MuviiGrind, platform inovatif dalam industri hiburan, telah memulakan pencarian bakat baharu untuk produksi drama vertikal terbarunya yang bakal mengangkat kisah kehidupan masyarakat di seluruh rantau ASEAN termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina dan Thailand. Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi pertama untuk sesi uji bakat bertepatan dengan kedudukan Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN ke empat puluh tujuh.
Menurut kenyataan MuviiGrind, langkah ini mencerminkan komitmen mereka dalam memperkaya industri hiburan serantau dengan suara baharu yang relevan.
Sesi uji bakat berlangsung dari jam sepuluh pagi hingga enam petang di Teedo Hotel, Kuala Lumpur. Lebih seratus dua puluh peserta hadir manakala lebih empat ratus lapan puluh individu mendaftar dari seluruh Malaysia.
“Sambutan luar biasa ini mendorong kami merancang untuk mengadakan sesi kedua dalam waktu terdekat bagi memenuhi permintaan yang tinggi,” katanya.
Lokasi uji bakat di pusat ibu kota dengan akses mudah melalui pengangkutan awam dan kemudahan parkir turut mendapat respon positif daripada peserta. Teedo Hotel sebagai lokasi rasmi menyediakan kemudahan makan sepanjang sesi uji bakat berlangsung untuk memastikan keselesaan peserta dan panel.
Panel penghakiman terdiri daripada Datuk Fauziah Nawi, Rosnah Johari dan Zila Bakarin. Mereka membawa pengalaman lebih empat dekad dalam dunia seni.
“Kehadiran tokoh berpengalaman ini memberi nilai tambah besar kepada proses pemilihan,” katanya lagi.
Selain itu, tokoh terkenal seperti Hafiz Derani, Zaiham Zainal atau Curly Jow dan Rizuan Md Nor atau Apple turut bersama sebagai panel. Mereka dikenali sebagai pengarah dan penulis skrip prolifik yang telah menghasilkan karya popular yang mendapat sambutan penonton.
Untuk memberi dimensi lebih luas kepada peserta, pelakon Danial Dashuki dan Tiara Suraya turut dijemput.
“Kami mahu calon mendapat pendedahan tambahan agar mereka bersedia menghadapi peringkat pemilihan yang sangat kompetitif,” ujarnya.
MuviiGrind turut menerima sokongan daripada Teedo Hotel sebagai penaja lokasi dan Dosz Coffee Malaysia yang menyediakan lebih lima ratus cawan kopi, cokelat dan teh.
Melihat kepada sambutan positif, MuviiGrind berhasrat meneruskan kerjasama dengan lebih banyak pihak untuk memperkukuh jaringan industri hiburan serantau.
“Ini adalah sebahagian strategi kami untuk membina kerjasama yang saling memberi manfaat antara Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Filipina,” katanya.
Dalam usaha menghasilkan drama vertikal yang mampu memenuhi selera penonton dari pelbagai latar belakang budaya, MuviiGrind juga merancang untuk melibatkan pemenang dari festival filem antarabangsa.
Antara festival tersebut ialah Cinema International Film Festival di Filipina, Piala Citra Festival Film di Indonesia dan Suphannahong National Film Awards di Thailand.
“Usaha ini adalah kesinambungan untuk mencipta karya yang berdaya saing dan relevan di kalangan penonton rantau ini,” kata MuviiGrind.
