Maya Angelou berkata;
“Seni dan sejarah di muzium adalah simbol kenangan–membantu kita untuk tidak lupa siapa kita dan dari mana kita berasal.”
Berkunjung ke muzium bukan sahaja memberikan peluang untuk menghargai sejarah, seni, dan budaya–tetapi juga memperkaya pengetahuan serta memperkukuh pemahaman kita terhadap dunia sekeliling.
Muzium berfungsi sebagai penjaga warisan yang memelihara identiti dan sejarah bangsa, serta menjadi bukti asal kejadian. Melalui pameran yang menarik dan interaktif–muzium menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif, memberi ruang untuk merenung, belajar dan memupuk inspirasi.
Menjengah isi muzium dapat meningkatkan kesedaran sosial dan kebudayaan, sekaligus mempertingkatkan jati diri. Muzium bukan hanya sumber rekreasi dan terapi, tetapi juga platfom pendidikan yang signifikan untuk generasi kini dan akan datang.

Penyegaran Jenama
Projek naik taraf Muzium utama Negeri Selangor yang memakan masa lima tahun telah berakhir apabila pintunya telah dibuka secara rasmi pada 8 Februari 2025. Pembukaan semula Muzium Sultan Alam Shah ini adalah inisiatif kerajaan negeri dengan peruntukan sebanyak RM5.23 juta bagi kerja-kerja membaik pulih.
Kerajaan negeri mengambil beberapa langkah proaktif menaik taraf dan menyusun kembali muzium ini bagi memastikan ia terus relevan dan menarik untuk dikunjungi, disamping menjaga warisan sejarah dan budaya negeri.
Muzium ini turut diberi nafas baharu, dilengkapi dengan kemudahan yang mesra pengunjung seperti mengaplikasi penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), interaksi seni, ‘graphic mapping’ dan sistem respon pantas (QR) supaya pengunjung dapat mengakses maklumat dengan mudah.
Peranan muzium pada era modenisasi ini perlu mengintegrasikan teknologi terkini, memastikan aksesibiliti untuk semua golongan, serta menawarkan pengalaman interaktif yang mendalam.
Melalui pendekatan yang lebih segar dan relevan, muzium dapat menarik perhatian dan minat anak muda, sekaligus menjadikan muzium tempat yang lebih dinamik dan menarik untuk dikunjungi.
Menyusuri Jejak Kebudayaan.
Tiga komponen utama yang menggerakkan muzium ini ialah Galeri Sejarah, Galeri Adat dan Kebudayaan serta Galeri Alam Semula Jadi.
Galeri Sejarah mempamerkan pelbagai artifak prasejarah yang dijumpai di tapak penempatan awal manusia di Selangor. Pengunjung kemudian boleh menelusuri sejarah pentadbiran Selangor sejak zaman Melaka-Johor, zaman Portugis-Belanda, kedatangan orang Bugis, pembukaan ibu kota, zaman penjajahan dan pra-kemerdekaan, sehinggalah Selangor mencapai status negeri maju pada tahun 2005.
Antara yang menjadi tarikan di bahagian ini ialah replika kubur dari kepingan batu yang dijumpai di Ulu Bernam pada 1993, perahu sebatang atau perahu jalur yang dijumpai di Pantai Kelanang, Jugra pada 2007 dan diorama dasar pecah dan perintah yang begitu cermat penghasilannya.

Galeri Adat pula memperlihatkan kebudayaan masyarakat daripada pelbagai etnik di Selangor seperti Bugis, Jawa, Minang, Banjar, Mandiling, Rawa dan lain-lain. Keunikan budaya dan gaya hidup yang diamalkan oleh pelbagai etnik di Selangor dipamerkan melalui koleksi peralatan adat resam, kegiatan sastera dan kesenian. Selain itu terdapat juga pakaian dan peralatan tradisional seperti koleksi busana Melayu, alatan tembaga, alat bunyian dan senjata tradisional. Adat perkahwinan pelbagai kaum, lengkap dengan kronologi proses dari merisik, bertunang dan nikah antara yang amat memikat.
Mungkin yang paling diingati ialah pameran persemadian masyarakat Melayu dengan suasana perkuburan yang sangat ‘real’ diiringi audio bacaan talkin meremangkan bulu roma. Juga pada bahagian Cendekiawan Sastera dan Penulis Selangor yang memperkenalkan sasterawan negara berserta karya-karya agung mereka, seperti Anwar Ridhwan, Siti Zainon Ismail dan Kemala.
Galeri Alam Semulajadi pula memaparkan kekayaan warisan alam semulajadi yang terdapat di Selangor. Kepelbagaian flora dan fauna di Selangor digambarkan melalui diorama terbuka dan haiwan yang diawet seperti spesis ikan, hidupan liar, binatang buas, spesis serangga, belalang, kupu-kupu dan lain-lain. Antara tarikan menarik yang dipamerkan ialah replika ‘Buaya Puchong’, buaya tembaga terbesar yang dijumpai di Semenanjung Malaysia. Selain itu, pengunjung juga boleh mengalami sendiri pengalaman memasuki gua batu melalui replika yang telah dibina dengan begitu gah sekali. Terasa seperti berada di gua batu sebenar dengan kelawar yang bergantungan.
Secara keseluruhan, Muzium Sultan Alam Shah ini mempamerkan lebih 1,000 bahan pameran termasuk artifak, diorama, model dan replika merangkumi aspek sejarah, kebudayaan, warisan dan 800 spesimen berkaitan alam semula jadi khususnya di Selangor dan di Malaysia secara amnya.
Orang awam boleh mengunjunginya di seksyen 14 Shah Alam secara percuma selama tiga bulan. Sementara bayaran tiket akan dikenakan mulai Mei 2025 bagi memastikan pameran dan penyelenggaraan muzium dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan berkualiti.

Pembukaan muzium ini antara usaha membantu Tourism Selangor sempena Tahun Melawat Selangor 2025 dengan sasaran kehadiran lapan juta pengunjung di Selangor.
Pengunjung dapat menikmati koleksi Muzium Sultan Alam Shah sejurus tiba di perkarangan muzium. Antaranya ialah kepala dan gerabak Keretapi Tanah Melayu, kereta mantan Menteri Besar Selangor yang pertama, kereta perisai model Ferret, sistem radar dan kapal terbang.
Menggugah minat anak muda
Anak muda hari ini cenderung kurang berminat mengunjungi muzium kerana beberapa faktor utama, antaranya kekurangan elemen interaktif dan teknologi yang relevan, serta pameran yang tidak berhubung rapat dengan minat atau isu semasa yang melingkari mereka.
Muzium yang masih menggunakan pendekatan tradisional dan kaku sering dilihat sebagai membosankan, tanpa menarik perhatian golongan muda yang lebih gemar pengalaman yang dinamik dan moden.
Promosi yang kurang efektif melalui saluran media sosial serta kurangnya program dan aktiviti yang sesuai dengan gaya hidup anak muda menyebabkan mereka tidak anggap muzium sebagai tempat yang menarik untuk dikunjungi.

Bagi menarik minat mereka, muzium perlu melibatkan teknologi, mengemas kini pameran dengan topik yang relevan dan menawarkan acara yang lebih santai dan interaktif, selain memberi insentif seperti diskaun tiket pelajar atau ganjaran lawatan berulang.
Selain itu, kepelbagaian aktiviti interaktif perlu diwujudkan seperti bengkel seni dan kraf yang membolehkan pengunjung mencipta karya mereka sendiri, permainan pendidikan berbentuk kuiz atau misi yang menghubungkan pengunjung dengan pameran, serta pameran bergerak yang membawa koleksi muzium ke lokasi lain.
Aktiviti seperti ‘Malam Muzium’ yang menggabungkan seni, muzik, dan perbincangan panel, pameran kolaborasi dengan artis muda, dan sesi penceritaan interaktif boleh menarik minat golongan muda. Program sebegini harus dijalankan secara berkala, agar momentum galakan itu berterusan.
The British Museum mengadakan ‘Museum Late’ sebagai contoh. Program ini merupakan inisiatif yang diadakan secara berkala oleh muzium untuk menarik pengunjung datang pada waktu malam dan menikmati pameran dalam suasana yang lebih santai. Pengisian seperti persembahan muzik secara langsung, pembicaraan atau forum seni, jamuan serta aktiviti interaktif dan pameran bertema menjadikan muzium sebagai ruang ekspresi dan pertukaran ideologi.
Museum Late di British Museum adalah contoh inovatif bagaimana muzium dapat menyesuaikan diri dengan kehendak dan cita rasa pengunjung zaman moden–menjadikan muzium bukan sekadar tempat untuk melihat artifak sejarah tetapi juga ruang sosial yang menghubungkan masyarakat dengan seni dan budaya dalam cara yang lebih segar dan menarik.
Pementasan teater sejarah juga dapat memberi pengalaman yang lebih seronok dan mengujakan. Muzium pop-up atau muzium bergerak yang diadakan di ruang awam (terminal bas, stesen lrt/monorel, pusat membeli belah dan lain-lain) juga boleh menarik perhatian orang ramai yang mungkin tidak pernah sampai atau merasa skeptikal terhadap muzium.
Semua ini dapat memperkaya pengalaman pengunjung dan menjadikan muzium destinasi yang lebih dinamik dan relevan.
Pemerkasaan dan kelestarian
Pembinaan dan penyusunan semula Muzium Shah Alam memberikan pengalaman yang amat memuaskan. Menyelusuri perjalanan sejarah, budaya, dan ketamadunan bangsa membangkitkan rasa kagum dan refleksi mendalam. Dengan penerapan elemen teknologi moden, muzium ini pastinya berjaya menarik minat generasi muda.
Namun, keindahan, keselesaan, dan praktikaliti yang disediakan harus seiring dengan kandungan yang bermakna serta strategi promosi yang berkesan. Pendekatan yang holistik ini penting untuk memastikan muzium bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi juga pusat pendidikan dan penghayatan sejarah yang relevan dengan perkembangan zaman.
Muzium juga harus menggambarkan kepelbagaian budaya dan sejarah, memberi tumpuan kepada pemeliharaan koleksi, dan relevan dengan isu semasa seperti perubahan iklim, kesihatan dan kemanusiaan. Dengan program pendidikan yang menarik, penglibatan komuniti yang aktif, dan pemasaran yang efektif–muzium dapat kekal sebagai pusat pembelajaran dan interaksi sosial yang berdaya saing, menghubungkan generasi kini dengan warisan dan pengetahuan yang bernilai.
Mereka yang mengetuai pengurusan muzium perlu memiliki pemahaman mendalam tentang keperluan dan kehendak anak bangsa–khususnya generasi muda, agar muzium tidak hanya dilihat sebagai tempat penyimpanan artifak sejarah semata-mata. Sebaliknya, muzium harus menjadi platfom pendidikan yang dinamik dan relevan, yang mampu menghubungkan pengunjung dengan sejarah, seni, dan budaya melalui pengalaman yang menarik dan interaktif.
Kepimpinan yang arif dalam memahami kecenderungan teknologi, nilai sosial, dan minat semasa generasi muda akan membolehkan muzium berkembang menjadi pusat ilmu yang bukan sahaja mengajar tentang masa lalu, tetapi juga menginspirasi dan mempersiapkan masa depan. Dengan pendekatan yang lebih segar dan moden, muzium dapat memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri bangsa serta memupuk kecintaan terhadap warisan dan pengetahuan dalam kalangan generasi akan datang.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.
