“Without my morning coffee, I’m just like a dried-up piece of roast goat.” Komposer dan pempengaruh viral abad ke-18, Johann Sebastian Bach, sudah lebih awal membawa hype kopi menerusi Coffee Cantata, karya mini semacam muzikal TikTok versi Baroque. Kantata ini membuktikan bahawa sejak dulu, kopi bukanlah sekadar minuman. Ia sudah jadi content, simbol budaya, topik debat sosial, metafora hidup, lama sebelum latte art menjadi modal estetik Instagram. Dari dewan muzik Leipzig ke media sosial hari ini, kopi sentiasa tahu bagaimana untuk kekal relevan.
Mampukah Balzac menulis ratusan halaman tanpa kopi? Sukar dibayangkan. Dia meneguk puluhan cawan sehari seolah-olah kafein adalah genre sastera. Tanpa kopi hitam pekat yang menemani Hemingway di kafe-kafe Paris, mungkin A Moveable Feast hanya tinggal A Forgettable Nap. Chairil Anwar meneguk kopi pahit dengan dramatik di Batavia, seakan setiap hirupan adalah metafora penderitaan eksistensial seorang binatang jalang. “Even bad coffee is better than no coffee at all,” kata David Lynch. Kopi juga sudah sekian lama menjadi peluru kepada senjata seniman.
Namun, sejarah kopi bermula dengan kisah yang lebih absurd daripada kisah penyondol rumah tangga dalam Threads. Kononnya, sekitar abad ke-9 di Kaffa, Habsyah, seorang penggembala bernama Kaldi perasan kambingnya tiba-tiba bertenaga selepas makan biji kopi. Dari situ, biji kopi mula diolah dan dibawa ke biara-biara Sufi di Yaman sebagai peneman ibadah malam. Kopi hadir pula sebagai pengalaman rohani yang mengikat tubuh, ritual dan makna.
Biji kecil berwarna coklat gelap ini kemudian menempuh jalan berliku. Pernah dianggap berbahaya, ia dilarang dan dikaitkan dengan pemberontakan. Dari dataran Habsyah ke Mekah, dari Istanbul ke pelabuhan Melaka dan Goa, kopi sentiasa bergerak bersama kuasa. Di sesetengah tempat ia menghidupkan solidariti, di tempat lain ia ditakuti kerana mampu mencetuskan wacana. Ada ketika ia menentang, ada ketika ia ditundukkan, tetapi ia tidak pernah hilang ditelan zaman.
Pada tahun yang sama Afonso de Albuquerque meruntuhkan Kesultanan Melayu Melaka, gabenor Khair Beg di Mekah mengharamkan kopi. Alasannya bukan kerana rasa atau kafeinnya, tetapi kerana kedai kopi menjadi ruang rakyat berkumpul, berbual dan berdebat tentang agama dan politik. Kopi dilihat sebagai pemangkin wacana yang berpotensi menggugat kuasa pemerintah.

Pada dekad 1530-an di Kaherah, larangan diulangi atas sebab yang sama. Pada masa ini, kedai kopi berkembang pesat, melahirkan diskusi awam yang seakan “parlimen jalanan”. Ulama dan pemerintah resah kerana ia mencipta ruang alternatif yang bebas daripada kawalan tradisi. Larangan paling terkenal dikuatkuasakan di Istanbul pada 1633, di bawah Sultan Murad IV. Rakyat yang didapati minum kopi boleh dihukum mati.
Pada abad ke-16, Yaman berusaha memonopoli kopi dengan ketat. Biji hijau dilarang sama sekali menyeberangi sempadan, dan hanya biji yang sudah dipanggang dibenarkan dieksport agar tiada siapa mampu menanamnya di luar tanah Arab. Namun, tembok larangan itu tidak kekal lama. Pedagang licik dari India dan Belanda berjaya menyeludup keluar benih hidup, lalu menanamnya di tanah asing. Dari peristiwa inilah kopi mula melangkah keluar dari dunia Arab, menempuh perjalanan panjang sebagai komoditi global.
Apa yang pernah meresahkan pemerintah dunia Arab menjadi kenyataan apabila kopi muncul di pentas-pentas revolusi dunia. Sama seperti yang pernah berlaku di Mekah, Kaherah dan Istanbul, kedai kopi di Eropah bukan sekadar tempat minum tetapi ruang melahirkan idea-idea gila yang menggoncang takhta. Di Paris, kafe-kafe melahirkan semangat Revolusi Perancis. Di Boston, kopi jadi simbol penentangan terhadap monopoli teh British. Dari Mokha ke Bastille, dari pelabuhan ke parlimen jalanan, kopi terus memainkan peranan dalam bab-bab penting sejarah dunia.
Di Asia, Belanda menjadikan kopi sebagai senjata kapitalisme global. Bermula abad ke-17, mereka membawa benih kopi dari Yaman ke Jawa, lalu menanamnya secara besar-besaran. Dari sinilah lahir istilah Java yang hingga kini sinonim dengan kopi dalam imaginasi Barat. Namun di sebalik aroma harum itu tersembunyi realiti pahit, iaitu sistem cultuurstelsel abad ke-19 yang memaksa petani pribumi menanam kopi (dan tanaman lain) untuk dieksport dan memperkasa ekonomi Belanda, sementara mereka sendiri kekal miskin dan lapar. Kopi menjadi nadi ekonomi penjajahan, mengalir ke Amsterdam, Vienna dan Paris, tetapi setiap teguk yang dihirup di Eropah terikat dengan peluh dan penderitaan pribumi.
Jika di Eropah lahir budaya kaffeehaus atau kafe Paris yang melahirkan falsafah Jean-Paul Sartre, di Asia Tenggara muncul pula kopitiam yang riuh dan berasap, tempat gosip jiran bercampur dengan aroma roti bakar dan bunyi cawan berlaga. Di sinilah pertembungan berlaku: kopi sebagai naratif global bertemu dengan kopi sebagai identiti tempatan. Jika di Paris wacana melayang tinggi tentang absurdisme, di kopitiam pula wacana sering bermula dengan politik harga ayam dan/atau telur ayam sebelum meleret ke teori konspirasi antarabangsa. Ironinya, kedua-duanya sama serius, sama membentuk dunia; sekurang-kurangnya dunia kecil di meja masing-masing.
Di Nusantara juga kedai kopi sering menjadi ruang intelektual dan aktivisme. Dari kedai kecil di Kuala Lumpur yang menampung mahasiswa dan penulis muda membincangkan Das Kapital atau edisi terkini Maximum Rocknroll sambil berhutang kopi O, hingga warung kopi di Jogjakarta di mana aktivis dan seniman menconteng manifesto pada tisu warung. Kopi berfungsi sebagai ruang counter-culture, menolak kebisuan dan membuka medan wacana bebas. Jika di Eropah kafe-kafe melahirkan falsafah eksistensial, di rantau ini kopi melahirkan puisi, lagu protes dan fanzine murahan yang tetap mampu menggugat status quo.

Kopitiam pun ada sejarah dan ceritanya sendiri. Ia lahir daripada komuniti Hainan yang berhijrah ke Tanah Melayu pada abad ke-19, ramai daripadanya bekerja di rumah-rumah kolonial British sebelum membuka kedai kopi kecil. Kopitiam menjadi “kitchen extension” rakyat marhaen. Ia murah, praktikal dan penuh identiti. Dari situlah muncul ritual kopi O, roti bakar dan telur separuh masak yang akhirnya menjadi ikon sarapan Malaysia. Kopitiam bukan sekadar kedai kopi, ia adalah institusi sosial. Lama sebelum jenama-jenama global memasuki pasaran, kopitiam sudah mendefinisikan budaya ngopi tempatan, membina legasi yang tidak memerlukan branding deck atau franchise manual.
Bahasa kopi sendiri telah berkembang menjadi kod sosial yang penuh makna. Ungkapan “ngopi” atau “jom kopi” jauh melangkaui ajakan untuk minum; ia menjadi isyarat untuk berbicara hati ke hati, berkongsi rahsia atau membuka diskusi yang lebih mendalam. Kopi membawa janji keintiman, walau hanya di meja plastik dengan cawan berisi kopi kampung. Simbolnya jelas. Kopi bukan sahaja tentang kafein, tetapi tentang hubungan, perbualan dan penciptaan makna bersama.
Bezanya dengan kafe hipster moden hari ini ibarat langit dengan bumi. Kopitiam berbau asap rokok kretek, dindingnya mungkin berminyak, cawannya retak tapi isinya jujur. Harga secawan kopi O cukup untuk dapat baki syiling buat beli kuih. Di kafe moden pula, kopi datang dengan nama panjang seperti single-origin Ethiopian washed with floral notes, dan sudutnya dirancang untuk flat lay Instagram. Kopitiam ialah demokrasi kafein di mana semua orang boleh duduk, semua cerita boleh bertembung. Kafe moden pula ialah teater estetik di mana semua benda perlu cantik, setiap momen mesti boleh dikongsi dengan orang yang tidak dikenali.
Tiada lagi sultan atau gabenor yang mengharamkan kopi, walaupun harganya mungkin lebih mahal daripada roti canai dua keping. Kedai kopi moden bukan lagi sarang revolusi, tetapi ruang selamat untuk mengambil gambar, merakam story, mengejar FYP dan membina persona digital. Jika dahulu kopi menggerakkan pemikiran, kini ia menggerakkan engagement. Jika dahulu kopi melahirkan idea politik, kini ia melahirkan estetika viral.
Jika pada abad ke-16 kopi ditakuti kerana mencabar kuasa politik, kini ia dipeluk erat oleh kapitalisme. Kopi moden dijual bukan lagi atas nama rasa semata, tetapi suasana, imej dan pengalaman. Pereka hiasan dalaman, barista pakar flavour note dan pempengaruh berbaju musim sejuk menjadi pawang-pawang baharu yang menyalurkan magis kopi bukan ke arah revolusi, tetapi ke arah pasaran. Dahulu kopi berbahaya kerana membuat rakyat bercakap tentang kebebasan. Kini kopi selamat kerana membuat rakyat berbincang tentang citrus aftertaste yang hanya segelintir peduli, dan bagaimana estetik kafe ini atau kafe itu sesuai untuk healing daripada pelbagai cabaran peribadi.
Pengalaman ini membuka lapisan metafizik kontemporari kopi. Ia menjadi cermin identiti, ruang pertemuan dan pentas penciptaan makna. Interaksi sosial di kafe, daripada berbual dengan rakan hingga berswafoto, telah menjadi ritual baharu, amat berbeza dengan perbualan politik di abad ke-16. Setiap cawan kopi yang diabadikan di media sosial adalah tanda pencarian diri, penciptaan persona dan keinginan untuk merasai sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar.
Sejarah kopi mengajar kita bahawa minuman ini tidak pernah neutral kerana ia sentiasa diseret ke dalam naratif yang lebih besar daripada dirinya. Dari larangan Khair Beg di Mekah 1511, ketegasan Sultan Murad IV di Istanbul 1633, semangat Revolusi Perancis yang menyala di kafe Paris 1789, kebangkitan kopitiam Hainan di Tanah Melayu abad ke-19 hinggalah ke pertumbuhan kedai kopi healing viral 2025, kopi sentiasa lebih daripada sekadar zat.
Ia simbol, ritual dan pentas makna. Metafizik kedai kopi bukan lagi tentang menggulingkan kuasa, tetapi menggulingkan kebosanan harian melalui pengalaman, estetika dan naratif. Pertanyaannya tetap sama: adakah kita benar-benar mencari kopi, atau kita sebenarnya sedang mencari diri sendiri?
AHMAD KAMAL ABU BAKAR mula minum kopi sejak umur 10 tahun. Sebelum era boikot, beliau tidak pernah ke Starbucks, melainkan ada orang belanja.
