Nur Hanim Khairuddin, Fadzil Idris dan Zulkifli Dahlan antara nama-nama yang pernah dinobat sebagai pemenang Bakat Muda Sezaman (BMS) anjuran Balai Seni Negara. Sejarahnya panjang, meregang selama 51 tahun dan 29 edisi dan ia masih terampil sebagai antara pertandingan seni kontemporari paling berprestij dalam negara.
Seperti segala hal dalam dunia, untuk kekal relevan, ia perlu beradaptasi. BMS juga begitu. Format, tema, kategori dan penganjurannya berubah sejak beberapa dekad lalu. Terbaharu, selepas bencana korona, BMS memutuskan untuk melaksanakan konsep Lokasi Spesifik (Site Specific).
Agak ironi sebenarnya, sebab ketika manusia belajar berhubung secara maya dengan intensif, BMS memilih konsep fizikal. Lokasi Spesifik bermaksud peserta perlu memilih lokasi tertentu untuk mempamer karya mereka, berbeza dengan konsep BMS terdahulu yang lebih berorientasikan galeri.

Untuk edisi ke-29, BMS memilih Pulau Langkawi sebagai lokasinya dan buat pertama kali juga, sebuah bengkel 10 hari yang dinamakan Gali Tubi dilaksanakan. Dalam bengkel tersebut, para peserta didedahkan dengan lokasi-lokasi yang dicadangkan untuk pameran BMS 29 untuk mengenali sejarah, naratif serta persekitaran lokasi tersebut.
Seramai 30 finalis terpilih untuk menyertai bengkel tersebut yang semuanya dalam proses menyiapkan kertas cadangan untuk karya akhir mereka. Bermula 15 hingga 25 November 2025, kesemua mereka menjelajah, meneroka dan mengenali lokasi masing-masing.
Saya dan beberapa rakan media lain hadir ke Pulau Langkawi pada 20 hingga 23 November untuk meninjau aktiviti para peserta.
Manusia sebelum seni
Kami para media meluangkan masa dengan peserta dan fasilitator paling lama pada Jumaat, 24 November, hari ketujuh bengkel yang tema sepanjang harinya ialah Merenung/Inkubasi. Sejak pagi, peserta dibawa menikmati aktiviti lazim para pelancong di Pulau Langkawi, iaitu menjelajah kawasan paya bakau dan island hopping.
Situasinya sangat santai. Ini hari untuk peserta berekreasi dan berehat selepas seminggu yang sarat dengan lawatan, taklimat dan perkongsian. Hari itu, walau masih perlu merenung dan memikirkan kertas cadangan, mereka tak jadi peserta BMS. Mereka jadi manusia.
“Orang seni kena jadi manusia dulu,” kata seorang penulis skrip kepada saya ketika kami menyusur lebuh raya dari Ipoh ke Kuala Lumpur, suatu masa dulu. Pesanan itu saya ingat sebab ia penting. Karya, karya juga tapi hidup normal sebagai manusia juga perlu diutamakan.

Itu yang saya lihat pada peserta BMS sepanjang aktiviti hari itu. Mereka menadah muka menikmati bayu laut di atas bot, bermesra dengan ikan pari, berusaha melantun batu pada permukaan laut di Pulau Beras Basah.
Saya ajukan pemerhatian itu pada salah seorang fasilitator, Zikri Rahman dan kongsinya, waktu rehat dan ‘menjadi manusia’ itu memang dirancang awal.
“Kita tahu memang intens, lima hari pergi lokasi. Kita berjarak sedikit. Hari ini masuk kampung (buat kerja kesukarelawanan) pun bukan saja-saja untuk bekerja dengan komuniti, ia (tentang) lingkungan.
“Maksudnya, mereka boleh memilih untuk jadi artis yang duduk diam dalam studio, mereka juga boleh pilih untuk jadi artis yang ‘manusia’,” katanya.
Kongsi Zikri lagi, ia juga mungkin pengaruh dari ketua fasilitator, Wong Hoy Cheong yang datang dari lingkungan seniman-aktivis melalui penglibatannya dalam Artis Pro Activ (APA) suatu masa dulu.
Ini bermakna, BMS bukan sekadar mahu melahirkan seniman yang bergelumang dengan karya dan dunia seni semata-mata, malah turut bersama bergelut dengan cabaran-cabaran kemasyarakatan.
Peluang berlokasi
Salah seorang peserta, Emir Nazren Mohamad Faisal melihat konsep Lokasi Spesifik sebagai peluang untuknya meletakkan karyanya di ruang awam dan mempengaruhi masyarakat di sekitarnya.
Lokasi pilihannya merupakan Taman CHOGM di Kuah yang menyimpan sejarah Mesyuarat Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang berlangsung pada Oktober 1989. Mesyuarat tersebut melahirkan Deklarasi Langkawi yang menyatakan komitmen negara-negara anggota terhadap pembangunan yang tidak mengetepikan kepentingan alam sekitar.
Hasrat Emir, karya yang akan diletakkan di taman itu akan mengembalikan ingatan masyarakat terhadap komitmen tersebut.
“Idea saya adalah untuk merampas semula identiti yang sudah hilang di Taman CHOGM ini.
“Kawasan di sekitar Taman CHOGM ini juga merupakan hasil penambakan. Bila dah banyak penambakan, ia seolah-olah mahu hilangkan sejarah tempat tersebut. Malah, maklumat tentang taman ini di internet juga tak tepat,” katanya.

Emir yang mengusahakan perniagaan landskap dan nurseri merupakan alumni program Young Art Entrepreneur (YAE) anjuran Balai Seni Negara dan sudah beberapa tahun menghasilkan karya seni botani.
Dia tertarik dengan konsep Lokasi Spesifik kerana menawarkan peluang berkarya di lokasi tertentu, memandangkan pertandingan lain lebih cenderung menggalakkan penghasilan karya semata-mata.
“Kerja seni lokasi ini lebih berat, berasaskan penyelidikan dan kita kena gali (maklumat) tentang lokasi itu dengan mendalam. Saya suka kerja yang macam ini,” kongsinya.
Tarik diri, redakan yang tegang
Pada Sabtu, 22 November, para peserta dipecahkan kepada tiga kumpulan ke lokasi berbeza untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan. Media dibawa meninjau dua, iaitu pembersihan kawasan kediaman Geng Bersih Kampung (GBK) di Kampung Padang Putih dan pembuatan baja kompos di Kebun Lisdtari.
GBK merupakan kumpulan sukarelawan dari Projek Kanshalife yang menjalankan aktiviti kesukarelawanan seperti pembersihan kawasan kampung, mengajar amalan pertanian lestari dan menganjurkan bengkel berasaskan kelestarian. Kebun Lisdtari pula merupakan kebun permakultur yang diusahakan Khalid Wong.

Aktiviti tersebut, yang masih di bawah tema Merenung/Inkubasi, bertujuan mendekatkan peserta dengan anggota masyarakat, selain, sekali lagi, menjarakkan diri mereka dari ketegangan program dan tugasan menyiapkan kertas kerja.
Seperti yang dikongsi Emir, dua hari inkubasi tersebut membantu peserta meredakan ketegangan dan memberi perspektif baharu terhadap karya mereka sendiri.
“Kalau asyik perah (idea) saja, jadi susah, boleh tersekat. Kita perlu tarik diri sedikit dan dua hari ini membantu.
“Macam tadi (Sabtu), saya belajar buat baja kompos, ada lapisan-lapisannya. Itu boleh dikaitkan dengan karya saya sebab lapisan-lapisan itu membentuk sesuatu yang baharu. Boleh jumpa hubung kaitnya,” katanya.
Bagi Emir, keseluruhan bengkel tersebut memberikannya pengalaman yang menarik, terutamanya untuk mengenali Pulau Langkawi dengan lebih mendalam.
Pengalamannya meneroka Langkawi, dengan kisah-kisah misteri dan mistiknya, buat dia lebih mengenali lokasi tersebut, seterusnya memberi perspektif baharu terhadap karya yang akan dihasilkan kelak.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik, filem dan sastera negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
