Di Bodysurf Kitchen, Medan Kidd, tiga rakan sama sekolah bertemu selepas beberapa tahun, usai menghadiri Simposium Muzik Ipoh yang membawa tema Nasyid: Dari Tradisional Ke Temporari. Mereka bertiga yang kini mencecah usia hampir 40-an menjadi rapat semasa sekolah kerana sama-sama terlibat dalam kumpulan nasyid. Ini perbualan mereka di sana.
A – bekas pengurus kumpulan nasyid, peminat UNIC
B – rockers yang insaf selepas dengar penuh album Saudagar Mimpi oleh M. Nasir
C – indie rocker Ipoh
A: Aku bangga dengan simposium tadi. Ini jadi bukti yang genre nasyid ni boleh pergi jauh. Ingat tak apa yang Ustaz Sufian cakap dulu?
B: Nasyid ni perjuangan?
A: Tu satu. Satu lagi, nasyid ni perlu terbuka. Jangan tolak elemen-elemen baru. Itu yang Raihan dan Rabbani buat.
B: Tapi sampai sekarang tak ada yang boleh ganti Raihan dan Rabbani. Dan Hijjaz. Aku rasa zaman nasyid dah habis. Kemuncaknya pada tiga pecahan Nada Murni tu saja.
A: Kau cakap apa? In-Team, UNIC, Nowseeheart, Mirwana. Semua tu nama-nama besar, sangat popular. Aku tak rasa nasyid ni ada zaman. Ia relevan sepanjang masa. Selagi manusia percaya Tuhan, selagi tu nasyid akan hidup.
C: Aku suka Mirwana.
B: Popular bukan satu-satunya ukuran. Apa yang In-Team, UNIC dan lain-lain tu dah buat pada muzik Malaysia? Impaknya tak sama macam yang Rabbani, Raihan dan Hijjaz buat. Dan kalau kau perasan, identiti nasyid tu dah cair bila masuk era “nasyid geli-geli” ni. Kebanyakan lagu akan terpecah pada dua ekstrem. Satu, lagu dakwah yang permukaan, macam ajar doa dan zikir, dan muziknya akan kebudak-budakan. Dua, lagu pop yang borderline hedonistik. Jangan salah faham, lagu-lagu mereka sedap tapi itu lagu pop. Dan mereka kadang-kadang terlalu merintih. Kena ingat, nasyid ni dakwah. Kalau nak bawa apa-apa emosi – sedih ke, marah ke, gembira ke – jangan melampau. Kena sederhana.
(Sekut datang ambil order. C tanya mana Meor? Sekut cakap dalam kereta, dia sakit telinga.)
A: Sebab tu aku cakap kita kena terbuka. Elemen-elemen baru tu yang buat UNIC, In-Team dan lain-lain ni diterima lebih ramai orang. Itu bukti nasyid yang mereka bawa lebih fleksibel. Generasi nasyid yang itu menginspirasikan ramai orang, termasuk Ikhwan Fatanna yang menang AJL baru-baru ni. Cuba dengar melodi lagu Marsha tu, itu impak nasyid generasi mereka kepada industri muzik. Semua orang boleh terima lagu dengan melodi nasyid sekarang, walaupun mereka tak sedar.

B: Kalau generasi nasyid tu boleh buat lebih ramai terima nasyid, kenapa tak ada yang boleh lawan rekod Raihan?
A: Mungkin sebab lebih banyak kumpulan nasyid yang lahir. Dia tak tertumpu pada beberapa kumpulan saja macam generasi sebelumnya.
B: Okay, aku boleh terima. Tapi aku tak nak cerita tentang industri sangat, aku tak minat. Dan aku bukanlah peminat tiga kumpulan tu sangat, walaupun aku tak nafi tiga vokalis paling ikonik dan terbaik muzik nasyid Malaysia lahirkan ialah Ustaz Asri, Ustaz Nazrey dan Ustaz Munif. Tapi–
C: Habibah?
B: Habibah mana?
C: Habibah Othman, Al-Jawaher.
B: Oh, aku suka Al-Jawaher. Tapi aku tak rasa dia ikonik.
C: Betullah tak ikonik tapi aku rasa dia antara vokalis perempuan terbaik kita pernah ada. Suara dia ada kedalaman spiritual tu, mungkin dia ada pengalaman berzanji dan qasidah.
B: Ya. Cuma aku rasa sebab banyak bahagian dia menyanyi berkumpulan, dia kurang menyerlah.
C: Cuba dengar lagu dia dengan Kembara, Menentang Badai. Dia duet dengan M. Nasir. Lagu tu bukan lagu dakwah tapi kau boleh rasa spiritualitinya.
B: Cakap pasal Al-Jawaher ni memang menarik sebab aku rasa itu antara gaya nasyid yang kita susah nak ulang sekarang, terutamanya dari segi lirik. Lagunya ada kedalaman, bukan dakwah secara permukaan. Bila masuk umur-umur macam ni, aku lebih mencari lagu yang macam tu.
A: Aku tak rasa kau adil. Banyak juga lagu nasyid generasi baru yang ada kedalaman.
B: Sebelum kau bagi contoh, biar aku jelaskan kedalaman yang aku maksudkan. Kau tengok kan pembentangan pagi tadi, abang yang OKU tu?

C: Rosli Ibrahim.
B: Haa, yang tu. Dia ulas lirik Al-Jawaher. Macam Senandong Unggas tu, dia guna alegori burung untuk sampaikan maksud penindasan. Pungguk tu hati yang rindu, camar tu hati yang mengembara, kenari tu hati yang terkurung. Dia cakap itu mungkin versi awal Tanya Sama Itu Hud-Hud yang terinspirasi dari syair Musyawarah Burung oleh Fariduddin Attar. Lagu macam tu baru intelektual sikit.
A: Tapi bukan ke syair tu banyak analogikan burung dengan sifat buruk manusia?
B: Betul tapi analogi burung kepada hati tu yang terinspirasi dari situ. Dan dia cakap tentang penindasan yang relevan sampai sekarang, aku boleh kaitkan dengan rakyat Gaza bila dengar.
C: Raihan pun kena nyanyi cover nak cerita pasal Gaza. Hehe.
B: Dan, jujur cakap, aku lebih banyak terima dakwah dari penyanyi bukan nasyid dari penyanyi nasyid. Bila aku dengar lagu M. Nasir, Setiap Dambaan, aku jadi faham betapa pentingnya kita meletakkan Tuhan di atas segala perkara dalam dunia ni. Lagu Asyik, Damasutra, buat aku hargai iman yang kita ada terhadap Tuhan dan agama sebab itu keasyikan yang infinit, yang takkan dapat dilawan mana-mana benda fana dalam dunia. Malah, band rock macam Spider pun lebih banyak berdakwah kepada aku bila dia nyanyi Kasih Latifah, aku rasa cinta dan kasih sedalam-dalamnya kepada kelembutan Tuhan. Perasaan ni aku tak dapat pada lagu-lagu nasyid.
A: Kau kena faham. Kita ni semua ada tahap-tahap tertentu dalam beragama. Tak semua orang perlu kedalaman tahap sufistik untuk dapat mesej dakwah. Aku sebenarnya bersyukur bila generasi Nada Murni bawa konsep dakwah yang jelas dalam lagu-lagu mereka. Berapa banyak lagu Raihan dah bantu budak-budak hafal doa dan zikir, yang diperlukan dalam tahap umur mereka. Dan bila budak-budak universiti baru nak belajar bercinta, kan bagus ada lagu macam Kasih-Kekasih dan Hanya Tuhan Yang Tahu supaya mereka tak tersasar?
B: Tapi sampai bila kita nak berdakwah pada tahap itu saja, pada tahap kanak-kanak dan remaja?
A: Aku tak cakap kita kena dakwah tahap itu saja. Tapi ia perlu ada. Untuk kanak-kanak dan remaja, ada lagu macam ni. Untuk dewasa yang masih tak kuat asas agama, ada lagu yang menguatkan asas. Untuk orang yang perlu selam dalam untuk cari agama, pun ada lagunya. Macam konsep kifayah la, semua tempat kena isi dan ada orang yang buat. Sebab tu aku bersyukur ada kumpulan-kumpulan yang macam In-Team dan lain-lain tu. Masing-masing sasarkan market masing-masing.

C: Aku agak environmentalist. Aku mudah faham benda bila ada libatkan pokok atau haiwan. Bila aku dengar lagu Robert Wyatt, Maryan, cerita dia pasal ikan salmon yang berenang lawan arus untuk kembali pada tempat lahirnya, untuk melahirkan kemudian mati di situ, buat aku percaya yang manusia hidup atas tujuan, dan tujuannya itu adalah agama.
B (kepada A, buat tak dengar apa yang C merepek): Aku faham apa kau cakap tapi aku rasa, kita perlu lebih banyak lagu nasyid yang mendalam dan berlapis, supaya keagamaan mereka lebih mantap dan tegap. Dari tegap bertimpuh, baik rebah merempuh.
A: Kalau orang tu perlukan lagu-lagu nasyid yang kau kata geli-geli tu, biarlah dia dengar lagu tu. Kalau dia dah sedia nak pergi lebih dalam, biar dia dengar lagu lapis-lapis kau. Itu maksud aku. Dan aku tak faham kenapa kau tiba-tiba nak petik Langgam Pak Dogo.
B: Aku suka rima dia. Baik, aku boleh setuju dengan kau. Tapi kau rasa, lagu-lagu yang aku sebut tu boleh masuk dalam kategori nasyid?
A: Aku suka guna cara Rosli Ibrahim cakap pasal definisi nasyid. Dia cakap, nasyid tak boleh didefinisikan secara ketat, ia ada dinamiknya tersendiri. Tapi tak boleh juga semua lagu bersifat ketuhanan kita cakap nasyid. Macam Rosli, dia pecahkan kepada beberapa kategori: nasyid pop, pop nasyid, nasyid berorientasikan haraki, nasyid Nada Murni dan Al-Arqam serta nasyid era baru (yang bertradisikan Nada Murni dan Al-Arqam).
B: Mana ada dia cakap macam tu.
A: Ada, dalam kertas kerja penuh. Aku dah baca.
B: Apa beza nasyid pop dengan pop nasyid?
A: Kalau nak senang faham, nasyid pop tu kumpulan atau penyanyi nasyid yang menggunakan susunan lagu pop dalam muzik mereka. Pop nasyid pula kumpulan atau penyanyi pop yang memasukkan elemen nasyid dalam lagu mereka.
B: Macam Sharifah Aini tu pop nasyid?
A: Ya. Aku pun baru tahu dia ada banyak lagu ketuhanan. Dan banyak juga lirik yang dia tulis sendiri. Menarik juga pembentangan Dr. Kamal tu.
C: Macam mana dengan nasyid instrumental?
A: Maksud kau macam Mohram? Pembentangan Dr. Nadia?
C: Ya. Aku rasa instrumental pun boleh jadi nasyid. Malah, muzik ambien pun, macam pembentangan Nazimin.
B: Aku rasa susah instrumental nak jadi nasyid. Macam mana nak dakwah kalau tak ada lirik?
C: Bila aku dengar lagu post-rock, setiap instrumen yang dimainkan tu aku anggap macam sedang berkata-kata. Aku biarkan alunan muzik tu pandu emosi dan aku bayangkan apa yang gitar, bass, dram dan synthesizer tu nak cakap dekat aku.
A: Aku tak tahu macam mana, atau bila, tapi aku rasa akhirnya nanti kau akan buat kesimpulan yang Joni Mustaf tu nasyid. Dah dua hari kau ulang.
Mereka bertiga mula menjamah Crispy Chicken Chop dan Grilled Chicken Chop. Berkali-kali mereka mendesah sedap sehingga terlupa tentang nasyid. Perbualan selepas itu lebih didominasi perkembangan terbaharu Uqasha Senrose.
NOTA: Konsep dialog dalam ulasan ini saya tiru Salleh Ben Joned yang mengulas filem Tsu Feh Sofiah di New Straits Times pada 19 April 1986. Dan ini sepenuhnya dialog rekaan.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik, filem dan sastera negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.

terima kasih tuan sudi ulas pasal nasyid