BARU-baru ini kecoh di media sosial pabila netizen mempersoalkan penghasilan sebuah klip video Kapsul Khas AI Merdeka oleh sebuah agensi media berjudul ‘TanahAIrku’ yang dijana oleh Artificial Intelligence (AI) dikatakan ‘cincai’, ‘palsu’ dan tidak beretika’. Kemudian tersebar pula poster persembahan teater dari sebuah Institut Pengajian Tinggi seni yang menggunakan karya janaan AI, ironinya ‘dilukis’ secara prompting.
Beberapa hari kemudian tular pula sebuah poster digital ucapan hari Merdeka yang memaparkan pemandangan surreal KLCC versi ‘tiga buah menara’.
Sekitar 2021 dulu sewaktu kita masih bergelut dengan COVID-19, dunia seni lokal dihujani oleh trend NFT dan percambahan platform menempa (minting) Bitcoin yang menyebabkan para seniman tempatan turut berbondong-bondong terjun ke samudera luas kodbinari non-fungible token. Kini, hanya tinggal segelintir sahaja seniman yang masih aktif berkongsi dan berdagang di pasaran NFT, kebanyakannya artis digital.
Dunia berputar, trend-trend sebegini datang dan pergi. Pengkarya tetap berkarya, medium (dan juga platform) berubah mengikut zaman.
Reka bentuk industri adalah satu bidang akademik yang ditawarkan oleh segelintir institusi tinggi pengajian untuk menghasilkan pekerja seni bagi mereka bentuk produk secara produksi massa, selepas mereka bergraduasi. Akibat permintaan ekonomi, universiti turut dijadikan seumpama sebuah ‘kilang’ untuk menghasilkan pekerja dalam sektor pembuatan dan perindustrian. Boleh rujuk perkembangan revolusi industri yang tercetus pada abad ke-18 di Eropah dan Amerika Syarikat.
Dalam scene muzik, apabila kita sebut ‘industrial’ akan terbayang beberapa band seperti Nine Inch Nails (NIN), Fear Factory, dan Rammstein sekadar contoh. Dari segi istilah, genre industrial itu bersifat ‘keras’, mekanikal, transgresif, serta mempunyai bunyi dan tema yang provokatif. Muziknya digubah dengan eksperimen avant garde melalui penggunaan synthesizer, sequencer dan pelbagai lagi instrumen elektronik.
Saya masih ingat sewaktu pertama kali tersebarnya beberapa siri foto janaan AI di media sosial beberapa tahun dulu, menggambarkan potret beberapa ‘manusia’ yang kedutan di kulitnya dan helaian rambutnya seperti gambar sebenar walhal ‘manusia’ itu tak pernah wujud pun di alam dunia. Pada awal dulu memang kita semua teruja, tapi beberapa tahun kebelakangan ini keterpanaan untuk melihat foto dan hasil janaan AI sudah mulai surut. Banyaknya meloyakan. Hanya segelintir janaan kelihatan cantik dan cocok dari segi estetikanya. Bukan saya benci dan bias terhadap prompters dan enjin-enjin generators. Bayangkan orang yang biasa makan nasi kandar, dia sudah pasti tahu mana yang ori dan mana yang palsu.
Apatah lagi apabila imej-imej janaan AI ini juga sudah disalahguna untuk tujuan propaganda murahan dan iklaneka jelik yang jatuh dalam perbincangan ‘niat tidak menghalalkan cara.’ Contohnya, sewaktu jenayah genosida dilakukan oleh rejim Zionis seluruh timeline media sosial dilimpahi dengan foto-foto janaan AI yang palsu, penuh cacat cela, meragukan bahkan ada yang jatuh tahap menghina kesengsaraan yang sedang dihadapi rakyat Palestin. Sebagai nota peringatan, usah kita lupa bahawa pembantaian dan pembunuhan orang awam di sana sudah menjangkau lebih daripada 300 hari dan masih belum tamat sewaktu rencana ini ditulis. Mungkin para seniman perlu bersolidariti melalui karya masing-masing. Tidak kisahlah dengan AI atau daya intelligence sendiri.
Secara individu, saya menganggap hasil seni AI ini tidak lebih daripada satu lakaran awal (sketsa, draf, idea) untuk projek-projek seni yang lebih besar dan gah. Hasil prompt itu juga adalah satu bentuk ‘proses berkarya.’ Hal ini kerana jika diperhatikan dengan lebih teliti sepertimana pada perenggan awal di atas, hasil seni janaan AI – buat masa sekarang – masih mempunyai masalah dari segi perincian, logik anatomi dan ketandusan ‘percikan genius’ manusiawi. Contohnya ‘rasa’ yang dicurahkan seorang seniman (manusia) dalam sesebuah karya, bagaimana goresan dan lorekan yang dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja, secara sedar atau tidak. Mesin tidak dapat menghurai dan menghadam perilaku insani sebegini. Berbeza dengan AI, hasil seni dari tangan manusia tidak kelihatan hambar, tak punyai unsur simetrikal melampau, garisannya halus dan lebih terperinci serta jarang memasukkan corak-corak berulang – yang membosankan.
Saya tidak ralat jika para penerbit dan syarikat-syarikat besar menggunakan kepakaran para prompters untuk menghasilkan reka bentuk kulit buku, karya foto, poster di billboard dan sebagainya. Biarlah gelombang AI merampas pekerjaan artis dan pekerja seni, mereka boleh buat kerja lain. Manusia boleh jual nasi lemak, masih boleh bertukang, boleh jadi rider GrabFood atau driver Lalamove, boleh meniaga carboot sale dan paling terdesak boleh guna talian hayat meminta bantuan kolektor dan patron seni sekiranya mempunyai masalah kewangan. Ini lumrah hidup yang perlu dilalui oleh semua manusia, bukan sekadar golongan seniman. Pada zaman edanlah karya seni yang masyhur dapat dihasilkan.
Apabila berbual dengan para seniman, antara isu yang sering diulang-ulang adalah kurangnya apresiasi seni, maka jadilah kucar-kacir sebegini. Namun, jika kita melihat usaha-usaha institusi berkaitan seni negara maupun peringkat negeri, dari segi penganjuran program kesenian dan pengurusan dana, meriah dan mewah juga kos-kos yang disalurkan. Sana sini adanya acara seni. Ada diskusi, ada forum, ada tayangan, ada persembahan, ada sayembara, ada pertandingan. Ada yang dianjurkan secara santai, ada pula yang serius dan sangat berat bual bicaranya. Kemungkinan khalayak yang hadir dan terlibat itu golongan dalam lingkungan yang sama saja maka impak maksimanya masih belum dapat dirasa. Gelombang apresiasi belum luas terkembang.
Berbalik kepada fenomena AI, semua golongan seniman tidak kiralah pelukis, fotografer, ilustrator, video editor, atau komposer muzik; majoriti mereka tetap berasa cemus dan mencemuh kebanjiran karya seni janaan mesin yang lahir dari perut revolusi Industri 4.0 ini. Bagaimanalah agaknya para seniman mahu menghadapi era Industri 5.0 nanti di mana manusia (seniman) dan mesin sudah berkolaboratif, in toto, berpaut rapat untuk menghasilkan produk atau content– di mana kata ‘konten’ ini juga turut bermasalah dan menjadi bahan jenaka masa kini. Sekiranya hayat kita panjang atau Perang Dunia Ke-3 belum berlaku, mungkin kita dapat menyaksikan pelbagai lagi evolusi teknologi baharu dalam ‘industri’ seni pada masa hadapan.
Pemilik Studio Ghibli, Hayao Miyazaki pernah mengulas tentang seni AI ini. “Saya benar-benar meluat … Saya rasa ini adalah satu penghinaan kepada kehidupan itu sendiri,” katanya.
Penghinaan atau penghormatan, melalui data-data yang berserakan di alam maya, kemudian dicerakin oleh mesin hasil dorongan seorang manusia, ‘produk seni’ AI dalam sebuah ‘industri seni’ itu akhirnya dipamer dan dipersembahkan kepada khalayak jua.
– M. FAREZ KARIM seorang artrepreneur yang mengusahakan rumah penerbitan mandiri Studio Kaukab dan dapat dicapai melalui laman mfarez.com

kena ikut perkembangan teknologi, benda yg baik boleh saja disalah guna oleh org yg tak bertanggunjawab