My First Film (2024) arahan Zia Anger yang boleh ditonton melalui platform pengstriman MUBI adalah filem tentang membuat filem. Filem yang menyoroti Vita, pengarah muda yang berdepan tentangan dari luar dan dalaman diri ketika menghasilkan filem pertama. Tidak sahaja berdepan kerenah pekerja produksi yang amatur, malah konflik dalaman dan kebuntuan kreatif (creative block).
Pengalaman buruk menghasilkan filem pertama itu boleh sahaja mematikan cita-cita untuk berkarya di layar besar. Kebuntuan kreatif juga seperti lingkaran yang mematahkan gelegak keterujaan Vita (lakonan Odessa Young) untuk mengarah filem. Tetapi dia bangkit dengan melanggar semua hukum dan disiplin membikin filem – dia berkarya dengan rasa di jiwa.
My First Film sebuah karya mendekati citra avant garde. Perca-perca konflik dalam fikiran Vita yang bersimpang siur tidak terangkum hujungnya menjadi bahan visual. Sebagai sebuah karya meta fiksyen, My First Film memasung perhatian penonton dalam ketidaktentuan yang membungkam dunia imaginasi dan realiti Vita.

Filem itu dibuka dengan skrin komputer yang gelap dan hanya kelihatan cursor kemudian kamera menyorot papan kekunci (keyboard) yang menunjukkan reka bentuk sudah ketinggalan zaman. Di skrin gelap komputer timbul:
Note: This probably shouldn’t be a film. But it is. My videos are not the film lol Still I thought the first thing you see should be “joy”. Because I am really happy you are watching. Happier than you could ever know.
My First Film adalah sebuah introspektif atau melihat ke dalam diri Zia Anger seorang yang berbakat dan mendukung cita-cita tinggi menghasilkan filem. Introspektif itu digerakkan secara avant garde untuk menggali relung-relung yang tersembunyi dalam ruang fikiran Zia Anger di luar filem.
Introspeksi merupakan proses penelusuran diri yang mendalam, di mana seseorang mencermati fikiran, perasaan, dan daya motivasi. Dalam konteks pembuatan filem, introspektif menjadi pendekatan penting dalam membantu pembuat filem memahami dan memaknakan pengalaman peribadi.
Dalam My First Film, Anger membawa penonton menyusuri alam fikir seorang pembuat filem, memperlihatkan proses refleksi diri yang diperlukan untuk menciptakan karya seni yang menjadi impiannya.
Sekalipun begitu, dalam proses penciptaan karya seni, karyawan seringkali berdepan dengan kebuntuan kreatif. Kebuntuan itu selalunya disebabkan berbagai-bagai faktor seperti tekanan persekitaran, keraguan, malah ketidakpastian arah haluan karya yang berkembang dalam fikiran.
Kebuntuan kreatif
Kebuntuan kreatif itu dipaparkan dengan jelas melalui naratif visual dan dialog yang menggambarkan kekeliruan, perjuangan dan ketidakpastian dalam mengekspresi haluan artistiknya.
Saya menekuni dengan cermat dan yakin bahawa hal itu menjadikan My First Film agak mencabar kepada penonton yang biasa dengan naratif dan visual yang berkembang mengikuti aturan atau linear. My First Film berkembang dengan cara yang sebaliknya.
Bagaimanapun bagi khalayak yang gemar filem yang naratifnya non linear dan paparan visual luar daripada kebiasaan, My First Film memberikan satu kembara fikir yang menarik. Visual dan dialog yang tidak tercantum itu sebenarnya merumuskan naratif yang tersendiri apabila menonton hingga akhirnya.
Zia Anger pernah mengarahkan filem pertamanya, Always All Ways, Anne Marie ketika usia masih terlalu muda – 25 tahun. Pembikinan filem itu amat mencabar dan segala sudut terutama tentangan daripada pihak produksi dan kebuntuan kreatif dari dalam alam fikirnya. My First Film adalah rangkuman pengalaman pahit, tetapi tidak tampil sebagai biografi sekalipun ada disulam seli dengan elemen dokumentari dan fiksyen.

Segala kerumitan dan kebuntuan kreatif yang dihadapi itu dibentangkan dalam My First Film. Zia Anger mewakilkan watak Vita membawa dirinya yang suatu waktu dulu berdepan banyak halangan ketika menghasilkan filem pertama. Pengalaman yang traumatik itu dihamparkan seperti kolaj yang bertaburan – tidak mengikut turutan.
Naratif dan suntingan visual yang non linear memberikan satu pengalaman yang istimewa dan mencabar kepada penonton. Malah mendekati sebuah karya avant garde dengan visual yang tidak mengikut aturan atau hukum pembikinan filem yang konvensional.
Filem itu menjadi sebuah karya eksperimental yang menarik, masa yang sama begitu mencabar untuk disusuri. Estetika visualnya banyak dibina oleh permainan cahaya, bayang dan penggunaan warna membentuk nuansa yang surreal.
Kerja kamera berpaksi pada sudut dan teknik pembingkaian yang tidak konvensional. Hal itu sebenarnya disengajakan untuk mengganggu deria keselarasan ruang dan temporal (waktu) penonton. Hal yang demikian membuatkan penonton tercabar untuk menangkap garis pemisah antara realiti dan imaginasi.
Zia Anger menongkah semuanya termasuk kerja kamera yang bingkainya kelihatan melampau – banyak syot extreme close – up yang tidak terjangka. Kaedah hand held camera pada bahagian tertentu filem ini mendekati karya dokumentari, bagaimanapun di bahagian lain pula diisi dengan kolaj dan syot-syot yang tidak berkaitan dengan sebelumnya.
Eksperimen visual
Dengan manipulasi bahasa visual, Zia Anger mencabar tanggapan konvensional tentang naratif dan mengajak penonton untuk sama-sama terlibat dalam menafsirkan eksperimen visual yang avant garde. Zia Anger adalah seorang pengarah yang memilih memberikan nuansa yang sama sekali asing pada My First Film.

Jarang sekali kita menemukan sesuatu yang baharu dalam filem arus perdana. Malah agak sukar menyaksikan suara baharu yang muncul daripada karyawan yang berani bermain dengan sinematik yang seolah-olah tidak ada peraturan. Maka yang diperlihatkan menerusi My First Film adalah tanda nama pengarah baharu yang berbeza dengan lainnya.
Filem Always All Ways, Anne Marie yang sedang dikerjakan Vita adalah versi Zia Anger pada alam realiti – di luar filem. Ada beberapa persamaan dengan Zia Anger, tetapi banyak juga yang dilebih-lebihkan. Ada kalanya Vita menjadi Zia Anger, pada waktu yang lain pula Vita berdiri sendiri sebagai watak fiksyen dalam My First Film.
Persamaannya adalah pada persoalan tentang halangan sama ada dari luaran atau dalaman yang membantutkan kreatif seorang pengarah baharu yang berusia 25 tahun. Sebenarnya itulah yang menjadi persoalan utama sekali gus diikat sebagai persamaan antara Vita dan Zia Anger.
Zia Anger adalah karyawan yang mempunyai pengalaman bekerja dalam hampir semua medium – video muzik, teater dan filem pendek. Pada 2018 Zia Anger membuat jelajah dengan persembahan langsung secara solo tentang pengalaman membuat filem pertama.
My First Film sebuah karya kontemporari yang menyelidiki cabaran yang dihadapi oleh pembuat filem baharu. Ia menangkap emosi yang mentah serta rasa tidak puas hati terhadap banyak hal di persekitaran kehidupan dan kerjaya.

Filem itu juga didukung idea eksperimental dalam filem-filem karya Maya Deren, pengarah kelahiran Ukraine di Amerika. Maya Deren yang juga ahli teori filem sebenarnya meninggalkan sumbangan yang penting pada era emas filem avant garde dekad 1940-an dan 1950-an.
Lalu tidak hairan kalau Zia Anger turut mendukung idealisme kreatif Maya Deren yang menongkah semua teori pembikinan filem. Sedutan daripada sebuah filem karya Maya Deren, At Land (1944) turut dimuatkan dalam My First Film sebagai salah satu ilustrasi. Zia Anger menjejaki pengarah itu yang berkarya dengan jiwa, bukan teori, formula atau disiplin filem tertentu.
Lalu yang terlihat daripada My First Film adalah percikan api, keinginan untuk mencipta karya yang berbeza dan mampu membawa krisis dalam fikirannya ke layar. Sebagai pengarah baharu, Zia Anger memperlihatkan bentuk filem yang dihasilkan pada masa depan.
Sekilas mengenai filem 8 ½
My First Film mengingatkan saya pada filem 8 ½ (1963) arahan Federico Fellini yang mengangkat segala tentangan dari dalam dan luar diri sebagai seorang pengarah filem. Secara teknikalnya judul filem itu merujuk filem ke lapan arahannya.
Sekalipun begitu, menggandingkan nama Zia Anger dengan Fellini dalam tulisan ini bukanlah satu perbandingan antara kedua-duanya. Itu suatu yang amat tidak adil kerana Zia Anger seorang pengarah baharu dan Fellini pula sudah memahat nama yang besar pada abad ke 20.

Sebaliknya, kedua-duanya ada persamaan iaitu menghasilkan filem mengenai dilema dan konflik yang menjadi tentangan kepada pengarah. Semua tentangan itu adalah suatu yang bersifat konseptual – berupa perca-perca fikiran yang berselerak di sana sini. My First Film secara umumnya berada dalam kelompok filem yang dihasilkan Fellini walaupun berjarak di garis masa lebih enam dekad antara kedua-duanya.
8 ½ juga satu penerokaan introspektif yang mendalam tentang kebuntuan kreatif dan kerja dalam fikiran seorang pengarah filem. Watak Guido Anselmi yang dilakonkan oleh Marcello Mastroianni adalah Fellini di luar filem. Guido mendapati dirinya berada di tengah-tengah krisis kreatif semasa dan cuba menghasilkan sebuah filem.
Bagaimanapun ternyata krisis kreatif dan konflik yang melanda Fellini yang dipaparkan dalam 8 ½ jauh berbeza berbanding Zia Anger. Tentangan atau halangan yang diharungi Fellini pada dekad 1960-an itu lebih pada konflik dalamam seorang karyawan.
Salah satu sudut paling menarik mengenai filem 8 ½ ialah struktur naratifnya yang mengaburkan garis antara realiti dan imaginasi. Fellini dilihat lebih lancar menyatukan semua kenangan lalu, dilema masa kini dan pandangan masa depan yang jelas untuk mencipta penceritaan yang mencerminkan sifat kreativiti yang berpecah-belah.
Dengan penceritaan yang non linear, Fellini mengundang penonton untuk bersama-samanya menyelami dunia Guido bagi menyelami kegembiraan, kekecewaan dan pencerahan yang datang melalui proses kreatif.
Inti kepada kekayaan tematik filem 8 ½ adalah penggunaan simbol dan imejan visual untuk menyampaikan lapisan makna yang lebih dalam. Sepanjang filem, imejan berulang-ulang berperanan sebagai metafora untuk menggambarkan konflik dalaman, keinginan dan ketakutan Guido – seorang pengarah filem seperti Fellini dan juga Zia Anger pada garis realiti mereka.
– KU SEMAN KU HUSSAIN adalah mantan Pengarang Mingguan Malaysia yang kini menjadi wartawan bebas. Beliau telah menghasilkan dua buku, ‘Anekdot Ku Seman (2018) dan ‘Kata Ku Seman (2023). Kini sedang menyiapkan sebuah memoir yang mencatatkan insiden-insiden penting di sebalik tabir Jabatan Pengarang Utusan Melayu.
