pengertian ini, seni bukan hanya terbatas kepada pencitraan lukisan, arca, puisi, atau muzik semata-mata, namun lebih daripada itu, ia menjadi prinsip eksistensial. Seseorang itu, di saat dia menjadi seniman, sedang mencipta kehidupannya sendiri dengan gaya yang unik, tanpa dia harus tunduk kepada norma atau nilai-nilai luaran yang sering mengganggu. Makanya, seniman ditanggapi Nietzsche sebagai makhluk yang mampu menghadirkan dunia, mewujudkan nilai serta sudut pandang baharu, yang bukan sekadar dilandasi oleh ilusi, angan-angan serta khayal-khayal yang meresah.
Pengaruh terhadap Seni Moden dan Pascamoden
Sejujurnya, pemikiran Nietzsche telah mendatangkan kesan serta semangat yang signifikan kepada perkembangan seni moden dan pascamoden. Gerakan dan aliran seperti Ekspresionisme, Dadaisme, dan Eksistensialisme, banyak mengambil serta mengutarakan inspirasi daripada gagasan Nietzsche tentang seni sebagai sebuah ekspresi penderitaan, kekacauan batin, bahkan perlawanan terhadap faham rasionalisme.
Misalnya Edvard Munch, seniman ekspresionis Norway yang gemilang dengan karya ‘The Scream’ (1893), secara terang-terangan menyatakan dengan jelas bahawa, semangat Dionysian yang penuh ketegangan, keresahan, dan pengasingan manusia moden itu, telah menjadi inspirasi kepada beliau sewaktu mengerjakan lukisan yang mencegangkan ini.
Jika kita soroti dalam bidang falsafah seni kontemporari pula, tokoh seperti Michel Foucault dan Gilles Deleuze juga, ada meminjam buah fikiran Nietzsche untuk mempertanyakan kembali kategori-kategori tradisional dalam estetika, termasuklah idea tentang genius, hukum, dan kewajaran akan perlunya institusi seni. Tanpa kita sedar, Nietzsche sedang membuka jalan kepada suatu bentuk pemikiran estetika yang radikal, yang tidak lagi menyerah kepada suatu ‘kebenaran objektif’, sebaliknya tumbuh serta berakar dalam pengalaman, tubuh, dan kuasa untuk menciptakan makna serta nilai-nilai baharu.

Cabaran Estetika Abad ke-21: Teknologi, Plagiarisme & Kecerdasan Buatan
Abad ke-21 menjengah dengan satu bentuk cabaran mutakhir terhadap estetika, terutamanya dalam dunia seni digital, media sosial, dan tentunya yang paling fenomena, adalah ‘sergapan’ kecerdasan buatan (A.I.), ke atas daya fikir serta nilai manusiawi.
Dalam konteks ini, pemikiran Nietzsche justeru tetap menerima tempias ‘sentuhan’ kontemporari. Mampukah algoritma dan mesin-mesin mekanistik menjana ‘kehendak untuk berkuasa’ dalam setiap penghasilan karya seni? Persoalan yang bakal ditanyakan, siapakah subjek penciptaan, dan siapa pula yang menjadi objeknya (predikat), mesin atau manusia? Nietzsche, lalunya menekankan bahawa seni sejati datang daripada dorongan batin dan penderitaan eksistensial.
Dalam hal ini, seni yang dihasilkan oleh A.I., secara hakikat tidak mempunyai kesedaran, hasrat hidup, atau penderitaan, ia hanya mampu meniru bentuk, namun bukan buat ‘menyuburkan’ roh jiwani. Singkat cerita, tidak akan terzahir gagasan ‘Apollonian’ dan ‘Dionysian’ dalam pemprosesan data algoritma. Alhasil, cabaran utama dalam estetika A.I. bukanlah ditumpukan kepada kualiti karya secara teknikal, tetapi terhadap ‘hilangnya’ wujudiah (eksistensial) nan sejati.
Lebih mendasar, Nietzsche akan mempersoalkan, apakah masyarakat pada masa kini masih mempunyai kekuatan untuk menilai seni secara manusiawi, atau telah ditundukkan kepada ukuran nilai kelolaan mesin-mesin ‘bisu’ yang tak bernyawa, seperti kecanduan kepada ‘trending’, ‘likes’, ‘FYP’, algoritma pasaran dan seumpamanya? Dalam kerangka pemikiran Nietzsche, inilah yang dikatakan sebagai simptom ‘nihilisme estetika’, yakni kehilangan semangat hidup dalam dunia seni.
Nilai estetika sedang menggejala untuk dikomersialisasi, malah dimerosotkan melalui angka-angka statistik yang rigid. Namun, di sisi lainnya, berkemungkinan acuan fikrah Nietzsche ini dapat kita pandang sebagai satu cabaran bagi menerima ketibaan Adi-Manusia (Übermensch) masa depan. ‘Adi-Manusia’ moden yang berupaya untuk melampaui kebergantungan kepada sistem luar, lalu mampu menghasilkan karya seni dengan kesedaran penuh tentang batas-batas teknologi yang sedang melingkunginya. Dia menjadi pencipta seni yang didambakan, sang seniman yang mampu untuk memanipulasi teknologi sebagai alat, dan bukan sebagai pengganti kreativiti manusia itu sendiri.
Kesimpulan
Pemikiran estetika Nietzsche adalah satu cabaran terhadap semua bentuk idealisme dan moraliti tradisional dalam seni. Bagi Nietzsche, seni adalah ekspresi tertinggi daripada segenap kehendak hidup manusia, satu bentuk penegasan terhadap kekacauan serta penderitaan yang tidak dapat dielakkan. Dalam dunia yang sedang memudarnya moraliti atau kendur serapan metafizik, seni justeru mengisi lohong kekosongan ini sebagai wahana penciptaan makna, pencarian identiti, dan pengabsahan eksistensial.
Lebih kritis, dalam cabaran manusia untuk berhadapan dengan gempuran zaman digital dan algoritma, seni ‘Nietzschean’ bakal mengingatkan kita bahawa makna seni bukan sekadar terjelma melalui rupa dan bentuknya sahaja. Lebih daripada itu, ia ‘dipasakkan’ jua oleh keberanian untuk mencipta, agar menjadi manusia dalam ertinya yang paling radikal. Berkarya dan berseni bukanlah sebuah eskapisme, tetapi menjadi salah satu jalan untuk menghadapi dunia yang serba rencam.
Rujukan
Deleuze, G. (1983). Nietzsche and Philosophy (terjemahan oleh H. Tomlinson). Columbia University Press.
Leiter, B. (2002). Nietzsche on Morality. Routledge.
Nietzsche, F. (2000). The Birth of Tragedy (D. Smith, Trans.). Oxford University Press. (Karya asal diterbitkan pada tahun 1872).
Nietzsche, F. (1974). The Gay Science (terjemahan oleh W. Kaufmann). Vintage.
Nietzsche, F. (2006). Thus Spoke Zarathustra (terjemahan oleh A. Del Caro). Cambridge University Press.
Saiful Akram Che Cob (2024). Maka, Bersabdalah Zarathustra (terjemahan karya Friedrich Nietzsche Thus Spoke Zarathustra). The Biblio Press.
Young, J. (1992). Nietzsche’s Philosophy of Art. Cambridge University Press.
