TUGAS paling mendesak bagi rakyat Malaysia hari ini tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik adalah memastikan keharmonian yang ada kekal utuh.
Perkara itu hanya boleh dicapai jika semua pihak menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.
Adalah penting bagi semua rakyat yang sederhana dan patriotik untuk terus memperjuangkan usaha membentuk masyarakat yang bersatu padu.
Menyedari hakikat itu, pertubuhan-pertubuhan dalam masyarakat sivil dan media, tempatan mengembleng tenaga untuk menyeru semua rakyat Malaysia melawan ungkapan kebencian dan provokasi etnik-agama dengan rahmah setiap hari.
Mengambil semangat kedatangan Aidilfitri, kumpulan tersebut mengajak semua pihak tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik bersama-bersama menjayakan kempen #MZB365 atau Maar Zahir Batin 365.
“Mari kita jayakan pergerakan #MZB365 ini kerana kita sebagai manusia berbuat salah setiap hari, perlu insaf dan memohon maaf setiap hari, dan juga bersedia memaaf setiap hari.
“Jika kita segan memohon maaf, maka pembinasaan yang kita lakukan, sama ada berniat atau tidak, kerana kejahatan mahupun kekhilafan, tak kira besar atau kecil, akan berkekalan dan merosakkan hubungan dan silaturahim antara insan.
“Mohon dan beri maaf boleh berlaku di antara suami dan isteri, antara anak dan orang tua, antara saudara-mara, antara murid, ibubapa dan guru, antara jiran tetangga, antara rakan sejawat, antara orang-orang yang saling tidak mengenali tetapi menemui sesama lain di lalulintas, antara individu-individu yang melanggar undang-undang dan masyarakat, dan antara komuniti yang berlainan,” kata kumulan tersebut dalam satu kenyataan media hari ini.
Kumpulan tersebut menegaskan, member maaf kepada mereka yang ikhlas memohon maaf sebenarnya memperkuatkan kita dan juga masyarakat secara keseluruhan.
Sebaliknya, ia mampu membina pendamaian, mengurangkan salah faham, dan mengeratkan siraturahim antara sesama supaya lebih mengenali antara sama satu lain melalui kelainan.
“Memupuk semangat dan amalan memohon dan memberi maaf menjadi semakin penting kerana terdapat individu-individu dan puak-puak yang setiap hari mencari peluang dan alasan untuk memecahkan masyarakat demi kepentingan politik, perniagaan dan peribadi.
“Mereka mencari setiap salahlaku yang boleh diperbesarkan untuk menyemai perasaan sangsi dan benci supaya mereka dapat diangkat menjadi pahlawan sampai ada yang melampaui batas undang-undang dengan membakar dan mengganas.
“Gejala populisme yang berasaskan kebencian dan teori konspirasi sudahpun melumpuhkan negara, membinasakan masyarakat, menjatuhkan ekonomi, melaparkan kanak-kanak, menenggelamkan impian malah meragut nyawa di banyak perusuk di dunia.
“Kita mesti pastikan Malaysia tidak mengikut jejak mereka. Di mana batas undang-undang dilampaui, kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan tanpa kompromi.,” katanya lagi.
Senimalaya bersama-lama beberapa media lain antaranya Astro AWANI, Malay Mail, The Star, Malaysiakini, Berita Harian, RTM, Sinar Harian, TV3 (sekadar meyebut beberapa nama) bersama-sama berusaha menjayakan kempen dan hasrat murni ini.
#MZB365 ini juga turut diusahakan oleh Projek SAMA, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), G25, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), IDEAS dan beberapa yang lain.
Sudah tiba masanya semua semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik mesti mengamalkan prinsip kesederhanaan yang menjadi kunci kepada kesejahteraan dan pembangunan negara.
