Di atas dek besi yang pernah merentas Selat, ribuan langkah pernah berulang-alik antara pulau dan tanah besar Semenanjung. Feri bukan sekadar alat pengangkutan; ia saksi perubahan zaman.
Maka pembukaan Muzium Feri Pulau Pinang tentu mengundang rasa haru dan bangga. Ia simbol kepada usaha memelihara memori.
Namun persoalan lebih jujur harus kita semua ajukan: memori siapa yang dipelihara? dan sejarah mana yang dipilih untuk diceritakan?
Muzium bukan ruang nostalgia semata-mata. Ia adalah mesin pembentuk ingatan kolektif. Apa yang dipamerkan akan membentuk cara generasi akan datang memahami asal-usul mereka.
Justeru, jika muzium ini mahu benar-benar bermakna, ia tidak boleh berhenti pada kisah feri abad ke-20. Ia perlu menyelam lebih jauh — ke akar sejarah Melayu Pulau Pinang yang sering tenggelam dalam bayang-bayang naratif kolonial.
II
Pulau Pinang Sebelum Feri, Sebelum British
Sejarah Pulau Pinang tidak bermula dengan ketibaan penjajah. Jauh sebelum layar Eropah muncul di ufuk, wilayah ini berada dalam lingkungan Kesultanan Kedah.
Peristiwa 1786 yang melibatkan Francis Light dan Sultan Abdullah Mukarram Shah mengubah trajektori politik wilayah ini – bukan sekadar transaksi tanah, tetapi permulaan peralihan kuasa yang memberi kesan berpanjangan kepada struktur masyarakat.
Sejarah standard yang dipaparkan dalam buku teks awam sering menyatakan bahawa Light “menemui” Pulau Pinang.
Namun Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican dalam satu keterangan pernah menegaskan bahawa naratif ini adalah mitos kolonial: Pulau Pinang telah wujud sebagai wilayah berdaulat di bawah Kesultanan Kedah sebelum Light tiba.
Beliau menyatakan bahawa Light lebih tepat digambarkan sebagai penjajah yang mengambil alih sebuah wilayah yang sah secara politik daripada “penemuan” tanah kosong.
Sebelum perjanjian itu, komuniti Melayu pesisir telah lama berakar di kawasan Tanjung, Balik Pulau dan Seberang Perai. Mereka bukan sekadar nelayan; mereka sebahagian daripada jaringan perdagangan Selat Melaka yang menghubungkan dunia Melayu dengan pedagang luar. Mereka adalah pelaut, peniaga kecil, penghubung budaya.
Apabila muzium maritim didirikan tanpa memberi ruang signifikan kepada bab awal ini, naratif menjadi tempang. Seolah-olah sejarah hanya bermula apabila kuasa asing tiba dan infrastruktur moden dibina.
Prof. Murad dalam satu laporan, menambah bahawa dominasi naratif kolonial telah mengaburkan pemahaman awam tentang kedudukan sejarah Melayu Pulau Pinang, dan menekankan bahawa pembetulan naratif adalah penting untuk keadilan sejarah.

III
Nostalgia atau Pemulihan Sejarah?
Ada perbezaan besar antara mempamerkan objek dan memulihkan sejarah. Feri lama, gambar hitam putih, tiket usang – semua itu menyentuh emosi. Tetapi emosi tanpa konteks akan menjadi sentimental semata-mata.
Jika muzium ini sekadar menjadi galeri kenangan perjalanan harian rakyat, ia berisiko menjadi projek simbolik – menyenangkan perasaan, tetapi tidak mencabar pemikiran, apatah lagi menyentuh hati anak-anak generasi milenial yang mungkin hanya sempat tahu apa yang diajar di sekolah.
Sebaliknya, usaha ini boleh dijadikan ruang yang lebih berani. Misalnya: Peta interaktif wilayah Kedah sebelum 1786. Ini penting di mana bangsa Melayu sememangnya terkenal sebagai bangsa yang berlayar; semasa zaman kegemilangan Melaka, Pulau Pinang telah juga wujud sebagai hub pelabuhan kedua terpenting di jajaran Semenanjung Tanah Melayu.
Kedua, dokumentasi lisan komuniti Melayu pesisir tentang perubahan selepas penjajahan. Rakaman ‘oral’ pensejarahan penduduk watan seharusnya dibuat bagi memastikan kesinambungan sejarah berterusan.
Dan yang ketiga, analisis demografi yang menunjukkan transformasi sosial sepanjang dua abad. Perkara ini tidak seharusnya dipandang hanya sebagai proses akademik, sebaliknya ini adalah proses pembudayaan keilmuan.
Dengan pendekatan ini, muzium tidak lagi sekadar meratapi masa lalu, tetapi membantu masyarakat memahami bagaimana perubahan kuasa dan ekonomi membentuk identiti hari ini.
Prof. Murad juga menekankan perlunya mekanisme rasmi untuk memastikan fakta sejarah ditetapkan secara objektif dan berpijak pada bukti primer, bukannya naratif tradisional yang dipengaruhi oleh minda dan sikap kolonialisme yang bersarang di kalangan mereka yang menyamar sebagai sejarawan.
IV
Pulau Pinang sering dirayakan sebagai kota warisan. George Town diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, terkenal dengan seni bina kolonial dan kepelbagaian budaya. Itu semua sah dan penting.
Namun dalam naratif popular atau komersial, elemen kolonial sering menjadi pusat tumpuan. Bangunan batu bata, gereja lama, rumah agam pedagang – semuanya diberi cahaya limpah sejarah.
Di manakah tempat orang Melayu dalam penceritaan ini? Adakah kaum asal di pulau ini tidak menyumbang kepada pembangunan budaya dan ekonomi Pulau Pinang?
Adakah mereka sekadar catatan kaki? Atau sekadar simbol kampung tradisional yang eksotik?
Jika muzium maritim tidak mengangkat kedudukan politik dan ekonomi Melayu sebelum dan selepas 1786, maka ia secara tidak langsung mengukuhkan persepsi bahawa sejarah bermula dengan kolonialisme. Ini menjadi persoalan besar.
Kritikan membina di sini jelas: keseimbangan naratif mesti dipulihkan. Warisan Melayu bukan sekadar budaya kampung, tetapi sebahagian daripada struktur kuasa dan ekonomi awal wilayah ini.
Kita perlu memahami dan sedar bahawa muzium ini akhirnya adalah sebagai Institusi Intelektual. Sebuah muzium moden harus berfungsi sebagai institusi intelektual, bukan stor menyimpan barang lama untuk dijadikan ruang pameran.
Mewujudkan sebuah muzium memerlukan penglibatan pakar dan sejarawan tempatan dalam kurasi. Ia juga perlu merujuk sumber arkib Kesultanan Kedah dan dokumen kolonial secara kritis secara seimbang, barulah ‘konten’ yang dipamerkan adil dan lebih bermakna.
Di samping itu, kewujudan muzium juga harus menggalakkan wacana akademik melalui forum dan diskusi terbuka.
Tanpa pendekatan ini, muzium akan menjadi projek fizikal yang cantik tetapi kosong makna.
Tambahan pula, pengurusan jangka panjang perlu jelas. Adakah ia mempunyai pelan penyelidikan berkala? Adakah kandungan akan diperbaharui mengikut penemuan baharu? Atau ia akan kekal statik seperti artifak yang dipamerkan?

V
Institusi sejarah yang matang sentiasa berkembang, kerana tafsiran sejarah sentiasa diperhalusi.
Mengangkat sejarah Pulau Pinang bukan hanya tentang sejarah pengangkutan atau soal sentimen etnik. Ia soal keadilan naratif sejarah yang lebih meluas. Feri sebagai pengangkutan awal mewakili kebijakan tempatan, mewakili status ekonomi Pulau Pinang; ia adalah gambaran kepada proses kemajuan negeri dan rakyat.
Sejarah wilayah ini kompleks dan pelbagai, tetapi akar awalnya tidak boleh dipadam.
Muzium Feri boleh menjadi pintu masuk kepada pemahaman yang lebih menyeluruh tentang transformasi maritim: daripada pelayaran tradisional Melayu kepada kapal dagang kolonial, seterusnya kepada sistem pengangkutan moden.
Bayangkan sebuah galeri yang memaparkan kesinambungan ini – bukan sebagai serpihan terpisah, tetapi sebagai garis masa yang utuh.
Itulah pendekatan yang akan menjadikan muzium ini bukan sahaja ruang pelancongan, tetapi pusat kesedaran sejarah nasional.
Malaysia gemar membina simbol. Kita mendirikan bangunan, merasmikan muzium, mengadakan perasmian yang gemilang. Namun simbol tanpa makna hanya menjadi struktur fizikal yang kosong roh. Kelemahan ini tak sepatutnya berterusan tanpa pemulihan.
Muzium Feri Pulau Pinang mempunyai potensi besar. Ia boleh menjadi monumen nostalgia – atau ia boleh menjadi institusi yang berani menyingkap sejarah sebenar Pulau Pinang, termasuk peranan kaum Melayu yang sering terpinggir.
Ini bukan soal politik semata-mata. Budaya melangkaui politik dan ekonomi. Persoalan budaya ialah persoalan tamadun. Dan setiap tamadun harus dihormati. Malah ia soal tanggungjawab terhadap generasi akan datang.
Sejarah tidak boleh dipilih berdasarkan keselesaan. Ia mesti diceritakan dengan jujur, lengkap dan berani.
Jika muzium ini mampu melangkaui romantisme feri dan menyelami akar sejarah Melayu Pulau Pinang secara serius, maka ia akan berdiri bukan sekadar sebagai bangunan di atas air – tetapi sebagai mercu tanda ingatan yang bermakna.

