“Video clip bosan dan tah pape. Nasib baik lagu okay,” komen seseorang di Youtube, merujuk video muzik lagu Satu Bunga dendangan Teman Lelaki dan Aziem Rashidi.
Saya fikir, rajin juga orang yang masih mahu meninggalkan komen pada produk yang dia tak suka. Seakan itu satu tanggungjawab untuk memberitahu orang pandangannya. Hal sama saya perhati di ruangan ulasan aplikasi beli-belah dan penghantaran makanan. Mungkin ini satu fenomena generational – kita bukan hanya perlu membeli dan menikmati, malah menulis pandangan untuk ditatap orang. Tak wajib tapi ada orang anggap itu tanggungjawab.
Untuk itu, saya berterima kasih kepada penulis komen tersebut. Dalam kebanjiran komen puji-memuji, ada juga terselit satu pandangan jujur, walaupun ringkas. Karya, apabila dilepaskan kepada awam, berhak dipuji atau dikritik.
Satu komen tak mampu beri gambaran jelas sesuatu karya tapi sekurang-kurangnya, kita tahu, karya itu telah dinikmati.
Satu Bunga ialah lagu pop melankoli hasil kerjasama Aziem Rashidi dengan Teman Lelaki. Video muziknya diarahkan Han Zalini, dengan penampilan Namron dan Shazleen Shahbi sebagai watak utama.
Sebelum bergerak kepada ulasan video muzik tersebut, biar saya perkenalkan setiap nama yang terlibat dahulu.
Lima nama
Teman Lelaki merupakan kugiran pop asal Perak yang semakin mencipta nama, terutamanya dalam kalangan peminat muda. Kalau boleh dikategorikan muzik yang mereka bawa, pop melankoli ialah istilah yang sesuai. Gaya muzik mereka perlahan, buat orang termenung (pensive) dan sering romantik.
Aziem Rashidi ialah komposer asal Kuala Pilah yang handal. Namanya mungkin tidak gah sebab sering tersorok di belakang tabir. Lagu tular seperti Tentang Siang, Malam dan Romantis ialah ciptaannya, tapi nama orang lain yang naik sebab lagu itu.
Satu Bunga merupakan terbitan ketiga hasil kerjasama Aziem dengan Teman Lelaki (termasuk satu hanya melibatkan Eidi Arif, vokalis Teman Lelaki) selepas Tentang Siang, Malam dan Romantis serta Tulisan Nasib Kita.
Kalau awak rasa terpikat dengar Satu Bunga, cuba dengar dua lagu yang lain.

Han Zalini merupakan pelakon yang pernah tak ditulis nama dalam poster filem lakonannya, lalu buat orang marah-marah. Kini dia mahu bergerak ke peranan lain, iaitu sebagai pengarah, dan mengarah video muzik yang seakan-akan filem pendek menjadi pembuka langkahnya.
Dua video muzik seakan-akan filem pendek arahannya yang telah terbit ialah Dengar Lagu Ini oleh FUGŌ dan Jutawan oleh Mark Adam.
Namron nak diperkenalkan apa lagi? Pelakon dan pengarah handalan yang sedang struggle nak tulis konten setiap hari dalam media sosial. Majoriti manusia di Malaysia sudah kenal dia tapi untuk menunjuk knowledge langka, saya nak kata yang saya suka lakonannya dalam telefilem Bernafas Dalam Lumpur.
Shazleen Shahbi ialah ibu lima anak yang suatu masa dulu pernah menangkap mata ramai melalui lakonannya dalam filem seperti Ringgit Kasorrga dan Layar Lara. Dia tak perlu berlakon pun untuk menangkap mata orang, sosoknya yang cantik sudah mampu buat orang menoleh. Untuk menggambarkan sosoknya itu, saya pilih adjektif menawan.
Shazleen juga sudah lama tak berlakon tapi kini kembali mencari peluang melempias minat lamanya. Selain Satu Bunga, dia juga tampil sebagai watak utama dalam video muzik Jutawan.
Hangat cinta orang lama
Video muzik Satu Bunga bermula dengan bacaan puisi oleh Mosyuki Borhan, sedang Namron yang membawa watak Jalal berdiri dengan persalinan baju Melayu putih tajaan Qhiam, memandang kosong ke jalan Tun H.S. Lee yang sibuk di waktu malam.
Jalal kemudiannya masuk ke kedai buku Riwayat, disapa Mosyuki yang sudah mahu pulang, dan menegur seseorang. Seseorang itu ialah Maryam, watak lakonan Shazleen yang anggun berbaju kurung cekak musang, juga berwarna putih, bersama selendang mengurai. Mariam tersenyum selepas Jalal mengucap salam ulang tahun perkahwinan ke-27, sekali gus membuka Babak 1: Pertemuan.
Lagu Satu Bunga mula mengisi speaker dan babak-babak yang disajikan menunjukkan bahagia Jalal dan Maryam merai ulang tahun perkahwinan mereka. Mereka, dalam persalinan putih bersih itu, menonton filem, mendengar puisi, menikmati tarian dan membelek buku.
Masa dalam video muzik ini tidak linear. Ia bermula dengan Mosyuki pulang, tapi Mosyuki muncul semula selepas itu membaca puisi dan menghadiahkan satu bunga matahari kepada Jalal dan Maryam. Ia tidak logik, macam tadi saya mimpi bernyanyi lagu Mohd Jayzuan dengan orang yang saya tak kenal di luar pusat sukan dengan baju yang berpeluh, kemudian masuk semula memulakan permainan badminton dengan baju kering.

Jalal dan Maryam gembira sampai ke Babak 3 tetapi penghujungnya, Mariam hilang. Jalal berseorang.
Babak Epilog menyaksikan Jalal di meja cashier kedai buku pada siang hari, menyambut kedatangan pelanggan yang kabur. Sosoknya seperti Maryam tapi ia kabur. Tiba-tiba Maryam muncul, dalam suasana malam, dengan persalinan putih. Dan Jalal mengunci pintu kedai, dalam persalinan putih, pada waktu malam, lalu tamat.
Tolak taksa untuk yang indah
Han Zalini kata, apabila rakan saya bertanyakan pengakhiran video muzik tersebut, itu ambiguiti. Pengakhiran yang samar, atau lebih tepat—taksa, bukan asing dalam pembikinan filem. Ia memberikan ruang tafsiran yang luas untuk penonton meletakkan pengakhiran sendiri. Demokratik.
Saya dalam fasa yang tak sukakan ketaksaan dalam apa-apa karya. Saya pernah suka, dan tak tahu juga kalau nanti saya akan suka semula, cuma sekarang saya rasa maleh nak fikir banyak.
Tapi tak suka itu bukan bermakna saya bantah pilihan kreatif mana-mana pembikin. Saya alu-alukan apa saja jalan kreatif yang mahu diambil. Cuma mungkin, saya dah jumpa hal yang lebih menarik dinikmati dalam karya seni berbanding ketaksaan, iaitu keindahan.
Dalam konteks video muzik Satu Bunga, ia ada kedua-dua. Apabila dihidangkan hal-hal surreal dan taksa, saya tolak tepi semuanya. Sebab saya masih boleh nikmati keindahannya, setiap rentak babak yang disusun seiring lagu.

Keindahan video muzik Satu Bunga adalah pada idea bahawa cinta boleh mekar lama, sampai 27 tahun dan pasangan masih ada keinginan menyambut ulang tahun cinta pada usia senja.
Jalal dan Maryam tampil sebagai pasangan pertengahan umur yang berbusana indah paling kurang sehari setahun untuk menyambut ulang tahun mereka. Berlatar kota sibuk seperti Kuala Lumpur, mereka memerlahankan masa dengan menikmati seni bersama-sama.
Ketaksaan pengakhiran video muzik itu membuka banyak kemungkinan—mungkin Maryam sudah mati, atau mereka dah lama berpisah dan Jalal tak mampu melupakan kenangan. Tapi yang paling memikat ialah paparan keindahan memori yang melanggar semua batas logik—masa, ruang, hidup-mati.
Ia sesuai dengan mood yang dibawa lagu Satu Bunga, termasuk liriknya yang romantis dan puitis. Baris “bersentuhan Tuhan ‘tuk senja” tak memberi makna yang jelas, tapi permainan katanya indah untuk dinikmati.
Arah seni
Han Zalini memaparkan arah seni yang tersendiri dalam tiga karyanya setakat ini, terutamanya dalam Satu Bunga. Karyanya mungkin sukar difahami, tetapi mudah dinikmati.
Dia suka mengambil detik-detik kecil dalam hidup manusia lalu letakkan kanta supaya kita dapat meneliti detik-detik itu dengan cermat.
Hal biasa jadi mustahak. Perkara normal jadi dramatik. Dalam tiga karya itu, olahannya mungkin belum cukup masak tapi kalau Han setia dengan arah seninya itu, bila dia bersedia, karya cerekanya akan meninggalkan kesan pada orang.
Satu Bunga sudah mencapai 10,000 tontonan dalam masa kurang 10 hari. Ia satu kejayaan sesungguhnya, untuk memperkenalkan jalan seni baharu Han Zalini, kemerduan melankoli Teman Lelaki, keunggulan reka cipta Aziem Rashidi, kembalinya Shazleen Shahbi mengisi skrin dan melekap nama Namron sebagai pelakon handalan lagi versatil.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan Muzik dan lain lain hal berkaitan Kontemporari & Subbudaya. Gonzo Tanpa Fiasco, Veritas, Bual Bual Mustahak, Buku Hijau, Tatal & ANGH merupakan buku tulisan beliau.
