“Dah mati, tak peduli,” jawab kami. Budak hitam di rumah bertanya sama ada kami mahu dirai setelah kami meninggal dunia dan itu jawapan kami. Dia mungkin menyangka yang kami ini sangat terkenal dan akan diingat orang dan dia juga sebenarnya mahu jawapan yang sama.
Dia mengatakan bahawa semua orang harus dirai semasa hidupnya. terkenal atau tidak. Budak yang hari-hari mahu tukar fesyen rambut dan beli jersi SBC itu kadang nampak terlalu cepat dewasanya.
Mungkin kesalahan kita ialah bila kita mula rasa kehilangan sejurus mereka yang kelmarin sama bergelak ketawa pergi untuk selamanya. Kuasa untuk menghargai siapa pun selama mereka masih hidup tidak kita gunakan lalu bila mereka sudah tiada, rasa berdosa itu kita tebus dengan mengadakan bermacam-macam acara.
Siapa pun kita, setelah dikebumikan, yang paling lama akan mengingati kita ialah ahli keluarga sendiri. Itu pun sekitar sebulan dua. Setelah dari itu kita hanya jadi kenangan kepada satu generasi dan terus dilupakan oleh generasi berikutnya.
Apa pun kesombongan yang ada pada kita hari ini akan jadi makanan tanah dan penduduknya sebaik saja kita mati.
Pun begitu, mengingati Pyanhabib adalah perlu.
Terbit sedikit rasa bongkak apabila Sinaganaga bercerita bagaimana dia menjadi rapat dengan arwah setelah terpaksa mencari Pyan untuk menulis prakata untuk buku pertama kami, ‘Sajak Sajak Suci’.
Kepada yang belum tahu, buku tersebut adalah himpunan puisi yang kami tulis semasa berada jauh di perantauan dan segala urusan mengenainya dilakukan melalui e-mail. Ia bukan tulisan terbaik kami dan kadang bila membacanya kembali, kami jadi malu.

Pun begitu, kumpulan puisi mengenai Min akan sentiasa menjadi kenangan yang kami hargai.
Waktu itu kami hanya mengenali Naga melalui tulisannya dan dia juga tidak mengenali kami. Kami tidak pernah bertemu. Dan mungkin kerana waktu itu Naga dan kumpulannya sedang giat menerbitkan buku dan memerlukan bahan, kami pun dilamarnya. Setelah bersetuju untuk mengumpul puisi yang kami tulis, kami mahukan Pyan sebagai penulis prakatanya.
Kami tidak tahu yang Naga juga tidak mengenali Pyan secara peribadi waktu itu namun dia berusaha juga untuk memenuhi harapan kami itu.
Menurut Naga, yang menemukan Pyan ialah si Amir Mukhriz, penulis paling tampan waktu itu dan kini katanya duduk dalam kerajaan dengan jawatan yang bergelar. Jika Amir membaca tulisan ini ingin kami mengucapkan ribuan terima kasih atas jasanya menjejak Pyan dan dengan pesanan, kacak tidak bererti kita harus melupakan kawan-kawan. “Ada projek juta-juta, kasi holor laa…”
Pyan berada di level yang lain. Dia memang perlu diraikan. Ada pihak yang meraikan dia semasa hayatnya dan diberi gelaran Penyair Kuala Lumpur dan setelah kematian, ada banyak acara yang mengingati dia.
Kami memilih Pyan sebagai penulis kata pengantar antara lain adalah kerana semasa awal menulis kami menggunakan nama Osman Tikus atau dieja sebagai OsmanTikus. Rasanya waktu ini orang sudah lupa kepada Kembara Seniman Jalanan. Filem tersebut jadi hidup kembali bila belia-belia yang belum lahir sewaktu filem tersebut dimainkan di panggung wayang seperti terjumpa sesuatu yang baru dan mereka menyukainya.
Mungkin kerana mereka bosan dengan seribu kisah gangster dan hantu entah apa-apa yang sibuk bertarung mencari penonton di panggung.
Kembara Seniman Jalanan sekurang-kurangnya adalah sebuah filem mengenai remaja walaupun hampir semua pelakonnya waktu itu sudah beransur menghampiri dunia dewasa.
Filem tersebut jika kita jujur tidaklah sebaik mana namun ia kena pada zamannya dan diambil pula oleh generasi kemudian sebagai pembakar semangat.
Gaya berpakaian M.Nasir dalam filem tersebut pada pendapat kami adalah tidak menepati piawaian seorang kutu. Pyan adalah lebih kutu dari M.Nasir dalam filem tersebut lalu kami yang sentiasa mahu dianggap sebagai seorang kutu walaupun jauh di sudut hati kami tahu yang kami sebenarnya ialah seorang mat bunga, telah memilih Pyan sebagai idola melalui filem tersebut.
Pyan kata Naga adalah pakcik yang Jack Malik tidak punya. Kepada anak muda hari ini, dia adalah seorang brader yang semua orang punya. Dan dia akan terus diingati oleh anak muda hari ini atas sifatnya yang mudah menerima siapa pun yang sudi berkawan dengannya.
“Maaf tidak mendengar”. Lama sebelum filem Kembara Seniman jalanan, kami menonton sebuah drama di televisyen lakonan Khalid Salleh. Dialog maaf tidak mendengar itu diucapkan oleh arwah Khalid dan ia begitu membekas di jiwa kami. Jika tidak silap drama televisyen tersebut berjudul ‘Suara’ dan kononnya ia adalah kisah hidup Pyanhabib.
Selepas dari itu, melalui majalah ikonik FANTASI pelukis terkenal Jalaini Abu Hassan telah menghasilkan sebuah komik yang berjudul PYAN dan ia juga menambah lagi kesukaan kami kepada apa saja Pyanhabib.
Kami tidak rasa ada penyair lain yang karakternya didramakan dan juga digarap sebagai watak sebuah komik. Kerana itu Pyan mesti sentiasa diraikan.
Semasa Galeri Puteh menjemput kami untuk turut serta dalam pameran “Sesat Di Kuala Lumpur, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu… M.Nasir” kami sudah tahu yang kami akan melukis berdasarkan lagu Balada Osman Tikus. Ia pilihan yang mudah lalu tekunlah kami mengerjakannya.
Kerana memikirkan yang dia pasti akan hadir di pameran tersebut, sengaja kami letakkan figuranya di sudut paling kanan lukisan berkenaan. Cadangannya ialah untuk menggembirakan dia.
Petang itu setelah selesai sesi menemuramah M.Nasir untuk pameran tersebut, Naga yang datang sedikit lewat memberitahu kami yang Pyan tidak sihat dan kami pun merancang untuk pergi menziarahi dia dalam masa terdekat. Kita merancang, Tuhan pun rancang dan beberapa minggu selepas itu, Pyan pergi untuk selama-lamanya.
Menurut Noor Azam Shairi yang turut hadir di Galeri Puteh petang tersebut, dia ada menghantar gambar figura itu kepada Pyan. Namun tidak diketahui sama ada dia melihatnya atau tidak.
Hujung minggu ini PENA akan mengadakan acara mengenang Pyan setelah Aloy Paradoks melakukannya pada acara KALIMAT yang berlangsung di Balai Seni Negara baru-baru ini.
“Marilah kita bersama-sama menjadi majusi dan hadir ke acara tersebut walaupun dia mengaku dia bukan api.”
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis berasal dari Pahang dan sangat berbangga dengan Kuantan.

