“Semoga kita dan komputer kita yang semakin rumit berevolusi ini dapat saling bertemu di satu titik pertengahan.” Philip K. Dick – ‘The Android and the Human’.
Petikan kata-kata dari ‘esei’ diatas merupakan ucapan yang disampaikan oleh Philip K. Dick pada ‘Vancouver Science Fiction Convention’ di University of British Columbia pada tahun 1972.
Philip K. Dick berhujah bahawa hubungan manusia dengan teknologi memerlukan kedua-duanya berkembang ke arah suatu titik keserasian yang mendamaikan, dan bukan hanya manusia atau mesin sahaja yang mendominasi antara satu dengan yang lain.

Dalam satu anekdot yang lain pula, pada tahun 1982, Kesatuan Pemuzik United Kingdom (UK Musicians Union) telah meluluskan satu usul untuk mengharamkan penggunaan Synthesizer dan juga Drum Machine.
Mereka bimbang bahawa peranti elektronik tersebut akan menjejaskan mata pencarian pemuzik yang dianggap sebagai ‘pemain sebenar’ serta merosakkan muzik sebagai sebuah bentuk seni, peranti elektronik yang dilihat oleh sesetengah tokoh industri muzik ketika itu sebagai teknologi yang memusnahkan pekerjaan kemudiannya terbukti tidak mampu menyaingi permainan pemuzik tradisional.
Sebaliknya peranti-peranti elektronik tersebut menakrifkan bentuk baharu penerbitan muzik moden kerana bunyinya yang berbeza daripada alat muzik sedia ada, instrumen-instrumen tersebut kemudian membuka kemungkinan muzik baharu dan melahirkan genre-genre muzik yang mustahil wujud tanpa kehadirannya.

Berpatah lebih jauh kebelakang, dalam satu temubual, Dato’ Dr. Uwei HajiSaari pernah berkisah tentang dirinya yang kurang fasih menekuni pergerakan teknologi lalu membawa kepada satu kisah bagaimana kecenderungaan tersebut mempunyai sedikit persamaan dengan satu gerakan yang digelar ‘Luddite’ pada abad ke18 di Nottingham, England, dan kemudian merebak ke seluruh Midlands dan wilayah utara.
‘Luddite’ secara sejarahnya ditakrifkan sebagai satu gerakan oleh pekerja tekstil, para artisan dan juga penenun berkemahiran tinggi yang bimbang alat tenun mekanikal yang murah serta pengendali mesin yang tidak mahir akan memusnahkan kualiti dan juga mata pencarian mereka.
Sebagai tindak balas, gerakan ‘Luddite’ akan menyelinap masuk kedalam kilang-kilang pada waktu malam untuk menghancurkan jentera dan mesin mesin industri sebagai tanda protes terhadap teknologi industrialis yang menggantikan tenaga manusia.
Terma yang diambil bersempena sosok mistikal bernama ‘Ned Ludd’ itu dikhabarkan pernah memusnahkan mesin ‘Knitting Frames’ pada pada abad ke17.
Sehingga kini istilah ‘Luddite’ atau ‘Neo-Luddite’ masih dirujuk kepada para penghindar yang ragu terhadap perubahan teknologi baharu kerana berpendapat ia akan membawa keburukan terhadap masyarakat dan juga alam sekitar.
Satu fakta yang kedengaran agak ngeri juga menyebut bahawa, oleh kerana pemproses AI moden (GPU) menghasilkan haba yang sangat tinggi, pusat pusat data AI ini sangat bergantung kepada air yang banyak bagi tujuan penyejukan untuk mengelakkan kepanasan yang melampau dan masih diperdebatkan, disamping adanya penambahbaikan seperti closed-loop systems dan lain lain).

Generasi yang mengharungi tempoh peralihan sering mengalami dilema sangsi pada perubahan dan pembaharuan teknologi disebabkan ketidakpastian pada adaptasi tersebut, samada ia bakal membawa kebaikan atau sebaliknya, lalu terpaksa memilih untuk menolak atau memeluknya.
Apa pun pilihan kita, dunia tetap bergerak kehadapan, dan kini, setelah 54 tahun, petikan kata-kata Philip K Dick diatas seolah semakin hampir menemui titik tengahnya, kecerdasan buatan (Artificial Intelligence atau AI) kini membantu dengan tingkatan yang sangat berbeza pada hampir setiap aspek kehidupan manusia dan pastinya dunia seni juga tidak mungkin dapat berkecuali.
Daripada penjanaan imej, muzik dan filem hinggalah kepada penulisan kreatif, AI telah membuka kemungkinan estetik yang sebelum ini sukar dibayangkan, namun pada masa yang sama menimbulkan persoalan besar tentang hak cipta, keaslian, autoriti dan masa depan kreativiti manusia.

Di tengah-tengah perdebatan global inilah 4th International INVENTX Creative Exhibition 2026 muncul sebagai sebuah platform yang bukan sekadar mempamerkan karya seni berasaskan teknologi, tetapi mengangkat AI sebagai subjek wacana kritikal.
Dengan tema “TAP-AI: Extension or Extinction? Crossing Boundaries, Opening-Up Possibilities”, (TAP-AI: Perpanjangan atau Pemupusan? Merentas Sempadan, Membuka Ruang Kemungkinan), pameran anjuran Fakulti Multimedia Kreatif, Multimedia University (MMU) yang berlangsung dari 2 Julai sehingga 2 Ogos 2026 ini memperlihatkan bagaimana institusi pengajian tinggi di Malaysia semakin berperanan sebagai medan penting dalam membentuk perbincangan antarabangsa mengenai hubungan antara seni, edukasi, teknologi dan masyarakat.

Apa yang membezakan INVENTX Creative daripada kebanyakan pameran seni digital ialah keberaniannya meletakkan persoalan, bukannya jawapan, di hadapan khalayak. Tajuk “Extension or Extinction?” bukan sekadar permainan kata, tetapi refleksi terhadap dilema yang sedang dihadapi dunia seni hari ini. Adakah AI memperluaskan imaginasi manusia, atau secara perlahan-lahan menggantikan peranan pencipta?
Soalan itu dimulakan melalui pengalaman visual yang pelbagai. Sebanyak 114 karya dipilih daripada 153 penyertaan, melibatkan artis, penyelidik, pereka, jurugambar, pembikin filem, pendidik dan pengamal kreatif daripada 24 negara dan wilayah merentasi lima benua. Ia sekali gus menjadikan edisi 2026 sebagai penganjuran paling antarabangsa sejak INVENTX Creative diperkenalkan pada 2023.

Kepelbagaian geografi ini bukan sekadar statistik. Penyertaan daripada negara seperti Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, China, Itali, Palestin, Iraq, Mesir, Argentina dan Malaysia memperlihatkan bahawa AI kini menjadi bahasa bersama yang merentasi budaya, politik dan sempadan. Walaupun latar sosial setiap negara berbeza, para peserta berkongsi keresahan yang sama, bagaimana teknologi mengubah cara manusia melihat, mencipta dan mentafsir dunia.
Melalui medium seni visual, ilustrasi digital, fotografi, filem, reka bentuk, media imersif serta karya yang dibantu AI, pameran ini memperlihatkan bahawa teknologi bukan sekadar menghasilkan imej yang lebih pantas atau lebih kompleks. Sebaliknya, AI menjadi alat untuk menguji semula konsep identiti, memori, persepsi, etika dan autoriti artistik.
Dalam konteks seni kontemporari, perkembangan ini sejajar dengan kecenderungan festival seni dan biennale antarabangsa (Biennale Architettura 2025, AI Art Biennale Kraków, 2026), muzium dan lain lain yang kini semakin memberi ruang kepada karya berasaskan AI.

Berbeza dengan pendekatan yang sering menumpukan kepada demonstrasi teknologi, INVENTX Creative memilih pendekatan yang lebih reflektif. Teknologi bukan dipuja, tetapi dipersoalkan. AI tidak diraikan sebagai pengganti manusia, sebaliknya sebagai medium yang memerlukan kebijaksanaan serta keunikan kreativiti manusia untuk menggunakannya dengan penuh hemah dan bertanggungjawab.
Majlis pelancaran pameran pada 1 Julai lalu diresmikan oleh Presiden dan juga CEO Multimedia University, Prof. Dato’ Dr. Mazlizam Mohd Su’ud dan turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Azmir Saifuddin Mutalib, bersama kepimpinan MMU, ahli akademik, wakil media, karyawan dan pemain industri kreatif.
Beliau menegaskan bahawa AI seharusnya memperkasakan kreativiti, bukannya menggantikannya. Menurutnya, teknologi membuka ruang untuk pencipta meneroka bentuk ekspresi baharu dan menyelesaikan cabaran yang sebelum ini sukar dibayangkan, namun daya cipta manusia kekal menjadi asas kepada setiap inovasi.negara.

Kehadiran pelbagai pihak ini memperlihatkan bahawa pembangunan seni terkait digital dan AI bukan lagi agenda institusi pendidikan semata-mata, tetapi sebahagian daripada strategi memperkukuh ekosistem kreatif negara.
Pandangan tersebut disambut oleh Vimala Perumal, Pengarah INVENTX Creative Exhibition 2026, dan juga Timbalan Dekan Fakulti Multimedia Kreatif, yang mengingatkan bahawa sejarah seni sentiasa bergerak seiring perkembangan teknologi.
Kamera pernah dianggap ancaman kepada lukisan, komputer pernah dipersoalkan dalam dunia reka bentuk, dan kini AI menerima nasib yang sama. Namun, seperti setiap revolusi teknologi sebelum ini, medium baharu akhirnya menemukan makna melalui imaginasi manusia yang menggunakannya.

Di sinilah INVENTX Creative memperlihatkan kekuatan sebenarnya. Pameran ini tidak meletakkan AI sebagai protagonis utama. Sebaliknya, manusia tetap menjadi pusat kepada naratif dan daya kreativiti.
Setiap karya mengingatkan bahawa teknologi hanyalah alat, manakala empati, bakat, pengalaman, memori dan intuisi masih merupakan elemen yang sukar digantikan oleh Algoritma, Machine Learning (ML), Natural Language Processing (NLP) atau sebagainya.
Lebih penting lagi, INVENTX Creative turut mengangkat konsep Non-Traditional Research Outputs (NTROs) sebagai asas kepada pameran ini. Dalam landskap akademik global, pendekatan tersebut semakin mendapat pengiktirafan kerana melihat amalan kreatif sebagai bentuk penyelidikan yang dapat menghasilkan pengetahuan baharu.

Sebuah karya seni visual tidak lagi dianggap sekadar objek estetik atau pengolahan konseptual, tetapi menjadi sebahagian daripada proses penyelidikan yang boleh diterjemahkan kepada penerbitan jurnal, pembentangan persidangan, inovasi pendidikan, kerjasama industri dan pembangunan masyarakat.
Pendekatan ini memperlihatkan perubahan besar dalam hubungan antara universiti dan dunia seni. Jika sebelum ini penyelidikan sering dikaitkan dengan makmal sains atau teknologi, hari ini studio seni juga menjadi ruang penghasilan ilmu. Kreativiti bukan lagi sekadar ekspresi individu, tetapi metodologi penyelidikan yang menyumbang kepada pembangunan budaya dan ekonomi kreatif.
Perjalanan INVENTX sendiri membuktikan perkembangan tersebut. Bermula hanya dengan penyertaan lapan pensyarah pada tahun 2023, ia kini berkembang menjadi platform antarabangsa yang mempertemukan penyelidik, artis dan pengamal industri daripada pelbagai disiplin.
Evolusi ini mencerminkan perubahan landskap seni Malaysia yang semakin terbuka kepada dialog rentas bidang serta kerjasama global.

Dalam era ketika AI semakin canggih menghasilkan imej, video dan teks, persoalan sebenar bukan lagi sama ada mesin mampu menghasilkan karya seni. Persoalan yang lebih mendesak adalah tentang bagaimana manusia memilih untuk memberi makna serta menggunakan seluruh keunikanya fikrahnya agar dapat menolak dengan lebih jauh kemampuan teknologi tersebut supaya tidak terlihat picisan dan kaku dengan penghasilan sama yang berulang-ulang.
Melalui INVENTX Creative 2026, MMU tidak sekadar memperlihatkan kemampuan Malaysia menganjurkan pameran bertaraf antarabangsa. Lebih daripada itu, ia meletakkan negara ini sebagai salah satu ruang penting bagi perbincangan global mengenai masa depan kreativiti.
Pameran ini mengingatkan bahawa walau secanggih mana teknologi berkembang, imaginasi, pemikiran kritis dan sensitiviti manusia akan terus menjadi unsur yang membezakan pencipta dengan yang dicipta.

Mungkin inilah sumbangan paling besar INVENTX Creative kepada landskap seni kontemporari, bukan sekadar mempamerkan kemungkinan masa depan, tetapi juga mengajak kita untuk bersama-sama menentukan bagaimana bentuk masa depan tersebut dapat diterokai dengan lebih maksima di masa akan datang,
Samada kecerdasan buatan (Artificial Intelligence atau AI) ini dapat bersaing menghasilkan sebuah karya penting dalam dunia seni kontemporari dan sastera, atau berjaya mencipta ganre muzik dan filem yang tidak pernah kita fikirkan suatu hari nanti, hanya masa yang dapat menentukan, yang pasti, bila nanti kita kembali menoleh ke belakang, INVENTX Creative Exhibition 2026 anjuran Fakulti Multimedia Kreatif MMU adalah di antara pemula yang pernah meneroka ruang dan cuba membongkar rahsia pada kemungkinan-kemungkinan baharu yang masih belum diterokai ini.

Siapa artis Malasia yang join exhibition ni?