KETIKA menulis lirik Apokalips, adakah Allahyarham Loloq ingin memberitahu bahawa kita semua lebih gemarkan hiburan berbanding ilmu apabila beliau menulis, “1 2 3, Do Re Mi, Apa nak jadi, Alif Ba Ta, A B C”?
Atau perbandingan lurus dan ringkas itu sebenarnya adalah teguran buat diri sendiri yang riang melompat terkinja-kinja kerana tidak begitu memahami maksud tersirat lagu tersebut apabila ia didendangkan?
Mungkin sukar buat pembaca yang tidak pernah mendengar lagu Apokalips untuk memahami tahap keterujaan yang dirasai oleh 8,000 peminat M.Nasir semasa konsert Cipta di Axiata Arena pada 10 Ogos yang lalu.
Bukannya lupa diri ataupun mabuk malam libur, namun kelunakan suara dan aura pentas M.Nasir selama tiga jam setengah begitu kuat untuk tidak dihiraukan.

Bergegar satu stadium menyanyi dengan M.Nasir, “Apokalips, Apokalips, Apokalips, Apokalips…” bersama-sama mahu meraikan kegemilangan 45 tahun karier muzik artis ulung itu.
45 tahun adalah tempoh masa yang lama untuk seseorang artis bertahan serta kekal relevan dalam mana-mana bidang seni, dan sewajarnya M.Nasir dihormati kerana berjaya mengharunginya.
Bermula pada tahun 1979 dengan album solo pertama Untuk Pencipta Seni, M.Nasir kemudiannya menganggotai kumpulan Kembara yang berjaya dengan tujuh album sebelum membawa haluan sendiri pada akhir 1985.
Meneruskan perjalanan seni dengan album solo kedua S.O.L.O bersama syarikat rakaman
Bertelsmann Music Group (BMG) pada penghujung 1989. Berikutnya pada 1992, album Saudagar Mimpi diterbitkan di bawah syarikat rakaman yang sama.
Dan selebihnya, seperti petikan Inggeris yang sangat popular, the rest is history.
M.Nasir turut menubuhkan syarikatnya sendiri yang diberi nama Luncai Emas Sdn Bhd yang bertindak sebagai publishing house selain menerbitkan album beberapa artis antaranya kumpulan Spider, Pitahati, Ramayan, Iqbal M, Satwo dan beberapa lagi.
Tahun 2024 agak istimewa apabila beliau diraikan dengan pameran Sesat Di Kuala Lumpur: Lagunya Begini, Tampaknya Begitu… M.Nasir di Galeri Puteh pada awal Jun dan diikuti dengan penganjuran konsert Cipta Dato’ M.N45IR baru-baru ini atas tujuan yang sama.
M.Nasir telah menyanyikan 30 lagu antaranya Raikan Cinta, Bikin Filem, Balada Seorang Teman, Sentuhan Listrikmu, Sahabat Gua serta yang dicipta untuk Sudirman (Bercanda di Pasiran Pantai), Alleycats (Senandung Semalam), Search (Seroja), Seha (Seloka Cinta Remaja) dan Def Gab C (Cinta Sakti).

Keupayaan beliau membawakan kepelbagaian rentak seperti pop, balada, joget, cha cha, rock, folk dan irama nusantara pada malam tersebut berjaya memukau para peminat dan menutup sebarang keraguan terhadap kemampuan vokal maestro berusia 67 tahun itu.
Beliau juga kelihatan begitu gagah dan tampan mengenakan sepersalinan busana tradisional rekaan Tym Fatimah di atas pentas.
Rata-rata penonton yang hadir mengikut tema berpakaian tradisi yang mana lelaki berbaju Melayu lengkap bertengkolok dan wanita pula ayu dengan baju kurung, kebaya songket serta bersanggul lintang.
Namun, kelancaran konsert ini sedikit terganggu dengan penataan lampu yang dirasakan agak keterlaluan.
Ketika permulaan konsert, terdapat penonton menyatakan ketidakpuasan kerana cahaya lampu di belakang M.Nasir terlalu terang dan menyuluh mata sehinggakan tidak dapat melihat penyanyi pujaan mereka serta kumpulan pemuzik iringan di atas pentas.
Beberapa kali juga penonton termasuk di ruang arena tidak dapat memfokuskan penglihatan walaupun berada hampir dengan pentas dan terpaksa memandang skrin yang disediakan di sebelah kiri dan kanan.
Walaupun penganjur telah menjanjikan persembahan visual yang tidak akan pernah dilupakan, mungkin ada benarnya konsert sebuah nama besar, figura yang digilai ramai, bakat yang amat dikagumi oleh semua lapisan masyarakat ini tidak perlu disajikan secara berlebihan.
Tetapi penonton perlu memahami susah payah Icon Entertainment selaku penganjur memerah kreativiti untuk mempersembahkan sebuah konsert bertaraf tinggi dengan faktor kekaguman yang dapat melambangkan status gah seorang bergelar Sifu.
Selayaknya yang hebat juga untuk seniman yang telah menggubah lebih 3,000 buah lagu sepanjang 45 tahun karier muziknya.
Meraikan beliau yang di atas pentas, penonton sedar bahawa sentuhan dan hasil karya M.Nasir bukan semata-mata hiburan untuk kita beramai-ramai berjoget tetapi suatu hadiah berisi pengajaran dan teguran buat yang mahu mendengar.
Itu istimewanya M.Nasir.
– NURUL LATIFATULALIZA merupakan peminat muzik, buku dan lukisan yang gemar mengumpul setem.

