TERKENAL dengan karya surreal monolitik seperti Pilihan (2005), Gelora (2007), Kering (2008), The Earth Angel (2009), komentar antaranya Gajah Depan Mata Tak Nampak (2006) dan Konfrontasi (2007), karya kaligrafi kontemporari iaitu Jihad (2014), Az-Zholimin (2021) dan As-Syifa (2022), Hamir Soib, kali ini memilih kanvas kecil bersaiz 3 kali 3 inci untuk pameran solo ‘Merchandise’ yang berlangsung di PINKGUY gallery bermula 11 November 2023.
“Did you know, it was that small?” itu komen salah seorang yang hadir pada hari pembukaan Merchandise. Ia tidak menghairankan kerana nama Hamir Soib sinonim dengan kanvas bersaiz mega selain teknik perincian beliau yang teliti dan halus. Berbeza dengan 88 potret badut yang dihasilkan untuk pameran ini, beliau lebih memberi perhatian kepada konsep dan pencapaian objektif berbanding aspek kemasan.
Merchandise memperlihatkan sebuah pameran seni yang berlainan, bukan sekadar pemilihan saiz kanvas, malah penerapan idea ‘menjual barang’ dan faktor kesesuaian lokasi di salah satu pusat tumpuan utama orang ramai iaitu Bangsar, Kuala Lumpur.

Walaupun ketiadaan kaligrafi dalam karya kali ini, 88 potret badut yang memperlihatkan kepelbagaian karakter, diinspirasikan daripada ayat 64, surat Al-‘Ankabut, “Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah permainan dan hiburan.”
Hidung merah badut dilukis sebagai pemegang atau tombol dan apabila dipaparkan bersama kotak kayu yang dihasilkan khusus oleh artisan tempatan Po’oi, keseluruhan karya ini berfungsi ganda sebagai laci. Seakan-akan boleh ditarik keluar menggunakan hidung badut, dalaman laci yang tidak berisi menjadi metafora untuk ‘janji kosong’.
Tambah menarik, apabila disusun secara bertindan, kotak-kotak tersebut akan menghasilkan cabinet of jokers yang mana menurut Hamir, adalah gambaran sebenar senario politik negara ini.
Hamir Soib adalah salah seorang artis tempatan yang menyuarakan rasa dan pendapat secara terbuka, lantang dan jelas, melalui lukisan. Bukan bertujuan semata-mata menyindir, hasil kerja beliau sentiasa tertumpu kepada penyampaian kandungan yang mampu mencetuskan diskusi sosio-politik secara positif. Kebolehan yang dimiliki beliau digunakan secara kritikal bagi membolehkan visual yang terhasil berupaya ‘membuka mata’ sesiapa sahaja yang melihat.

Merchandise secara keseluruhannya adalah suatu bentuk persembahan seni yang menggabungkan elemen karya fizikal dan trend komersial semasa. Bersesuaian dengan konsep jualan di kedai, setiap tetamu dibekalkan dengan beg kanvas dan karya seni yang dibayar, terus dibawa pulang pada hari pembelian, membezakannya daripada pameran lain. Kelainan tersebut menjadikan acara pembukaan dipenuhi dengan peminat yang telah merancang dari awal untuk mendapatkan beberapa karya Hamir Soib.
Merchandise telah dilancarkan oleh sahabat beliau, Dato’ Sri Bernard Chandran, pereka fesyen terkemuka tanah air. Dan yang menariknya juga, tiada sebarang cenderamata diserahkan kepada perasmi, kerana menurut Hamir, “Semua orang equal (sama rata).”
Merchandise telah berlangsung sehingga 30 November dan dibawakan oleh BARANG dari Gudang (BRG) bersama PINKGUY gallery.

