Mohd Khair Ngadiron bersedia untuk bertanding jawatan presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) pada pemilihan kepimpinan persatuan itu pada 8 Disember ini.
Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) itu menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan itu kepada Senimalaya.
“Ya,” katanya ringkas.
Sebelum itu menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu malam, Mohd Khair memberi bayangan sedia memikul amanah tersebut sekiranya ahli PENA merasakan beliau wajar memimpin persatuan tersebut.
“Saya dihubungi rakan-rakan mengenai pendirian pada pemilihan PENA yang akan berlangsung pada 8 Disember 2024.
“Perlembagaan PENA jelas menyatakan bahawa menentukan kepimpinan PENA bergantung sepenuhnya kepada ahli-ahli.
“Sehubungan dengan itu, jika ahli merasakan saya wajar untuk memimpin PENA, saya bersedia untuk memikul amanah tersebut,” tulis Mohd Khair.
Ketika ini PENA diterajui Dr Mohamad Saleeh Rahamad selepas dipilih menjadi presiden persatuan itu pada 2009 dan kekal di kerusi tersebut sehingga sekarang.
Ketika dihubungi Senimalaya, Dr Saleeh enggan memberi jawapan sama ada akan mempertahankan jawatan Presiden PENA atau memberi laluan kepada Mohd Khair.

