Judul buku: Keindahan Lirik Lagu Rakyat Etnik Rungus
Penulis: Raymond Majumah
ISBN: 978-967-5485-52-7
Harga: RM35
Penerbit: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
Malaysia kaya dengan kepelbagaian budaya yang diwarisi sejak zaman berzaman, dan salah satu khazanah yang perlu dipelihara adalah tradisi lisan dalam bentuk nyanyian rakyat.
Buku Keindahan Lirik Lagu Rakyat Etnik Rungus: Sebuah Penulisan berkenaan Tradisi Lisan karya Raymond Majumah adalah satu kajian mendalam berkenaan warisan budaya etnik Rungus yang berasal dari Sabah.
Diterbitkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) sebagai sebahagian daripada Projek Penerbitan Buku PENA–Malaysia Madani, buku ini mengangkat nyanyian rakyat Rungus sebagai satu bentuk kesusasteraan lisan yang sarat dengan nilai estetika, sejarah, dan kearifan tempatan.
Dalam arus kemodenan yang pesat, banyak warisan lisan yang semakin terhakis dan dilupakan. Buku ini hadir di tangan rakyat Malaysia kerana ia bukan sekadar mendokumentasikan lirik-lirik nyanyian rakyat Rungus, malah turut menganalisis keindahan dan makna yang tersirat dalamnya.
Pembaca akan memahami bagaimana nyanyian rakyat ini berperanan dalam kehidupan masyarakat Rungus, dari aspek sosial, adat, dan spiritual. Penulis menghasilkan buku ini melalui disiplin kajian akademik yang teliti berkenaan konsep keindahan dalam nyanyian rakyat. Ia menjadikannya satu sumber rujukan penting bagi penyelidik, pelajar, dan pencinta budaya.

Keistimewaan utama buku ini terletak pada penganalisisan menyeluruh terhadap lirik nyanyian rakyat Rungus. Ia dilakukan dengan pendekatan akademik, namun tetap mudah dihayati pembaca umum.
Dalam Bab 3 “Etnik Rungus dan Nyanyian Rakyat” (hlm. 41), penulis menghuraikan dengan terperinci asal-usul dan ciri khas etnik Rungus, yang mempunyai sistem sosial dan budaya unik berbanding dengan etnik-etnik lain di Sabah.
Manakala Bab 5 “Melodi, Lirik, dan Notasi Nyanyian Rakyat Rungus” (hlm. 79) memberikan gambaran yang mendalam berkenaan melodi, lirik, dan notasi nyanyian rakyat Rungus, yang bukan sekadar hiburan, malah menjadi wadah ekspresi budaya yang kaya dan mendalam. Nyanyian ini tidak menggunakan alat muzik, sebaliknya, kekuatan vokal menjadi teras utama yang mencerminkan estetika dan nilai budaya masyarakat Rungus.
Bab ini memperkenalkan tiga jenis lagu utama, iaitu dhihohoi, ondi, dan sovolhi yang berbeza dalam struktur melodinya dan sering dinyanyikan dalam pelbagai majlis keramaian.
Misalnya, ondi dikenal sebagai lagu yang membangkitkan suasana meriah dan disampaikan dengan nada yang tinggi dan lantang. Lirik nyanyian rakyat Rungus dipenuhi dengan padanan semakna yang dikenal sebagai talhos, yang memperkaya keindahan makna dan mencerminkan falsafah hidup komuniti ini.
Selain dari aspek muzik dan lirik, buku ini turut membincangkan fungsi sosial nyanyian rakyat Rungus. Dalam Bab 4: Kategori Jenis dan Ciri Nyanyian Rakyat Rungus (hlm. 55), penulis memperincikan bagaimana nyanyian rakyat bukan sekadar menjadi hiburan, tetapi ia merupakan bentuk komunikasi yang mencerminkan pengalaman hidup, ajaran moral, serta warisan kepercayaan dan adat. Setiap lagu yang dinyanyikan dalam pelbagai majlis seperti perkahwinan, penyembuhan, dan upacara keagamaan membawa maksud yang lebih mendalam dan mencerminkan dunia pandangan masyarakat Rungus.
Buku ini juga menampilkan teks pelbagai jenis nyanyian rakyat Rungus dalam Bab 6 (hlm. 113), yang merupakan satu sumbangan besar dalam usaha mendokumentasikan warisan lisan yang tidak pernah ditulis secara sistematik sebelum ini.
Keindahan lirik dan penggunaan kiasan dalam nyanyian ini dijelaskan dengan mendalam dalam Bab 7 (hlm. 137), di mana penulis menunjukkan bagaimana setiap baris lirik mengandungi unsur puisi yang tinggi, menyerlahkan keunikan sastera lisan masyarakat Rungus.
Unsur metafora, simbolisme, dan kiasan dalam lirik menjadikan nyanyian ini bukan sekadar bentuk hiburan, tetapi juga satu kaedah pendidikan budaya dan moral yang diwariskan turun-temurun.
Lebih menarik, buku ini turut mengaitkan nyanyian rakyat Rungus dengan unsur kesusasteraan dunia. Penulis merujuk kepada kajian Appell (hlm. 3-4), yang membandingkan sastera lisan Sabah dengan epik Homer dan Saga Norse Lama, memperlihatkan bahawa keindahan nyanyian rakyat ini setanding dengan sastera agung dunia.
Ini membuktikan bahawa warisan Rungus bukan sahaja relevan dalam konteks tempatan tetapi juga mempunyai nilai universal yang boleh dihargai oleh masyarakat antarabangsa.
Kredibiliti Penulis
Penulis buku ini, Raymond Majumah atau Dr. Azlan Shafie Abdullah merupakan seorang sarjana yang berkelayakan tinggi dalam bidang budaya dan sastera lisan, khususnya berkaitan dengan masyarakat Rungus.
Beliau bukan sahaja mempunyai latar belakang akademik yang mantap, malah mempunyai hubungan langsung dengan komuniti Rungus, membolehkannya mendapatkan maklumat autentik daripada sumber asli. Dalam prakatanya (hlm. xiii), penulis menyatakan bahawa kajian ini didasarkan kepada pengalaman dan wawancara bersama ahli masyarakat Rungus sendiri, termasuk keluarga terdekatnya yang menjadi penutur asli bahasa Rungus.
Selain itu, penulis juga mempunyai pengalaman luas dalam penerbitan ilmiah dan pernah bergiat aktif dalam program kebudayaan serta persuratan di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kepakaran dan dedikasinya dalam mendokumentasikan warisan budaya menjadikan buku ini sebagai hasil penulisan yang bernilai tinggi dan boleh dipercayai.
Beliau berjaya menjadikan buku Keindahan Lirik Lagu Rakyat Etnik Rungus bukan sekadar sebuah dokumentasi lagu rakyat, namun menjadi kajian akademik yang menyerlahkan keindahan dan kedalaman budaya lisan masyarakat Rungus.
Beliau bukan sahaja memperkenalkan kepada pembaca satu aspek warisan yang jarang diketengahkan, malah turut mengajar kita untuk menghargai kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia.
Bukunya ini mengingatkan kita berkenaan betapa pentingnya menjaga warisan budaya supaya tidak ditelan arus zaman. Seperti yang diungkapkan dalam halaman epigraf, “Sastera tertinggi etnik Rungus terletak pada nyanyiannya; nyanyian penuh citra ialah kehidupan yang menuntut tafsiran….” Dengan memahami dan menghayati nyanyian rakyat Rungus, kita bukan sahaja melestarikan warisan budaya, namun turut memperkaya identiti nasional Malaysia yang berbilang kaum dan etnik.
