Teks oleh: Ishak Ramli
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak
“Ironinya, menjadi seorang pengkarya seni visual memerlukan dorongan dan sokongan dari setiap pihak agar luahan hati seseorang pengkarya seni itu dihargai dan lebih bermakna.”
(Catatan sketch-book Sebiji Padi oleh Samsudin Abdul Wahab)
I. Gelanggang Homo Ludens & Kepelbagaian Medium: Mitos, Komuniti, dan Kebebasan Diri
Samsudin Abdul Wahab (Buden) memandang dunia sebagai sebuah pementasan absurd. Beliau tidak pernah letih membina, memapar, dan akhirnya mempegunkan mitos, menelanjangkan sirkus politik, keangkuhan elit, dan kepura-puraan institusi.
Sebagai seorang Homo Ludens (manusia yang bermain dengan seninya), seni bagi Buden bukan sekadar barang hiasan dinding, melainkan sebuah arena perlawanan yang dirayakan secara radikal dan karnivalis (Carnivalesque).
Kecenderungan Buden mencipta dan memanipulasi mitos bukannya sebuah sikap yang baru dipelajari di bilik kuliah mahupun ruang galeri, melainkan berakar daripada kepekaan semula jadi di tanah kelahirannya.
Antara naratif awal yang menyingkap genesis keperibadian beliau, sebuah kisah yang perlu dinilai bukan sebagai kenakalan remeh, melainkan sebagai paksi penting kemenjadian seorang seniman tegar dan berwatak, ialah sebuah pementasan proto-performance art yang berlaku di kampung peribadinya.
Menurut perkongsian ‘sahabat akrab’ arwah, Buden semasa mudanya pernah menyarungkan telekung ibunya lalu berjalan perlahan di celah-celah kegelapan sawah pada waktu malam.
Keesokan harinya, dengan ketenangan dan ketajaman pemerhatian yang kemudiannya menjadi tandatangan kerjayanya, beliau duduk bersahaja di warung kampung untuk mengamati bagaimana masyarakat setempat mula mereka cerita, menambah perisa, dan menyebar-luaskan “penampakan hantu” tersebut.
Jika diteliti menerusi kanta sosiologi seni, aksi ini bukanlah sebuah gurauan tanpa arah, melainkan sebuah eksperimen sosiokultural awal mengenai bagaimana sebuah mitos dibina, dipercayai, dan mengawal persepsi awam.
Di sinilah Buden mula memahami kuasa simulasi: bahawa realiti masyarakat boleh digoncang hanya dengan menyuntik sedikit fiksyen yang dirancang dengan teliti.
Peristiwa di tengah sawah ini mendedahkan benih awal watak visual trickster dalam diri Buden, sebuah kefahaman intuitif bahawa seorang seniman sejati adalah seorang “dalang” yang berani menguji kesedaran khalayak melalui pementasan simbol, sebuah attitude mendalam yang kekal menjadi teras perlawanan estetikanya sehingga ke akhir hayat.
Buden ialah seorang multidisciplinary alchemist. Beliau enggan dikurung oleh mana-mana label medium. Mitosnya dibina merentas kepelbagaian disiplin: daripada ketajaman pahatan cetakan kayu, gurisan asid pada zinc plate,sapuan demi sapuan berus serta sponge dalam catan, kebingitan kolaj foto dan digital, arca 3D yang eksploratif, dan instalasi yang beragam, subversi edible art, hinggalah kepada kelembutan intim cat air.
Bagi Buden, medium bukanlah tujuan akhir, tetapi sekadar perkakas (tools of engagement) untuk menggoncang kesedaran awam. Oleh yang demikian, Buden secara sedar membebaskan dirinya daripada sebarang dogma atau ketaatan membuta tuli terhadap gelaran tegar seperti “painter”, “printmaker”, “sculptor”, “drawer” atau apa-apa sahaja yang seangkatan dengannya.
Beliau enggan membiarkan bakatnya dipenjarakan oleh batasan skop single discipline semata-mata dalam seni halus. Bagi Buden, pautan disiplin dan kemahiran teknik hanyalah perantara; status hakikinya adalah sebagai seorang seniman atau artis dalam makna yang paling tulen, seorang pencerita, pemikir visual, dan agen subversi yang menggunakan pelbagai medium secara bebas demi menterjemahkan gagasan pemikiran serta respons kritikalnya terhadap zaman.
Kebebasan berkarya ini dipelihara menerusi tindakan Buden memulaukan media sosial. Di era Internet of Everything yang mana manusia ghairah menayangkan diri dan terperangkap dalam ketagihan informasi tidak terkawal, Buden memilih untuk kekal unplugged.
Beliau menolak pendedahan maya yang keterlaluan bukan sekadar kerana mengelak kejar-mengejar populariti, tetapi untuk membentengi dirinya daripada dibanjiri limpahan maklumat berlebihan (information overload) yang berisiko mengawal fikiran atau menjadikan amalan seninya bahan wacana murahan.
Seperti mana yang disaksikan oleh sahabat senimannya, Haslin Ismail, Buden sebaliknya mematuhi disiplin harian dengan menonton berita televisyen setiap hari untuk mengikuti perkembangan geopolitik dan isu semasa secara berfokus. Ketiadaan media sosial menjadikan fikiran Buden jauh lebih teratur, terarah, dan tenang.
Dari sudut teori seni dan psikologi, pilihan hidup Buden mencabar tanggapan konvensional mengenai “egois seniman” (artistic narcissism) dan sikap self-centered. Keengganan Buden untuk dikawal bukanlah manifestsasi ego yang angkuh, melainkan sebuah kebebasan eksistensial (existential autonomy) gaya Albert Camus, iaitu keazaman untuk mengekalkan kejelasan minda tanpa dipengaruhi oleh “kebisingan” luaran.
Walaupun beliau amat menjaga ruang peribadinya, Buden memiliki watak yang sangat mudah didekati, responsif, dan berdisiplin tinggi. Beliau membawa nilai etos komuniti (communal ethos) yang dipelajarinya daripada amalan seni cetak, sebuah disiplin yang menuntut kerja berpasukan, ketelitian, dan ketepatan masa.
Penglibatannya yang aktif bersama komuniti Chetak 17 serta kumpulannya, Go-Block, membuktikan bahawa kebebasan peribadinya tidak pernah menjejaskan tanggungjawab kolektif. Buden mengimbangi antara sifat serigala tunggal yang berdikari dengan keupayaan berorganisasi secara professional, sebuah keharmonian antara kedaulatan diri dan kepedulian terhadap persekitaran.
II. Metamorfosis, Perampasan Mitos & Dialog Intertekstual: “Katak Hendak Jadi Lembu”
Daya bijaksana Buden terserlah dalam keupayaannya bertindak balas terhadap daya cipta seni melalui pendekatan intertekstualiti dan perampasan (Appropriation Art). Beliau tidak mencipta dalam kekosongan, sebaliknya meminjam mitos sedia ada untuk menterbalikkan fungsinya (Détournement) dan mungkin memperpanjang retorik cerita. Evolusi tri-karya ikonik “Katak Hendak Jadi Lembu” menjadi bukti paling nyata kepada genealogi metamorfosis ini.
Perjalanan ini bermula daripada karya seni cetakan kayu Juhari Said (Proverb Series) yang menggambarkan peribahasa Melayu klasik secara kiasan moral, seekor katak yang mengalami transisi menjadi lembu dengan tompokan, wajah, dan tanduk. Buden kemudiannya menggunakan watak tersebut dan meletakkannya dalam dialog intertekstual (“After Juhari”).
Katak-lembu tersebut disuntik dengan lambang bintang, sirip, dan propaganda kuasa yang menukarkan teguran moral konvensional menjadi sebuah geopolitical monster yang sinis.
Kemuncak perlawanan ini meletus apabila mitos 2D di atas kertas, dibentuk, dirapi, dan diperelokkan, kemudian “disembelih dan dipotong-potong” menjadi kenyataan fizikal menerusi arca 3D Daging Katak Lembu Segar yang memenangi Minor Award Bakat Muda Sezaman (BMS).
Menerusi potongan daging merah yang digantung di dalam peti pameran cermin, mitos kesombongan politik tidak lagi sekadar dilukis, tetapi diproses dan “dijual” sebagai bangkai mentah untuk dimamah serta dihadam visualnya oleh khalayak.
Secara psikologi dan falsafah, metamorfosis karya ini mendedahkan watak Buden sebagai Visual Trickster Archetypeyang beroperasi menerusi pemberontakan eksistensial gaya Albert Camus. Beliau tidak pernah melarikan diri daripada realiti; sebaliknya, beliau menyerap kebobrokan geopolitik dan moraliti masyarakat lalu mementaskannya semula.
Tindakan mendagingkan mitos 2D menjadi bangkai fizikal 3D membuktikan ketegasan seorang seniman yang enggan membiarkan kiasan kekal abstrak, beliau memaksa khalayak berdepan secara bersemuka dengan hakikat bahawa kesombongan politik dan ketamakan kuasa akhirnya hanyalah daging busuk yang tidak berjiwa.
Keberanian Buden di sini mencerminkan konsep The Courage to Create oleh Rollo May, satu keberanian tertinggi untuk mendedahkan bentuk pemikiran baharu yang mencabar norma menerusi parricide (pembunuhan simbolik) ke atas wacana seniornya.
Beliau menakluk rasa kerdil di hadapan karya-karya ikonik pendahulunya menerusi Anxiety of Influence (Harold Bloom), meminjam (boleh juga dieertikan sebagai merampas) simbol tersebut, dan mengisytiharkan dominasi wacananya sendiri.
Dari sudut pengurusan wacana dan amalan seni, Buden menerapkan guerrilla cultural management yang amat strategik. Beliau tidak membazir tenaga merancang simbol baharu dari titik sifar, sebaliknya mengolah mitologi sedia ada sebagai modal asas dan menggodam naratif tersebut untuk menghasilkan impak pemikiran yang maksimum.
Kecekapan pengurusan subversif Buden paling terserlah apabila beliau berjaya menyusup masuk institusi rasmi seni: beliau menguruskan isu geopolitik dan kritikan institusi yang sensitif dengan membungkusnya di dalam format pertandingan rasmi, membawa bangkai daging berkiasan radikal ini terus ke dalam galeri, memenangi anugerah, dan secara halus memaksa institusi seni memberikan kemenangan serta mengiktiraf kritikan tajam ke atas ruang lingkup itu sendiri.
III. Subversi Institusi & Pementasan Memori: Dari Sensor ke Rambu-Rambu Memori
Subversi Buden menjangkau benteng institusi seni tempatan melalui keberaniannya mencabar norma dan menerobos ruang pameran. Watak Buden, seorang seniman yang sentiasa santai, tidak suka dikawal, tetapi tersangat responsif terhadap dinamika persekitarannya, terpancar jelas apabila beliau mengangkat kehangatan serta kontroversi KL Biennale sebagai wacana pertandingannya di Bakat Muda Sezaman (BMS).
Apabila pihak institusi bertindak menurunkan dan memadam karya tersebut dari dinding pameran, tindakan sensor itu secara tidak sengaja melahirkan satu kenyataan aesthetic of absence. Ruang kosong yang ditinggalkan pada dinding galeri secara ironisnya bertukar menjadi karya paling ‘lantang’ di dalam ruang pameran.
Khalayak yang hadir terpinga-pinga, tercari-cari di mana beradanya karya beliau, hanya untuk menyedari bahawa ketiadaan fizikal karya itu sendiri merupakan sebuah Institutional Critique terhadap isu yang diangkat.
Di tengah-tengah kebingungan khalayak dan ketegangan ruang pameran, Buden tidak membalas dengan amarah mahupun penentangan yang kasar. Beliau memamerkan ketenangan yang luar biasa, satu manifestasi stoikisme subversif dan socratic irony, dengan mengendalikan situasi melalui aksi homo ludens yang santai dan tersenyum.
Sambil menyemat pin berpalang huruf “KLB” di dadanya, Buden merampas persekitaran galeri secara bersahaja dengan mengedarkan Kuih Loyang Buden (KLB) kepada audiens pada hari penyampaian anugerah. Beliau menukarkan ketegangan situasi menjadi sebuah pementasan pesta rakyat yang spontan.
Menerusi falsafah perlawanan pasif ini, Buden membuktikan bahawa ketiadaan karya fizikal mampu mencipta wacana yang jauh lebih monumental, dan bahawasanya sindiran paling tajam sering kali lahir daripada ketenangan seorang seniman yang peka tetapi enggan dikongkong.
Puncak kematangan amalan ruang dan bahan Buden tiba apabila beliau kembali hadir tanpa rasa gentar, lantas dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Utama Bakat Muda Sezaman (BMS 2019) menerusi instalasi site-specific monumental, Rambu-Rambu Memori.
Di atas dinding galeri yang dahulunya pernah menyaksikan pencerobohan dan pemadaman karyanya, Buden bertindak balas dengan penuh wibawa, tenang, dan bersahaja. Beliau membawa masuk elemen tanah dan lumpur hutan bakau, mencetuskan metafora ritual ‘menyamak’ atau menyucikan semula ruang institusi tersebut daripada kotoran sensor dan ketidak-adilan kepada karya KLB-nya dahulu.
Simbol pangkah ‘X’ besar yang dilukis dengan tanah di atas dinding latar kuning, mahupun yang tertera pada bendera-bendera kain guni (rambu-rambu) yang terpancang condong, bukan sekadar kiasan jenaka yang sinonim dengan filem klasik P. Ramlee (Ali Baba Bujang Lapok). Lebih daripada itu, ‘X’ ini telah diangkat menjadi sebuah penanda mitos, iaitu avatar, tandatangan subversif, dan penjelmaan identiti Buden itu sendiri di dalam ruang galeri.
Melalui karya berimpak tinggi ini, Buden tidak sekadar merebut pengiktirafan tertinggi Balai Seni Negara, tetapi berjaya menterjemahkan ingatan peribadi dan sindiran tempatannya menjadi sebuah pementasan autoriti seni yang tidak lagi boleh dipadamkan.
IV. Penyaringan Rohani & Memento Mori: Dari Perlawanan Luaran ke Luahan Tulus Diri

Gelanggang perlawanan Buden akhirnya bertukar paksi. Apabila takdir membawanya ke ruang sunyi untuk beliau berubat, arah pembedahan estetikanya berpaling secara radikal ke dalam (Internal Investigation).
Namun, jika diteliti salasilah pemikirannya, fasa krisis kewujudan ini bukanlah sebuah kejutan saat akhir, melainkan satu takdir yang telah pun diprojeksi dan difahami oleh intuisi seninya jauh lebih awal.
Dimensi kesedaran ini diperkukuhkan lagi menerusi penemuan sebuah artifak memori yang amat menyentuh hati pasca-pemergian almarhum. Menurut rakan karibnya, Azam Aris, sewaktu mereka membantu mengemas studio Buden, tersingkap sebuah buku lakaran (sketchbook) awal daripada era pembentukan mereka di Studio Sebiji Padi and The Gang.
Seawal tahun 2007/2008, di awal permulaan perjalanannya sebagai seniman muda, Buden pernah menghasilkan sebuah lakaran pen yang sarat dengan firasat visual bertajuk “Self-portrait in Haven or Hell”.
Di atas kertas lukisan tersebut, beliau merangka sebuah potret diri surrealis menterjemahkan projeksi intuisi jauh ke hadapan: sosok katil hospital beroda, tiang suntikan perubatan, organ deria yang terapung, serta sebilat payung yang menaungi perkakas hospital tersebut.
Lakaran ini mendedahkan sisi Buden sebagai seorang pemikir (thinker) yang berpandangan jauh. Beliau seolah-olah telah “melihat” dan bersiap sedia menghadapi takdir jasadnya sendiri bertahun-tahun sebelum ia menjadi kenyataan di Institut Kanser Negara (IKN).
Tajuk “Haven or Hell” itu sendiri menjadi saksi kepada pertanyaan eksistensial Buden, bahawa katil perubatan pada akhirnya boleh menjadi dewan penyiksaan jasad (hell) atau madrasah penyucian jiwa (haven).
Sifat asal Buden yang tenang, enggan dikongkong, namun tersangat peka dan responsif terhadap persekitaran, kini diarahkan sepenuhnya kepada tubuh dan jiwanya sendiri. Jika dahulu beliau sangat responsif terhadap ketidakadilan politik, krisis institusi, objek persekitaran, kerinduan, kini beliau bertindak balas terhadap krisis kewujudan (existential crisis) yang paling intim: peperangan di dalam jasadnya sendiri.
Peralihan ini menjawab sebuah persoalan mendalam mengenai amalan seni kontemporari. Sering kali, tuduhan yang menyakitkan apabila karya berteraskan isu kemiskinan dituduh “menunggang” penderitaan orang miskin, karya politik dianggap memperalatkan keaiban pihak lain, dan karya peperangan dibayangkan mengeksploitasi kesengsaraan sejagat (artistic exploitation).
Menyedari perangkap ini, Buden menyempurnakan kitaran amalan seninya daripada sebarang eksploitasi wacana luar. Beliau mengalihkan kesakitan fizikal, penderitaan kanser usus, dan kerapuhan jasadnya menjadi sebuah ekspresi seni yang paling peribadi, jujur, dan tulus dari lubuk jiwa.
Beliau tidak lagi bercakap bagi pihak orang lain; beliau mendedahkan keretakan dirinya sendiri yang telah diprojeksi sejak lakaran 2007/2008 itu lagi.
Anjakan sikap (attitude shift) Buden ini mencerminkan falsafah ketelusan radikal (radical vulnerability) dan amalan art therapy/catharsis, di mana seni bertindak sebagai wadah menyalurkan (sublimation) kesakitan fizikal kepada manifestasi estetika rohani.
Pendekatan ini selari dengan amalan seniman terkemuka dunia seperti Frida Kahlo, yang memindahkan penderitaan fizikal seumur hidupnya ke atas kanvas sebagai pengesahan kewujudan—serta Felix Gonzalez-Torres, yang menukarkan kepedihan penyakit dan kehilangan menjadi instalasi yang puitis, sunyi, dan sarat dengan konsep memento mori (peringatan kepada kematian).
Kebisingan politik, pangkat, perpecahan dan mitos duniawi akhirnya disaring keluar sepenuhnya. Berdepan dengan takdir, Buden mempamerkan stoikisme tingkat tertinggi: beliau tidak meratap mahupun membiarkan kesakitan mengawalnya, sebaliknya berdamai dengan ketentuan tersebut secara tersenyum dan tenang.
Di sinilah Buden mempegunkan maut, menukarkan katil hospital daripada “Hell” menjadi “Haven”, sebuah kepasrahan mutlak (surrender) dan ketenangan rohani yang mendalam. Seni Buden tidak lagi menjadi alat provokasi, melainkan sebuah doa, refleksi keinsafan, dan saksi kepada kejujuran seorang hamba di hadapan penciptanya.
V. Jiwa yang Bergema: Ketiadaan yang Memenuhi Ruang
Melangkah masuk ke ruang pameran The Snare Still Ringing di Galeri Puteh, khalayak tidak disambut oleh fizikaliti lukisan, catan, cetakan mahupun arca asal daripada sentuhan tangan Buden (jika ada adalah perkongsian rakan artis untuk ingatan).
Namun, ketiadaan mutlak (absolute absence) karya beliau di dinding galeri bukanlah sebuah lompang kuratorial, sebaliknya merupakan sebuah transfigurasi estetika yang paling radikal.
Ketiadaan ini bertindak sebagai kenyataan metafizik: ia mementaskan kemuncak aesthetic of absence, di mana objek fizikal akhirnya berundur untuk memberi laluan kepada kebenaran mutlak (ultimate truth), sebuah hakikat bahawa gagasan, jiwa, dan etos seorang seniman sejati tidak pernah terikat pada kebendaan material.
Sepanjang hayatnya, Buden beroperasi sebagai seorang visual trickster dan homo ludens yang mahir membina, merampas, dan membongkar mitos duniawi.
Perjalanannya mencipta mitos bermula daripada kenakalan jujur di kampung, memakai telekung di tengah sawah untuk mereka-cipta “mitos hantu” tempatan, sehinggalah kepada perampasan mitos intertekstual Katak Hendak Jadi Lembu, provokasi Kuih Loyang Buden, dan pembinaan penanda mitos pangkah ‘X’ dalam Rambu-Rambu Memori (penulis hanya membawakan beberapa karya dominan Buden).
Namun, di dalam ruang pameran tribute ini, sebuah proses alkimia berbalik telah berlaku: mitos-mitos yang pernah dicipta oleh Buden kini diserap sepenuhnya oleh para peserta pameran, lalu menjelma menjadi sebuah Mitologi Buden yang amat dirindui.
Penyerapan ini terpancar menerusi respons karya rakan seniman, dan pengagumnya yang menyambung denyut ketukan snare drum dan julangan panji perlawanan beliau. Mereka tidak sekadar melukis ingatan, tetapi memindahkan attitude dan profil psikologi serta mitos-mitos Buden yang sangat unik ke dalam kanvas masing-masing.
Dari ufuk falsafah, pameran ini merungkai kitaran lengkap evolusi rohani Samsudin Abdul Wahab. Beliau bermula sebagai pemberontak yang menelanjangkan sirkus kuasa dan keangkuhan institusi, namun mengakhirinya di ruang sunyi Institut Kanser Negara (IKN) menerusi falsafah Memento Mori dan Ketelusan Radikal (Radical Vulnerability).
Apabila jasadnya diuji kesakitan, Buden tidak meratap; beliau mengalihkan seluruh perlawanan luaran itu ke dalam diri (Internal Investigation). Beliau menanggalkan segala perisai provokasi duniawi, meninggalkan mitos-mitos yang pernah dibinanya, dan memilih kepasrahan mutlak (total surrender) dengan senyuman dan ketenangan di hadapan penciptanya.
Oleh itu, The Snare Still Ringing membuktikan bahawa pemberontakan seni yang paling agung bukanlah pada keupayaan menundukkan musuh luaran, tetapi pada keupayaan untuk melepaskan dunia dengan penuh kepasrahan rohani.
‘The Snare’ Buden masih bergema bukan lagi untuk menangkap keangkuhan penguasa, tetapi untuk memetik tali-tali ingatan, keberanian, dan kerinduan yang ditinggalkan di dalam jiwa setiap insan yang pernah disentuh oleh karyanya.
“Mitos duniawi boleh diruntuhkan, jasad pasti akan fana, dan berus, alat cetakan kayu, serta apa sahaja alat yang digunakan pada akhirnya perlu diletakkan.
Namun,jiwa seorang seniman sejati tidak akan pernah bisu. Ia telah meresap menjadi sebuah mitologi hidup, bernafas kekal di dalam keberanian mereka yang ditinggalkan.
‘The Snare Drum’ itu masih memetik rentaknya, dan permainan sang seniman ini… baharu sahaja bermula.”
Semoga Allah merahmati arwah dan seluruh ahli keluarganya. Didoakan semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan memasukkan arwah kedalam syurga firdaus-Nya.

The Snare Still Ringging’ (A Tribute to Buden) disambung sehingg 19 September 2026. Silakan hadir dan alami sendiri pengalaman ini di GALERI PUTEH L3-01, Level 3, INC KL Eco City, 3, Jalan Bangsar, 59200 Kuala Lumpur (Stesen LRT – Abdullah Hukum) T: 03-2201 1922
