PERSATUAN Penulis Nasional Malaysia (PENA) ditubuhkan pada 12 Februari 1961 dan seterusnya bersama-sama 13 persatuan penulis lain menubuhkan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) pada 23 Oktober 1970. Beberapa tokoh PENA menjadi ahli jawatankuasanya yang pertama. Oleh kerana itu, PENA sering dilihat sebagai “jantung” kepada GAPENA selama ini.
Sebagai rekod, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, 60, memenangi jawatan Presiden PENA pada penghujung tahun 2010 apabila menewaskan Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain), 85. Baha Zain sebelum itu menjadi Presiden PENA setelah Dato’ Ahmad Sebi Bakar, 77, mengundurkan diri secara terhormat pada tahun 2008.
Pada Mesyuarat Agung Pemilihan PENA (MAP-PENA) tahun tersebut, Baha Zain secara tiba-tiba telah membuat “u-turn” pada saat akhir dengan menyatakan kesediaannya untuk bertanding menentang Saleeh yang lebih muda dari segi usia. Bertuahnya pasukan “The Trojan Horse” pada ketika itu, mereka telah bersedia lebih awal dan memenangi sebahagian besar jawatan yang dipertandingkan.
Banyak kejayaan yang telah Saleeh capai ketika menjadi orang nombor satu PENA. Antaranya, menganjurkan Sambutan 50 Tahun PENA dan menganjurkan Perhimpuan Penulis Muda Nasional ke-3 pada tahun 2011. Pada majlis tersebut, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, telah memperuntukkan RM1 juta untuk membaiki Rumah PENA yang ada sekarang.
Pada tahun yang sama, PENA bersama-sama rakan sinergi Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Berita Harian (BH), dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) menganjurkan beberapa siri bengkel penyediaan manuskrip dan penerbitan buku, Sayembara Penulisan Novel, Cerpen & Puisi pertama & kedua, serta telah menerbitkan ribuan buku penulis-penulis Malaysia. Bawah kepimpinan Saleeh juga, PENA menganjurkan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, Pertemuan Penyair Nusantara, dan banyak aktiviti yang lain.
Kejayaan ini adalah kejayaan Saleeh bersama-sama pasukan “The Trojan Horse”nya pada ketika itu. Malangnya satu per satu kawan-kawan meninggalkannya atas pelbagai sebab. Bermula dengan Rahimidin Zahari (meninggal dunia pada tahun 2015), Amiruddin Md Ali Hanafiah dan Syed Mohd Zakir Syed Othman (pada tahun 2016), Dr. Ariff Mohamad (pada tahun 2018 & 2020), Muhammad Lutfi Ishak (pada tahun 2020), dan lain-lain. Yang masih kekal bersama-sama beliau semenjak tahun 2010 hingga kini adalah Dr. Shamsudin Othman “The Haji” dan Azalan Hussain “The General”.
Adalah menjadi kelaziman untuk GAPENA bermesyuarat tahunan terlebih dahulu dan diikuti oleh PENA. Mungkin, ini adalah strategi agar yang menang di GAPENA akan terus berkuasa di kedua-dua persatuan ini.
Oleh kerana itu, untuk “menolak” Saleeh daripada memegang kembali jawatan Presiden PENA buat kali ke-15 & ke-16 berturut-turut, gandingan Amir “The Napoleon” dan Zainal Jais “The Midas Touch” perlu memenangi kerusi nombor 1 dan nombor 2 pada Mesyuarat Agung Pemilihan Jawatankuasa GAPENA tahun ini. Menang atau kalah, penganalisis politik berpersatuan menjangkakan bahawa Saleeh akan membawa sejumlah besar penyokongnya, sama ada untuk meraikan kemenangan di GAPENA atau untuk meraih trofi kemenangan berganda di MAP-PENA pada keesokan harinya (8 Disember 2024).
Amir, secara terbuka, mengakui akan “melanggar” PENA jika beliau kalah di GAPENA nanti. Beliau memerlukan pangkalan baharu di Wilayah Persekutuan bagi mengekalkan kerjaya politik berpersatuannya setelah sekian lama penat berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor untuk mengepalai Persatuan Penulis Johor (PPJ).
Mohd Khair Ngadiron, 58, dikatakan sebagai calon yang paling layak menerajui PENA sekiranya Saleeh mengundurkan diri secara terhormat sebagai Presiden dan Syed Mohd Zakir Syed Othman, 55, sebagai gandingan paling ideal untuk menjadi Timbalan Presidennya pada MAP-PENA kali ini. Sementelah Saleeh dilihat sebagai sudah terlalu lama memegang tampuk pemerintahan PENA selama 14 tahun berturut-turut.

Khair “The Sheikh” berpengalaman luas dalam hal ehwal mentadbir organisasi dan dalam industri perbukuan negara. Manakala Zakir “The Syed” berpengalaman luas dalam hal ehwal bahasa dan sastera serta dalam industri penerbitan buku.
Cuma, menurut sumber risikan kami, Zakir hanya mahu menjadi orang nombor dua PENA di bawah Khair, tetapi akan melepaskan jawatan serta-merta jika ditakdir menang bersama-sama Saleeh atau Amir.
Daripada hasil risikan kami lagi, Khair pula akan “merempuh” Presidennya sekiranya Saleeh ingin terus menguasai GAPENA dan PENA sekali gus. Datang dengan slogan Nothing to Lose, sudah tentulah akan menjadi kerugian besar kepada penulis dan industri perbukuan jika beliau pulang dengan tangan kosong dan meninggalkan PENA buat selama-lamanya.
Penganalisis politik berpersatuan melihat pertembungan Saleeh-Khair-Amir atau Khair-Amir di MAP-PENA ini sebagai amat sengit. Selama ini Saleeh dilihat menerima banyak undian daripada ahli-ahli wanita dan ahli-ahli akademik terutamanya dari Universiti Malaya. Sudah tentulah Khair pula akan mengharapkan pengundi sedia ada dan pengundi baharu berpihak kepadanya. Manakala Amir yang dimomokkan “berseorangan” oleh sesetengah pihak mungkin mengharapkan suatu keajaiban akan terjadi.
Untuk tidak melihat perpecahan berlaku, adalah lebih baik sekiranya Saleeh menyerahkan tampuk pemerintahan secara aman kepada Khair. Manakala Amir pula diyakini akan memberikan laluan selesa kepada Khair, lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya dilihat amat mesra sejak akhir-akhir ini sehingga menimbulkan spekulasi pelbagai pihak.
Di bawah ini adalah senarai kabinet bayangan yang difikirkan ideal serta kompeten oleh para penganalisis politik berpersatuan untuk memimpin PENA bagi penggal 2024-2026 nanti:
Pengerusi Tetap: Roslan Madun
Timb. Pengerusi Tetap: Dr. Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden: Mohd Khair Ngadiron
Timb. Presiden: Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir)
Setiausaha Agung: Dr. Norzuraina Mohd Nor (Ayudez Fia)
Timb Setiausaha: Rosman Md Shah
Bendahari: Azalan Hussain
AJK:
Dr. Shamsudin Othman
Dr. Norhayati Ab Rahman
Zaifulnizam Wagiran (Attokz)
Nurul Asyikin Abd Hamid (Aloy Paradoks)
Normazni Ayub (Sijasad Bersiong)
AJK DILANTIK:
Adam Bakhtiar Buck Lee Abdullah
Sharrul Rizal Hashim (DBP)
PEMERIKSA KIRA-KIRA
Nazhatulshima Nolan
Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub (Nimoiz T.Y)
Gandingan lama dan baharu ini dilihat sebagai langkah proaktif untuk meneruskan legasi PENA dan mempercepatkan usaha meremajakan PENA yang dikritik sebagai persatuan untuk orang tua-tua sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Gandingan ini juga dirasakan dapat mengembalikan anak-anak muda ke Rumah PENA yang diuar-uarkan untuk dijadikan hab kegiatan bahasa dan sastera serta budaya. Ia perlu lebih bersifat komprehensif pada masa akan datang daripada ia terbiar “kosong” hampir setiap hari.
Khair diharapkan dapat meneruskan Projek Penerbitan Buku PENA – Malaysia Madani pada tahun akan datang dengan peruntukan daripada kerajaan yang lebih besar lagi.
Zakir sebagai Timbalan Presiden dijangka akan mengepalai hal ehwal hubungan antarabangsa dan menjadi penghubung antara PENA dengan penulis-penulis luar negara. Beliau juga akan diberikan tugas untuk memecahkan “tembok” pemilihan Sasterawan Negara dari golongan yang berusia kepada golongan yang lebih muda agar boleh memberikan faedah lebih komprehensif kepada masyarakat amnya dan golongan penulis khasnya.
Norzuraina merupakan Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan dilihat sebagai orang yang tepat untuk menduduki kerusi Setiausaha Agung PENA. Langkah serampang dua mata boleh menjadikan UPSI sebagai rakan sinergi terbaharu PENA di samping Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perbadanan Kota Buku (PKB). Secara tidak langsung dapat mengakrabkan pelajar-pelajar universiti dengan persatuan penulis dalam usaha untuk memartabatkan bahasa dan sastera serta budaya. Sementelah kejayaan-kejayaan yang beliau capai dalam pelbagai penganjuran acara budaya dan sastera di peringkat nasional.
Untuk rekod, kali terakhir PENA mempunyai Setiausaha Satu daripada golongan wanita adalah pada tahun 1977-1978 yang disandang oleh Ainon Muhammad.
Rosman yang kini diamanahkan menjawat Setiausaha Kerja PENA-UNESCO (Warisan Tidak Ketara) diharapkan kekal dengan jawatan itu dan wajar dilantik sebagai Timbalan Setiausaha PENA bagi melancarkan pentadbiran PENA.
Azalan dijangka akan dikekalkan sebagai Bendahari PENA untuk sepenggal lagi. Berpengalaman luas dalam bidang penerbitan buku, beliau diharapkan dapat merangka kursus-kursus dan bengkel-bengkel dalam bidang tersebut untuk dimanfaatkan oleh karyawan dalam industri perbukuan negara.
Aloy yang merupakan seorang pelakon, pengiat teater, penulis skrip, penganjur acara, serta penerbit buku boleh menjadi jambatan bagi tujuan merapatkan hubungan penulis dengan karyawan seni yang lain untuk sama-sama bergandingan bahu dalam aktiviti-aktiviti “segar” PENA yang akan dirancang kelak.
Normazni adalah nama yang disebut-sebut untuk berkhidmat sebagai Pengurus Rumah PENA bagi menggantikan Azalan yang dilihat beransur-ansur menyerahkan “tanggungjawab”nya selama ini kepada generasi yang lebih muda. Selain menjadi penghubung antara PENA dengan penulis-penulis kendiri, beliau juga boleh menggalas tanggungjawab yang lebih besar seperti menguruskan Malam Baca Puisi PENA pada setiap bulan agar lebih terancang dan kemas.
Buck Lee, seorang anggota polis yang pernah menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan bukanlah muka baharu yang harus diperkenalkan lagi dalam kalangan pendeklamator puisi. Tenaga beliau boleh digunakan untuk membimbing pendeklamator cilik dan remaja dalam program khas yang akan diwujudkan nanti.
Manakala Sharrul akan dibawa masuk dari luar untuk menjaga kepentingan rakan-rakan sinergi PENA, iaitu DBP dan PKB. Langkah ini mungkin kali pertama dilakukan oleh PENA dan dirasakan amat perlu dilaksanakan. Jawatan ini juga dicadangkan untuk digilirkan dengan rakan-rakan sinergi yang lain.
Shamsudin, kemungkinan besar akan ditugaskan untuk menjaga kebajikan ahli-ahli PENA sementelah beliau mengenali begitu ramai penulis. Manakala Norhayati kekal menjadi suara penulis wanita dan Zaifulnizam kekal menjadi suara penulis muda sedia ada.
Tidak melupakan yang lama, Roslan dan Saleeh diharapkan akan memegang jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap bertaraf Penasihat Kanan yang dipertanggungjawabkan dalam hal kepenyairan dan budaya serta hal bahasa Melayu dan kursus penyuntingan teks.
AJK PENA yang terdahulu, yang tidak terpilih pada kali ini, diharapkan agar tidak dilupakan terus, sebaliknya elok kalau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kecil di bawah mana-mana sub-AJK nanti.
Jika impian murni ini tidak dapat direalisasikan pada 8 Disember 2024 nanti, maka kekallah PENA di takuk lama.
“Kain yang basah haruslah dijemur di ampaian agar ia segera kering kembali.”
– Kunta Kinte, ROOTS.
~ ALE BAGINDA adalah penganalisis politik berpersatuan.

