Di tengah kerancakan landskap acara seni, warisan dan budaya yang sering diukur melalui skala pengunjung dan kemeriahan pembukaan, sebuah program kecil di Ipoh mengambil pendekatan yang berbeza.
NARATIF: Sastera, Visual & Seni Persembahan – Dua Acara, Satu Ruang, yang bakal berlangsung pada 10 dan 11 Oktober 2026 ini di Moody Cafe, Ipoh, menghimpunkan dua bentuk budaya yang pada pandangan pertama kelihatan tidak berkaitan: Retrospektif Sastera Visual Tamar Jalis & Siri Bercakap Dengan Jin serta Ipoh Monolog Mini Festival 2026.
Kedua-duanya berkongsi satu persoalan yang lebih besar: bagaimana sesuatu cerita terus hidup selepas latar zaman yang melahirkannya kemudian berubah?
Retrospektif Sastera Visual Tamar Jalis & Siri Bercakap Dengan Jin bukan sekadar usaha menghidupkan kembali nostalgia terhadap karya seram popular yang pernah mendominasi imaginasi pembaca Melayu.
Sebaliknya ia cuba membuka ruang untuk melihat semula SBDJ sebagai fenomena budaya yang bergerak merentasi sastera, penerbitan, visualiti, kepercayaan dan sejarah sosial masyarakat.
Bagi generasi pembaca yang membesar dengan novel-novel Tamar Jalis, SBDJ bukan hanya sebuah siri bacaan. Ia merupakan sebahagian daripada budaya popular yang membentuk cara masyarakat membayangkan alam ghaib, ketakutan dan pengalaman peribadi berhadapan dengan sesuatu yang tidak dapat dijelaskan.
Tetapi apabila karya sedemikian dilihat semula hari ini, persoalannya bukan sekadar mengapa ia pernah popular, sebaliknya apakah yang masih tinggal daripada fenomena tersebut dalam budaya kontemporari.
Retrospektif ini cuba menjawab persoalan itu melalui material yang lebih konkrit.
Pameran visual, koleksi buku SBDJ, majalah Variasari, buku-buku bertema sejarah, bahan koleksi dan objek berkaitan membawa karya Tamar Jalis keluar daripada nostalgia peribadi pembaca dan meletakkannya dalam konteks sejarah budaya yang lebih luas.
Buku tidak lagi sekadar medium teks. Ia menjadi objek visual, artifak zaman dan bukti kepada bagaimana sebuah bentuk sastera popular beredar dalam lingkungan masyarakat.
Program dua hari ini turut merangkumi lima sesi bual bicara bersama Dr. Hj. Zabidin Hj. Ismail, Ust. Syed Shahriman Jamalullayl, Don Ahmed, Dr. Saiful Akram Che Cob dan Lando Zawawi.

Perbincangan merangkumi apresiasi SBDJ, pengalaman pembaca dan kolektor, estetika visual novel seram Melayu, budaya seram dalam masyarakat Melayu serta pengalaman di sebalik pengarahan drama Bercakap Dengan Jin.
Kehadiran pembaca, pengkaji dan kolektor dalam satu ruang menjadikan retrospektif ini lebih daripada sebuah pameran memorabilia.
Ia berpotensi menjadi ruang untuk menyoal bagaimana sejarah sastera popular sebenarnya dibentuk, bukan hanya oleh institusi sastera rasmi, tetapi juga oleh pembaca, penerbit, kolektor dan komuniti yang menyimpan karya-karya tersebut selepas ia meninggalkan arus perdana.
Menurut Hafiz Zainuddin, Pengarah Projek Retrospektif Sastera Visual Tamar Jalis, penganjuran ini bertujuan membuka kembali hubungan antara sastera, sejarah, seni visual dan budaya dalam konteks semasa.
Sokongan keluarga Allahyarham Ahmad Radzi Mahmud (Tamar Jalis), selain bantuan Dr. Hj. Zabidin Hj. Ismail dalam mendapatkan bahan dan maklumat berkaitan kajian terhadap karya Tamar Jalis, turut menjadi sebahagian penting dalam usaha dokumentasi ini.
Retrospektif ini juga memperlihatkan satu cabaran yang sering terlepas pandang dalam ruangan budaya Malaysia: banyak karya popular mempunyai pengaruh yang besar tetapi tidak semestinya mempunyai arkib yang setara dengan pengaruhnya.
Apabila generasi berganti dan bahan fizikal semakin hilang, kerja mengumpul, menyusun dan mempamerkan semula material tersebut menjadi satu bentuk pemeliharaan sejarah.
Jika retrospektif Tamar Jalis melihat bagaimana cerita disimpan dalam buku dan ingatan, Ipoh Monolog Mini Festival 2026 pula menguji bagaimana cerita boleh hidup melalui tubuh, suara dan kehadiran langsung.
Mengambil tempat di ruang yang sama pada malam 10 Oktober, dari 8.15 malam hingga 11.30 malam, festival ini membawa tema “Pentas Kecil, Kisah Besar”.
Enam penggiat seni persembahan, Shairazi Jamal, Ard Omar, Razman Mahayuddin, Ayu, Afifah dan Sai akan berkongsi pentas dalam sebuah format yang menolak keperluan terhadap infrastruktur persembahan berskala besar.
Idea bahawa sebuah ruang kecil mampu menampung cerita besar mungkin kedengaran sederhana, tetapi ia relevan dalam konteks seni persembahan tempatan yang sering berdepan dengan kekangan ruang, kos produksi dan akses kepada penonton.
Menurut Ramzi Dahalan, Pengarah Projek Ipoh Monolog Mini Festival 2026, seni persembahan tidak semestinya memerlukan pentas besar untuk menyampaikan cerita dan emosi yang besar.
Festival ini juga sengaja mempertemukan penggiat baharu dengan seniman yang lebih berpengalaman dalam satu ruang.
Peralihan daripada retrospektif sastera kepada monolog menjadikan NARATIF menarik bukan kerana kedua-dua acaranya mempunyai tema yang sama, tetapi kerana kedua-duanya mengangkat persoalan tentang bagaimana cerita dipindahkan dari satu medium kepada medium yang lain.
Novel menjadi objek pameran. Watak menjadi suara. Ingatan pembaca menjadi bahan perbincangan. Ruang kafe berubah menjadi galeri dan pentas.
Dalam suasana seni tempatan yang sering tertumpu di Kuala Lumpur, pendekatan seperti ini juga membawa kepentingan tersendiri. Ipoh bukan sekadar lokasi untuk sebuah acara budaya; ia menjadi konteks yang menentukan bagaimana sejarah tempatan, sastera popular dan seni persembahan bertemu dengan khalayak dilokasi alternatif di luar ibukota
NARATIF tidak menawarkan jawapan tuntas tentang bagaimana budaya harus dipelihara.
Ia memperlihatkan bahawa sejarah budaya boleh muncul semula melalui bahan yang sederhana: sebuah buku lama, koleksi majalah, imej, cerita lisan, tubuh seorang pelakon atau sebuah ruang kecil yang bersedia menerima penonton.
Dan mungkin nilai sebenar program ini bukan pada usaha mengembalikan masa lalu sebagaimana adanya, tetapi pada keberanian untuk bertanya semula apa yang masih boleh diperkatakan tentang masa lalu terhadap kita pada hari ini.
NARATIF: Sastera, Visual & Seni Persembahan – Dua Acara, Satu Ruang berlangsung pada 10 dan 11 Oktober 2026 di Moody Cafe, Ipoh, Perak.
Program dibuka kepada umum dari 10.00 pagi hingga 6.30 petang bagi acara siang, dengan kemasukan percuma. Ipoh Monolog Mini Festival berlangsung pada malam 10 Oktober.

