‘Mitos adalah bahasa’…
DALAM pembicaraan tanda dan makna, yang disebutkan sebagai pengkajian ilmu semiotik, sosok-sosok seperti Ferdinand de Saussure, Charles Sanders Peirce, Roland Barthes dan Umberto Eco, bukanlah nama yang asing. Manusia merupakan ‘haiwan rasional’ yang berupaya membaca serta menterjemahkan simbol-simbol, berawal daripada segenap pengalaman dan pengetahuan yang mereka punyai. Seri kehidupan ini begitu sarat dengan ‘jaring-jaring’ makna, yang secara hakikatnya memerlukan pengamatan, pengertian dan seterusnya diberi pentafsiran. Saling hubungan di antara pemberi tanda (signifier) dan konsep yang memaknainya (signified), justeru mendatangkan maksud serta makna-makna tertentu.
Buah fikiran Roland Barthes (1915-1980) sedikit menarik, kerana beliau mengutarakan persoalan semiologi dan mitos, sewaktu kita mencerap serta memahamkankan tanda-tanda. Hakikatnya, di dalam dimensi dunia yang Barthes sebutkan sebagai ‘mass-culture’ (budaya massa), elemen serta ‘renjatan’ mitologi tidak dapat dielakkan. Beliau menghujahkan bahawa semiologi merupakan suatu tujuan untuk pelbagai sistem tanda seperti kata-kata, bahasa, gambar-gambar, gerak tubuh, alunan muzik serta kerencaman objek itu diinterpretasi, lalu selanjutnya ‘menyerap’ ke dalam sebuah kesatuan yang dinamakan ‘Tatanan yang Bermanfaat’ (the system of significance).
Artikel ini akan berbicara secara sederhana mengenai sebuah karya tulisan Roland Barthes, yang berjudul Mythologies. Karangan-karangan dalam buku ‘Mythologies’, telah diusahakan oleh Barthes selama 2 tahun, yakni dari tahun 1954 hingga 1956. Ia yang merangkumi kepelbagaian isu dan peristiwa dalam kehidupan seharian masyarakat di Perancis. ‘Mitos-mitos’ yang beserakan secara heterogen (pelbagai ragam), diamati beliau daripada pelbagai perspektif meliputi artikel-artikel di akhbar, gambar foto di majalah, cereka-cereka filem, pertunjukan pentas dan segala macam aktiviti masyarakat. Perkara-perkara ini, lalunya menjadi subjek serta perenungan Barthes untuk ‘mendaratkan’ pemaknaan-pemaknaan yang ditanggapi sebagai suatu mitos.
Secara ringkas, Barthes memuatkan citraan hidup manusia melalui karangan-karangan pendek bagi menisbahkan ertian mitologi seperti urutan judul-judul ini; ‘The World of Wrestling, The Romans in Films, The Writer on Holiday, The ‘Blue Blood’ Cruise, Blind and Dumb Criticism, Soap-powders and Detergents, The Poor and The Proletariat, Operation Margarine, Dominici, or the Triumph of Literature, The Iconography of the Abbé Pierre, Novels and Children, Toys, The Face of Garbo, Wine and Milk, Steak and Chips, The Nautilus and the Drunken Boat, The Brain of Einstein, The Jet-man, The Blue Guide, Ornamental Cookery, Neither-Nor Criticism, Striptease, The New Citroën, Photography and Electoral Appeal, The Lost Continent, Plastic, The Great Family of Man dan The Lady of the Camellias’.
‘Mitos’ dalam tilikan ilmu semiotik, bukanlah secara harfiah diertikan sebagai suatu pengkisahan atau cerita-cerita dongeng sebagaimana yang difahami secara umum. Sebaliknya, ia merupakan sebuah refleksi-refleksi yang progresif, dalam upaya manusia untuk menjejak dan seterusnya memahamkan satu-satu makna (Barthes menyebutnya sebagai ‘signifikasi’). Misalnya, dalam bab ‘The World of Wrestling’ (muka surat 15-26), Barthes mencuba untuk memberikan makna melalui tafsiran ‘mitologi’, berkenaan acara yang sangat digemari ramai ini. Pertandingan gusti, sekiranya dilihat daripada perspektif (spectacles) mitos, menyiratkan tentang perlumbaan kebaikan mengatasi kejahatan, yang dimainkan oleh watak-watak yang telah direncana (ahli gusti). Barthes mempercontohkan acara gusti di Amerika Syarikat, yang mengisyaratkan ‘mitos’ di antara yang baik dan jahat (good and evil), sebagai sebuah satira politik, yang mana penggusti jahat, seringkali dinisbahkan sebagai ‘merah’ (baca; Komunis), seiring dengan kekecamukan perang dingin yang masih menggelora pada ketika itu. Malah, karekteristik penggusti yang antagonis ini, diperlengkapkan pula dengan nama-nama yang jelik dan berkumis ala-ala Josef Stalin (diktator Kesatuan Soviet era Perang Dunia Kedua).
Satu lagi analisis semiotik Barthes yang masyhur, adalah terhadap pada imej pengakap remaja berkulit hitam, yang menghiasi halaman utama Majalah ‘Paris Match’ (keluaran 326, tahun 1955). Imej remaja yang sedang memberikan isyarat tabik hormat kepada bendera Perancis membawa konotasi tidak realistik (mitos). Ia sebenarnya adalah mesej visual yang bersifat propaganda (secara halusnya visual ini cuba membawakan naratif bahawa kolonisasi Perancis di Afrika disokong oleh semua pihak tanpa mengira warna kulit dan bangsa).

Penulis dan pemikir prolifik Amerika kelahiran Palestin, Prof. Edward W. Said ada menuliskan komentar bagi mengalu-alukan buku ini;
“Mythologies illustrates the beautiful generosity of Barthes’s progressive interest in the meaning (his word is ‘signification’) of practically everything around him, not only the books and painting of high art, but also the slogans, trivia, toys, food and popular rituals (cruises, striptease, eating, wrestling matches) of contemporary life. For Barthes, words and objects have in common the organized capacity to say something: at the same time, since they are signs, words and objects have the bad faith always to appear natural to their consumer, as if what they say is eternal, true, necessary, instead of arbitrary, made, contingent. Mythologies finds Barthes revealing the fashioned systems of ideas that make it possible, for example, for ‘Einstein’s brain’ to stand for, be the myth of, ‘a genius so lacking in magic that one speaks about his thought as of a functional labour analogous to the mechanical making of sausages. ‘Each of the little essays in this book wrenches a definition out of a common but constructed object, making the object speak its hidden, but ever-so-present, reservoir of manufactured sense”.
(Terjemahan :”Mythologies memaparkan kemurahan hati daripada minat progresif Barthes terhadap makna (beliau menyebutnya dengan kata ‘signifikasi’) dalam semua perkara di sekitarnya, bukan sekadar buku-buku dan karya-karya seni yang berprestij, tetapi juga slogan, trivia, alat mainan, makanan dan ritual-ritual popular (kapal-kapal pesiar, tarian-tarian nan mengghairah, hal ehwal makanan, acara pertandingan) dalam kehidupan kontemporer. Bagi Barthes, kata-kata serta objek memiliki persamaan yang sudah direncanakan untuk mengatakan sesuatu; pada saat yang sama, kerana ia adalah tanda, perkataan dan objek seringkali disalah erti untuk terlihat secara alami kepada pengguna mereka, seolah-olah apa yang mereka katakan adalah kekal, benar serta perlu, bukannya dibuat-buat secara wewenang. ‘Mythologies’ menemukan Barthes dalam mengungkapkan sistem idea-idea kuno yang memungkinkan, misalnya, dalam karangan beliau tentang ‘Einstein’s brain’, sebagai sebuah pemaknaan mitos buat seorang genius besar. Esei-esei yang dimuatkan dalam buku ini, bukan hanya merenggut definisi daripada objek-objek yang menjadi kebiasaan manusia, tetapi lebih daripada itu, ia diolah, supaya ‘objek-objek’ yang tersembunyi itu hadir serta berkata-kata”.)
Menoktahkan maksud, sama ada kita sedari ataupun tidak, dalam seputar hidup manusia, kita seringkali berinteraksi, berekspresi, bertindak dan bersentuhan dengan segala ‘tanda-tanda’ makna, baik itu kebenaran hakiki, mitos, komedi bahkan tragedi.
Rujukan
Roland Barthes (1972). Mythologies (terjemahan ke dalam Bahasa Inggeris oleh Annette Lavers). New York: Hill and Wang.

