SEKALIPUN banyak yang berkata bahawa sejarah ditulis oleh pihak yang berkuasa, tetapi karyawan filem tetap hadir dengan suara yang memecah dominasi naratif yang rasmi. Perang Vietnam adalah contoh jelas tentang keupayaan filem mengangkat kebenaran yang dibenam dari sebuah sejarah yang besar.
Ketika pencatat rasmi sejarah Amerika berhempas pulas melindungi maruah negara yang tewas di Vietnam, filem tampil menghamparkan kebenaran yang luka. Dalamnya sarat trauma dan sisi gelap yang membawa kehancuran kepada manusia. Perang Vietnam bukan perlawanan tentang siapa menang, tetapi siapa yang berhak menghampar kebenaran.
Sekalipun Amerika dijaja sebagai penyelamat demokrasi, imej -imej yang terpapar dalam banyak filem menceritakan hal sebaliknya. Perang Vietnam daripada sudut pandangan karyawan filem adalah kebingungan, ketakutan, dan keruntuhan moral Amerika.
Trilogi Platoon (1986), Born on the Fourth of July (1989) dan Heaven and Earth (1993) karya Oliver Stone misalnya antara memberikan tafsiran yang lebih jujur dan bertanggungjawab berbanding catatan sejarah yang rasmi.

Trilogi itu adalah naratif sejarah alternatif membongkar kebenaran yang diselindungkan. Pengalaman Oliver Stone yang pernah berperang di Vietnam pada 1967 hingga 1968 menjadi bukti yang tidak mampu dipadamkan oleh retorik patriotisme Amerika.
Karya-karya dalam trilogi itu menongkah stereotaip Hollywood yang lebih condong sebagai alat propaganda. Dari The Green Berets arahan John Wayne hingga filem-filem gred C – First Blood, Missing In Action dan banyak lagi hanya menonjolkan keperwiraan tentera Amerika sebagai mitos budaya.
Penindasan sejarah
Keberadaan trilogi itu dalam sejarah sinema dunia melampaui sebagai karya senima. Tetapi yang lebih penting daripada trilogi itu adalah penentangan terhadap penindasan sejarah. Trilogi antara mercu tanda keberanian karyawan – menyingkap kebenaran yang terlindung.
Filem Platoon membawa mata dunia menyusur belantara raya Vietnam dan menyaksikan perang sebagai kekacauan moral. Born on the Fourth of July tentang naratif perang daripada sudut pandangan veteran yang dipinggir oleh negaranya.

Heaven and Earth membuka ruang kepada suara rakyat Vietnam yang lama dibenamkan. Filem itu membawa suara rakyat bangsa kecil diganyang, dirobohkan akar tradisi, dan dipaksa menanggung trauma berzaman lamanya.
Trilogi itu juga menghimpunkan sudut pandangan kelompok yang terkesan dengan perang Amerika di Vietnam. Mereka itu adalah anak-anak muda Amerika yang dipaksa menggadai nyawa, veteran perang yang dipinggirkan dan anak watan Vietnam yang berdepan trauma sepanjang hayat.
Sebenarnya memperkatakan tentang trilogi itu bukanlah menggarisnipiskan karya pengarah-pengarah besar lain yang juga memberikan sumbangan yang tidak kurang hebatnya. Francis Ford Corppola melalui Apocalypse Now (1979) misalnya mengangkat persoalan kegilaan manusia mengguna kuasa yang tanpa batas.
Apocalypse Now adaptasi longgar dari novel klasik Heart of Darkness (1889) karya Joseph Conrad juga adalah sebuah renungan intelektual yang melakarkan perang Vietnam sebagai pentas kelam yang penuh kekacauan moral.
Begitu juga dengan Michael Cimino yang menghasilkan The Deer Hunter (1978) yang mengangkat trauma dan luka sosial yang terpaksa ditanggung oleh veteran perang. Trauma yang teruk menjadikan hujung usia hanya diisi dengan sunyi, tidak berupaya menyesuaikan diri dengan kehidupan biasa.
Kesatuan naratif
Trilogi Vietnam arahan Oliver Stone tidak hanya ‘dibaca’ sebagai tiga filem berbeza. Sebaliknya perlu disusuri sebagai kesatuan naratif tentang luka perang, jiwa yang terperangkap antara peluru dan ledakan propaganda Amerika.
Dalamnya tiga wajah utama – Chris Taylor (Platoon) lakonan Charlie Sheen, Ron Kovic (Born on the Fourth of July) dihidupkan oleh Tom Cruise dan Le Ly (Heaven and Earth) oleh Hiep Thi Le. Mereka itu adalah wakil jutaan manusia yang digilas sejarah.
Chris Taylor prototaip anak muda Amerika menyertai perang dengan semangat patriotik dan idealisme. Dia meninggalkan kuliah dan memilih menjadi tentera kerana mahu menjadi sebahagian daripada naratif patriotik Amerika.

Bagaimanapun ketika idealisme itu belum sempat tumbuh – dia direntap oleh realiti perang yang busuk dengan darah, lumpur dan konflik moral. Pemikiran Chris Taylor berkembang dalam dilema. Pada satu sisi dia terpesona dengan sifat kemanusiaan Sarjan Elias, pada sisi lain dia dihantui kekejaman Sarjan Barnes.
Di situlah Oliver Stone mengungkapkan bahawa perang bukanlah soal menentang musuh di luar, tetapi pergolakan dari dalam diri. Chris Taylor lambang anak muda yang dikhianati negara – dihantar ke perang yang tidak difahami yang kemudiannya meragut kemurnian jiwa dan idealisme.
Jika Chris Taylor mewakili idealisme yang musnah di medan perang, Ron Kovic pula adalah wajah patriot yang hancur di tanah air sendiri. Ron Kovic menyertai tentera dengan jiwa yang penuh bangga. Dia yang lahir pada 4 Julai, tarikh keramat Amerika percaya dirinya ditakdirkan untuk berbakti kepada negara.

Bagaimanapun peluru meratah lumat tubuhnya. Dia lumpuh. Keadaan yang seperti itu membuatkan dia tidak pulang sebagai wira, tetapi dianggap beban kepada masyarakat dan negara. Selepas memberikan seluruh jiwa untuk Amerika, Ron Kovic berdepan penolakan sosial dan layanan hospital yang sangat buruk.
Ron Kovic adalah jurucakap generasi veteran yang dikhianati dan suara lantang yang membongkar dosa negara terhadap rakyat. Ron Kovic adalah jeritan Oliver Stone bahawa Amerika bukan sahaja membunuh rakyat Vietnam, tetapi juga meragut jiwa anak mudanya sendiri.
Suara dari Vietnam
Le Ly hadir sebagai pelengkap trilogi. Jika Chris dan Ron adalah suara dari Amerika, Le Ly adalah suara dari Vietnam yang jarang diangkat dalam sinema Hollywood. Hal itu tentulah bukan kerana dia tentera atau politikus. Le Ly hanya wanita desa yang dilahirkan di tengah perang.
Jiwa Le Ly terbentuk daripada derita yang berlapis-lapis. Dia berjuang bukan kerana ideologi, tetapi untuk hidup. Baginya perang bukan slogan, tetapi kehancuran keluarga, diri dan masa depan. Bahkan setelah berpindah ke Amerika bersama suaminya bekas tentera Amerika, trauma perang tidak pernah hilang. Le Ly tetap diikat dengan sejarah silam yang kelam.
Watak Le Ly membawa Oliver Stone keluar daripada naratif Amerika yang berpusat kepada diri sendiri. Melalui Le Ly, Oliver Stone mengingatkan bahawa perang itu bukan tentang Amerika yang kalah, tetapi tentang Vietnam yang hancur.

Oliver Stone adalah ironi dalam sejarah moden AS. Dia dihantar ke Vietnam sebagai tentera untuk mempertahankan dasar dan cita-cita politik negara. Tetapi dia pulang sebagai karyawan filem yang berpaling tadah daripada naratif rasmi mengenai perang Vietnam.
Oliver Stone melancarkan pemberontakan. Dia tidak lagi menembak musuh dengan peluru, tetapi mengoyak keangkuhan politik bangsanya dengan kebenaran yang menyakitkan. Tidak banyak pihak yang sanggup mengungkap kebenaran yang tidak memberi pulangan kebendaan, kecuali karyawan yang dalam jiwa mereka terbina tiang seri kemanusiaan.
Akhirnya, Oliver Stone tidak sahaja diingati sebagai pengarah filem perang. Dia adalah bekas tentera yang berpaling tadah — membelot daripada doktrin palsu negaranya. Dalam dunia sinema Amerika, ‘pembelotan’ itulah yang turut menyumbang Oliver Stone seorang yang jujur, setidak-tidaknya dalam menyingkap wajah sebenar Perang Vietnam.
– KU SEMAN KU HUSSAIN adalah mantan Pengarang Mingguan Malaysia yang kini menjadi wartawan bebas. Beliau telah menghasilkan dua buku, ‘Anekdot Ku Seman (2018) dan ‘Kata Ku Seman (2023). Kini sedang menyiapkan sebuah memoir yang mencatatkan insiden-insiden penting di sebalik tabir Jabatan Pengarang Utusan Melayu.
